Categories
PBT SELANGOR

‘Shah Alam Trees For Life’ serentak di 25 kawasan

SHAH ALAM, 27 OGOS : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan program ‘Shah Alam Trees For Life’ secara serentak di 25 kawasan pentadbirannya, pada 24 Ogos lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, program itu dilaksanakan sebagai usaha untuk merealisasikan matlamat menjadikan Shah Alam bandar raya rendah karbon menjelang 2030.

“Sehingga kini, program ‘Shah Alam Trees For Life’ sudah dilaksanakan sebanyak 63 kali dengan jumlah sukarelawan seramai 19,708 sejak 2010 sehingga tahun lalu.

“Sepanjang program ini, kita juga berjaya menanam 117,199 jenis pokok buah-buahan, herba, teduhan dan renek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahrin berkata, MBSA berjaya menanam 2,000 pokok renek dan 100 pokok teduhan di beberapa kawasan sekitar Shah Alam antaranya sekolah, pejabat Ahli Majlis, dewan majlis dan Taman Tasik Shah Alam, Seksyen 14.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan pokok yang sudah ditanam adalah sebanyak 50,000 pokok renek dan 2,500 pokok teduhan di Shah Alam,” katanya.

Dalam usaha merealisasikan matlamat bandar raya rendah karbon, MBSA turut mengadakan program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, Perintis Hijau Dusun@My Sekolah Shah Alam, Kebun Komuniti Shah Alam, Penyediaan Trek Basikal Shah Alam dan Bas Smart Selangor.

MBSA Menanam “Pokok Malaysia”

SHAH ALAM, 15 SEPT : Lebih 25,000 batang pokok telah ditanam di sekitar Shah Alam sejak program penanaman pokok ‘Shah Alam Trees For Life’ dimulakan dua tahun lalu.

Program anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu juga telah melibatkan 4,635 orang sukarelawan dari pelbagai agensi, kata Timbalan Pengarah Komunikasi Korporat MBSA, Shahrin Ahmad.

Di dalam siri terbaru program tersebut, sebanyak 100 pokok ditanam di Kolam Takung Banjir, Seksyen 5, di sini.

Acara sempena hari Malaysia itu disertai kira-kira 150 peserta daripada Sime Darby Property Berhad, Ibu Pejabat Polis (IPK) Selangor, Kolej Sunway, dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti Eco Warriors dan Sunway Volunteer Society.

“Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia, program kali ini memberikan sedikit kelainan berbanding program penanaman pokok yang lepas.

?Tahun ini, MBSA mengadakan acara menggantung tanda nama pada sebatang pokok yang diberi nama Pokok Malaysia sebagai simbolik pada Hari Malaysia,” katanya.

Antara pokok yang ditanam ialah Tabebuia Pentaphylla (Tecoma) dan Salix Babylonica (janda merana) yang memenuhi kawasan sekitar kolam takungan berkeluasa lima hektar.