Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air enam kawasan di Shah Alam pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 14 DIS: Bekalan air di Seksyen 18, 19, 20, 23, 24 dan 25 di sini yang mengalami gangguan susulan paip pecah pulih sepenuhnya jam 12 tengah hari tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sebelum ini berkata agihan dibuat selepas kerja pembaikan paip yang bermula semalam di Jalan Persiaran Jubli Perak Seksyen 24 selesai jam 6 pagi tadi.

“Air Selangor mengucapkan terima kasih kepada pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” kata Ketua Komunikasi Korporat Elina Baseri dalam kenyataan.

Status terkini bekalan air boleh didapati melalui Facebook, Instagram dan Twitter Air Selangor atau laman sesawang http://www.airselangor.com.

Pengguna juga boleh menghubungi pusat perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Peniaga Uptown Shah Alam gembira kembali ke tapak lama

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 11 APR: Peniaga bazar larut malam ‘Uptown’ Shah Alam, Seksyen 24 menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) susulan penyerahan surat serah tapak bagi membolehkan mereka berniaga semula seperti biasa, semalam.

Lebih manis, penyerahan itu berlangsung menjelang ketibaan Ramadan bulan hadapan selepas menanti hampir enam bulan.

Faridah Abd Ghafur, 55, berkata, keprihatinan PKNS dan Kerajaan Negeri mengenai kebajikan peniaga sangat dihargai terutama penyediaan tapak sementara serta pemberian bantuan untuk mereka kembali meneruskan perniagaan

Beliau yang menjalankan perniagaan pakaian lebih 10 tahun di sini mengakui pendapatnnya sedikit terjejas sepanjang berada di tapak sementara tetapi usaha penyiapan baik pulih dalam tempoh ditetapkan menggembirakan semua peniaga.

“PKNS bagi kita tapak sementara, serta merta mereka terus pindahkan kita ke sana. Itu tanda mereka ambil berat

“Saya lega sangat sebab dah nak puasa….(tapak) di luar ada rezeki, cuma kat dalam lebih baik tapi PKNS buat (baik pulih) cepat, ramai yang berpuas hati,” katanya.

Mengenai tapak yang sudah siap dibaik pulih, beliau mengakui ia lebih selesa berbanding dahulu tambahan dengan sistem pendawaian elektrik baharu.

Pandangan sama turut diberikan Taharah Yusof, 53, mengharapkan ketibaan Ramadan kali ini akan memberikan lebih rezeki kepada semua peniaga terutama yang terjejas dalam kebakaran, 12 November tahun lalu.

Katanya, peniaga boleh masuk semula ke tapak asal hari ini dan kembali berniaga seperti biasa.

“Saya bersyukur sangat sebab kita menunggu agak lama dan terpaksa berniaga di tapak sementara tambahan sudah hampir nak puasa…”

“Kita mengharapkan pulangan yang lebih baik selepas insiden kebakaran. Kita doakan yang terbaik insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, PKNS membina semula dan membaiki tapak perniagaan Uptown Shah Alam yang rosak dengan kos RM1.47 juta mengikut jangkaan tempoh siap selama empat bulan iaitu selewat-lewatnya April ini.

Sepanjang tempoh baik pulih, PKNS turut mendirikan khemah perniagaan sementara dengan kos RM160,000 kepada peniaga untuk tempoh enam bulan.

Selain itu, kesemua 29 peniaga terjejas turut menerima bantuan khas membabitkan Dana Ehsan (Bencana Alam) daripada Kerajaan Negeri.

Dalam kejadian kebakaran sekitar jam 5 pagi, 12 November tahun lalu, sebanyak 41 lot perniagaan terjejas bagaimanapun tiada kemalangan jiwa.

 

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penantian 29 peniaga Uptown Shah Alam berakhir

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 11 APR: Penantian 29 peniaga bazar larut malam ‘Uptown’ Shah Alam, Seksyen 24 yang terlibat dalam kejadian kebakaran 12 November tahun lalu akhirnya terlerai apabila Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyerahkan surat serah tapak, malam tadi.

Majlis penyerahan surat disempurnakan EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail sambil diiringi Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain.

Rodziah dalam ucapannya mengingatkan semua peniaga untuk bekerjasama dan mementingkan aspek keselamatan supaya kejadian kebakaran tidak berulang.

Katanya, insiden kebakaran yang berlaku perlu dijadikan pengajaran kerana ia akan merugikan semua pihak terutama peniaga dan PKNS.

“Peniaga perlu mengekalkan disiplin perniagaan kerana kita tidak mahu kejadian kebakaran berulang kembali.

“Kita harap peniaga dapat menjaga dengan baik supaya selamat dan menitik beratkan isu keselamatan,” katanya.

Rodziah turut mengingatkan peniaga supaya menjalankan sendiri perniagaan dan tidak menyewakan tapak serta lesen kepada warga asing.

Dalam majlis sama, Rodziah dan Mohd Azizi turut melawat ke tapak perniagaan yang sudah dibaik pulih.

Keadaan tapak baharu dilihat lebih kemas dan teratur serta menggunakan pendawaian elektik lebih sistematik.

Terdahulu, PKNS membina semula dan membaiki tapak perniagaan Uptown Shah Alam yang rosak dengan kos RM1.47 juta mengikut jangkaan tempoh siap selama empat bulan iaitu selewat-lewatnya April ini.

Sepanjang tempoh baik pulih, PKNS turut mendirikan khemah perniagaan sementara dengan kos RM160,000 kepada peniaga untuk tempoh enam bulan.

Selain itu, peniaga terjejas turut menerima bantuan khas membabitkan Dana Ehsan (Bencana Alam) daripada Kerajaan Negeri.

Dalam kejadian kebakaran sekitar jam 5 pagi, 12 November tahun lalu, sebanyak 41 lot perniagaan terjejas bagaimanapun tiada kemalangan jiwa.