Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

BNM: Sentimen pelabur bertambah baik, jejaki prestasi positif global

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Sentimen pelabur bertambah baik pada November disebabkan terutamanya oleh perkembangan global yang positif.

Dalam sorotan November, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata perkembangan ini termasuk prospek ekonomi yang bertambah baik berikutan hala tuju dasar Amerika Syarikat (AS) yang lebih jelas susulan berakhirnya Pilihan Raya Presiden AS serta perkembangan positif berhubung kelulusan dan pengagihan vaksin Covid-19.

“Hasilnya, indeks ekuiti global mencatatkan keuntungan secara keseluruhan, termasuk kutipan semula pinjaman daripada sektor-sektor yang terjejas akibat pandemik.

“Berlatarbelakangkan keadaan ini, FBM KLCI meningkat sebanyak 6.5 peratus pada bulan itu,” katanya.

Menurut bank pusat, risiko yang bertambah baik juga mendorong aliran masuk bukan pemastautin yang berterusan ke dalam pasaran bon domestik susulan aktiviti mencari keuntungan oleh pelabur yang menyumbang kepada ringgit menambah nilai sebanyak 2.2 peratus berbanding dolar US.

Meskipun pasaran bon kerajaan terus disokong oleh aliran masuk ini, ketidakpastian berhubung undian parlimen bagi Belanjawan 2021 telah mendorong kepada kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10-tahun yang lebih tinggi sedikit menjelang akhir bulan.

BNM berkata sistem perbankan berada pada kedudukan yang baik untuk menyerap kejutan pendapatan dan menyokong aktiviti pengantaraan.

“Nisbah modal sebahagian besarnya tidak berubah berikutan terbitan baharu instrumen hutang yang telah mengimbangi penurunan sedikit modal Ekuiti Biasa Kumpulan 1 (CET1) daripada bayaran dividen dan pengurangan keuntungan belum direalisasi daripada komponen modal instrumen kewangan.

“Lebihan penampan modal bank-bank berjumlah RM125.1 bilion pada November 2020,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit terus meningkat 4.1780/1830 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Ringgit terus meningkat untuk hari ketiga berturut-turut berbanding dolar AS hari ini berikutan sentimen yang baik dalam pasaran tempatan dan serantau, kata peniaga.

Pada 9.15 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.1780/1830 daripada 4.1800/1850 semasa ditutup semalam.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata ringgit mendapat manfaat berikutan sentimen risiko global yang masih kekal.

Selain itu, katanya dengan hasil Amerika Syarikat yang merosot lagi, Sekuriti Kerajaan Malaysia dijangka mendapat permintaan berikutan sasaran kepada pulangan sebenar berterusan.

“Turut menyokong perkara itu ialah inflasi yang rendah memberi ruang kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengurangkan kadar faedah sekali lagi tidak lama lagi,” katanya kepada Bernama.

Innes juga berkata walaupun harga minyak mentah diniagakan daripada paras tertinggi antara minggu, pasaran amat stabil yang menyokong unit tempatan.

Pada masa ini, minyak mentah Brent terus diniagakan melebihi US$45 setong, walaupun susut 0.57 peratus kepada US$45.20 setong.

Pada pembukaan, unit tempatan diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0626/0674 daripada 3.0625/0666 pada Selasa dan susut berbanding yen kepada 3.9734/9789 daripada 3.9576/9627.

Ringgit merosot berbanding pound kepada 5.5404/5487 daripada 5.5051/5133 dan rendah berbanding euro kepada 4.9927/5.0004 daripada 4.9746/9818 sebelum ini.

-BERNAMA