Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

SELangkah selamat, tidak dedah data peribadi pengguna

SHAH ALAM, 7 MEI: Inisiatif SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) yang dibangunkan Kerajaan Selangor untuk mengesan Covid-19 selamat dan efektif kepada pengguna.

Anggota Pasukan Petugas Covid-19 Selangor Dr Helmi Zakariah berkata inisiatif tersebut tidak akan mendedahkan data peribadi pengguna, sebaliknya hanya merekodkan masa dan lokasi.

“Kita faham apabila memuat turun sesuatu aplikasi, orang ramai gusar data peribadi (didedahkan) dan menjejaki mereka. Apa yang kita buat ialah menukar premis perniagaan sebagai pusat kawalan.

“Sekiranya ada pengunjung demam, kita boleh kesan pengunjung lain yang ada bersama individu tersebut dan membantu mewujudkan pengesanan kontak,” katanya melalui rakaman video yang dikongsi di portal amirudinshari.com.

Dr Helmi berkata SELangkah diwujudkan selepas Kerajaan Negeri menyedari sistem menjejak kontak virus ketika ini sangat terhad dan kebanyakannnya dibuat secara manual.

Katanya, fasa pertama aplikasi tersebut dimulakan di pasar basah dan kedai runcit yang merupakan pusat kegiatan ekonomi paling berisiko untuk menyebarkan wabak.

Inisiatif dalam talian yang diperkenalkan pada 4 Mei lalu bertujuan mengesan kontak di mana-mana premis bagi mencegah penularan Covid-19.

Pemilik premis perlu mencetak sendiri kod QR melalui portal selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my dan mempamerkannya manakala pengunjung perlu mengimbas kod tersebut.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan SELangkah akan digunakan di semua premis kerajaan dan swasta berkuat kuasa serta-merta.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Guna SELangkah hingga vaksin Covid-19 siap – Dr Dzulkefly

SHAH ALAM, 6 MEI: Pengerusi Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor menggesa orang ramai menggunakan sistem SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri sebelum vaksin Covid-19 berjaya dihasilkan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata inisiatif itu mampu membantu premis perniagaan menjejak jangkitan  Covid-19 daripada pelanggan yang pernah mengunjungi kedai mereka.

“Covid-19 mungkin berada di sini untuk ‘tinggal’ dengan kita, tetapi untuk menghapuskannya kita perlu bijak sebelum vaksin dan ubat antivirus berjaya dihasilkan.

“SELangkah juga adalah era menuju Revolusi Industri 4.0,” tulisnya menerusi Twitter.

Pada 4 Mei lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memperkenalkan inisiatif SELangkah bagi menjejak jangkitan virus di negeri ini.

Majlis Bandaraya Shah Alam juga memaklumkan semua premis perniagaan diwajibkan menggunakan sistem berkenaan dan pendaftaran boleh dilakukan di www.selangkah.my.

SELangkah menggunakan teknologi kod QR yang universal dan boleh diguna pakai telefon bimbit dengan sistem pengoperasian iOS atau Android.

SELangkah juga penyelesaian berpusatkan premis (premis-centric) berbanding individu (individual-centric), dan hanya menyimpan log kehadiran semasa urusan lawatan atau jual beli.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman www.selangkah.mbiselangor.com.my atau www.selangkah.my‍.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Aplikasi SELangkah mampu jejak kontak dalam rumah

SHAH ALAM, 5 MEI: Aplikasi SELangkah diperkenalkan kerajaan Selangor yang bertujuan membantu dalam pengesanan kontak (contact-tracing) boleh juga digunakan untuk kediaman peribadi, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata SELangkah menggunakan konsep asas kawalan automatik bagi pendaftaran individu yang memasuki mana-mana premis dengan mudah dan pantas.

“Tidak perlu menggunakan pen dan kertas, inilah ‘new normal’ (normal baharu),” katanya di Twitter hari ini.

Beliau berkata menerusi aplikasi itu pengunjung dan pelawat hanya perlu mengimbas kod QR menggunakan telefon bimbit dan mendaftar maklumat seperti nama dan nombor telefon.

“Langkah masuk dengan selamat dan mudah. Aplikasi ini memudahkan pergerakan dan memastikan keselamatan terjamin,” katanya.

Dato’ Menteri Besar berkata pemilik premis makanan, pejabat dan perniagaan boleh mendapatkan kod QR dengan mudah iaitu mendaftar alamat di https://t.co/xoM5abWlad dan letakkan kod QR tersebut di pintu masuk.

Menerusi jawapan soalan lazim di www.amirudinshari.com semalam, inisiatif SELangkah diwujudkan bagi memastikan kesiapsiagaan entiti perniagaan dan industri sepanjang aktiviti perniagaan berlangsung.‍

SELangkah bakal melengkapi ikhtiar pengesanan kontak oleh Jabatan Kesihatan Negeri, terutamanya apabila terdapat kes-kes yang dikesan di premis perniagaan seperti pasar awam, pasar raya dan kedai runcit.

Dengan sistem SELangkah, pihak kesihatan dapat mengenal pasti pelanggan lain yang mungkin terdedah kepada kes Covid-19 semasa menjalankan urusan jual-beli, supaya saringan dan ujian dapat dijalankan lebih awal.‍

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor perkenal SELangkah, sistem jejak jangkitan Covid-19

SHAH ALAM, 4 MEI: Kerajaan Negeri memperkenalkan SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) iaitu sistem pendaftaran keluar masuk individu ke premis perniagaan atau jabatan kerajaan bagi menjejak jangkitan virus Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata konsep SELangkah bertujuan melindungi premis perniagaan, pelanggan dan pasukan barisan hadapan dengan mudah dan pantas.

Beliau berkata pemilik premis diminta mencetak dan mempamer kod QR di tempat perniagaan masing-masing melalui portal selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my yang boleh dicapai mulai esok.

“Kebanyakan premis perniagaan telah didaftarkan tetapi jika belum mendaftar mereka boleh melakukan sendiri di portal tersebut.

“Pengunjung premis pula diminta untuk mengimbas poster kod QR menggunakan fungsi kamera di telefon bimbit, sama ada sebelum atau semasa masuk ke premis bergantung kepada tatacara pemilik perniagaan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata log lawatan pengunjung premis itu dikawal selia pentadbiran Kerajaan Negeri dan diaktifkan pegawai kesihatan awam jika terdapat insiden Covid-19 dilaporkan di premis tersebut.

Katanya, inisiatif itu juga bagi memperkukuh kesiapsiagaan entiti perniagaan dan melengkapi ikhtiar pengesanan kontak oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

“Kerajaan Negeri optimis SELangkah dapat membentuk norma baharu bagi kegiatan ekonomi semasa fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai seperti diamalkan di Korea Selatan.

“Bagaimanapun, kawalan wabak ini cuma akan berkesan apabila semua pihak memainkan peranan kerana sesungguhnya kesihatan adalah urusan semua,” katanya.

Categories
AGENSI PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

SELangkah lengkapi aplikasi MySejahtera, MyTrace

SHAH ALAM, 4 MEI: Inisiatif SELangkah diperkenalkan Kerajaan Negeri akan membantu melengkapi aplikasi mobil MySejahtera dan MyTrace bagi memudahkan urusan pengesanan kontak kes Covid-19.

Menerusi soalan lazim (FAQ) di laman www.amirudinshari.com semalam, kenyataan itu menjelaskan SELangkah atau Langkah Masuk Dengan Selamat menggunakan teknologi kod QR yang universal dan boleh digunapakai telefon bimbit dengan sistem pengoperasian iOS ataupun Android.

“Terdapat beberapa aplikasi mobil yang sedia ada disediakan seperti MySejahtera, MyTrace bagi memudahkan urusan pengesanan kontak. SELangkah menggalakkan rakyat memuat turun aplikasi tersebut.‍

“Ia merupakan ikhtiar yang akan melengkapkan atau komplimentari kepada kaedah berkaitan terutama kepada mereka yang mempunyai telefon bimbit tidak sesuai bagi aplikasi mobil, dalam keadaan kehausan bateri, ataupun golongan bukan penduduk tetap,” katanya dalam penjelasan perbezaan SELangkah dengan aplikasi mobil sedia ada.

Selain itu data disimpan dalam SELangkah hanya tarikh dan masa pengunjung di sesuatu kedai atau premis, selain nombor telefon. Ini akan membentuk log kehadiran bagi sesuatu premis.‍

“Sekiranya terdapat kes Covid-19 dikesan di premis perniagaan tersebut, log kehadiran ini akan diaktifkan pegawai kesihatan awam, bagi memudahkan tujuan menghubungi pelanggan lain yang berkemungkinan terdedah kepada risiko jangkitan wabak,” katanya.

SELangkah juga merupakan penyelesaian yang berpusatkan premis (premis-centric) berbanding individu (individual-centric), dan hanya menyimpan log kehadiran semasa urusan lawatan atau jual beli.

Untuk sebarang maklumat lanjut berhubung inisiatif SELangkah, boleh layari laman www.selangkah.mbiselangor.com.my atau www.selangkah.my