Categories
SELANGOR

Khazanah Selangor perlu didokumentasikan

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA KUBU BHARU, 26 DIS: Usaha mengangkat Selangor sebagai kota seni dan pusat kebudayaan perlukan kerjasama semua pihak supaya segala perancangan ke arah itu tidak menjadi sia-sia.

Prof Dr Siti Zainon Ismail, berkata pengisian terhadap usaha terbabit bukan sekadar mengadakan program berbentuk kesenian tetapi lebih daripada itu perlu mengangkat dan memelihara khazanah seni bangsa ke tahap membanggakan.

galerikkb 3“Kerajaan Negeri menyediakan dana besar tetapi jangan pula bila sampai kepada penyelaras, kita kekaburan dan ia hilang entah ke mana.

“Kita kena pastikan pihak atau kumpulan dilantik dengan perjanjian jelas terhadap apa produk mahu dihasilkan. Kalau sekadar menari, latihan silat dan sebagainya tetapi tiada sebarang rakaman atau buku, ia hilang begitu sahaja. Dokumentasi itu penting,” katanya kepada Selangor kini di sini.

Beliau berkata, sebagai negeri terkaya di Malaysia, khazanah Selangor perlu didokumentasikan supaya ia kekal sebagai rujukan semua pihak dan generasi pada masa hadapan.

Katanya, pengertian pembinaan kota seni juga perlu diperluaskan bukan sekadar di bandar besar seperti Shah Alam dan Petaling Jaya sahaja.

“Selangor ini begitu luas dan jangan terlalu ghairah di situ (bandar besar). Kita ada wilayah kecil-kecil seperti Tanjung Karang dan Kuala Kubu Bharu.

“Kota kalau mengikut ertinya bukan bererti kota seperti mana kita kenal, ia adalah tugu atau benteng di mana mendiri kota bererti membina benteng pertahanan.

“Selangor sudah ada benteng macam-macam maka siapa nak jaga kubu (Kuala Kubu Bharu) ini. Tolonglah bina kota dalam aspek menjaga khazanah warisan negeri,” katanya.

Tokoh seni warisan Melayu itu berkata, kebanyakan persembahan besar dijalankan ketika ini digelar tradisional tetapi tidak mengangkat nilai warisan sebenar dan menepati konsep dimaksudkan.

“Sudah sampaikan masanya pemimpin, aktivis, masyarakat dan semua pihak bergabung tenaga dalam menjayakan program seni budaya selain usaha menjalankan kajian serta penulisan bahan sejarah.

“Segala aktiviti sebegini perlu didokumentasikan supaya ia kekal untuk tahun mendatang,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM53 juta bagi menjayakan rancangannya merancakkan sektor seni dengan lima rancangan utama sepanjang 2016.

Lima rancangan itu adalah usaha penterjemahan dan buku audio, melaksanakan projek Peta Kebudayaan, membangunkan Shah Alam sebagai ‘World Muslim Fashion City’, membangunkan Galeri Seni dan Muzium Tekstil di Royal Klang Club dan mewujudkan Studio Terbuka di Petaling Jaya untuk pengkarya muda.

EZY

Categories
SELANGOR

Jadikan adat warisan dan tradisi jana ekonomi

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 24 NOV: Usaha memartabatkan dan mengenalpasti adat warisan dan tradisi diperhebatkan dalam usaha menjadikannya identiti untuk memperkasa ekonomi di negeri itu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata usaha itu juga bagi menambambah sumber pendapatan kepada rakyat yang terlibat dalam sektor itu.

Seni“Saya melihat sebahagian besar apabila identiti ini kita jadikan ia sebagai imej negeri kita dapat mempromosikan kepada msyarakat dalam dan luar Selangor.

“Disitu kita dapat membantu masyarakat luar bandar yang aktif dalam mengeluarkan produk tradisional dalam menjana pendapatan disamping memperkenalkan ke luar negara,” katanya kepada Selangor Kini.

Ahmad Yunus berkata, antara beberapa usaha yang dijalankan bagi mencari imej tradisi Selangor itu adalah aktiviti turun padang ke daerah seperti mengadakan Karnival 3K Kampungku Kesayanganku.

“Ia bertujuan bagi mencari keunikan yang terdapat setiap daerah untuk kita nilai dan jadikan ia sebagai imej negeri ini.

“Kerajaan negeri meneruskan usaha ini kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada Selangor malahan kepada rakyat khususnya,” katanya.

Sebelum itu, Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata usaha dijalankan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) itu membabitkan dengan beberapa kajian bagi mendapatkan rumusan.

“Contohnya tarian, makanan, busana, alat muzik, lagu atau apa sahaja dirasakan boleh jadi imej kesenian Selangor.

“Sebagai negeri termaju, Selangor mempunyai kepelbagaian kebudayaan dan kesenian ekoran menjadi tumpuan penduduk dari luar,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Battle Of The Band gegar Selangor rancakkan seni

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 16 NOV: Aktiviti seni di Selangor terus dirancakkan lagi pada 2016 apabila Kerajaan Negeri merancang mengadakan pertandingan ‘Battle Of The Band’ dengan melibatkan pelbagai peringkat.

Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata program itu diadakan ekoran terdapat permintaan tinggi.

SeniKatanya pertandingan itu dijangka mampu menarik minat kumpulan belia berkecimpung dalam dunia muzik itu diteruskan pada tahun hadapan.

“Kita merancang membuat program seumpama ini di peringkat majlis atau peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kita buat satu lagi di peringkat Selangor seperti mana Liga Sukan Selangor Plus, kita buat juga untuk seni.

“Kali ini di Kajang kita ada pertandingan Battle Of The Band dan selepas beberapa siri jelajah ini saya dapati ada permintaan besar seperti pertandingan Battle Of The Band dan program kebudayaan,” kata Amirudin.

Beliau berkata demikian kepada Selangor Kini pada program Simfoni Muzikal dan Kebudayaan 2015 dan Exco Le Tour Selangor 2015 di Kompleks Metropoint, di sini, semalam.

Amirudin juga berharap pertandingan seumpama itu dapat menarik minat lebih ramai golongan belia untuk mengasah bakat dalam bidang seni.

Terdahulu, pentas utama Kompleks Metropoint digegarkan dengan persembahan beberapa band yang menyertai pertandingan Battle Of The Band sempena Exco Le Tour Selangor 2015.

Pertandingan yang menawarkan hadiah RM1,000 dan piala iringan untuk pemenang pertama itu dimenangi oleh band Topeng, band Oksigen di tempat kedua membawa pulang hadiah RM700 dan Master Piece di tempat ketiga membawa pulang hadiah RM500.

Selain pertandingan Battle Of The Band, turut ditampilkan persembahan berkonsepkan muzikal lain seperti orkestra klasik dan kontemporari, ukulele, nyanyian irama balada, pop muzik, irama Cak Lempong, paluan gong dan tarian tradisional masyarakat Malaysia.

EZY

Categories
SELANGOR

Projek Peta Kebudayaan mampu jadi tarikan pelancongan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 2 NOV: Projek Peta Kebudayaan bukan sahaja tarikan bagi sektor pelancongan, tetapi hasil projek itu boleh dijadikan Pustaka Budaya untuk tatapan ramai.

Pengasas Pusat Budaya Pusaka (PUSAKA), Eddin Khoo, berkata projek itu melibatkan kajian ilmiah terhadap gaya kehidupan kaum Mah Meri dan Temuan sebelum didokumenkan dan disebarkan kepada umum.

Eddie Khoo“Ia bakal dibukukan, difilemkan dan diterbitkan. Kajian ini disimpan dalam arkib untuk kegunaan ramai.

“Hasil kajian ini juga boleh disebarkan di seluruh dunia. Kita bekerjasama dengan beberapa pihak termasuk muzium terkenal di Amerika Syarikat, Eropah, Jepun dan sebagainya,” kata Eddin kepada Selangor Kini.

Katanya, walaupun Malaysia kaya dengan khazanah budaya tetapi tidak ada kajian dijalankan dengan tertib.

“Sebenarnya budaya itu penting dalam pandangan dunia sesuatu masyarakat dan kita harus ambilnya secara serius.

“Bila khazanah seperti itu dikaji dan diangkat kita boleh menarik orang luar untuk mengkaji dan menyertai projek seperti ini serta menarik lebih ramai pelancong, meningkatkan ekonomi,” katanya.

Eddin menjangkakan projek peta budaya itu turut menarik pengkaji menjalankan penyelidikan.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengumumkan RM1 juta bagi memartabatkan warisan kebudayaan masyarakat Orang Asal Selangor dalam Projek Peta Kebudayaan.

Projek itu dijalankan dengan kerjasama pusat kebudayaan, Pusaka dan muzium terkenal Smithsonian Institution di Amerika Syarikat.

EZY

Categories
SELANGOR

Fokus pentadbiran realisasi Selangor pusat budaya, seni

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 31 OKT : Tumpuan khusus untuk mengangkat Selangor sebagai kota seni dan pusat kebudayaan dipergiatkan bagi memastikan hasrat itu tercapai.

Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata Kerajaan Negeri akan memfokuskan kepada aspek pentadbiran untuk menyiapkan kertas kerja diperlukan.

Beliau berkata, hasrat itu sudah lama dirancang sejak sekian lama namun masih belum tercapai sehingga Belanjawan Selangor 2016 diumumkan semalam.

Bajet 2016 Seni“Di bawah kebudayaan, peningkatan program tiada tetapi ada penambahan inisiatif untuk menyediakan Peta Kebudayaan Selangor.

“Kita ingin memetakan program budaya yang ada di Selangor, justeru insiatif itu adalah sesuatu yang baik dan mampu menjadi panduan kepada Kerajaan Negeri untuk menyusun pelan tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Grand Finale Kejohanan Liga Sukan Selangor Plus di Kompleks Sukan SUKSES, Seksyen 6, dekat sini.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM53 juta bagi menjayakan rancangannya merancakkan sektor seni dengan lima rancangan utama sepanjang 2016.

Lima rancangan itu adalah usaha penterjemahan dan buku audio, melaksanakan projek Peta Kebudayaan, membangunkan Shah Alam sebagai ‘World Muslim Fashion City’, membangunkan Galeri Seni dan Muzium Tekstil di Royal Klang Club dan mewujudkan Studio Terbuka di Petaling Jaya untuk pengkarya muda.

EZY

Categories
SELANGOR

Premis perniagaan disaran wujud ruang khas seni

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 OKT: Premis perniagaan termasuk hotel, restauran mahupun bangunan pejabat disarankan menyediakan ruang khas seni bagi memastikan ekspresi seni ditonjolkan.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata hal itu selaras usaha memartabatkan Shah Alam dan Petaling Jaya sebagai Kota Seni.

Laman Seni Seksyen 7aKatanya, beliau akan berbincang dengan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali bagi mencadangkan perkara itu.

“Sudah sampai masanya kita mencadangkan dasar iaitu mengenakan kelebihan yang boleh difikirkan untuk menggalakkan Kota Seni menjadi sebahagian dalam masyarakat.

“Mungkin perlu difikirkan bentuk insentif yang diberikan sebagai galakan lebih ramai premis menyertai ruang kesenian mereka,” katanya kepada Selangor Kini.

Amirudin memuji usaha SACC Mall yang ke hadapan dalam menyediakan ruang khas bagi peminat Buskers.

“Jadual penggunaan tempat ini disediakan kemudian tertakluk kepada pentadbiran.

“Setakat ini, SACC Mall ke hadapan dalam usaha ini. Ini bakal menjadikan ikutan kepada premis lain,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata penganjuran Festival Seni Selangor 2015 (Selfiesta’15) bakal dijadikan program tahunan.

EZY

Categories
SENI

The Poem (Wallpaper) terpanjang di Malaysia, karya Suzlee Ibrahim terus diiktiraf

Oleh: HAFIZAN TAIB

MELUKIS bukan mudah seperti mana dilafaz dengan kata-kata. Ia memerlukan penumpuan jitu selain ilham bagi menzahirkan apa diidamkan ke layar kanvas buat tatapan umum.

Itu situasi sering ditempuh pelukis dalam menghasil lukisan bermutu yang dibanggakan khalayak dan menjadi koleksi berharga buat diri dan negara.

Bagi pelukis abstrak negara, Suzlee Ibrahim, satu cabaran bagi dirinya dalam menghasilkan sesuatu lukisan, namun semuanya diharungi penuh sabar demi mencapai pengakhiran dan pengiktirafan.

Beliau nyata boleh berbangga apabila usaha gigihnya diiktiraf Malaysian Book of World Record (MBR) melalui ‘The Poem (Wallpaper)’ sebagai karya ‘Longest Abstract Painting in an Art Gallery’ dengan ukuran lima kaki tinggi dan 60 kaki panjang.

pix 1Menghasilkan lukisan terpanjang di Malaysia adalah sesuatu mencabar minda, masa, tenaga dan kewangan apatah lagi medium digunakan ialah cat minyak yang lambat kering dengan pelbagai lapisan warna di atas kanvas.

Namun, semangat bagi merealisasikannya mengatasi segalanya hingga beliau berjaya menghasilkan lukisan terbabit walaupun menempuh pelbagai payah dan dugaan.

Kejayaan Suzlee dirai apabila dianugerahkan hadiah dan pengiktirafan daripada Pengurus Besar MBR, Helilia Juana, dalam satu majlis penyampaian di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, baru-baru ini.

Ia diadakan di universiti berkenaan apabila beliau mengadakan pameran solo, Meditastion, di Galeri Serdang yang terletak di Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina UPM, bermula 19 Ogos hingga 11 Oktober ini.

pix 3Ia pameran ke-29 Suzlee yang mempamerkan 35 karya terbaik daripada siri terbarunya yang dianjurkan hasil kerjasama Yayasan Seni Selangor (Galeri Shah Alam), Galeri Serdang dan Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA).

Suzlee bukan nama baharu dalam arena seni visual negara atau di bidang akademik. Beliau berjaya menunjukkan pencapaian cemerlang di dalam pembabitan selama 28 tahun selaku pelukis.

Selain pameran solo, beliau terbabit dalam lebih 1,000 pameran berkumpulan yang diadakan di dalam dan luar antaranya United Kingdom, Amerika Syarikat, Denmark, Jerman, Perancis, Belgium, Itali, Brazil, Cuba, Sepanyol, Kanada, China, Jepun, Argentina, Greece, Poland, UAE, Singapura, Australia, Nepal dan Bangladesh.

Suzlee bermula pensyarah sambilan di Kajian Seni Lukis dan Seni Reka, Institut Teknologi MARA, Shah Alam pada 1993 (kini dikenali sebagai Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA). Kini, beliau bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Rekaan Komunikasi Visual, ASWARA.

Suzlee adalah inspirasi kepada pelukis muda dan pelajar institusi seni serta contoh kejayaan ahli akademik juga pelukis negara.

pix 4Antara kejayaannya ialah In Recognition of Outstanding Creative Excellence – Emaar International Art Symposium Dubai/ UAE (2005) dan Japan-Malaysia Art Friendship Ambassador – Ministry of Culture Arts and Heritage Malaysia & World Arts and Culture Exchange Malaysia/Japan (2008).

Selain itu, Suzlee turut dianugerahkan sebagai Tokoh Seni: Anugerah Citra Kencana Universiti Kebangsaan Malaysia (2011), Excellent Masters Award Universiti Teknologi Mara, Shah Alam (2013) dan Anugerah Pengilmuan Seni ASWARA (2014).

Karya Suzlee juga terus mendpaat tempat dalam kalangan masyarakat apabila menjadi koleksi badan korporat dan pengumpul lukisan termasuk kalangan ternama dalam juga luar negara.

Categories
SENI

Tentang impak dan lohong dalam pengkaryaan

Oleh: King Binjai

Mula mentelaah antologi cerpen Ceritera Setinggan Satu Jiwa karya Naimisa Yusof, terbayang watak yang unik, senario yang gelap dan moral yang terang, pertelingkahan yang mencemaskan, tragedi lucu dan tidak ketinggalan sedikit suasana seram.

Ia barangkali sekurang-kurangnya lima atau enam cerpen bercerita tentang setinggan jika tidak sepenuhnya, sekurang-kurangnya lima atau enam cerpen bercerita mengenainya. Tetapi tidak. Hanya satu cerpen setinggan, selebihnya dunia lain.

Apabila gambaran itu dipatahkan, ia sedikit membunuh tetapi tidak bermakna karya itu tidak berbaloi dibaca. Daripada tiga belas cerpen, yang betul-betul memahat impak ialah Ceritera Setinggan Satu Jiwa dan Pentas Genba. Ia memberi rona secukupnya saat mula pembacaan hingga ke akhirnya. Kekuatan emosi dan moral sangat seimbang.

naimisaPun begitu, keseluruhannya masih ada rongga-rongga yang bagai sengaja dibiar lohong. Walau tidak mengecewakan tetapi jika diberi perhatian, akan lebih enak.

Seperti nasi lemak, setiap bahagian perlu setara, dari nasinya, sambalnya hingga ke timunnya perlu seimbang antara satu sama lain. Nasinya perlu cukup santan, sambal harus seimbang dari pedas, masin manis, telur pula direbus sebaiknya, timun pula segar dan ikan bilisnya wajib dibuang segala najisnya.

Penulis dilihat gemar menyuntik elemen agama dalam setiap cerpen sama ada pembaca sedar atau tidak. Elemen itu ketara dalam cerpen Selamat Datang Lin Yuang dan Manisnya Madu.

Walaupun isu yang dipilih itu berkait rapat dengan konsep budaya-agama namun, impaknya kurang. Keindahannya tidak secerah yang diharapkan. Persoalan yang cuba ditimbulkan agak ringan dan tidak ditegaskan dengan berkesan.

Adakah format cerpen itu sendiri mengganggu Naimisa sehingga mengehad persoalan yang dibawa? Atau adakah penulis kekurangan idea bagi melengkapkan landskap dua cerpen itu?

Atau adakah ia diedit bagi memuaskan selera mereka yang hanya mementingkan jualan? Tidak dapat dipastikan. Namun dua cerpen itu jika dipanjangkan sedikit dan memuatkan persoalan lebih ekstrem, pasti lebih diingati.

Saat membaca Manisnya Madu, tertanya-tanya apakah agaknya perasaan pembaca wanita? Kerana cerpen itu walau pada kaca mata wataknya seorang wanita, namun realitinya tidak semua sampai ke tahap itu. Tidak semua melalui proses sama. Moral yang cuba dibawa itu baik tetapi penyampaiannya tidak kuat.

naiIsu poligami sering diberi nafas baru dalam mendidik minda masyarakat yang terikat kuat dengan budaya. Namun olahan itu sama ada tersasar atau kurang meninggalkan kesan kepada pembaca terutama wanita.

Memang tidak dinafi ada faktor ‘wow’ dalam penulisan Naimisa tetapi ia sekadar ‘wow’ tanpa tanda seru. Apakah isu poligami, kita perlu beri penekanan kepada kelompok wanita? Sedangkan yang lebih memberi duri itu datangnya dari lelaki itu sendiri.

Tidak dinafi, kesalahan ketara wanita ialah mereka menolak bulat-buat poligami tanpa mengambil kira kesannya kepada akidah. Namun lelaki harus dididik behawa penolakan itu natijah yang hadir dari pelakuan kelompok lelaki sendiri. Perlu ada pemahaman betapa poligami adalah pilihan dan bukan kemestian di dalam Islam.

Cerpen Tali Itu Masih Lurus pula agak peribadi acuannya. Walaupun dipenuhi metafora, mungkin bagi menghilangkan jejak peribadi, ia tetap terlepas ke ruang pembaca. Tidak keterlaluan dikatakan ia agak meleret. Berbanding 12 cerpen lain yang setiap pengakhirannya memaparkan pandangan bagi setiap isu.

Dari aspek bahasa, antologi itu menggunakan istilah mudah. Tidak terlalu berbunga-bunga dan tidak terlalu pasar. Namun, ada istilah agak asing dan berat bagi sesetengah pembaca tetapi tidak mencacatkan pembacaan. Dari segi tema, watak dan idea, ia disusun dengan baik.

Namun untuk meletakkan kumpulan cerpen terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia itu dalam senarai terbaik, ia memerlukan perjalanan jauh yang harus ditempuh.

Categories
SENI

Dongeng masih diperlukan oleh dunia

Oleh: Roslan Jomel

Melalui Wan Nor Azriq yang berkunjung ke Indonesia tahun lepas, aku memesan buku terbaharu kumpulan cerpen Eka Kurniawan, Perempuan Patah Hati Yang Kembali Menemukan Cinta Melalui Mimpi. Buku kumpulan cerpen terbaharu itu penting bagi aku yang memang menjurus dalam penulisan cerpen. Aku ingin tahu apa percubaan dilakukan oleh Eka Kurniawan dalam mengukuhkan namanya sebagai penulis prosa terbaik dari Indonesia. Dan itulah juga apa yang sedang diusahakan oleh Wan Nor Azriq di Malaysia dalam novel-novel pendek eksperimentalnya. Masing-masing giat merubah landskap penulisan karya sastera kontemporari dan menyedarkan kita sastera bukan sejenis sifatnya.

400-pphykmcmmDari buku kumpulan cerpen terbaharunya itu, aku semakin maklum bahawa bahasa dan penceritaan Eka Kurniawan bertambah jernih, kemas dan komunikatif buat para pembaca. Ini tanda kematangan seseorang pengkarya. Dia tidak menyukarkan sesebuah cerita sebaliknya menyampaikannya sejelas mungkin. Dongeng untuk dunia masa depan sudah tentu berlainan dengan dongeng suatu ketika dahulu. Eka Kurniawan memindahkan pengalaman naratif sastera luar yang mungkin mendatangkan inspirasi dalam penulisan di blog. Aku tiada masalah dengan hal sedemikian. Bahkan aku suka membaca karya parodi yang diambil daripada cerita sebelumnya. Jika anda pintar menulisnya, siapa tahu cerita ditulis anda itu lebih bagus. Seseorang penulis kadang-kadang memerlukan inspirasi daripada penulis lain, namun seorang penulis tidak mungkin berjaya menulis seperti Nabokov, Borges, A. Latiff Mohidin dan Paul Auster, misalnya. Itu pesan daripada Etgar Keret.

Jika anda singgah ke blog Eka Kurniawan, dihebahkan novel Cantik Itu Luka dan Lelaki Harimau kini rancak diterjemahkan dalam beberapa bahasa penting dunia. Sesuatu usaha strategik untuk menaikkan kedudukan Eka Kurniawan sebagai penulis dari Asia Tenggara. Sedih rasanya bila mengenangkan aktiviti penterjemahan dalam negara ini. Lupakan hal itu. Bahkan ada kenyataan dari pemerhati sastera barat bahawa naratologi Cantik Itu Luka mengatasi kehebatan One Hundred Years Of Solitude. Tiada yang berlebihan dengan pandangan demikian, secara jujurnya aku begitu kagum dengan kerja keras Eka Kurniawan untuk menyiapkan Cantik Itu Luka. Sebuah novel tebal yang menceritakan kehidupan eksotik di Indonesia semasa kedatangan pihak kolonial. Ia ternyata novel pintar daripada seorang bakal penulis yang bercita-cita tinggi untuk sebaris dengan karya-karya besar dunia. Perbandingan tahap penulisannya dengan Pramoedya Ananta Toer mungkin menjadi nyata sedikit masa lagi kerana aku tahu Eka Kurniawan sudah tentu menghasilkan karya-karya yang lebih menarik. Eka Kurniawan tidak dapat tidak harus mengatasi kepiawaian yang telah dilakukan oleh Pramoedya Ananta Toer itu. “Setiap penulis ingin menghasilkan karya yang bagus,” demikian katanya ketika bertemu di Restoran Insaf Jalan TAR pada tahun lepas. Ia bagaikan sumpahan buat mana-mana penulis.

Kronologi Eka Kurniawan diteruskan dalam penulisan genre cerpen mutakhirnya. Buku Perempuan Patah Hati Yang Kembali Menemukan Cinta Melalui Mimpi menyerlahkan kekemasan sesebuah penulisan. Ini elemen terpenting untuk mengukur kejayaan seseorang penulis kreatif dan ia bukan sesuatu hal yang boleh diketepikan. Sebagaimana ciri-ciri seorang penulis yang bagus, Eka Kurniawan gemar bermain dengan plot berliku-liku seperti ditunjukkan dalam novel Cantik Itu Luka. Pendekatan sebegini turut diterapkan dalam cerpen-cerpen yang terkumpul dalam buku kumpulan cerpen terbaharunya. Plot terkawal justeru mencerminkan alur cerita yang licin. Misalnya dalam cerpen yang menjadi tajuk kepada buku kumpulan cerpen ini. Begitu juga dengan cerpen yang menjadi perkenalan awal aku dengan karya-karya Eka Kurniawan, Gincu Ini Merah, Sayang. Peminat karya-karya tulisan Jhumpa Lahiri sudah tentu mengesan ketelitiannya menjalinkan plot dengan rapi dan kemahiran sebegitu menjadikan sesebuah cerita lebih mantap dan meyakinkan.

20141130_201634Penyair Bangladesh, Aminur Rahman dalam sebuah wawancara dalam Dewan Sastera isu Julai 2015 memberi pandangan yang agak menarik berhubung fenomena sastera kontemporari. Beliau berpendapat perkembangan sastera barat mula mengalami kesusutan artistik sebaliknya sastera Asia dan Amerika Selatan semakin menuju puncak kehebatan. Aku bersetuju dengan perspektif itu. Namun begitu, aliran penulisan Dirty Realism yang menjadi teras penulisan pengarang-pengarang Amerika Syarikat masih tetap mengancam dan memukau. Klise dan pengulangan cerita yang sama merupakan penyakit lama dalam ciptaan karya sastera. Sastera mahukan dunia baharu, gaya pengisahan yang segar dan menganjakkan nilai penulisan ke tahap yang tidak pernah dilakukan sebelumnya. Setelah Roberto Bolano membangkitkan sensasi baharu dalam dunia sastera, kemunculan nama-nama seperti Cesar Aira, Yuri Herera, Patricio Pen, Alenjandro Zambra, Andres Neuman, Guadelupe Nettel akan terus melonjakkan keunikan gaya penulisan dari Amerika Selatan. Dan jangan lupa perkembangan pesat sastera di Afrika yang tidak kurang menariknya sebelum kita berfikir apakah yang boleh dibanggakan dengan sastera tempatan untuk dihantar ke persada dunia melalui versi terjemahan.

Demikian apabila Eka Kurniawan hadir ke pentas dunia dengan novel realisme magisnya, Cantik Itu Luka yang boleh dibaca dalam pelbagai bahasa utama dunia. Buku kumpulan cerpen terbaharunya biarpun tidak lagi ditulis menggunakan pendekatan asas novel Cantik Itu Luka, namun masih memperlihatkan kualiti yang setara dari sudut penceritaan. Aku fikir sudah tentu Eka Kurniawan berharap agar buku kumpulan cerpennya turut diterjemahkan untuk edaran antarabangsa. Dengan adanya karya berkualiti dan usaha penterjemahan bersungguh-sungguh, tiada yang ganjil andai muncul nama-nama penulis dari blok Asia Tenggara ke persada antarabangsa. Dan Eka Kurniawan ialah salah seorang tokoh persuratan yang kini mengharum namanya dengan bakat kepengarangan sebanding dengan penulis-penulis antarabangsa.

Categories
SENI

‘Tok Amil Siber’ selit mesej padat, sinis, bersahaja

Oleh AFEEQA AFEERA

Sebut pasal dakwah, ramai yang terbayang ceramah berjam-jam tentang agama, bahkan masyarakat khususnya generasi-Y kurang gemar dileteri atau ditegur cara demikian.

Namun, bagi Mohd Sabri Mat Nor dakwah bukan hanya bersandar kepada ceramah atau penghasilan kitab agama tetapi boleh diaplikasi mengikut cara masing-masing sesuai dengan peredaran semasa.

Berbekalkan bakat yang dikurniakan Allah SWT, Eksekutif Kanan Majikan di Lembaga Zakat Selangor (LZS) itu menggunakan anugerah melukis yang ada dalam dirinya ke arah kebaikan dengan mempertaruhkan lukisan kartun untuk berdakwah.

Mengetengahkan ‘Tok Amil Siber’ sebagai watak utama, karakter itu digubah untuk mengingatkan orang ramai tentang kewajipan menunaikan zakat yang dituntut agama.

Interview Kartunis LZS (5)Beliau berkata, lukisan itu turut diselitkan dengan watak haiwan iaitu kucing dan tikus untuk memberi teguran ‘halus’ kepada manusia supaya tidak alpa ter-hadap kewajipan dalam Islam.

Mohd Sabri yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap lukisan, dialog dan grafik kartun itu kini mempunyai ratusan kompilasi sepanjang 20 tahun berkhidmat di LZS.

Beliau yakin kartun mampu menyampaikan idea secara santai dan lucu dengan diselitkan sindiran halus untuk hiburan serta pegangan yang mampu diterima masyarakat secara umum.

“Jiwa seni yang ada dalam diri mendo-rong saya mencuba pendekatan ini bagi mengajak masyarakat mengenal ilmu agama secara santai.

“Dari minat menghasilkan karya biasa, terdetik di hati apa salahnya kalau kartun digunakan untuk berdakwah.

“Selain berkongsi ilmu, ia juga boleh dijadikan amalan untuk dibawa ke akhirat,” katanya.

Lukisan karikatur dakwah di LZS bermula sejak 1995 berlandaskan kehidupan masyarakat, bahkan 90 peratus karikatur yang dihasilkan Mohd Sabri berdasarkan kisah benar karenah manusia termasuk persepsi negatif mereka terhadap agensi itu.

Tok Amil Cyber“Saya lihat masalah mereka dan zahirkan dalam lukisan. Contohnya, persepsi tidak tepat terhadap LZS yang kita sangkal melalui karya itu.

“Ia dihasilkan secara berseloroh dan saya rasa gembira dapat sampaikan mesej untuk maklumat masyarakat selain membantu meredakan keadaan,” katanya.

Selain disiarkan di media sosial seperti Facebook dan blog, karyanya turut dipaparkan dalam Majalah Asnaf, bahkan pernah dipamerkan di Muzium Kesenian Islam Kuala Lumpur.

“Kompilasi karikatur ini akan dibukukan dalam tempoh terdekat untuk dijadikan cenderahati kepada pembayar zakat.

“Saya harap karikatur ini dapat dianimasikan supaya masyarakat akan terus tertarik untuk mendalami ilmu secara santai dan mudah difahami serta meninggalkan kesan dalam kehidupan mereka,” katanya.

Categories
SENI

Ulasan cerpen: Antara simbolik dan realiti semasa

Oleh:  Daeng Ramliakil

Syafiq Ghazali, pengarang cerpen berjudul Bergelongsor di Taman Tema Negara boleh sahaja tidak sependapat dengan saya.

Namun, disiplin kreatif dalam alam ini, sejak zaman Plato atau Aristotle kira-kira 2,000 tahun dahulu membenarkan tafsiran bebas dan tafsiran berpandu.

Tafsiran berpandu teori ciptaan ilmuan memang pelbagai dan impresionisme adalah aliran penting yang ada kaitan dengan simbolik atau pelambangan.

Menelusuri cerpen itu, ada beberapa frasa, klausa dan kalimat penting yang diguna pakai Syafiq iaitu Taman Tema Negara, seragam sekolah, menggelongsorkan tubuh, alur, disiram air dan habis basah.

Selain itu, bersimpang-siur, berpintal-pintal, tidak kelihatan hujungnya, Negeri Ajaib, tangga kecemasan bangunan, empat orang lelaki, si gemuk, gadis, rambut pixie, tapak tangan, senja, padang hijau, diri kita, raksasa dan terjaga.

Hakikatnya, dari sudut ilmu etimologi atau akar kata, setiap frasa, klausa dan kalimat ada makna jati dan makna simbolik.

cerpen-gelongsor-(SKini)Secara simbolik, katakanlah sebagai titik tolak, negara kita, Malaysia disimbolik pada klausa Taman Tema Negara.

Nah, dari titik itu, kita boleh memahami bahawa kita berada dalam negara sendiri yang kelam-kabut.

Banyak kerosakan pelbagai bidang kehidupan seperti politik, pendidikan, ekonomi, agama, sukan, perfileman, sukan mahupun perundangan.

Kehidupan ‘bergelongsor’ atau berlalu dengan pantas dan dialami pelbagai peringkat usia rakyat, tidak terkecuali, pelajar sekolah.

Realitinya, kita mengalami tragedi kehilangan pesawat MH370, MH17 ditembak, skandal 1MDB dan Tabung Haji, bah besar di Kelantan, gempa bumi di Sabah, 16 kematian di Gunung Kinabalu, hilangnya kapal di perairan Johor.

Perasaan dalaman atau impresion diluah menerusi karya kesenian sastera seumpama cerpen menjadi indah.

Pada abad ke-17, Sejarah Melayu mengandungi kisah sejarah yang disastera dan mengandungi cerita bahawa orang Melayu bermula di Bukit Seguntang, Sumatera dan berketurunan Raja Iskandar Zulkarnain.

Lembu kenaikan raja muntahkan buih dan muncul lelaki yang dinamakan Bat. Kisah masuk ke dalam bumi, ke negeri dalam laut dan sebagainya adalah simbolik.

Simbolik tangga kecemasan bangunan merujuk keadaan ‘saya’ (watak dalam cerpen itu) boleh bermaksud berkeadaan kritikal atau berbahaya, namun masih boleh selamatkan diri.

Empat lelaki gemuk boleh merujuk menteri yang realitinya, memang hidup pun individu berkenaan yang hanya mementingkan rezeki untuk diri sendiri.

Dituduhnya pula sesat, terutama dirinya sendiri. Bijak sekali Syafiq bercerita untuk mengias.

Siapakah gadis cantik yang bergaun ringkas itu? Kita boleh merujuk duniawi yang bersifat indah, menggoda, bahaya, sekaligus mengajar manusia supaya kehadiran di dunia semata-mata untuk mencari diri sendiri.

Kata orang tua-tua – cari hakikat diri, apabila jumpa, akan kenal Allah. Dan, awaluddin maqrifatullah atau awal agama, mengenal Allah.

Mesej atau perutusan terpenting dalam cerpennya itu – cari hakikat diri sendiri, jangan sesat dan kita dijelaskan bahawa ‘saya’ ‘diselamatkan’ apabila Syafiq bercerita, kata-kata gadis cantik yang menjadi simbolik duniawi itu sudah tidak difahami.

Ertinya, ‘saya’ tidak terpedaya. Godaan duniawi gagal.

Mesej lain lebih bersifat iseng-iseng, antaranya, selamatkan diri sendiri, bijaksana bertindak, dan penutupnya, kita diperingatkannya, ‘…saya terus terjaga’ bermakna, janganlah kita tidak menyedari apa-apa akan realiti semasa.

Atau, dengan kata lain, jangan terus alpa, leka atau tertidur dengan tidak peduli apa-apa. Hakikatnya, maksud peribahasa, api dalam sekam berbahaya fenomenanya, iaitu bahaya yang tidak disedari atau kurang dipeduli rakyat akan menjadi pemusnah bergergasi apabila statusnya bersifat puncak.

Misalnya, isu rakyat negara Afrika, China, Myanmar, Bangladesh, Indonesia, Nepal dan Vietnam boleh menjadi api dalam sekam.  demikian jugalah anasir ajaran sesat.

Inilah mustahaknya karya sastera dalam bentuk cerita yang bukan bersifat romantis melulu atau gila babi ataupun picisan – walaupun karya popular lebih mendapat di ruang telemovie.

Karya sastera, baik cerpen, novel, puisi mahupun skrip berpengaruh dalam dunia pendidikan.
Tidak hairanlah, penjajah Inggeris memilih novella Robinson Crusoe, Gulliver’s Travel, Tom Sawyer, 39 Steps, Three Musketeers, Hunchback from Notre Dome dan sebagainya ke Tanah Melayu yang dijadikan teks persekolahan.

Cerita sastera indah dan boleh men-yentuh kalbu dan minda. Dengan itu, ingatan kekal jauh lebih lama berbanding karya lain termasuk berunsur agama.

Ertinya, pendidikan kerohanian sangat berpengaruh.

Tidak hairan jika dari dekad 1950-an hingga kini, minda kita masih disuap dengan filem Hollywood yang dihasilkan sasterawan, antaranya Ben Hur, Ten Commandment, Spartacus, Romeo and Juliet, Hamlet, Macbeth, Save Haven dan sebagainya.

Rakyat masih menunggu-nunggu karya sastera penting berasaskan kehidupan saudara Islam kita – Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamed Azmin Ali atau ‘Correct, Correct, Correct’, tragedi Altantuya, skankal 1MDB,

Atau, apakah dunia sasterawan kini sudah dicerobohi manusia pura-pura?

Categories
SELANGOR SENI

Seni cahayai lorong gelap

Oleh: MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM, 7 MEI: Lorong tepi dan belakang sinonim dengan wajah suram, menakutkan dan berbahaya. Namun dengan sentuhan seni, melalui lukisan dinding mural, ia merubah segala persepsi negatif kawasan itu.

Berkonsep ‘Bestnya Malaysiaku’, lorong di SS2 di Subang Jaya kini menjadi medan orang ramai terutama penggemar seni mengabadi gambar kenangan apabila berkunjung ke situ.

Seperti di Seksyen 2 dan 7 Shah Alam, keunikan aktiviti seni itu memberi peluang kepada penggiat seni menyerlahkan bakat dan kreativiti mereka, seterusnya memberi cahaya kepada lorong ‘gelap’ itu.

seni 3Malah, Datuk Bandar Petaling Jaya, Azizi Mohd Zain mengalu-alu kegiatan seni sedemikian lantaran ia memberi keceriaan kepada lorong belakang dengan imej baharu dan menarik.

Dengan adanya aktiviti mencantikkan lorong belakang dan tepi, ia turut menarik minat pelancong tempatan mahupun luar negara.

Lukisan dinding di SS 2 itu menampilkan sembilan karya antaranya ‘Forgiveness’, ‘Singing In The Rain’, ‘Suara Anak Malaysia’, ‘Lat Tali Tamplom’, ‘Stay Under The Roof’, ‘Bestnya Malaysiaku’, ‘Memories of Anak Malaysia’, ‘Kedai Gunting Rambut Lyla’ dan ‘Fantasy Malaysia’.

Projek anjuran Pejabat Khidmat DUN Damansara Utama itu mula dilaksanakan November tahun lalu.

seni 2Semua lukisan dipertanding dan dinilai juri dengan juara menerima hadiah wang tunai RM3,000, naib juara (RM2,000) dan tempat ketiga (RM1,000).

Projek seni itu mendapat sambutan hangat melalui kira-kira 112 penyertaan.

Kerajaan Selangor mengalakkan kerjasama antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan komuniti seni untuk menghasilkan seni dinding berkualiti bagi menghidupkan suasana perbandaran yang ceria dan menyegarkan mata.