Categories
SELANGOR

PBT & masyarakat perlu ceriakan kawasan lorong belakang

Oleh : AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 18 APR: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) digalakkan bekerjasama dengan masyarakat sebagai usaha menceriakan serta menghidupkan kawasan lorong belakang.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata ia selaras dengan hasrat untuk membersihkan kawasan komersil dengan efektif.

seni lorong belakangBeliau turut memuji usaha beberapa PBT yang sudah mula membangunkan kawasan lorong belakang melalui karya seni tempatan.

“Satu pandangan unik di kawasan komersial apabila adanya lukisan seni dan ia perlu dijadikan contoh kepada kawasan lain di Selangor.

“Kerajaan Negeri di bawah pimpinan baru memang serius tentang pembersihan awam khususnya di kawasan komersial dan ditekankan di setiap PBT,” katanya pada Majlis Perasmian Lukisan Seni Dinding di SS2, hari ini.

Beliau berkata penghasilan seni di kawasan komersial mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap aspek kebersihan dan keselamatan.

Katanya setakat ini terdapat beberapa kawasan sudah memiliki lukisan dinding, seperti di Pulau Ketam, Puchong dan Shah Alam.

“Ini adalah cara untuk kita membersihkan dan mencantikkan lorong belakang dan tengah antara kedai.

“Galakan kepada semua PBT bekerjasama dengan komuniti untuk mewujudkan lukisan di kawasan bersesuaian,” katanya lagi.

EZY

Categories
SELANGOR

SS2 berwajah baru, sentuhan seni dinding tarikan baharu

Oleh: AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 18 APR: Lorong tepi dan belakang di kawasan komersial SS2 yang dulunya suram kini menerima sentuhan baru melalui lukisan dinding (mural) hasil penggiat seni tempatan.

Berkonsepkan “Bestnya Malaysiaku”, lorong di SS2 kini menjadi medan buat orang ramai terutama penggemar seni untuk mengabdikan gambar kenangan apabila berkunjung ke situ.

seni dindingDatuk Bandar Petaling Jaya, Azizi Mohd Zain, berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan kegiatan seni sebegini kerana ia dapat menceriakan kawasan lorong yang sinonim dengan tempat kotor.

“Dengan adanya aktiviti mencantikkan lorong belakang dan tepi, ia dapat memberi wajah baru dan boleh menarik minat pelancong untuk berkunjung ke situ.

“Lorong belakang kini dimanfaatkan sebagai tempat menarik dan secara langsung meningkatkan lagi kebersihan persekitaran dan mengubah persepsi masyarakat,” katanya.

Majlis Pelancaran Lukisan Seni Dinding SS2 itu disempurnakan Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, dekat sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin.

Lukisan dinding itu menampilkan sembilan karya antaranya ‘Forgiveness’, ‘Singing In The Rain’, ‘Suara Anak Malaysia’, ‘Lat Tali Tamplom’, ‘Stay Under The Roof’, ‘Bestnya Malaysiaku’, ‘Memories of Anak Malaysia’, ‘Kedai Gunting Rambut Lyla’ dan ‘Fantasy Malaysia’.

Projek anjuran Pejabat Khidmat DUN Damansara Utama itu mula dilaksanakan November tahun lalu.

Kesemua lukisan dipertandingkan itu dinilai pihak juri dengan juara menerima hadiah wang tunai berjumlah RM3,000, naib juara RM2,000 dan tempat ketiga sebanyak RM1,000.

Sementara itu, Bee Yin ketika ditemui berkata projek seni berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan kira-kira 112 penyertaan.

Katanya sejumlah RM20,000 diperuntukkan untuk pelaksanaan projek itu dan berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Kita mula tahun lepas dengan membuka penyertaan kepada semua untuk menyertainya tetapi disebabkan musim hujan, kita tidak dapat laksanakan pada ketika itu.

“Peserta memulakan projek mereka kira-kira enam minggu lalu dan kita sudah selesai buat pemilihan serta berharap lebih banyak penyertaan sekiranya ia dilaksanakan lagi untuk masa akan datang,” katanya.

EZY

Categories
SENI

CERPEN: Penikam Bayang

Oleh Nadia Azam
TERKEBIL-KEBIL mata Batrisyia ketika duduk di sofa usangnya yang diletakkan betul-betul bertentangan dengan televisyen. Waktu hampir jam 3 pagi.

Siaran rangkaian tidak berbayar itu sudah tamat. Tiada apa-apa yang dapat dilakukan Batrisyia kecuali berharap matanya tidak mendera dengan tetap terbuka.

Dia mencapai alat kawalan jauh dan menekan butang merah. Televisyen terpadam. Suasana ruang tamu rumah Batrisyia kelam dan sepi. Sesekali angin menolak dahan pokok yang tumbuh di sebelah rumahnya. Kesejukan kian terasa.

Sejak ibu bapanya hilang secara misteri, Batrisyia tinggal sendirian di banglo dua tingkat itu. Dia anak tunggal. Royalti bukunya memadai untuk kegunaan harian. Selebihnya, harta peninggalan bapa menampung keperluan lain.

Selepas bertahun-tahun, kehilangan ibu bapa Batrisyia kekal misteri. Sejak pulang belajar di Amerika Syarikat, Batrisyia menjadi penghuni tunggal di banglo berkenaan.

* * *
“Trisy! Kau buat apa? Cepat sikit, boleh? Nanti ada orang nampak, macam mana?” Malora semakin rimas dan cemas. Puas Batrisyia menyental permaidani di ruang tamu itu.

Dia hampir menerima kenyataan betapa kesan merah itu tidak akan hilang sepenuhnya walaupun dicuci dengan cecair peluntur. Mungkin dia tidak perlu bersusah-payah kalau Malora setuju membakarnya. Tetapi, Malora degil. Kata Malora, permaidani itu menyimpan ribuan kenangan.

Di samping Batrisyia, ada sebaldi kecil air kemerah-merahan bercampur debu yang berterbangan dibawa angin.

“Ayuh! Hari kian senja. Cepat kita ke hutan belakang sana,” desak Malora sambil bergegas menyarung kasutnya.

“Ya, ya. Aku tahu. Tapi kali ini, giliran kau pula menanam. Aku penat menyental,” balas Batrisyia, mempercepat langkah takut tertinggal.

Malora memalingkan muka ke belakang. Langkahnya terhenti seketika. Direnung tajam wajah Batrisyia. Cuma, wajah itu nampak lebih garang dan menyimpan pelbagai misteri.

Malora memang ayu. Seayu Batrisyia. Bezanya cuma terlihat apabila Malora membuka mulut dan menggerak-gerakkan lidahnya. Amat jarang kata-kata Malora berlalu tanpa menyakitkan hati. Suaranya melengking dan ungkapannya tidak pernah ditapis.

* * *

“Dia memang patut mati. Hidupnya langsung tak membawa makna.”

Malora mengusap rambutnya sambil memandang Batrisyia yang terpaku di depan cermin. Bibir Malora mengukir senyum. Sinis lagi mengejek. Dia mendekati Batrisyia yang menunduk mencari kata-kata.

“Lora, aku…”

“Kau ada hati dengan Aisha kan? Huh! Aku dah agak!”

“Tak patut betul kau paksa aku bunuh Aisha. Dia tak buat apa yang orang lain selalu buat pada aku. Dia terima aku seadanya.”

“Kau hilang akal, Trisy? Takkan ada manusia sanggup terima kau? Kau bukan manusia biasa.”

“Diam, Lora!”

“Aku boleh diam tetapi hakikat tetap hakikat. Tak ada sesiapa di dunia ini boleh terima kau macam aku terima kau. Akuilah hanya aku tempat kau bergantung. Tanpa aku, kau tak wujud.”

Kemarahan Batrisyia tidak dapat dibendung lagi. Sudah lama dia bersabar. Malora tidak pernah jemu menghinanya. Dia akui Malora sebahagian daripada dirinya.

Namun, persahabatan itu dirasakan Batrisyia seakan-akan semakin menyakitkan. Menyeksakan. Dan air matanya banyak tumpah. Keadaan menjadi lebih rapuh apabila Malora asyik mengugutnya membocorkan rahsia Batrisyia. Rahsia yang selama ini dijaga rapi.

Sekarang dia perlu memilih – persahabatan atau rahsianya. Masalahnya, Batrisyia sudah jemu membunuh tetapi isu yang didepaninya itu berbeza.

Dia diugut oleh sahabat yang paling dipercayai. Batrisyia perlu membuat keputusan segera. Atau jika tidak, samalah seperti membiarkan racun menjalar ke seluruh tubuh.

* * *

“Kita ke mana, Trisy?” soal Malora. Ada nada cemas pada suaranya. Malora cuak melihat kelakuan Batrisyia yang seakan-akan orang hilang waras.

“Tak payah banyak tanya. Kau ikut saja, nanti kau akan tahu.”

“Kau nak bawa aku bersiar-siar, kan?”

Batrisyia sebaliknya memalingkan muka bagi menyembunyikan gemuruhnya. Dia tidak mahu Malora tahu niatnya. Jika Malora terhidu apa-apa, rancangannya akan total gagal.

Bunyi enjin kereta Morris Minor mini bergema di telinga Batrisyia ketika mereka meniggalkan banglo dua tingkat itu.

“Trisy, apa yang kau nak cakapkan pada aku, sebenarnya?”
Malora merenung tajam Batrisyia di sebelahnya. Dia menikmati keayuan wajah putih mulus itu.

“Aku nak tamatkan semuanya. Aku minta maaf tapi kau harus mati hari ini.”

Morris Minor itu semakin laju. Batrisyia menekan pedal minyak kian kuat. Enjinnya terdengar kian nyaring.

“Apa?”

“Maafkan aku, Lora. Hayat kau cuma di sini.”

“Trisy, kau dah gila?”

“Aku tak pasti siapa yang gila sekarang.”

Tiba-tiba, di tangan Malora terhunus sebilah pisau berkilat. Batrisyia panik. Perhatiannya kepada jalan raya terganggu. Dadanya bergetar kencang. Malora mengangkat tangannya bersedia menikam Batrisyia. Kereta meluncur laju menghampiri selekoh tajam.

Tangan Malora bersedia menghunjam pisau. Matanya mengecil memandang Batrisyia penuh kebencian.

“Kalau aku mati, kau juga harus mati, Trisy!”

Tangan kanan Malora menikam paha kiri Batrisyia. Batrisyia mengelak, namun tangannya yang memegang stereng bergerak bersama. Kereta mini itu meliar ke kiri ke kanan.

Hanya beberapa meter di depan, selekoh tajam menunggu. Paha kirinya terasa sakit mencucuk-cucuk. Darah mula meresap ke jeans lusuh Batrisyia.

Ketika menyedari keretanya bakal terbabas, sudah terlewat. Tidak banyak yang boleh dilakukan Batrisyia. Dia memulas stereng sekuat hati tetapi yang terpampang cuma belukar dan sebatang pokok kayu besar.

“Lora….”

Malora terkulai di sebelahnya. Tubuhnya tersepit di antara papan pemuka dan pokok kayu yang meremukkan pintu kiri kereta.

“Lora…”

* * *

Mata Batrisyia perlahan-lahan terbuka. Pandangannya kabur. Dia meraba dadanya yang sakit. Kepalanya juga. Batrisyia membengkok kaki. Tiba-tiba pergerakan kaki kirinya terhenti. Mukanya berkerut menahan sakit. Dia meraba kaki itu pula. Terasa lembab melekit pada jeans.

Batrisyia menarik tangan ke mukanya. Dia melihat jari tangan kirinya merah. Darah? Dia mendekatkan lagi ke hidung. Serta-merta deria baunya menangkap aroma hanyir. Darah!
Beberapa minit diperlukan untuk mencantumkan semula kepingan-kepingan ingatan. Detik menyental permaidani, memandu kereta dengan laju, selekoh tajam. Dia mula ingat Malora. Malora? Di mana Malora?

Dengan kesakitan dan kekaburan, Batrisyia bersusah-payah duduk sambil mengingat-ingat siapakah dirinya.

“Aku Batrisyia. Lahir pada 27 Mei 1983. Ibu bapaku sudah tiada. Dan aku sendirian di rumah terbiar ini.”

Di manakah Malora?

Jam 8 pagi. Batrisyia mengatur langkah ke bilik mandi. Kakinya melangkahi sebilah pisau di lantai. Sebelum sampai ke pintu, tangannya mencapai tuala kuning di tingkap. Sebaik saja berada di bilik mandi, Batrisyia melihat wajahnya di cermin. Sekarang baru dia teringat. Malora sudah mati.

Tiba-tiba, dari tepi katil Batrisyia terdengar suara seseorang memanggilnya dengan nada lembut dan manja.

“B-a-t-r-i-s-y-i-a….”

“Hai, er….”

“B-a-t-r-i-s-y-i-a…. Kenalkan, aku Rauna.”

“Oh, hai Rauna!”

Categories
SELANGOR

Luaskan program kesenian di Selangor, masyarakat boleh belajar keunikan pelbagai kaum

Oleh: LIZAWATI MADFA

KUALA LANGAT, 7 DIS: Usaha penganjuran program berbentuk kesenian dan warisan budaya diharap dapat diperluas dan diperbanyakkan di Selangor.

Bagi penjawat awam, Mazlan Rusni, 46, usaha berkenaan tidak seharusnya tertakluk kepada budaya warisan Melayu sahaja.

Lan“Kalau boleh anjurkan juga kesenian budaya bangsa lain seperti Cina, India, orang asal dan lain-lain yang terdapat di Malaysia ini.

“Dengan ini, dapatlah kita pelajari budaya masing-masing kerana setiap satu itu ada keunikannya tersendiri,” katanya kepada Selangor Kini pada majlis perasmian Himpunan Basikal Tua dan Klasik Semalaya di Dataran Pantai Morib,  di sini, semalam.

Majlis yang disempurnakan Exco Adat Melayu, Pembangunan Desa Kampung Tradisi, Dr. Ahmad Yunus Hairi, itu turut diselitkan acara makan Nasi Ambeng yang dihidang di dalam dulang.

IMG_7008Mohd Razif Husaini pula berkata, program berkenaan mampu memupuk kemesraan dan jalinan persahabatan antara peserta, pengunjung dan keluarga.

“Tahniah dan syabas kepada penganjur, semoga lebih banyak program sebegini diadakan pada masa akan datang. Dalam dunia teknologi komunikasi ini, jangan pula kita lupa pembangunan warisan budaya kita,” katanya.

Razif yang mengetuai Pasukan Radio Amatur akan membantu melicinkan program kayuhan lebih 300 basikal tua dan klasik, pada 8 Disember ini.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Seni & budaya perlu seiring dengan pembangunan negeri

Oleh: AFEEQA AFEERA

KAJANG, 2 NOV : Kerajaan Negeri berhasrat untuk menggerakkan aspek seni dan budaya di peringat tertinggi seiring dengan kemajuan yang ingin dikecapi di Selangor.

Exco Pembangunan, Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata kedua-dua aspek itu perlu menjadi teras terhadap apa jua matlamat yang ingin dicapai bagi memastikan pembangunan negeri lengkap.

YB Amiruddin di Festival Seni Kajang (7)Katanya usaha itu untuk menonjolkan aspek terbabit sebagai imej Selangor melalui belanjawan negeri 2015 yang akan dibentangkan kelak.

“Kalau kita ingin laksanakan perubahan dan anjak masyarakat, kebudayaan juga perlu dianjak dan bersama-sama dengan aspek lain.

“Jika ingin bawa kemakmuran tetapi tinggalkan seni dan budaya ia tidak lengkap sebagai tamadun, kelompok bangsa dan negara,” katanya ketika merasmikan Festival Seni Kajang dan Bazar Kraf Selangor 2014 di Stadium Kajang, dekat sini malam tadi.

Festival anjuran Kerajaan Negeri bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) itu bagi menonjolkan kepelbagaian bentuk seni kepada masyarakat selain membantu pengusaha barangan kraf tempatan mempromosikan produk mereka.

YB Amiruddin di Festival Seni Kajang (1)Program julung kali itu menampilkan pelbagai acara menarik antaranya pameran kereta, persembahan tarian kebudayaan, nyanyian dan jualan kraftangan.

Dalam pada itu, Amirudin berkata pelbagai program kebudayaan dan kesenian akan dilancarkan pada penghujung Disember depan sebagai sambutan acara Tahun Melawat Selangor.

Katanya antara program yang diberi tumpuan adalah anugerah keseniaan dan kebudayaan untuk menghargai penggiat seni yang cemerlang di peringkat negeri dan antarabangsa.

“Selangor sebagai sebuah negeri maju banyak menyediakan kemudahan seni antaranya laman seni dan pusat perfileman.

“Malah kita menjadi negeri penempatan seni terbesar yang ada di seluruh negara seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang memiliki program seni persembahan yang memberi nilai tambah kepada Selangor,” katanya lagi.

Terdahulu Kerajaan Negeri mengemukakan hasrat memperbanyak program serta aktiviti seni dan budaya dengan menyediakan peruntukan tiga kali ganda lebih banyak berbanding tahun lepas.

EZY

Categories
SELANGOR

Exco: Selangor Kini jadi wadah penulisan seni, budaya

Oleh: LIZAWATI MADFA

KLANG, 18 OKT: Akhbar Selangor Kini diumumkan menjadi wadah penulisan seni bagi merancakkan aktiviti keseniaan di Selangor selain menyediakan anugerah bagi program itu.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari mengumumkan perkara demikian sebelum mendeklamasi sajak tulisan Gus Mus yang merupakan penyair dan tokoh Nahdatul Ulama.

Amir“Ini termasuk juga rancangan kita bersama akhbar Selangor Kini, kita akan siapkan formulanya menjelang keluaran akan datang untuk kita letakkan ruangan seni budaya,” katanya malam tadi.

Beliau ditemui pada program Malam Seni Santai di Dataran Seni Klang yang turut dimeriahkan dengan penyertaan penggiat seni seperti Ismas Saring, Buddhi Hekayat dan Erma Fatima.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata Kerajaan Negeri melalui akhbar rasminya, Selangor Kini akan menyediakan ruang khas untuk seni dan budaya.

“Ruangan ini untuk memberikan ruang sebenarnya kepada penulis, penggiat sastera, seniman bagi mengetengahkan karya-karya mereka di akhbar selangor kini.

“Dengan ini, Selangor Kini melengkapkan corak sebagai akhbar yang memenuhi semua golongan, ada aktiviti sukan, ada aktiviti seni, ada berita kemasyrakatan dan sebagainya,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Semarakkan seni & budaya, peruntukan naik 3 kali ganda

Oleh: LIZAWATI MADFA

KLANG, 18 OKT: Kerajaan Negeri berhasrat untuk memperbanyak program serta aktiviti seni dan budaya di Selangor dengan menyediakan peruntukan tiga kali ganda lebih banyak berbanding tahun lepas.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata aktiviti itu akan digembeleng bermula di peringkat akar umbi dan bawahan.

AmirKatanya, usaha itu bagi memastikan seni dan budaya terus subur untuk mengisi ruang dan jiwa masyarakat berbilang kaum di Selangor.

“Ada banyak perancangan yang kita cuba aturkan termasuk memberikan anugerah, menggerakkan festival seni di samping menghidupkan dan menggerakkan aktivis-aktivis seni tempatan.

“Tahun depan lebih banyak dan lebih hebat lagi aktiviti-aktiviti yang kita taja dan yang kita anjurkan sendiri di bawah jawtankuan tetap,” katanya.

Lenggokan suara Ismas Saring, Buddhi Hekayat dan Erma Fatima antara yang bergema di Dataran Seni Klang di sini malam tadi sempena Malam Santai Seni.

Amirudin berkata program itu merupakan selingan daripada lawatan Dato’ Menteri Besar ke Daerah Klang semalam.

ErmaKatanya, Malam Santai Seni merupakan antara banyak lagi program yang akan dilaksanakan bagi merancakkan aktiviti seni budaya di Selangor.

“Selaku Exco, saya cuba aturkan program-program giliran, minggu lepas ketika beliau turun ke Kuala Langat, kita aturkan program dengan anak-anak muda dan penggiat sukan.

“Jadi untuk daerah Klang ini, kita cuba untuk aturkan program seni dan budaya dengan memanggil beberapa orang-orang tempatan dan penggiat seni untuk kita aturkan program seni budaya di sini,” katanya kepada Selangor Kini.

Selain persembahan nyanyian dan puisi, Amirudin turut menyampaikan sumbangan insentif perkahwinan kepada 20 pasangan pengantin baru yang menerima RM 500 setiap orang.

Sementara itu, aktivis seni dan penulis, Buddi Hekayat melahirkan keterujaan apabila diberi kesempatan Kerajaan Negeri untuk menyemarakkan Malam Santai Seni.

“Saya sering baca puisi juga tetapi sudah lama tidak baca puisi.

“Jadi bila bila Exco undang, saya rasa gembira kerana dapat baca puisi di Selangor ini, saya rasa luar biasa,” ucapnya yang sempat membacakan beberapa puisi, antaranya, ‘Sebenarnya’ oleh Goenawan Mohamad.

Sebelum ini, Buddhi Hekayat atau nama penanya, Hasmi Hashim pernah memenangi Juara Lagu apabila lagu Awan Nano nyanyian Hafiz diangkat menjuarai acara terbesar anjuran TV3 itu.

Buddhi merupakan penulis lirik kepada lagu berkenaan sementara lagunya dicipta M. Nasir.

EZY

Categories
SELANGOR

Galeri Atelier tarikan baru pelancongan tempatkan hasil seni antarabangsa

Oleh: ASRI SAPFIE

KAJANG 4 OKT: Galeri Atelier-11 yang bakal menempatkan hasil seni lukisan antarabangsa dari kumpulan pelukis seperti Nanyang Artist, China, Taiwan, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan dan Utara serta Perancis dibuka secara rasminya pada hari ini.

Galeri bertempat di Wisma Pauson, Taman Taming Jaya ini dirasmikan oleh Yang Di-pertua Kajang, Datuk Hasan Nawawi.

Majlis Pembukaan Rasmi Antelier 11 (4)Menurut pemilik Wisma Pauson, Tau Pau Son berkata, Galeri Atelier berkeluasan 11,000 kaki persegi itu bertujuan membantu pelukis memantapkan lagi hasil karya mereka dalam persekitaran yang selesa.

“Atilier dalam bahasa Perancis yang membawa maksud bengkel amat bertepatan dengan konsep dan tujuan galeri ini diwujudkan,” kata beliau.

Bagi pemilik lukisan dan galeri, Loo Foh Sang, beliau menggalakan para penggemar seni lukisan terus mengejar cita-cita mereka dalam mengasah bakat dan memulihara seni Asia terutamanya bidang printmaking (seni cetak ulang), sculpture (seni arca) dan juga seni cetakan batik.

“Galeri ini diharap dapat menjadi medium menarik bakat muda dengan mewujudkan peluang kepada mereka melalui pameran lukisan yang diadakan sepanjang tahun,” kata beliau.

Tambah beliau lagi, galeri ini dijangka mampu menyerlahkan lagi seni kontemporari Malaysia dengan membawa hasil karya dengan harga berpatutan dan menampilkan karya seni dalam pelbagai medium seperti abstrak, realism, surrealism dan sebagainya.

Perasmian pembukaan galeri ini turut diserikan lagi dengan persembahan tarian India klasik oleh Sutra Dance Theater yang dipimpin penari tradisional terkenal, Datuk Ramli Ibrahim.

Program yang berlangsung selama sejam ini turut dihadiri lebih 50 orang penggemar seni termasuk Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong.

EZY

Categories
SELANGOR

Kesenian konsep baru mampu lonjak pelancongan Selangor

Oleh: HAFIZAN TAIB

SEPANG, 29 OGOS: Pameran ART @ Sepang GolCoast-Live & Breathe Art 2014 yang mengetengahkan konsep baru ‘ruang untuk seni’ mampu menarik minat pencinta seni untuk turut serta selain merancakkan aktiviti pelancong di Selangor, bermula 28 Ogos hingga 1 September ini.

Langkah pengurusan Sepang GoldCoast Sdn Bhd menganjurkan aktiviti terbabit di Avani Sepang Gold Coast itu mendapat pujian Kerajaan Negeri yang menganggap ia satu usaha bagi menggalakkan pelancongan terutama dengan persiapan bagi Tahun Melawat Selangor 2015.

“Ia adalah konsep baru yang pertama kali diperkenalkan di Malaysia. Bagi pihak Kerajaan Negeri dan Tourism Selangor, kita berasa bangga kerana negeri ini terpilih sebagai tuan rumah bagi aktiviti berkenaan,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Zaidy Abdul Talib ketika berucap merasmikan pameran berkenaan

zaidi 2Zaidy mewakili Exco Kerajaan Negeri, Sallehen Mukhyi dan program itu turut dihadiri Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din dan Naib Presiden Eksekutif Sepang GoldCoast, MC Wong.

Zaidy berkata, aktiviti kesenian dijalankan di situ adalah bidang baru yang membuka ruang lebih luas bagi menggamit minat pelancong yang berbeza ke Malaysia

“Kita tentunya masih baru dalam bidang ini berbanding negara lain yang lebih ke hadapan terutama Eropah yang popular dengan keseniah warisannya. Namun, kita seharusnya menyokong dan mempromsikan aktiviti sebegini kerana membawa banyak manfaat, di samping menjana ekonomi negeri.

“Selangor juga mempunyai banyak kelebihan. Ia tidak hanya slogan tetapi sudah terbukti bahawa kita mmepunyai banyak tarikan ikonik dan tempat menarik bagi setiap golongan pelancong,” katanya.

zaidi 4Majlis perasmian itu diserikan dengan persembahan artis tempatan iaitu Sharifah Zuriah AlJefferi, Chia Hoy Sai, Sivarajan Natarajan, Phillip Wong, Nazmi Ismail dan Keat Leong yang melakar lukisan di kanvas bagi menyatakan penghormatan dan takziah kepada semua mangsa MH17 dan MH370 serta semua mangsa tragedi di dunia.

Pameran terbabit bersempena sambutan kemerdekaan negara dan IMalaysia Contemporary Art Tourism Festival 2014 (1MCAT), yang mana mereka akan mempamerkan lukisan dihasilkan, di Avani Sepang GoldCoast, di sini.

Sementara itu, MC Wong berkata, konsep ‘ruang untuk seni’ julung kali diadakan dan orang ramai boleh berjalan masuk untuk melihat lukisan dipamerkan artis, di samping sebuah galeri iaitu Avani Lounge yang mempamerkan hasil karya enam artis daripada pelbagai medium itu.

zaidi 3“Sepang GoldCoast akan menjadi perintis dalam memperkenalkan konsep penghayatan seni baru ini kepada rakyat Malaysia dan tetamu resort kami. Ia terbukti sangat popular di luar negara terutama Hong Kong dan Singapura.

“Kami percaya tetamu resort dan orang ramai akan mengharungi pengalaman baru dalam tempoh ini terutama apabila mereka juga boleh mengambil bahagian dalam bengkel seni yang dijalankan oleh artis itu sendiri,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kesenian rakyat antarabangsa warnai PJ, jangan tak datang

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 21 JUN: Dua perkataan – teruja dan terpesona masih tidak mencukupi bagi membayangkan kepuasan apabila berpeluang menyaksikan kesenian rakyat dari lapan negara dan lima negeri yang dipersembahkan malam tadi.

Persembahan kesenian rakyat Filipina yang unik, Ghana dengan ketangkasannya, Iran dan Korea Selatan dengan paluan gendangnya, Jakarta dan Bandung Indonesia dengan kelincahannya, Thailand dengan gemalainya dan banyak lagi mewarnai ‘Festival Antarabangsa Petaling Jaya 2014: Festival Kesenian Rakyat’ malam tadi.

SeniKepelbagaian persembahan kebudayaan malam tadi bertambah menarik dengan aksi mencuit hati persembahan Mah Meri dari Pulau Carey, Selangor, aksi comel pelajar sekolah dari Angkatan Seni Baru Yayasan Negeri Sembilan ketika mengalunkan Tarian Anak Bocek, keasyikkan penari Kuda Kepang oleh Warisan Gabungan Beliau Warisan Nusantara, Johor dan lain-lain.

Tidak cukup dengan itu, malam di Jalan Yoong Shook Lin dimeriahkan lagi dengan kemunculan penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah yang mengalunkan beberapa lagu popular beliau, persembahan Iron Man Malaysia, beberapa kumpulan Hip Hop yang sedang meningkat naik, percikkan bunga api dan bermacam lagi.

Petaling JayaSelain persembahan kesenian rakyat dalam dan luar negeri, orang ramai juga berpeluang menyaksikan demontrasi penyediaan dan merasai pelbagai makanan dari pelbagai negara luar, demontrasi permainan tradisional, membeli belah pelbagai cenderahati unik, pelbagai pameran seperti perkakasan penggambaran Hollywood dan lain-lain.

Warga Petaling Jaya yang belum berkesempatan masih berpeluang untuk merasai kemeriahan festival anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ini sehingga jam 12.00 malam pada Ahad ini.

EZY

Categories
NASIONAL

A Samad Said: Sastera dan seni patut bergerak di jalanan

SHAH ALAM 29 DIS: Sastera dan seni harus digerakkan di jalanan untuk menyedarkan masyarakat tentang sesuatu perkara, bukan hanya dipersembahkan di atas pentas dan di dalam buku.

Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, berkata seni sangat membantu dalam penyampaian sesuatu kisah benar untuk tatapan generasi ke generasi,

“Sastera memang benar harus berwawasan tapi lebih besar kalau ia boleh merubah, sastera tidak lagi dalam buku, dan sastera tidak lagi di hadapan mikrofon dan sastera juga tidak harus hanya bergerak di atas pentas.

“Sastera sekarang harus berada di tengah jalan raya,” kata Samad Said dipetik dari Harakah Daily.

Beliau berkata demikian ketika diminta berucap di majlis Makan Malam dan Santai Seni anjuran Seniman Paksi Rakyat (Paksi) di Alang Sedayu, Gombak baru-baru ini.

Beliau juga berpesan kepada generasi muda agar menjadikan seni dan sastera sebagai medium bersifat mengubah dan menggerakkan.

himpunan suara rakyat kelana jaya A Samad Said 01“Kalau anda mahu terus menerus menjadi mangsa saya tidak boleh halang. Kalau anda mahu merubahnya saya merelakan,” katanya.

Beliau berkata, beliau berasa bertanggungjawab untuk bersuara bagi mengubah demokrasi yang disifatkan sebagai semakin tidak luhur.

“Jika ada orang bertanya saya, Pak, buat apalah bapak ada di jalan raya (sedangkan) kita sudah memilih orang yang kita wakilkan untuk menjaga tanah air.

“Saya cakap, menurut Ahmad Boestamam, kuasawan hanya kuasa. Kuasa boleh digerakkan tapi kuasa juga harus berpihak.

puisi jadi senjata“Dan kita berada dalam situasi yang sangat getir sekarang ini apabila walaupun kita menerima demokrasi kita sebenarnya tidak meluhurkan demokrasi.

“Buat apalah orang tua 81 tahun seperti saya harus bersusah payah berada di jalan raya untuk PPSMI, untuk Bersih 2 dan 3, buat apalah?

“Tapi saya fikir bahawasanya bila tak buat apa-apa kita tidak mengubah apa-apa,” katanya.

EZY

Categories
SENI

Kreativiti ‘graffito’ mercu seni Darul Ehsan

Oleh Mohd Ezli Mashut
Gambar Shuaib Ayob

GRAFITI berasal dari perkataan ‘graffito’ dalam bahasa Itali membawa maksud ‘lakaran’. Ia berbeza dengan mural kerana ia menggunakan cat sembur berbanding mural yang dilukis dengan berus dan cat.

Namun, ia dianggap satu daripada cabang seni lukisan kreatif yang mempunyai nilai estetika tinggi dan sering dipelopori golongan muda.

Ironinya, grafiti dan mural masih dipandang serong di mata sebahagian masyarakat sebagai perbuatan tidak berfaedah dan membuang masa serta tenaga.

aIMG_0121Sebenarnya, seni itu wujud sejak awal sejarah ketamadunan manusia bagi menzahirkan emosi berkisar aktiviti, kehidupan seharian seperti perburuan dan pengembaraan.

Antara seni menyerupai grafiti dan mural terawal ditemui di Malaysia ialah lakaran objek  di Gua Niah, Sarawak dan Gua Tambun, Perak yang membuktikan tamadun awal manusia.

Pada zaman moden, seni grafiti dan mural itu boleh dilihat di bangunan terutama bangunan kerajaan seperti pejabat kerajaan, sekolah dan tadika.

Seni itu berevolusi sejajar kemajuan zaman dengan penerapan konsep tiga dimensi yang tampil dengan suasana ‘hidup’ bagaikan realiti tetapi ilusi.

IMG_0387

Di Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tampil dengan cara tersendiri untuk memartabat seni grafiti dan mural dengan menukar imej lorong belakang sebagai Laman Seni.

Ia kelak menjadi lokasi tumpuan penggiat seni mengadakan persembahan santai dan program kesenian, selain memberi ruang kepada pelajar memperaga hasil kerja seni, sekaligus menjadi mercu tanda baru negeri ini.

Mengikut perancangan, laman seni itu akan dibuka untuk aktiviti muzik jalanan (basking) sekali gus menghidupkan suasana malap di kawasan itu.

IMG_0478

Ia dijangka membawa suasana Eropah yang kerap menjadikan lorong belakang premis dan rumah sebagai kawasan santai untuk bertemu sesama jiran pada waktu senggang sambil menikmati keenakan kopi.

Mengikut Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, Laman Seni itu akan ditambah beberapa kemudahan seperti bumbung dan petak berniaga bagi memastikan kawasan itu dapat digunakan tanpa mengira keadaan dan cuaca.

MBSA juga mahu melaksanakan projek sama di Seksyen 7 Shah Alam bagi menceriakan kawasan berkenaan kerana ramai pelajar institusi pengajian tinggi mendiami sekitar kawasan itu.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) lain wajar mencontohi langkah MBSA yang memberi ruang kepada generasi muda menunjukkan kreativiti sekaligus memperindah kawasan.

Mungkin dalam usaha memperindah Sungai Klang sebagai tarikan baru pelancongan, usaha perlu dimulakan dengan menggalakkan aktiviti grafiti dan mural di tebing sungai.

Ia pasti menjadi nilai tambah produk pelancongan Sungai Klang apabila pelancong dapat menikmati keindahan Sungai Klang persis menyusuri sungai di bandar raya Eropah.

aIMG_0198Projek lukisan mural di bangunan lama sepanjang Sungai Melaka juga boleh dijadikan contoh bagaimana ia menjadi tarikan baru di kawasan berkenaan.

Hampir semua bangunan dihiasi lukisan mural yang menggambarkan sejarah awal Melaka, kegemilangan Kesultanan Melaka termasuk kepahlawanan Hang Tuah, Hang Jebat, Puteri Hang Li Po dan Laksamana Cheng Ho.

Selain itu, banyak lukisan mural pada deretan bangunan lama yang dilukis di bangunan sejarah di Melaka seperti Kota A’Famosa dan Stadhuys.

Di ibu negara, antara dekorasi yang menarik menghiasi Kuala Lumpur suatu ketika dahulu ialah lukisan mural yang menghiasi tembok Penjara Pudu.

Penumpang bas menuju Puduraya pasti melewati karya seni bertema pemandangan hutan tropika dan jika bernasib baik, kelihatan banduan ‘bekerja’ menyiapkan lukisan itu.

IMG_0125

Idea lukisan itu datangnya dari dramatis terkenal tanah air, Abu Bakar Juah yang bertugas sebagai pegawai penjara mulai 1975 hingga 1986, apabila mengusulkan supaya Rock Garden dibina sepanjang tembok luar penjara berkenaan.

Bagi mencantikkan lagi tembok yang kosong, idea melukis kemudian dilontarkan rakan setugas Abu Bakar, Mohd Rashidi Samsuddin.

Mulai 1983, seorang banduan, Khong Yen Chong ditugaskan melukis mural dengan dibantu beberapa banduan lain. Menariknya, tempoh pembebasan Khong Yen Chong tiba sebelum sempat lukisan disiapkan.

Namun, atas rasa tanggungjawab, beliau kembali ke penjara untuk menghabiskan lukisan mural berkenaan tetapi bukan sebagai seorang banduan tetapi sebagai seorang rakyat yang insaf dan bebas.

Pada 1984, lukisan tembok penjara itu dicatat dalam Guiness Book of World Records sebagai lukisan mural terpanjang di dunia, dengan ukuran 860 kaki panjang dan ketinggian 14 kaki.

Khong Yen Chong dan rakan-rakannya menyiapkan lukisan itu dalam tempoh 17 bulan menggunakan kira-kira 2,000 liter cat.

Jangan pula jadi seperti Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang memadam grafiti karya artis muda kelahiran Lithuania , Ernest Zacharevic semata-mata memaparkan peragut menunggu ‘wanita lego’ bersama beg tangan Chanel bagi menggambarkan situasi jenayah di negara ini.

Dalam grafiti itu, Zacharevic berusia 27 tahun, melukis sejambak bunga di hujung pisau peragut manakala peminatnya melukiskan watak polis lego bersebelahan peragut.

IMG_0148

Aktiviti grafiti dan mural perlu digalakkan bagi mengubah tanggapan serong, sebaliknya menjadi medan menyerlahkan bakat kreativiti dengan lukisan yang bermotif positif selain memperindah sesuatu kawasan.

Justeru, pihak berkuasa tempatan di negara ini perlu berfikiran terbuka supaya graviti dan mural terus semarak di samping dapat memperindah kawasan yang suram dan lesu.

* Mohd Ezli Mashut ialah Penolong Editor Selangor Kini