Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pasaran hartanah dijangka pulih 2021, unjuran neutral

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Walaupun mengharungi tempoh sukar namun pasaran hartanah dalam negara bersedia mencatatkan pemulihan pada 2021 dengan keseluruhan sektor dijangka mengalami pertumbuhan, meskipun pada kadar berhati-hati, menurut PropertyGuru Malaysia, laman web hartanah terbesar di negara ini.

Pengurus Negara, Sheldon Fernandez berkata 2020 merupakan tempoh penuh cabaran bagi Malaysia dan kesuraman sentimen pasaran yang berlarutan disebabkan ketidaktentuan ekonomi telah mendorong rakyat Malaysia mempertimbangkan semula rancangan masa depan mereka, termasuk strategi membeli hartanah.

Beliau berkata walaupun keseluruhan harga hartanah cenderung bergerak lebih rendah pada bulan-bulan akan datang, namun harga yang menarik dapat mencetuskan permintaan terhadap rumah berharga lebih mampu milik sekali gus menjana permintaan mencukupi bagi melambatkan kadar penurunan harga.

“Tingkah laku pengguna yang berhati-hati, yang bergantung kepada kebimbangan mengenai pandemik, dasar kerajaan yang berkesan serta pendekatan inovatif peserta pasaran juga membantu meredakan impak itu,” katanya kepada Bernama.

Mengikut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), prestasi pasaran hartanah mencatatkan kemerosotan ketara pada separuh pertama 2020, sejajar dengan prestasi ekonomi Malaysia yang menguncup 17.1 peratus pada suku kedua 2020.

Pada separuh pertama 2020, sektor hartanah merekodkan 115,476 transaksi bernilai RM46.94 bilion, penurunan sebanyak 27.9 peratus dari segi jumlah dan 31.5 peratus dari segi nilai berbanding dengan angka pada separuh pertama 2019 yang mencatatkan 160,165 transaksi bernilai RM68.53 bilion.

Menurutnya, pada suku ketiga 2020, jumlah transaksi dan perubahan tahunan yang dicatatkan meningkat kepada 89,245 unit daripada 83,085 unit pada suku ketiga 2019 dan 7.4 peratus berbanding 5.5 peratus pada suku yang sama 2019.

Antara langkah utama yang dilaksanakan kerajaan adalah pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang merangkumi pengecualian Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT), pengecualian duti setem, dan pemansuhan margin pembiayaan terhad 70 peratus.

Selain itu, Fernandez berkata pasaran hartanah juga didorong oleh beberapa kali pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) tahun ini sehingga mencecah kadar semasa terendah pada 1.75 peratus.

Beliau berkata dalam iklim kadar faedah rendah, harga hartanah yang rendah serta insentif sesuai yang diperkenalkan kerajaan telah meningkatkan permintaan terhadap hartanah terutama bagi yang memiliki simpanan kewangan yang baik.

“Kami juga menjejaki aktiviti dalam talian di propertyguru.com.my dan mengesahkan terdapat minat berterusan dalam segmen tertentu dalam pasaran, terutama bagi pencari rumah pertama.

“Unjuran bagi pasaran hartanah 2021 kekal neutral, memandangkan wujudnya sentimen berhati-hati susulan kenaikan kes jangkitan Covid-19 di seluruh negara. Kemungkinan pemulihan pasaran dicatatkan pada separuh kedua 2021,” katanya.

Ini terutama didorong oleh perkembangan vaksin yang positif berlaku agak pantas yang akan memberi impak berpanjangan kepada sentimen pengguna, katanya.

-BERNAMA