Categories
NASIONAL SELANGOR

Dibantu Adun PR, penuntut IPTA optimis

100_3240BATU CAVES 2 SEPT : Bantuan pendidikan RM1,000 dari Adun Batu Caves, Amiruddin Shari menghadirkan ceria dalam hidup anak gadis, Faezatul Haslina Hashim, 20, untuk meneruskan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Biarpun kehilangan bapa tersayang seminggu lalu namun bantuan melalui peruntukan kepada Adun itu menguatkan semangatnya untuk menimba ilmu dalam bidang Falsafah Usuluddin di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Saya amat terharu apabila permohonan mendapatkan bantuan pendidikan ini mendapat perhatian Amiruddin dalam tempoh kurang sebulan,” katanya.

Faezatul menerima bantuan pendidikan itu daripada Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Batu Caves, Shaharuddin Abu Bakar pada Jumaat lalu.

Beliau menambah bantuan itu akan digunakan sebaik mungkin bagi menampung pengajiannya di UKM

“Saya melanjutkan pelajaran ke UKM atas nasihat arwah bapa yang berpesan agar tidak menyambung pengajian di Mesir memandangkan keadaan di negara itu yang tidak stabil selain terpaksa menjaga ibu dan dua adik yang masih bersekolah,” katanya.

Menurut Faezatul, beliau dinasihatkan oleh pejabat DUN Batu Caves supaya memohon bantuan Skim Hadiah Anak Masuk Universiti yang disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk anak-anak Selangor.

“Saya juga dimaklumkan Kerajaan Negeri menyediakan bantuan sama bagi pelajar yang berjaya ke institusi pengajian tinggi yang ternyata benar-benar membantu rakyat Selangor,” kata Faezatul.