Categories
AGENSI SELANGOR

Ibu tunggal syukur terima subsidi internet, bantu kelancaran urusan

SHAH ALAM, 30 JUN : Bagaikan mengantuk disorong bantal, itulah perumpamaan tatkala mendengar inisiatif Data Internet Selangor yang menyasarkan ibu tunggal antara penerima manfaat.

Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal Kuala Lumpur dan Selangor, Sheilla Tukimin, 49, berkata subsidi internet tanpa had membantu kelancaran urusan terutama untuk perniagaan serta kelas anak-anak secara dalam talian .

“Saya bersyukur Kerajaan Negeri prihatin untuk memastikan semua rakyat menikmati data internet. Sebagai ibu tunggal, kita perlu urus semua perkara sendiri termasuk membayar bil, yuran dan membeli barang dengan cepat

“Malah saya juga memerlukan capaian internet yang bagus untuk mempromosi perniagaan air tebu, sabun dan ayam golek yang terjejas sejak pendemik Covid-19 menerusi media sosial,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau yang telah 25 tahun bergelar ibu tunggal berharap penerima subsidi memanfaatkannya untuk mengembangkan rangkaian perniagaan.

“Ahli persatuan yang terkesan sejak perebakan Covid-19 perlu mengambil peluang ini mengembangkan  perniagaan menerusi media sosial, manfaatkannya untuk meningkatkan jualan secara dalam talian,” katanya.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan program Data Internet Selangor dengan peruntukan RM17.5 juta menerusi Pakej Kita Selangor 2.0.

Tawaran produk kad sim data internet tanpa had dengan kadar istimewa RM35 sebulan akan diberi subsidi RM20 sebulan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) untuk tempoh 12 bulan.

Seramai 70,000 golongan sasar akan menikmati kemudahan data internet tanpa had iaitu antaranya penjaja kecil, pelajar, ibu tunggal, pemandu teksi, warga emas dan pekerja ekonomi sampingan.

Categories
PERSONALITI RENCANA

Hijrah Selangor selamatkan niaga hampir muflis, kini miliki bas

SELEPAS perkahwinannya gagal, perniagaan kenderaan terpakai yang menjadi punca rezeki Sheilla Tukimin buat menanggung dua anaknya pula hampir ‘lingkup’.

Nama pula disenarai hitam. Semuanya gara-gara modal pusingannya ‘sangkut’ akibat ketidakcekapan sebuah agensi kerajaan. Akhirnya, satu persatu aset perniagaan terlepas dari tangan. Kenderaan jualan pun terpaksa dijual pada harga beli. Tiada untung.

Dunia terasa gelap. Shiella bingung. Bagaimana mahu menyambung hayat perniagaan? Pasti tiada bank atau institusi kewangan sanggup memberi bantuan. Anak? Pernah beliau menjamu dua anaknya dengan nasi diadun tepung yang digoreng dengan minyak terpakai kerana putus duit.

Mujurlah, pada saat-saat genting, Sheilla nampak cahaya di hujung terowong apabila beliau bertemu wakil Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) yang memperkenalkan skim pembiayaan pinjaman.

“Saya mendapat pembiayaan RM3,000 daripada Hijrah Selangor sebagai modal pusingan untuk membeli kenderaan terpakai untuk dijual semula, selepas beberapa tahun ia mula membuahkan hasil dan dari situ saya beli pula bas terpakai,” katanya.

Dari situ, Sheilla bangkit. Dengan pinjamannya hampir mencecah RM100,000, beliau rancak mengembangkan perniagaan sewa bas. Kini, beliau tersenyum puas apabila memiliki dua bas yang dibeli secara tunai. Bahkan perniagaan menjual kenderaan terpakai yang diusahakannya sejak 2005 dapat diselamatkan. Kedua-dua anaknya pula kini sudahpun menamatkan pengajian di menara gading.

“Saya sememangnya terhutang budi dengan Hijrah Selangor yang membantu pada saat-saat sukar dan hampir muflis sehingga kembali bangkit, sekarang saya mahu bantu orang lain pula,” katanya kepada SelangorKini.

Sheilla Tukimin menjalankan perniagaan menjual kenderaan terpakai dan sewa bas. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

LARI TIDAK CUKUP TANAH

Sebenarnya, Sheilla, kini berusia 48 tahun, memulakan perniagaan sejak 1997 dengan menjual buah potong dan origami di tepi jalan. Ketika mula berniaga, pelbagai pengalaman pahit dilaluinya, apatah lagi beliau tiada lesen perniagaan. Berdepan operasi penguatkuasaan majlis perbandaran menjadi asam garam kehidupannya ketika itu.

“Lari tidak cukup tanah sambil membawa barangan jualan. Sebab itu kalau boleh kerajaan bantu dengan mempermudahkan permohonan lesen PBT. Maksudnya kalau masuk sahaja program Hijrah Selangor, boleh dibantu.

“Bila ada lesen ini hendak berniaga pun semangat dan yakin kerana tidak lagi dibayangi pihak berkuasa. Dapat cari rezeki serta bayar pembiayaan kerana berkemampuan,” katanya.

Sheilla bersyukur pinjaman Hijrah Selangor sangat mudah. Hanya berbekalkan MyKad, seseorang berpeluang mendapat pinjaman perniagaan. Prosedurnya mudah, bukan seperti institusi kewangan lain yang memerlukan pelbagai dokumen.

“Di Hijrah Selangor mudah sahaja asalkan kita mahu berusaha untuk mengubah hidup. Perlu juga disiplin dan membuat perancangan rapi supaya pembiayaan selesai dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

BALAS BUDI

Sheilla juga menasihati peminjam membayar semula pembiayaan supaya lebih banyak peniaga yang baru-baru berjinak atau usahawan ingin mengembangkan perniagaan mendapat bantuan sewajarnya.

“Apabila orang sudah memberi kita kena balas budinya. Dalam hal ini, peminjam harus membayar kembali pembiayaan diberikan Hijrah Selangor yang membantu untuk memajukan perniagaan.

“Pembiayaan itu sepatutnya digunakan sebagai modal pusingan supaya kita sentiasa ada tunai sekiranya berhasrat membesarkan perniagaan bukannya bagi tujuan peribadi,” jelasnya.

Berkat kejayaannya, Sheilla turut menubuhkan Persatuan Wanita & Ibu Tunggal Nur Iman Kuala Lumpur dan Selangor dengan mengadakan kursus perniagaan selain menghulur sumbangan apabila berlaku bencana.