Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tahan suami isteri guna sijil vaksin palsu, orang tengah urus penjualan

ALOR GAJAH, 13 JAN: Polis menahan sepasang suami isteri yang juga penjawat awam di sebuah jabatan kerajaan di negeri ini kerana menggunakan sijil vaksinasi digital COVID-19 disyaki palsu menerusi aplikasi MySejahtera, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata selain pasangan berusia 38 dan 33 tahun itu, pihaknya turut menahan rakan sekerja lelaki mereka berusia 58 tahun yang disyaki orang tengah bagi menguruskan penjualan dan proses muat turun sijil tersebut.

Beliau berkata ketiga-tiga mereka ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah pada kira-kira 4 petang.

“Pada 30 Dis lepas, status vaksinasi lengkap dua dos pasangan suami isteri berkenaan diragui palsu oleh pengarah jabatan terlibat sebelum mengarahkan seorang pegawai tadbirnya di pejabat khidmat pengurusan menyemak ketulenan sijil tersebut.

“Pada keesokan hari, pegawai tadbir itu telah menghantar surat kepada Klinik Kesihatan (KK) Rembia untuk membuat semakan dan pengesahan status berkenaan sebelum menerima maklum balas daripada KK Rembia pada 5 Jan lepas mengatakan pasangan berkenaan tidak menerima vaksin daripada klinik itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pasangan tersebut mendapatkan sijil vaksinasi digital berstatus dua dos lengkap berkenaan daripada rakan sekerjanya itu pada harga RM500 seorang.

Katanya sijil berkenaan dibeli mereka kerana ia merupakan prasyarat untuk mendapatkan bantuan khas kewangan atau bonus penjawat awam selain mengelak dikenakan tindakan oleh jabatan kerana enggan divaksin serta memudahkan mereka memasuki premis perniagaan.

Arshad berkata semakan mendapati suami isteri itu pernah membuat laporan polis pada pertengahan tahun lepas kerana enggan menerima suntikan vaksin COVID-19.

Beliau berkata siasatan ke atas lelaki yang merupakan orang tengah itu mendapati suspek memuat turun sijil vaksinasi dua dos lengkap itu daripada seorang lagi suspek digelar sebagai ‘VNilai’ dan masih bebas.

“Polis turut merampas telefon bimbit milik ketiga-tiga mereka dan kesemuanya direman hingga hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis bongkar doktor swasta jual sijil vaksin palsu RM400-RM600 sekeping

KUALA TERENGGANU, 10 JAN: Polis Terengganu menahan seorang doktor sebuah klinik swasta selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu di Marang, dekat sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata doktor lelaki berusia 51 tahun itu ditahan di kliniknya dalam satu serbuan bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu selepas mendapat aduan awam mengenai kegiatan tersebut.

“Siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik ini (tujuan vaksinasi) dan daripada jumlah itu kita masih menyiasat berapakah jumlah sebenar yang tidak mendapatkan suntikan, namun hanya mendapat sijil vaksinasi palsu.

“Difahamkan setiap individu yang ingin mendapatkan sijil vaksinasi palsu ini, mereka perlu membayar antara RM400 hingga RM600 berbanding harga sebenar suntikan RM300 sahaja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Rohaimi berkata individu dari luar Terengganu juga dipercayai turut menggunakan khidmat doktor tersebut bagi mendapatkan sijil vaksinasi palsu.

“Kita dapati kebanyakan pelanggannya berurusan secara dalam talian, jadi kita akan cuba dapatkan maklumat daripada e-mel dalam komputer riba yang turut dirampas dari klinik berkenaan,” katanya.

Beliau berkata doktor yang mengaku dirinya sebagai golongan antivaksin itu, dipercayai melakukan kegiatan tersebut secara bersendirian di dalam bilik rawatan tanpa bantuan kakitangan klinik yang lain.

“Walaupun doktor itu mengaku antivaksin, beliau sudah menerima suntikan vaksin, mungkin atas sebab tuntutan kerjaya beliau sebagai doktor,” katanya.

Katanya, suspek dipercayai menggunakan ejen yang diberi komisen sebanyak RM50 untuk mempromosikan khidmatnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurut Rohaimi perbuatan doktor yang bertauliah itu bukan sahaja merupakan satu jenayah, malah boleh membawa musibah kepada kesihatan masyarakat.

Pada sidang media sama, Pengarah JKN Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata klinik swasta berkenaan dibenarkan untuk memberi suntikan vaksinasi secara berbayar sejak September tahun lepas dan semakan mendapati klinik itu telah membuat permohonan untuk dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19, namun belum diluluskan.

Kasemani berkata terdapat klinik yang masih belum dilantik menjadi PPV, namun boleh memberikan suntikan secara berbayar bagi vaksin Covid-19 keluaran Sinovac sahaja.

Beliau berkata pemberian suntikan vaksin secara berbayar semakin berkurangan kerana sudah terdapat vaksin yang mencukupi untuk diberikan secara percuma di PPV yang dilantik.

“Kita akan tunggu hasil siasatan polis untuk tindakan lanjut terhadap doktor dan klinik ini,” katanya dan menambah pendaftaran klinik serta lesen doktor tersebut boleh dibatalkan jika didapati bersalah.

-BERNAMA