Categories
GLOBAL SUKANKINI

F1 kekal di Singapura sehingga 2021

SINGAPURA 16 SEPT: Grand Prix Singapura kekal dalam kalendar Formula Satu (F1) sehingga 2021, umum penganjur perlumbaan kereta paling berprestij itu selepas mencapai persetujuan untuk menyambung kontrak empat tahun lagi.

Perlumbaan di litar jalan raya Marina Bay, Ahad ini tidak akan menjadi perlumbaan terakhir di republik berkenaan, lapor REUTERS.

“Saya sangat gembira kerana semua pihak berkenaan telah bersetuju dengan terma komersial untuk lanjutan, malah saya percaya F1 dan Singapura saling menguntungkan satu sama lain.

“Sepanjang satu dekad yang lalu, perlumbaan Si­ngapura memperkenalkan banyak elemen inovatif serta menjadi acara iko­nik dan dinanti-nantikan dalam kalendar F1,” kata Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, S. Iswaran kepada pemberita di Marina Bay.

Singapore-Grand-PrixKetua Eksekutif F1, Chase Carey, yang menggantikan bekas supremo Bernie Ecclestone pada Januari lalu, menyifatkan Grand Prix Singapura sebagai elemen penting dalam kalendar F1.

“Kami sangat gembira kerana ia akan terus berada dalam kalendar untuk empat tahun lagi,” katanya.

“Kami sudah 10 kali datang ke sini dan saya fikir ia seperti perlumbaan klasik sebenar,” kata pemandu Ferrari, Sebastian Vettel.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Yingluck mungkin lari ke Dubai dari Singapura

GLOBAL 26 OGOS: Bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra telah lari ke Dubai, kata anggota kanan partinya pada hari Sabtu, sehari selepas dia gagal muncul di mahkamah untuk pengumuman kes perbicaraan kecuaian terhadapnya.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan sumber dalam partinya, Parti Puea Thai, berkata bekas PM itu meninggalkan Thailand minggu lalu dan terbang melalui Singapura ke Dubai di mana abangnya, bekas PM Thaksin Shinawatra, hidup dalam buangan untuk mengelakkan hukuman penjara bagi sabitan rasuah.

“Kami dengar dia pergi ke Kemboja dan kemudian Singapura, kemudian berlepas ke Dubai dan selamat tiba dan kini berada di sana sekarang,” kata seorang ahli kanan Parti Puea Thai yang enggan disebutkan namanya.

Timbalan Ketua Polis Thailand, Jeneral Srivara Rangsibrahmanakul, berkata polis tidak mempunyai rekod Yingluck meninggalkan negara itu.

Seorang wartawan Reuters tidak dibenarkan oleh pengawal keselamatan masuk ke kawasan kediaman ekslusif Emirates Hills di Dubai, di mana Thaksin mempunyai sebuah rumah.

Jurucakap Thaksin di Dubai tidak memberi respons kepada usaha Reuters untuk menghubungi Thaksin.

=EZY=