Categories
AGENDA NASIONAL

85,134 tan sisa banjir enam negeri dikutip, pembersihan di Lembah Klang capai 98 peratus

MUAR, 16 JAN: Sebanyak 85,134 tan sisa banjir telah dibersihkan di enam negeri yang terjejas bencana itu, setakat semalam.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata kerja-kerja pembersihan membabitkan negeri Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutan Kuala Lumpur dan Selangor telah mencapai 98 peratus, manakala Johor mencapai tahap 90 peratus.

Beliau berkata untuk semalam sahaja, sebanyak 438 tan sisa banjir dibersihkan melibatkan 112 jentera dan 354 pekerja di bawah seliaan SWCorp (SWM Environment Sdn Bhd, Alam Flora Sdn Bhd dan E-Idaman).

“Sebanyak 48,589 tan sisa banjir dibersihkan di Selangor; 34,100 tan di Pahang; 1,400 tan di Negeri Sembilan; 630 tan di Kuala Lumpur dan 139 tan di Melaka.

“Manakala di Johor, sebanyak 275.63 tan sisa banjir dibersihkan sehingga semalam,” kata beliau kepada pemberita ketika Operasi Mega Pembersihan Pascabanjir di Johor di Kampung Baru Lenga, dekat sini, hari ini.

Menurut Ismail lagi ketika pascabanjir, kementeriannya telah membelanjakan sebanyak RM117.5 juta untuk pelbagai program pemulihan.

Antaranya pemulihan fasiliti awam melibatkan kos sebanyak RM50 juta dan Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia sebanyak RM50 juta bagi baik pulih rumah rosak dan bina rumah baharu.

Selain itu, bagi kerja-kerja pembersihan sisa banjir membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) pula, sebanyak RM12.5 juta diperuntukkan dan RM5 juta lagi adalah untuk Bantuan Bakul Bencana.

“Pihak kementerian juga akan mengumpul dan mengemas kini data, memandangkan ada beberapa lagi pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka dan menjangkakan akan menambah jumlah peruntukan untuk program pemulihan pascabanjir ini.

“Proses mengumpul dan mendapatkan data terkini ini juga akan melibatkan pelbagai pihak seperti pejabat daerah, PBT dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Pembersihan pascabanjir Sri Muda dijangka selesai minggu ini

SHAH ALAM, 4 JAN: Kerja pembersihan pascabanjir di Taman Sri Muda di sini dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya minggu ini.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor berkata setakat ini 11,919 tan sampah pukal telah dibawa keluar dari kawasan berkenaan.

“MBSA bersama KDEB Waste Management (KDEBWM) menguruskan sampah di kawasan banjir dan boleh dikatakan sebahagian kawasan telah mencapai 100 peratus.

“Namun di Taman Sri Muda kawasan yang terjejas adalah besar dan ketika ini sudah lebih 60 peratus diselesaikan. Insy-Allah kita cuba selesaikannya minggu ini juga,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan dari Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerusi Persatuan Bulan Sabit Merah di Wisma MBSA semalam.

Kerja pembersihan pascabanjir oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 3 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Zamani berharap mangsa banjir khususnya kawasan perindustrian dapat membuang sampah di stesen pemindahan sementara (TS) yang disediakan.

“Saya minta jangan buang di tepi jalan raya, di kawasan perumahan kerana kita sudah bersihkan tetapi perlu lakukannya berulang kali kerana masih ada yang buang keesokannya,” katanya.

Sehingga kini sebanyak 28,506 tan metrik sisa banjir dikutip di kawasan pentadbiran MBSA mulai hujung Disember hingga semalam.

Infografik dikongsi MBSA di Twitter menunjukkan sebanyak 12 dari 21 lokasi terjejas selesai dibersihkan dengan kutipan harian berjumlah 3,042 tan metrik.

Kerja pembersihan itu melibatkan 250 petugas pihak berkuasa tempatan berkenaan, 65 dari KDEBWM dan 45 sukarelawan menggunakan 207 lori serta 60 pengorek kaut.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA kutip 2,630 tan metrik sisa banjir di Klang, Petaling hari ini

SHAH ALAM, 1 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya mengutip 2,630 tan metrik sampah dalam proses pembersihan pascabanjir hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook memaklumkan 2,256 tan metrik sampah dikutip di Klang manakala 374 tan metrik di Petaling.

“Bagi daerah Petaling kerja pembersihan di tujuh lokaliti banjir selesai sepenuhnya iaitu di Seksyen 13, Seksyen 19, Seksyen 22 (Kampung Kebun Bunga), Seksyen 23, Seksyen 28 (Kampung Lanchong Jaya), Seksyen U1 (Taman Mesra) dan Seksyen U3 (Desa Subang Perantau).

“Manakala bagi daerah Klang pula kerja pembersihan di tiga lokaliti banjir juga selesai sepenuhnya iaitu di Seksyen 32, Seksyen 33 (Alam Indah) dan Seksyen 35 (Taman Desa Kemuning),” katanya.

KDEB Waste Management (KDEBWM) menggunakan lori roro (roll on roll off) bagi melancarkan kerja pembersihan pascabanjir di kawasan sekitar Taman Sri Muda, Shah Alam pada 31 Disember 2021. Foto Facebook KDEBWM

Tambah Amirudin, Sri Muda mencatatkan pengeluaran sampah sebanyak 2,148 tan metrik hari ini berbanding 1,822 tan metrik semalam.

Sehingga Khamis lalu, kerja pembersihan bermula 25 Disember di situ mencapai kira-kira 35 hingga 40 peratus dan bakinya dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu lagi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
AGENSI SELANGOR

MBSA kutip 13,800 tan sampah di kawasan terjejas banjir

SHAH ALAM, 29 DIS: Kira-kira 13,800 tan sampah pukal sudah dikutip Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di beberapa kawasan terjejas banjir, setakat semalam.

Ia membabitkan kawasan Taman Sri Muda, Seksyen 25; Padang Jawa; Kampung Kebun Bunga; Kampung Baru Hicom; Kampung Lombong dan Kampung Lanchong Jaya, lapor portal Berita Harian.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad, berkata kerja pembersihan masih diteruskan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM), kakitangan MBSA serta kontraktor tambahan yang dilantik PBT itu.

“Bagi memudah dan mempercepatkan kerja pembersihan serta kutipan sampah pascabanjir, MBSA juga mengenal pasti tiga stesen pemindahan sementara sisa banjir di Seksyen 21, Seksyen 34 dan Seksyen 25,” katanya hari ini.