Categories
NASIONAL SELANGOR

GST tak perlu jika kerajaan cekap urus wang negara

gst grafik 01SHAH ALAM 27 OGOS : Kerajaan tidak perlu melaksanakan Sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang membebankan rakyat jika berupaya mengurangkan ketirisan perbelanjaan wang negara dan membanteras rasuah.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menegaskan melalui penjimatan wang negara melalui mekanisme pengurusan yang cekap dan telus maka kerajaan boleh menggunakannya untuk program kebajikan rakyat.

“Apabila kerajaan tidak mempunyai wang maka mereka terpaksa melaksanakan dasar GST,” kata Charles ketika dihubungi TVSelangor.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan bahawa apabila GST dilaksanakan maka kira-kira 40 barangan keperluan asas rakyat terutama makanan dan minuman tidak akan dikenakan sebarang cukai .

Antara barangan keperluan asas yang dikecualikan cukai termasuk tepung, beras, gula dan ikan.

Menurut Charles lagi tiada jaminan daripada kerajaan tidak akan berlaku kenaikan harga barangan makanan apabila GST dilaksanakan walaupun mereka menyatakan akan memberikan pengecualian.

Katanya, impak kesan GST dan kenaikan harga barangan akan lebih dirasai oleh golongan berpendapatan rendah dan mempunyai pendapatan yang tetap.

Tambahnya jika kerajaan cekap menjaga khazanah wang rakyat maka ia boleh menambahkan peruntukan subsidi kepada sumber makanan rakyat yang lebih baik daripada melaksanakan sistem GST.

“Kenaikan kos ini akan memburukkan keadaan dengan memiskinkan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu memikirkan cara alternatif yang lebih berkesan untuk menambahkan sumber pendapatan negara.

“Kerajaan perlu mengurangkan rasuah dalam kerajaan dan melaksanakan penjualan Permit AP maka ia dapat mengurangkan beban rakyat,” kata beliau.

Sebelum ini pemimpin Pakatan Rakyat menegaskan kerajaan berpotensi untuk menjimatkan RM28 bilion sekiranya berjaya menangani ketirisan, ketidakcekapan pengurusan dan rasuah bersandarkan Laporan Ketua Audit Negara.- mza