Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 20 pesakit terima bantuan RM5,000, tampung kos rawat

MERU, 14 DIS: Lebih 20 pesakit dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru menerima bantuan perubatan sehingga RM5,000 seorang.

Wakil rakyat Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar inisiatif menerusi Skim Peduli Sihat itu diberikan sepanjang tahun ini bagi meringankan beban pesakit.

“Kita terima lebih 30 permohonan namun selepas dikenal pasti ada yang tidak layak. Jadi kita minta pesakit yang tidak berkemampuan supaya membuat permohonan ini.

“Antara bantuan diberikan dalam bentuk ubat, peralatan seperti katil dan kerusi roda serta dialisis. Bantuan mengikut keperluan pesakit,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada 49 mangsa ribut di sini.

Skim Peduli Sihat diperkenalkan pada 2017 bagi membantu menampung perkhidmatan kesihatan golongan berpendapatan rendah termasuk kos ubat, rawatan dan perundingan.

Program ditambah baik tahun lalu yang memberi jaminan perlindungan kesihatan kepada 85,000 keluarga dan isi rumah bawah RM2,000 sebulan.

Setiap keluarga yang layak menerima rawatan asas berjumlah RM500 setahun manakala bagi individu bujang sebanyak RM200 setahun.

Selain membantu kos rawatan asas ahli Peduli Sihat yang meninggal atau hilang upaya kekal akibat kemalangan mendapat manfaat RM5,000, khairat kematian (RM1,000), penyakit kritikal (RM5,000) dan kematian semula jadi  (RM5,000).

Pada Ogos tahun ini Dato’ Menteri Besar turut mengumumkan peruntukan tambahan RM42.5 juta untuk inisiatif Skim Peduli Sihat dalam mendepani krisis Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemegang kad Peduli Sihat yang dijangkiti Covid-19 atau meninggal dunia, waris mereka boleh menuntut insurans sehingga RM6,000.

 

Categories
SELANGOR

Skim Peduli Sihat: 216,051 ahli sudah terima manfaat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 JULAI: Skim Peduli Sihat (SPS) kini dinikmati 216,051 ahli yang berdaftar setakat 12 Julai lalu.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, sebanyak RM1.6 juta peruntukan sudah dibelanjakan bagi tempoh sama.

Katanya, jumlah peruntukan itu berdasarkan amaun tuntutan ke atas perkhidmatan disediakan klinik panel SPS bagi menampung kos rawatan peserta SPS.

DAROYAH DNS“DUN Dengkil mencatatkan keahlian tertinggi iaitu 8,621 peserta; diikuti Meru 8,060; Sungai Panjang 7,354 orang dan Morib 7,045.

“Daripada jumlah itu, seramai 142,558 (66 peratus) terdiri dari kaum Melayu; Cina seramai 31,452 (14 peratus) dan India 40,367 (19 peratus) serta lain-lain 1,675 (1 peratus),” katanya di Sidang Dewan Negeri (DNS), di sini.

Dr Daroyah berkata, jumlah permohonan ditolak pula sehingga 12 Julai adalah sebanyak 5,235 permohonan.

Katanya, antara sebab permohonan itu ditolak ialah dokumen sokongan tidak lengkap, gaji melebihi had, tempoh bermastautin tidak mencukupi dan dokumen sokongan mencurigakan.

Pada masa sama, beliau berkata Kerajaan Negeri memperkasakan program itu dengan mewujudkan beberapa kategori khas dan diluluskan Selgate Corporation Sdn. Bhd.

Katanya, kategori Khas itu dilaksanakan dengan kerjasama agensi dan jabatan di bawah Kerajaan Negeri yang mempunyai rekod penerima layak menerima manfaat di bawah program itu.

“Ia termasuk orang kelainan upaya (OKU) ,anak yatim, guru KAFA, imam masjid dan surau, fakir miskin, ketua kampung, ketua komuniti India dan Warga Emas,” katanya.

PEDULI SIHATSPS yang dilancarkan pada 24 Januari lalu membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap bebanan kos rawatan kesihatan rakyat yang semakin tinggi.

Program terunggul di Malaysia dan hanya terdapat di Selangor itu merupakan program berimpak tinggi selari peruntukan dikhususkan pelaksanaannya, iaitu RM125 juta setahun.

Pada masa ini sebanyak 624 klinik panel berdaftar dengan SPS.