KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Setelah 63 tahun Malaysia menghela nafas kemerdekaan, belia perlu mempunyai anjakan paradigma selaras dengan kemajuan yang dikecapi negara.
Selaras dengan itu, McDonald’s Malaysia telah melaksanakan inisiatif pembangunan bakat khusus untuk belia sejak 2018.
“McDonald’s Malaysia yang mempunyai 14,000 kakitangan di seluruh negara, berharap untuk menarik 10,000 lagi bakat tempatan menjelang 2025 dengan adanya program vokasional untuk belia,” kata francais khidmat makanan segera itu dalam satu kenyataan hari ini.
Program Perantis Vokasional McDonald’s, yang dilancarkan pada 2018 dengan usaha sama Kementerian Sumber Manusia (MOHR) melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), memfokuskan pembelajaran berlandaskan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang memberi peluang kepada belia untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3.
Program ini juga mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Bahagian Pembangunan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV), untuk diperluaskan lagi ke peringkat menengah sekali gus akan melibatkan pelajar dari kolej-kolej vokasional.
Selain itu, menurut kenyataan itu lagi, lebih 1,200 belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) sudah menyertai program itu, sejak dilancarkan dan McDonald’s Malaysia berhasrat untuk mencapai sasaran 3,000 belia, menjelang penghujung tahun ini.
Modul pembelajaran untuk SKM Tahap 4 yang setara dengan pendidikan di peringkat diploma juga sedang dibangunkan, dengan kerjasama MOHR dan graduan mempunyai pilihan sama ada memulakan kerjaya di McDonald’s atau terus menyambung pengajian ke peringkat seterusnya, selepas tamat program.
Seorang penerima Anugerah Graduan Cemerlang Noor Fazriza Fazlin Abdul Rahim, 20, menyatakan bahawa program ini banyak mengubah dirinya, dan disebabkan tajaan penuh yang ditawarkan beliau tidak perlu lagi menyusahkan ibu bapa atau adik beradik lain.
Ibu Noor Fazriza Fazlin Noor Hashimah Salehuddin, 59, berkata, bahawa dia bangga dengan anaknya kerana mendapat Anugerah Graduan Cemerlang itu dan berharap Noor Fazriza Fazlin dapat terus kembangkan kerjayanya di McDonald’s.
Sementara itu, Naib Presiden Sumber Manusia McDonald’s Malaysia Azhar Darbi berkata, pihaknya mengutamakan belia yang bersikap positif dan bersemangat untuk memajukan diri.
“Program ini membolehkan belia mempelajari amalan terbaik bertahap global dalam bidang perkhidmatan makanan, yang menjadi rahsia kejayaan serta reputasi kukuh McDonald’s selama ini,” katanya.
Belia lepasan PT3 dan SPM yang berminat menyertai program vokasional yang disediakan oleh McDonald’s Malaysia, boleh melayari www.maukerja.my/mcd/ untuk maklumat lanjut.
-BERNAMA