Categories
AGENDA NASIONAL

Lesen memandu kenderaan perdagangan E2, E1, E digabung dalam kelas E

JOHOR BAHRU, 27 FEB: Lesen Memandu Malaysia (LMM) bagi kenderaan perdagangan dalam Kelas Lesen E sedia ada, iaitu E2, E1 dan E, akan digabungkan menjadi satu Kelas Lesen E sahaja berkuat kuasa mulai 1 Mac ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata penggabungan tersebut bakal memudahkan urusan dan menjimatkan masa serta membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada individu yang bekerja sebagai pemandu kenderaan perdagangan, terutama dalam tempoh pascapandemik COVID-19.

“Mereka boleh memandu semua kelas kenderaan motokar berat (dengan mempunyai LMM dalam Kelas Lesen E) dan tidak terhad kepada sesuatu kategori berat tanpa muatan (BTM) kenderaan motokar berat tertentu sahaja,” katanya.

Beliau berkata dalam ucapannya ketika melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya anjuran Persatuan Pengusaha Lori Bahan Batuan Johor yang turut dihadiri Presidennya Chia Jee Onn di Ulu Tiram di sini hari ini.

Lesen E melibatkan motokar berat tanpa muatan melebihi 7,500 kg, E1 tidak melebihi 7,500 kg dan E2 tidak melebihi 5,000 kg.

Selain itu, hanya sekitar 62,000 orang masih aktif daripada kira-kira 90,000 pemegang Lesen E1 dan E2 yang direkodkan, di samping 11,000 sahaja yang mempunyai Lesen Vokasional.

Justeru, Wee berkata pemegang Lesen E1 dan E2 sedia ada akan ditawarkan untuk menjalani program peralihan bagi mendapatkan Lesen E.

Permohonan tersebut bermula pada 1 Mac ini dan individu terlibat diberi tempoh lima tahun untuk menjalani program tersebut.

Program peralihan itu juga akan ditawarkan kepada pemegang Lesen Vokasional dalam Kelas E1 and E2 ke Lesen Vokasional Kelas E.

“Ini amat penting demi memastikan tahap kompetensi dan keselamatan pemanduan individu terlibat,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

McDonald’s giat bangunkan bakat, kembang kerjaya generasi muda

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Setelah 63 tahun Malaysia menghela nafas kemerdekaan, belia perlu mempunyai anjakan paradigma selaras dengan kemajuan yang dikecapi negara.

Selaras dengan itu, McDonald’s Malaysia telah melaksanakan inisiatif pembangunan bakat khusus untuk belia sejak 2018.

“McDonald’s Malaysia yang mempunyai 14,000 kakitangan di seluruh negara, berharap untuk menarik 10,000 lagi bakat tempatan menjelang 2025 dengan adanya program vokasional untuk belia,” kata francais khidmat makanan segera itu dalam satu kenyataan hari ini.

Program Perantis Vokasional McDonald’s, yang dilancarkan pada 2018 dengan usaha sama Kementerian Sumber Manusia (MOHR) melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), memfokuskan pembelajaran berlandaskan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang memberi peluang kepada belia untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3.

Program ini juga mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Bahagian Pembangunan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV), untuk diperluaskan lagi ke peringkat menengah sekali gus akan melibatkan pelajar dari kolej-kolej vokasional.

Selain itu, menurut kenyataan itu lagi, lebih 1,200 belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) sudah menyertai program itu, sejak dilancarkan dan McDonald’s Malaysia berhasrat untuk mencapai sasaran 3,000 belia, menjelang penghujung tahun ini.

Modul pembelajaran untuk SKM Tahap 4 yang setara dengan pendidikan di peringkat diploma juga sedang dibangunkan, dengan kerjasama MOHR dan graduan mempunyai pilihan sama ada memulakan kerjaya di McDonald’s atau terus menyambung pengajian ke peringkat seterusnya, selepas tamat program.

Seorang penerima Anugerah Graduan Cemerlang Noor Fazriza Fazlin Abdul Rahim, 20, menyatakan bahawa program ini banyak mengubah dirinya, dan disebabkan tajaan penuh yang ditawarkan beliau tidak perlu lagi menyusahkan ibu bapa atau adik beradik lain.

Ibu Noor Fazriza Fazlin Noor Hashimah Salehuddin, 59, berkata, bahawa dia bangga dengan anaknya kerana mendapat Anugerah Graduan Cemerlang itu dan berharap Noor Fazriza Fazlin dapat terus kembangkan kerjayanya di McDonald’s.

Sementara itu, Naib Presiden Sumber Manusia McDonald’s Malaysia Azhar Darbi berkata, pihaknya mengutamakan belia yang bersikap positif dan bersemangat untuk memajukan diri.

“Program ini membolehkan belia mempelajari amalan terbaik bertahap global dalam bidang perkhidmatan makanan, yang menjadi rahsia kejayaan serta reputasi kukuh McDonald’s selama ini,” katanya.

Belia lepasan PT3 dan SPM yang berminat menyertai program vokasional yang disediakan oleh McDonald’s Malaysia, boleh melayari www.maukerja.my/mcd/ untuk maklumat lanjut.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Jadikan bidang teknikal dan vokasional pilihan pertama

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 23 JUL: Bidang teknikal dan vokasional tidak sepatutnya menjadi pilihan kedua dalam bidang pendidikan, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya, kedua-dua bidang tersebut perlu diberi anjakan bagi membolehkannya menjadi pilihan pertama di kalangan pelajar cemerlang.

“Tanggapan segelintir pihak berpendapat bidang ini adalah pilihan kedua sekiranya tidak berjaya dalam bidang dipohon adalah silap, sebaliknya jika kita menjadikan teknikal dan vokasional sebagai pilihan pertama, sudah tentu negara kita akan maju dan menjadi ‘the best from the best’.

“Disebabkan itu bidang ini memerlukan anjakan supaya ia menjadi pilihan sekaligus memacu kemajuan ekonomi negara dan juga negeri,” katanya ketika ucapan Majlis Perasmian ‘School of Entrepreneurship & MSMEs (SEM) di Kelab Petroleum Malaysia, Bangunan Petronas, pagi tadi.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Akademi SST & Consultancy (SSTC), Sugunadevi Arjunan dan Pengerusi SSTC, Profesor Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Ahmad Bajunid serta wakil-wakil usahawan dan juga perbankan.

Amirudin berkata, bidang teknikal mahupun vokasional perlu diseimbangkan sekaligus meletakkannya pada kelas tersendiri sama seperti bidang lain.

“Sekiranya kita gagal memberi keseimbangan, maka ia bakal membawa masalah terhadap negara. Justeru kita perlu merangka program yang akan dapat menarik lebih ramai golongan yang cemerlang akademik memilih teknikal dan vokasional.

“Sekiranya ia berjaya, saya yakin kita dapat menawarkan peluang pekerjaan yang sangat besar kepada graduan berkenaan,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

MB: Perkasakan pendidikan vokasional dan teknikal

OLEH : SYASYA SUFIAN

BESTARI JAYA, 18 MAC: Kerajaan Negeri mahu pendidikan vokasional dan teknikal diberikan penumpuan khusus sebagai persediaan ke arah negeri berintensif modal dan teknologi tinggi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata dalam keadaan ekonomi di Selangor yang kukuh dan baik, beliau inginkan sektor pendidikan diberi keutamaan khususnya di UNISEL dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

TEKNIK VOKASIONAL“Untuk merealisasikannya, Kerajaan Negeri bertanggungjawab menyediakan tenaga kerja terlatih dan mahir, sistem pendidikan negara perlu dirombak seperti saya bahaskan dalam parlimen awal.

“Is supaya Kerajaan Persekutuan menumpukan soal pendidikan vokasional dan teknikal sebagai asas pendidikan negara,” katanya selepas lawatan ke Kampus UNISEL Bestari Jaya, di sini.

Katanya, perkata pemerkasaan pendidikan vokasional dan teknikal dilaksanakan di negera maju seperti Jerman dan Jepun.

Tetapi malangnya di negara ini, Kerajaan Persekutuan hanya memperuntukkan belanjawan kecil untuk pendidikan vokasional dan teknikal.

“Jadi kita akan mulakan di peringkat negeri untuk memastikan universiti di Selangor ada korikulum vokasional dan teknikal.

“Untuk itu, hari ini kita mendesak beberapa isu prasarana di UNISEL yang daif diberi perhatian dan tidak mungkin kita wujudkan jabatan baru yang boleh menumpukan soal vokasional sekiranya prasarana ini tidak di naik taraf terlebih dahulu.

“Saya akan memastikan masalah itu ditangani segera supaya matlamat pendidikan dapat dicapai,” katanya.

EZY