Categories
NASIONAL

SMM: Khaled Nordin Perlu Letak Jawatan

PETALING JAYA, 7 JUN : Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin perlu meletak jawatan serta merta kerana didakwa borkomplot dengan pentadbiran PTPTN untuk menyekat pinjaman kepada mahasiswa UNISEL.

Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Haziq Abdul Aziz, berkata tindakan Khaled bersifat kebudak-budakkan serta tidak professional dalam menjalankan tugas sebagai seorang menteri.

“Hanya kerana mahu membalas dendam kepada Pakatan Rakyat dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khaled bertindak menindas dan mendiskriminasikan lebih 1000 mahasiswa yang baru mendaftar di UNISEL,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau turut membidas sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak yang mendiamkan diri dalam isu ini serta membiarkan tindakan Khaled yang secara terang-terang menindas mahasiswa.

Sementara itu, pembekuan pinjaman PTPTN ini bertentangan dengan perjanjian pinjaman itu kerana pelajar telah menandatanganinya dan borang dokumen telah dihantar.

“PTPTN sewenang-wenangnya menyekat pinjaman dan ini merumitkan sejumlah pelajar baru yang ingin membayar yuran pengajian,” katanya lagi.

Tambahnya, satu protes besar-besaran mahasiswa akan dilakukan jika PTPTN tidak menyelesaikan masalah ini.

Categories
NASIONAL

Risalah Provokasi Tak Halang Kebangkitan Pelajar

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Himpunan Mansuhkan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dicemari dengan pengedaran risalah provokasi oleh pihak tidak bertanggungjawab sebagai usaha menangkis sokongan terhadap tuntutan ini.

Risalah yang memaparkan karikatur Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berucap mengkritik kerajaan menghapuskan PTPTN namun dipersoalkan semula memandangkan pada ketika itu beliau masih memangku jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Risalah tersebut diletakkan di dalam bakul motosikal yang diletakkan di Dataran Merdeka turut memaparkan implikasi pemansuhan PTPTN  dan implikasi pendidkan percuma versi Pakatan Rakyat.

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dalam reaksi memaklumkan, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah terhadap risalah berkenaan dan mengalu-alukan sebarang bentuk cadangan atau bangkangan mengenai tuntutan ini.

Setiausaha SMM, Haziq Abdul Aziz berkata,  pada tahun 1998 merupakan zaman kerajaan mengamalkan dasar penswastaan memandangkan pada ketika itu negara menghadapi krisis kegawatan ekonomi.

Menurut beliau, sekarang merupakan masa terbaik untuk melaksanakan dasar pendidikan percuma memandangkan keuntungan dan status kewangan negara dalam keadaan baik ditambah keuntungan yang dimiliki oleh syarikat minyak utama negara, Petronas.

“Kita minta mereka berhujah dengan fakta dan ilmiah, bukan main sentimen semata-mata. Pihak mahasiswa kami ada angka dan fakta ekonomi supaya mansuh PTPTN. Pendidikan percuma tidak mustahil boleh dilakukan. Kita bukan main sentimen bodoh sebegini,” katanya.

Tegas beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu menyahut cabaran debat yang dilontarkan oleh Anwar Ibrahim supaya rakyat menilai sendiri pemimpin yang mempunyai polisi dan dasar dalam menjamin masa depan negara.

Pada hari ini 500 mahasiswa di sekitar Lembah Klang mengadakan demontrasi Mansuhkan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Ibu negara.