Categories
NASIONAL

Chegu Bard Tidak Batal Tuntutan RM5 Juta, Walau Utusan Tarik Balik Fitnah

logo SAMM

SHAH ALAM, 13 MAC: Ketua Penyelaras Solidriti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard tetap meneruskan tuntutan gantirugi RM5 juta daripada akhbar pro-Umno Utusan Malaysia (Utusan).

Keputusan itu diambil walaupun Utusan semalam didapati menarik balik artikel ‘Medan Perah Duit Rakyat’ dari portal beritanya.

Menurut Badrul Hisham, tuntutan itu diteruskan kerana Utusan tidak menyiarkan permohonan maaf tiga hari berturut-turut dan membayar pampasan gantirugi.

Notis tuntutan yang dikeluarkan firma guaman Tetuan Sazali & Lim itu dibuat terhadap artikel bertajuk ‘Medan Perah Duit Rakyat’ yang disiarkan portal Utusan Online pada 14 Januari 2013 lalu.

Bagaimanapun semakan yang dibuat TV Selangor semalam mendapati, rencana tersebut ditarik balik atas sebab yang dipercayai mempunyai kaitan dengan tindakan saman oleh Chegu Bard itu.

Sebelum itu menurut satu kenyataan media oleh Chegu Bard, notis tuntutan tersebut diterima oleh wakil Ketua Pengarang akhbar terbabit di pejabat Utusan Malaysia di Cheras pada jam 3.00 petang semalam.

“Petikan dari rencana tersebut bukan sahaja tidak benar, juga merupakan manipulasi dan putar belit serta berniat kepada fitnah jahat kepada Chegu Bard dan juga SAMM.

“Notis itu juga menamakan dua responden iaitu Ketua Pengarang Utusan sebagai penama pertama dan juga Mohd Asron Mustapha yang juga penulis rencana sebagai penama kedua,” ujar beliau dipetik dari kenyataan medianya.

Selain menuntut pampasan gantirugi sebanyak RM5 juta, Chegu Bard turut menuntut Utusan membuat permohonan maaf secara bertulis dalam akhbar Utusan Malaysia versi cetak dan dalam talian di muka hadapan selama tiga hari berturut-turut.

Dalam tuntutan tersebut, Utusan turut dilarang menulis atau menyiarkan tulisan sama atau berbentuk fitnah kepada Chegubard dan SAMM serta meminta rencana tersebut ditarik balik dari portal tersebut.

Utusan merupakan satu-satunya akhbar yang paling kerap disaman oleh beberapa ahli politik tempatan.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mengarahkan Utusan membayar gantirugi RM 200,000 dan kos RM25,000 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung artikel bertajuk ‘Kebiadaban Guan Eng’ yang disiarkan pada 20 Disember 2010.

Selain itu Utusan juga tewas dalam kes saman fitnah RM 50 juta yang difailkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Akhbar itu turut tewas dalam perbicaraan saman fitnah oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Pada 2009, Utusan turut kalah dalam saman fitnah yang dibuat Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengenai isu ?Pak Janggut?.

Bagaimanapun ketika artikel ini ditulis mahkamah masih belum membuat keputusan berapa jumlah pampasan yang harus dibayar Utusan kepada beberapa pemimpin politik terbabit.

Utusan juga gagal dalam cubaan membatalkan saman fitnah mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Syed Hussin Ali yang menuntut ganti rugi berjumlah RM 10 juta.