Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Bazar Ramadan lancar, PBT nilai kepatuhan SOP

SHAH ALAM, 16 APRIL: Operasi bazar Ramadan negeri ini yang bermula Selasa lalu berjalan lancar serta terkawal.

EXCO kerajaan tempatan berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan kawalan ketat sepanjang masa bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi.

“Kita memantau dan menilai keadaan dua hari bazar beroperasi. PBT terlibat dengan bazar yang dikunjungi ramai akan melakukan formula baharu supaya SOP dipatuhi.

“Langkah ini perlu supaya operasi bazar terus berjalan tetapi dalam masa sama dapat mengelak timbulnya ‘kluster bazar’,” kata Ng Sze Han kepada SelangorKini.

Rabu lalu Dato’ Menteri Besar memaklumkan tindakan membatalkan operasi bazar jika orang ramai gagal mematuhi SOP.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peringatan itu susulan kembimbangan tercetus penularan Covid-19 jika bersikap sambil lewa.

Categories
AGENDA NASIONAL

PBT boleh kompaun individu tidak patuh SOP bazar

SHAH ALAM, 14 APRIL: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara dibenarkan mengkompaun individu yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) di bazar Ramadan berkuat kuasa hari ini.

Menteri kanan (keselamatan) berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menurunkan kuasa itu berikutan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerima beberapa aduan mengenai ketidakpatuhan SOP di bazar berkaitan di beberapa lokasi.

“Perkara ini dipandang serius kerana penularan wabak Covid-19 masih berada di tahap membimbangkan.

“Sehubungan itu, PBT digesa mengambil tindakan sewajarnya dalam memastikan pelaksanaan SOP dikeluarkan MKN dan KKM dipatuhi sepenuhnya,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sehubungan itu orang ramai diminta memberi kerjasama kepada PBT dalam membantu negara melandaikan lengkuk penularan wabak Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bazar Ramadan: Tindakan tegas terhadap individu gagal patuh SOP

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Polis akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan, semasa mengunjungi bazar Ramadan di seluruh negara.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis juga menasihatkan orang ramai agar mematuhi SOP yang telah ditetapkan, oleh Majlis Keselamatan Negara semasa di lokasi berkenaan.

“Peniaga juga perlu bertanggungjawab dalam memastikan pengunjung premis mereka sentiasa mematuhi SOP ketika urus niaga, iaitu memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan mengimbas kod QR aplikasi MySejahtera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, setakat semalam pihaknya hanya memberikan peringatan terhadap penganjur dan pengunjung di bazar Ramadan, yang didapati tidak mengikut peraturan yang ditetapkan contohnya tiada penjarakan fizikal.

“(Namun), mulai hari ini dan (hari) seterusnya, kita (polis) akan ambil tindakan terhadap mereka yang tidak mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB luang masa beli juadah, puas hati pematuhan SOP bazar

SHAH ALAM, 13 APRIL: Dato’ Menteri Besar meluangkan masa membeli juadah di Bazar Ramadan Kompleks PKNS di sini petang tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengambil kesempatan meninjau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) pengunjung dan peniaga.

“Alhamdulillah ternyata pengunjung dan peniaga mematuhi SOP digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Berkesempatan membeli beberapa juadah untuk berbuka. Semoga jualan peniaga meningkat sepanjang Ramadan, Insya-Allah,” katanya menerusi Facebook.

Semalam, Amirudin mengarahkan pihak berkuasa memantau ketat operasi bazar Ramadan bagi mencegah perebakan Covid-19 dan kewujudan kluster baharu.

Beliau berkata bilangan peniaga dikurangkan kepada 11,000 berbanding 14,000 orang pada 2019 mengikut amalan norma baharu.

Kerajaan membenarkan operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negara tahun ini selepas mendapat pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PBT pantau pematuhan SOP bazar Ramadan, elak kluster baharu

SHAH ALAM, 2 APRIL: Pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini diarah memantau kepatuhan tatacara operasi piawai (SOP) di bazar Ramadan bagi mengelakkan wujudnya ‘kluster bazar’.

Dato’ Menteri Besar berkata petugas majlis harus memastikan semua pengunjung dan peniaga mengikut ketetapan serta tiada sebarang pelanggaran berlaku.

“Keputusan dibuat dalam Majlis Mesyuarat Keselamatan Negeri semalam. Saya arahkan pegawai daerah gerakkan anggota PBT untuk periksa kepatuhan orang awam.

“Kita tidak mahu timbul kluster yang mungkin menyebabkan perebakan atau gelombang baharu. Sekarang kes gelombang ketiga semakin melandai,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Terdahulu belia merasmikan Majlis Pelancaran BazaarLokal.com dan Festival Ramadan Selangor di SACC Mall hari ini.

Mac lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri seluruh negara tahun ini.

Menurutnya keputusan dibuat selepas mengadakan perbicangan serta mendapat pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia.