Categories
AGENDA NASIONAL

Rentas negeri, daerah masih dilarang kecuali tujuan dibenarkan

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Perjalanan rentas negeri dan daerah masih dilarang bagi negeri yang berada di Fasa Satu dan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) kecuali untuk tujuan yang dibenarkan termasuk bagi mendapatkan vaksinasi Covid-19.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata individu yang mahu merentas negeri dan daerah bagi tujuan vaksinasi perlu menunjukkan butiran janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 dan mesej daripada khidmat pesanan ringkas.

“Hanya dua orang wakil isi rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan asas dalam lingkungan 10 kilometer radius daripada kediaman, manakala untuk mendapatkan rawatan perubatan dan vaksinasi hanya tiga orang termasuk pesakit dibenarkan bagi tujuan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penganjuran aktiviti sosial yang menyebabkan kehadiran ramai orang dan menyukarkan penjarakan fizikal juga masih dilarang.

“Masyarakat diharap untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara agar jangkitan Covid-19 dapat dilandaikan. Usaha dan kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam menjayakan PPN,” katanya.

Acryl Sani berkata pihaknya kekal komited dan akan terus memantau pematuhan SOP demi keselamatan masyarakat dan mana-mana individu yang didapati melanggar peraturan dan SOP yang ditetapkan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Rentas negeri: Surat Miti tidak diterima mulai 18 hingga 21 Julai

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Polis Diraja Malaysia tidak menerima dokumen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), sebagai kelulusan pergerakan yang sah bagi tempoh empat hari mulai 18 hingga 21 Julai ini, untuk pergerakan rentas negeri.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ini susulan pihaknya mengesan peningkatan bilangan kenderaan di lebuh raya untuk tempoh dua hari, kebelakangan ini.

“Semua sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri diarahkan untuk meningkatkan penguatkuasaan, dan tidak menerima dokumen MITI sebagai kelulusan pergerakan yang sah.

“Ini bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab, daripada menyalahgunakan surat kebenaran MITI sebagai kelulusan merentas negeri, untuk sambutan Hari Raya Aidiladha,” katanya dalam kenyataan malam tadi

Bagaimanapun, Acryl Sani berkata larangan tersebut tidak terpakai bagi urusan kecemasan dengan kebenaran polis, serta urusan kesihatan termasuk vaksinasi.

Jelasnya lagi, mana-mana pihak yang didapati melanggar larangan ini, akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi dan masyarakat turut dinasihatkan untuk bersama memainkan peranan dalam melandaikan lengkuk jangkitan wabak Covid-19.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya surat tujuh kementerian, tiga agensi diterima di sekatan jalan

SHAH ALAM, 6 JUN: Polis hanya menerima pakai surat dari tujuh kementerian dan tiga agensi kerajaan di sekatan jalan raya (SJR) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata mulai 8 Jun surat kebenaran daripada kementerian dan agensi disenaraikan sahaja membolehkan pekerja bergerak dari kediaman ke tempat kerja bagi sektor dibenarkan.

Katanya, kementerian dan agensi berkaitan ialah

– Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MiTi): Pembuatan dan perkhidmatan yang berkaitan
– Kementerian Pengangkutan: Pengangkutan awam dan barang keperluan
– Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi): Pertanian / Perikanan / Pertanian / Perladangan / Komoditi.
– Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi: Sektor perladangan dan pengeluaran hasil komoditi termasuk buah sawit, getah dan lain-lain
– Bank Negara Malaysia: Institusi perbankan, insurans
– Suruhanjaya Sekuriti: Sektor perdagangan saham
– Kerajaan Tempatan: Peniaga kecil / penjaja / pengusaha trak makanan
– Kementerian Komunikasi dan Multimedia: Telekomunikasi / media / pos / kurier / penyiaran
– Kementerian Dalam Negeri: Semua surat yang dikeluarkan oleh agensi di bawah kementerian diterima untuk pergerakan kakitangan
– Polis: Surat kebenaran daripada polis akan dikeluarkan untuk mereka yang bekerja sendiri dan juga kebenaran melintasi sempadan untuk urusan kecemasan dan pengebumian

Beliau berkata semua surat mesti bertarikh dari 1 Jun dan individu tanpa dokumen atau izin yang telah tamat sekiranya ditahan di sekatan jalan akan diperintahkan untuk berpatah balik.

“Bagi pekerja sendiri seperti tukang paip, penyelenggaraan, penjaja tepi jalan yang tiada majikan pula, permohonan kebenaran bergerak perlu diperolehi daripada polis secara ‘one off’ (1 hingga 14 Jun),” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Acryl Sani dilantik ketua polis negara baharu, kuat kuasa 4 Mei

PUTRAJAYA, 30 APRIL: Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara baharu berkuat kuasa 4 Mei ini.

Pelantikan Acryl Sani sebagai Ketua Polis Negara ke-13 adalah bagi menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang tamat kontrak pada 3 Mei ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas menerima nasihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

“Saya nak maklumkan setelah proses dilakukan SPP dan dipersetujui oleh semua ahli Suruhanjaya. Semua setuju Acryl Sani diangkat sebagai Ketua Polis Negara yang baharu termasuk Tan Sri Abdul Hamid Bador,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan surat pelantikan Ketua Polis Negara kepada Acryl Sani di sini hari ini.

Hamzah berkata pelantikan Acryl Sani sebagai Ketua Polis Negara adalah sehingga 3 Oktober 2021 iaitu sehingga tempoh perkhidmatannya dalam polis tamat.

Beliau yang dilahirkan pada 3 Oktober 1961 di Petaling Jaya, Selangor itu berkelulusan Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia dan menyertai Polis Diraja Malaysia pada 2 Februari 1986 sebagai Kadet Assistant Superintendent of Police (ASP).

Acryl Sani telah memegang pelbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Bukit Aman sepanjang perkhidmatan dalam pasukan beruniform itu.

Antara jawatan yang pernah disandangnya adalah Pesuruhjaya Polis Sarawak, Ketua Polis Perak, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil serta Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Unit peronda polis dikerah pantau kenderaan meningkat di lebuh raya

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Susulan peningkatan kenderaan di jalan raya selepas semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi, elemen Peronda Lebuh Raya (EMPV) polis digerakkan ke semua sektor lebuh raya bagi pemantauan dan menyuraikan kesesakan lalu lintas.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata selepas kerajaan membenarkan semua sektor ekonomi beroperasi, pihaknya mengesan peningkatan aliran trafik dan pertambahan kenderaan di semua lebuh raya serta jalan utama di seluruh negara.

“Bagaimanapun, aliran trafik dan kadar kemalangan masih lagi terkawal,” katanya ketika dihubungi Bernama TV baru-baru ini.

Beliau berkata selain itu, unit EMPV digerak bagi menguatkuasakan undang-undang dan peraturan di jalan raya termasuk rondaan cegah kemalangan, menjalankan pemantuhan SOP Op Covid-19 di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) serta kawasan hentian sebelah di lebuh raya.

Selain itu, katanya tindakan penguatkuasaan (operasi) dibuat di peringkat kontinjen negeri dan daerah bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

Pada 1 April lepas, syarat pematuhan 30 peratus kehadiran pekerja di pejabat bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dibatalkan manakala operasi sektor swasta dibenarkan 100 peratus bagi bahagian pengurusan atau penyelia dan bahagian operasi atau sokongan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dalang video promosi judi diburu, lapan individu ditahan

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Lima lelaki dan tiga wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam penggambaran sebuah video yang mempromosikan perjudian secara dalam talian, yang tular di media sosial sejak semalam sehingga membangkitkan kemarahan orang ramai.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata kesemua individu yang ditahan itu dipercayai terlibat sebagai pelakon, ejen artis, juruvideo, jurukamera, produser, pengarah dalam penggambaran video berkenaan.

“Kesemua mereka mengaku menerima bayaran bagi pembikinan video itu yang diadakan di dua lokasi iaitu Ampang dan Hulu Langat, Selangor pada 13 Mac lepas. Usaha mengesan dalang sebenar di sebalik pembikinan video berkenaan masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka direman dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Setakat ini, katanya polis telah menerima 38 laporan berhubung perkara itu.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi kerana siasatan masih dijalankan, dan mereka yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu boleh menyalurkannya kepada polis.

Sementara itu mengulas berkenaan penyebaran sebuah lagi video yang turut mempromosikan perjudian dalam talian yang tular hari ini, Acryl Sani berkata pihaknya sudah mengambil maklum berhubung perkara itu.

“Setakat ini belum ada laporan tetapi saya sudah arahkan satu laporan polis dibuat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Difahamkan hari ini tular di media sosial sebuah lagi video mempromosikan perjudian dalam talian dengan bertemakan perayaan Aidilfitri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis siasat penerbit, pelakon video promosi judi bertema Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil penerbit dan pelakon-pelakon disyaki terlibat dalam sebuah video yang mempromosikan perjudian secara dalam talian yang tular dan mengundang kecaman netizen.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata isu kandungan video berkenaan didapati jelas melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran awam.

Beliau berkata siasatan PDRM akan lebih menjurus kepada penerbit dan para pelakon yang terlibat dalam video itu.

“Mereka akan dikesan dan dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Acryl Sani berkata PDRM menerima satu laporan polis yang dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk menyiasat asal usul video itu.

Menurutnya lagi, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga akan dihubungi bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak berkongsi atau menyebarkan video ini melalui media sosial bagi mengelakkan kegusaran awam,” katanya.

Hari ini, tular di media sosial satu video yang berdurasi selama dua minit satu saat bertemakan Aidilfitri yang mempromosikan perjudian dalam talian.

– BERNAMA

 

Paparan tangkap layar video promosi kegiatan judi dalam talian bertema sambutan hari raya yang tular di media sosial.
Categories
AGENDA NASIONAL

Bazar Ramadan: Tindakan tegas terhadap individu gagal patuh SOP

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Polis akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan, semasa mengunjungi bazar Ramadan di seluruh negara.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis juga menasihatkan orang ramai agar mematuhi SOP yang telah ditetapkan, oleh Majlis Keselamatan Negara semasa di lokasi berkenaan.

“Peniaga juga perlu bertanggungjawab dalam memastikan pengunjung premis mereka sentiasa mematuhi SOP ketika urus niaga, iaitu memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan mengimbas kod QR aplikasi MySejahtera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, setakat semalam pihaknya hanya memberikan peringatan terhadap penganjur dan pengunjung di bazar Ramadan, yang didapati tidak mengikut peraturan yang ditetapkan contohnya tiada penjarakan fizikal.

“(Namun), mulai hari ini dan (hari) seterusnya, kita (polis) akan ambil tindakan terhadap mereka yang tidak mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Acryl Sani dilantik pemangku timbalan ketua polis negara

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai pemangku timbalan ketua polis negara berkuat kuasa hari ini.

Acryl Sani menggantikan Datuk Mazlan Mansor yang bersara wajib bermula esok.

Majlis serah terima tugas jawatan nombor dua tertinggi dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berlangsung di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab PDRM di Cheras dekat sini hari ini, disaksikan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Acryl Sani berpengalaman luas dalam bidang kepolisan dan pernah mengetuai beberapa jabatan di Bukit Aman antaranya Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Jabatan Sumber Strategik serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).

Sementara itu, Abdul Hamid menjelaskan Acryl Sani dilantik untuk memangku sementara menunggu surat perkenan pelantikan beliau daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis berkenaan, Abdul Hamid berkata dua jawatan tertinggi dalam PDRM memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum pelantikan boleh disahkan.

“Saya tidak boleh mendahului Seri Paduka kerana itulah Acryl Sani dilantik memangku jawatan berkenaan (Timbalan Ketua Polis Negara) terlebih dahulu,” katanya.

Mengulas pelantikan itu, Abdul Hamid berkata Acryl Sani mempunyai pengalaman yang cukup luas selain mencatat banyak kejayaan sepanjang perkhidmatannya termasuk dalam membanteras kegiatan penyeludupan.

Kejayaan-kejayaan ini katanya telah menyelamatkan negara daripada kerugian berbilion ringgit.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis tingkat kawalan sempadan Malaysia-Thai sempena Aidilfitri

PASIR MAS, 24 MEI: Polis akan meningkatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand terutama di Kelantan dalam usaha untuk mengekang penyeludupan barangan terlarang terutama dadah, senjata api dan mercun, menjelang ketibaan sambutan Aidilfitri ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibupejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Polis Marin telah diberi arahan supaya meningkatkan kawalan di sempadan terutama sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

“Yang mustahaknya kita beri penekanan terhadap penyeludupan mercun kerana kita pun sedia maklum benda ini merbahaya kepada semua pihak selain ia juga tak beri sebarang faedah.

“Justeru saya dan Ketua Polis Kelantan (Datuk Hasanuddin Hassan) ada berpesan kepada pegawai dan anggota di sini untuk memberi fokus kepada barangan terlarang tadi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Solat Sunat Terawih bersama pegawai dan anggota PGA Batalion 9 di Markas Taktikal PGA di Lubok Stol yang turut dihadiri Hasanuddin dan Komander Briged Tenggara PGA 9 SAC Khaled Che Lah. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis rampas minuman keras RM1.6 juta tanpa cukai

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Polis menahan sembilan lelaki dan merampas 553 kotak minuman keras asli pelbagai jenama mewah dianggar bernilai RM1.6 juta yang diseludup masuk ke negara ini tanpa cukai.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, semua lelaki terbabit ditahan Sabtu lalu di sebuah kilang di kawasan perindustrian Kinrara, Bandar Kinrara, di sini.

Katanya, ketika serbuan, semua mereka yang terdiri daripada lima lelaki Myanmar dan empat rakyat tempatan berumur 26 hingga 57 tahun itu sedang mengemas dan memunggah minuman keras berkenaan.

“Hasil pemeriksaan didapati setiap minuman keras itu tulen, yang diseludup masuk dari negara jiran dan akan dipasarkan di peruncit serta pusat hiburan sekitar Lembah Klang dan di negeri sebelah utara.

“Selain itu, minuman keras ini juga diipercayai dibawa masuk melalui negeri di sebelah selatan dan kegiatan menyeludup ini telah bergiat aktif selama dua tahun,” katanya pada sidang media operasi sindiket seludup minuman keras di Balai Polis Bukit Jalil di sini, hari ini.

Acryl Sani berkata, semua barang diseludup itu dibawa masuk ke negara ini melalui darat dan polis masih menyiasat cara mereka menyeludup masuk ke negara ini.

Selain itu, polis turut merampas dua lori jenis Isuzu dan Hino dipercayai digunakan mengedar barang berkenaan, sebuah jentera Forklift jenis Toyota, dua kereta jenis Hyundai Getz serta Toyota Avanza yang semuanya dianggar bernilai RM186,000.

Katanya, pihaknya turut menemui 2,000 pelekat stem duti kastam yang dipercayai palsu pada semua minuman keras yang dirampas itu.

“Kesemua suspek direman semalam sehingga Rabu ini untuk membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Acryl Sani berkata, ia kejayaan rampasan itu adalah hasil kerjasama orang awam dan polis mengucapkan terima kasih kerana penyaluran maklumat berkenaan sehingga mencapai kejayaan yang besar itu.

Dalam perkembangan lain, polis berjaya mematahkan cubaan seludup masuk 53 karton rokok tanpa cukai dianggar bernilai RM100,000 di Banting, semalam, bagaimanapun tiada tangkapan dibuat.

SUMBER: BERNAMA