Categories
AGENDA NASIONAL

Lapan individu dipanggil polis langgar SOP raya di Batu Caves

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Polis mengambil keterangan daripada lapan individu termasuk lima wanita berhubung pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) ketika meraikan Aidilfitri di sebuah kediaman di Kampung Baru, Batu Caves, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata siasatan dijalankan susulan pihaknya mengesan satu rakaman video berdurasi 16 saat berhubung kejadian itu yang dimuat naik seorang pemilik akaun Instagram pada 3.45 petang semalam.

“Siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 13 Mei lepas kira-kira 3 petang dan perakam yang merupakan menantu kepada pemilik rumah yang merakam keadaan tetamu di dalam dan luar rumah.

“Semakan juga mendapati kesemua tetamu yang berada di dalam rumah itu adalah ahli keluarga suami perakam,” katanya dalam kenyataan.

Arifai berkata siasatan turut mendapati ahli keluarga suami perakam itu tinggal di sebuah rumah berasingan yang jaraknya lebih kurang 20 meter dari rumah berkenaan.

Katanya, lapan individu berusia 18 hingga 55 tahun dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan dan kertas siasatan dibuka mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Terdahulu, tular di laman sosial satu video memaparkan suasana sambutan Hari Raya pertama dengan sekumpulan individu menikmati juadah di meja makan dan perkongsian tersebut mendapat kecaman warganet.

Dalam kenyataan berasingan, Arifai berkata cubaan seorang tahanan lelaki yang merupakan suspek kes rogol untuk melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital Selayang petang semalam gagal berikutan tindakan pantas anggota polis yang mengawalnya.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, tahanan berusia 39 tahun itu bertindak melompat dari katil dan berlari ke arah luar hospital dalam keadaan tangan kiri masih bergari.

Menurutnya, dua anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh yang ditugaskan untuk menjaga suspek mengejar dan menahannya kira-kira 120 meter dari lokasi kejadian.

“Semasa proses tangkapan, berlaku pergelutan dan seorang daripada anggota mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Arifai berkata suspek sebelum itu dimasukkan ke hospital bagi menerima rawatan kerana mengalami penyakit sawan pada Ahad lepas dan ditahan reman tujuh hari di IPD Sungai Buloh, bagi membantu siasatan kes rogol.

Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP raya: Norman Hakim, keluarga dipanggil polis

SHAH ALAM, 18 MEI: Ahli keluarga pelakon Norman Hakim akan dipanggil polis susulan tular gambar ziarah raya yang didakwa melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Aidilfitri.

Ketua polis Daerah Ampang berkata pihaknya menerima satu laporan sambutan hari raya seisi keluarga itu yang disyaki tidak tinggal sebumbung, lapor MStar.

“Aktiviti berkenaan adalah tidak dibenarkan sepanjang PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan.

“Kejadian itu disyaki berlangsung di kediaman selebriti berkenaan yang terletak di Hulu Kelang,” kata Mohamad Farouk Eshak.

Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Sebelum ini, tular di media sosial gambar Norman dan keluarga termasuk bekas isteri Abby Abadi berkumpul pada 1 Syawal yang menjadi pertikaian orang ramai.

Categories
AGENDA NASIONAL

SOP Aidilfitri, rentas daerah diumum minggu depan

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) minggu depan dijangka memutuskan beberapa perkara berkaitan sambutan Hari Raya antaranya tatacara operasi piawai (SOP) Aidilfitri dan rentas daerah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata SOP yang bakal dikeluarkan itu berdasarkan nasihat dan cadangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Hari ini Jawatankuasa Teknikal akan berbincang, kemudian ia akan dibentangkan dalam sidang khas MKN pada Isnin ini yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Selepas ia dibentangkan (sidang khas MKN) barulah kami boleh memutuskan sebarang keputusan dan kami akan mendengar pembentangan KKM mengenai nasihat yang akan diberikan,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Program e-Bakat antara Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) bersama Mgate Emerging Technologies Sdn Bhd dan HRD Corp di Kem Kementah, di sini hari ini.

– BERNAMA