Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Noh boleh jumpa kerani LPHS

OLEH AFIX REDZUAN

BANGI, 9 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali meminta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar bertemu kerani Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dalam masa terdekat.

Jemputan itu bagi memudahkan Noh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pangsapuri perkhidmatan, rumah pejabat (SOHO) dan pejabat maya di rumah (SOVO) yang diturunkan harga.

“Nanti saya suruh Noh Omar jumpa kerani LPHS untuk terangkan kepada dia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Masjid Al-Hasanah Seksyen 9, Bandar Baru Bangi.

Semalam, Noh menerusi media menggesa Kerajaan Selangor mengemukakan data terperinci mengenai penurunan harga tiga jenis hartanah yang diumumkan baru-baru ini.

Katanya, beliau selaku menteri mahu meneliti beberapa perkara, termasuk membandingkan harga ditetapkan dengan keluasan harta tanah itu.

SELANGOR SOHOTerdahulu, Kerajaan Negeri memperkenalkan Dasar Pembangunan Pangsapuri Kediaman Komersial dan Boutique Office mampu milik khusus kepada golongan usahawan muda baru menceburi perniagaan serta tidak memerlukan ruang pejabat besar.

Menerusi polisi baru itu, pemaju diwajibkan membina 10 hingga 20 peratus unit mampu milik pada harga RM230,000 hingga RM270,000 berbanding harga jualan hartanah (SOHO dan SOVO) yang kini melebihi RM450,000 hingga RM500,000.

Meskipun dijual pada harga lebih murah, syarat jualan unit mampu milik itu tetap dikawal Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) dengan unit tersebut hanya dijual kepada mereka yang mendaftar dengan LPHS.

-nR-