Categories
AGENDA NASIONAL

Ahmad Husni: Saya hanya ikut arahan Najib

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menyifatkan wujud elemen “kepimpinan autokratik” yang ditunjukkan Datuk Seri Najib Razak dalam mengendalikan urusan syarikat SRC International Sdn Bhd.

Ahmad Husni, saksi pendakwaan ke-56 berkata, ini ekoran beliau hanya menurut perintah daripada bekas perdana menteri itu dalam urusan SRC.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan mengapa beliau berkata demikian, saksi itu menjawab “Saya jumpa Najib dan tanya dia kenapa SRC memperoleh pinjaman begitu banyak iaitu RM2 bilion daripada KWAP (Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)). KWAP syarikat kerajaan.

“Najib cakap beliau nak memperkasakan bidang tenaga dan arang batu. Saya cakap biarlah arang batu ini syarikat swasta yang kendalikan.

“Ketika itu saya sedar ada elemen autokratik, hanya terima arahan, kita hanya terima arahan sahaja. Seperti yang saya katakan kepimpinan yang dibawa oleh Najib melibatkan SRC iaitu saya hanya menurut perintah, tidak ada berbincang,” katanya.

Ahmad Husni berkata biasanya dalam permohonan pinjaman kepada KWAP, dokumen akan melalui pegawainya dan hanya akan dibawa kepadanya untuk diperiksa.

“Tapi dalam kes SRC, tidak ada dokumen… tidak ada apa-apa, Nik Faisal (Nik Faisal Ariff Kamil, ketua pegawai eksekutif SRC), dia datang jumpa saya sekali sahaja tapi tidak ada sebarang dokumen dia bawa kepada saya. Lepas tu langsung saya tak jumpa dia dah.

“Jadi budaya melibatkan SRC dan 1MDB ni jauh berbeza daripada budaya kerja yang lain… Kalau lihat pelaburan SRC RM4 bilion, di mana pergi RM4 bilion, mula-mula letak dalam bank di Switzerland dan Hong Kong lepas tu saya dapat maklumat pada 2014 baru terlibat dalam arang batu di Jawa dan di Mongolia kemudian ada di Aabar Investment.

“Dalam syarikat di bawah MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan) macam SPNB (Syarikat Perumahan Negara Berhad) buat rumah nampak rumah, tapi SRC terlibat dalam arang batu, kesudahannya mana arangnya,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Muhammad Izzat.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata beliau memerlukan masa untuk berbincang dengan anak guamnya untuk mendapatkan arahan lanjut mengenai keterangan Ahmad Husni itu sebelum memeriksa balas saksi itu.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Khamis.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib sepatutnya tahu wang dideposit ke akaunnya

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa adalah mustahil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan wang yang depositkan ke dalam akaunnya tanpa pengetahuannya.

Bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 48, yang mengendalikan akaun Najib berkata, sebagai pemegang akaun, bekas Perdana Menteri itu sepatutnya tahu apa yang berlaku terhadap akaunnya terutamanya apabila mengeluarkan beberapa cek.

Saksi pendakwaan ke-54 itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram pada hari ke-49 perbicaraan Najib melibatkan salah guna dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Sithambaran : Sebagai pegawai bank, melihat kepada fakta kes ini, adakah mungkin pemegang akaun menggunakan dana tanpa pengetahuan? Kamu perlu tahu yang kamu memerlukan dana (mencukupi) untuk mengeluarkan cek.

Yu : Tidak.

Sithambaran : Adakah terdapat sebarang aduan mengenai mana-mana cek yang dikeluarkan bukan daripadanya (Najib).

Yu : Tiada.

Sithambaran : Adakah Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho) menggunakan cek daripada Najib?

Yu : Saya tidak tahu kerana saya tidak mengetahui semua maklumat daripada cek tetapi daripada apa yang saya lihat setakat ini, tiada.

Sirthambaran : Ada cek yang dibayar kepada Jho Low?

Yu : Tiada.

Sithambaran : Adakah bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil mengeluarkan wang daripada akaun ini?

Yu : Tidak.

Sithambaran : Adalah kamu memindahkan sebarang wang untuk faedah kamu?

Yu : Saya tidak berbuat demikian.

Sithambaran juga menyoal sama ada Najib pernah bertanya mengenai sumber wang dan saksi itu menjawab: “tidak.”

Kepada soalan sama ada mungkin bagi seseorang mengetahui sekiranya terdapat RM395 juta (di dalam akaun), Yu berkata: “Jika seseorang menulis sekeping cek, dia tentunya tahu terdapat dana yang mencukupi,”

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan dihadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib belanja RM606.51 juta dalam tempoh tiga tahun

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Seorang bekas ahli bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini yang mendengar perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd bahawa RM606.51 juta didepositkan dan dibelanjakan oleh bekas Perdana Menteri itu melibatkan tiga bank akaunnya dalam tempoh tiga tahun.

Bekas Pengurus Perhubungan di AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 48, berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaran berhubung jumlah wang yang digunakan oleh tertuduh antara 2013 dan 2015.

Menurut dokumen bank yang dikemukakan di mahkamah, jumlah tepat yang dikreditkan ke dalam itu adalah RM606,510,434.66.

Tiga akaun semasa itu adalah akaun Ambank dengan nombor 2112022011-898, 2112022011-906 dan 2112022011-880.

Sithambaram: Berdasarkan jumlah ini, jumlah keseluruhan dalam ketiga-tiga akaun ini, iaitu kredit dan debit, adalah RM606,510,434.66. Yu menjawab “Ya”.

Berdasarkan penyata bank yang dikemukakan di mahkamah, pecahan jumlah amaun yang dikredit adalah RM109,344,315.26 juta (akaun-898); RM205,200,913.36 juta (akaun-906); dan RM292,365,208.07 juta (akaun-880).

Ketika ditanya sama ada pemegang akaun berkenaan tahu tentang jumlah transaksi membabitkan akaun itu berdasarkan perspektif beliau dan penyata bank, Yu menjawab “Ya”.

Mahkamah turut diberitahu Najib menerima sejumlah RM212,367,697.57 wang asing dalam tempoh sama.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jho Low panggil Najib ‘Big Boss’

KUALA LUMPUR, 29 JUL: Bekas pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa ahli perniagaan yang menjadi buruan pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low memanggil Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai “big boss”.

Joanna Yu Ging Ping, 48, yang pernah menjadi pengurus perhubungan AmBank, berkata demikian ketika peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib membacakan perbualan di BlackBerry Messenger (BBM) bertarikh 30 Mei 2014 antara beliau dan Jho Low.

Harvinderjit: Pada 30 Mei 2014, pada 10.54 Jho Low menghantar mesej ini kepada anda “15 pai Amerika hendak masuk” yang Yu menjawab “Ya sebenarnya Jho Low berkata big boss baru hubungi.”

Harvinderjit : Siapakah big boss

Yu : Dia adalah pemegang akaun

Harvinderjit : Pemegang akaun dirujuk sebagai MNR (Mohd Najib Razak) bukan.

Yu: Tetapi saya tidak pasti siapakah boss yang lebih besar

Harvinderjit : Baiklah, terima kasih.

Saksi ke-54 pendakwaan juga bersetuju dengan andaian peguam itu bahawa berdasarkan perbualan di BBM bertarikh 30 Mei, 2014, Jho Low juga merujuk pound Great Britain sebagai “chip”.

“Chip yang dimaksudkan merujuk kepada pound GB,” Harvinderjit menyoal dan Yu menjawab “ Dia (Jho Low) selalu menggunakan istilah pai untuk merujuk kepada matawang Dolar AS dan sate untuk Ringgit Malaysia.

“Ya, dan akhirnya chip untuk pound GB, semuanya masuk akal,’ kata peguam itu dan Yu menjawab “ok”

Saksi tersebut tidak bersetuju dengan andaian peguam bahawa Nik Faisal Ariff Kamil, yang merupakan bekas ketua pegawai eksekutif SRC, bahawa dia bukan orang penting dalam operasi akaun Najib.

Harvinderjit berkata mengikut perbualan di BBM antara Yu dan Nik Faisal pada 13 Januari, 2015, Nik Faisal berkata “ Saya bukan orang penting.”

“Itulah apa yang dia katakan tetapi saya tidak bersetuju dengannya,” kata Yu.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salahguna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung pada Rabu. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jho Low nampak terdesak elak cek Najib ‘ditendang’

KUALA LUMPUR, 29 JUL: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan yang sedang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho atau Jho Low kelihatan terdesak untuk menghentikan cek bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dari tiga akaun AmBank, daripada “ditendang”.

Saksi yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 48, memberikan kenyataan itu berdasarkan kepada beberapa beberapa perbualan menerusi BlackBerry Messenger (BBM) antara beliau dengan Jho Low, lelaki yang menegur beliau bagi memastikan cek yang diisu dari tiga akaun Najib tidak boleh ‘ditendang’.

Akaun-akaun berkenaan, tiap satu dengan nama kod tertentu, yang terdiri daripada Y1MY bagi akaun yang nombornya berakhir dengan angka 808, dan MY yang berakhir dengan angka 906, disahkan oleh saksi pendakwaan ke-54 itu semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh di hari ke-44 perbicaraan Najib terhadap tujuh pertuduhan salah guna dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM42 juta.

Harvinderjit: Pada 21 January 2014, Jho Low menghantar pesanan kepada anda “Bagaimana harus kita salurkan wang ke dalam akaun Y1MY?” dan anda menjawab “Sudah minta cawangan supaya jangan tolak cek” di mana ahli perniagaan itu pula menjawab “Ya, tolong jangan tolak cek”.

Yu: Ya.

Harvinderjit: Pada 30 Jun 2014, teks dari Jho Low berbunyi “Pastikan cek tidak ditendang” dan anda menjawab “Sudah minta cawangan, mungkin perlu tunggu sehingga 11.30 pagi” dan dalam satu lagi pesanan, dia menghantar teks “Tolong luluskan cek, jangan tolak ia walau apa pun” dan anda menjawab “Sudah minta cawangan tunggu selama yang boleh”.

Harvinderjit: Kemudian pada hari yang sama dia menghantar pesanan, “Aiyoh, jangan tolaklah, Nanti sebentar dahulu”. Semuanya berlaku (di hari yang sama).

Yu: Ya.

Harvinderjit: Ada unsur kecewa dalam pesanan ini?

Yu: Saya beritahu dia, waktu terakhir ialah 5.30 petang.

Harvinderjit: (Jho Low nampak) amat terdesak?

Yu: Saya percaya begitulah.

Pada satu ketika berdasarkan perbualan BBM yang dibacakan di mahkamah oleh Harvinderjit, Jho Low turut mengingatkan Yu supaya memberitahu bekas Pengarah Urusan Kumpulan AmBank, Ashok Ramamurthy, bahawa “Cek MNR tidak boleh ditendang”. MNR digunakan oleh Jho Low bagi merujuk kepada Mohd Najib Razak.

Terdahulu mahkamah diberitahu bagaimana akaun Najib sering ‘terlebih pengeluaran’ sehingga sering memaksa Yu menghubungi Jho Lo atau pemegang mandat akaun Nik Faisal Ariff Kamil bagi menyelesaikan isu itu.

Yu berkata, Jho Low turut mengarahkan beliau supaya memusnahkan buku cek Najib bagi akaun 2013, di mana saksi itu tidak melakukannya.

Harvinderjit: Jho Low minta anda memusnahkan buku cek lama, tapi anda tidak melakukannya?

Yu: Biasanya ia akan dihantar balik ke cawangan untuk menyemak duti stem yang tertera di mukasurat yang tinggal.

Harvinderjit: Kenapa anda tidak musnahkannya?

Yu: Ia bukan cek saya.

Harvinderjit: Kenapa anda tidak beritahu dia “kita tidak boleh musnahkannya”?

Yu: Selepas menutup mana-mana akaun, menjadi amalan biasa bagi kami untuk menghantar buku cek itu balik ke cawangan.

Perbicaraan di hadapa Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Rabu. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jho Low sebut dolar US, RM sebagai ‘pie’ dan ‘satay’

KUALA LUMPUR, 29 JUL: Bekas Pengurus Perhubungan AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low, merujuk dollar US dan Ringgit sebagai ‘pie’ dan ‘satay’ bila mengendalikan transaksi membabitkan akaun Datuk Seri Najib Tun Razak.

Joanna Yu Ging Ping, 48, berkata, demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh pada hari ke-45 perbicaraan bekas Perdana Menteri itu berkaitan pelesapan wang RM42 juta dari dana SRC International Sdn Bhd.

Yu merujuk kepada log bualan di Blackberry antara beliau dan Jho Low, di mana Jho Low menggunakan istilah ‘pie’ dan ‘satay’ terutama berkaitan aliran masuk wang asing yang besar ke dalam akaun Najib.

Harvinderjit: Mengapa gunakan sebutan nama ‘pie’ dan ‘satay’?

Yu: Itu apa yang Jho Low gunakan dalam bualan Blackberry messenger.

Harvinderjit: Pie, Dollar US, satay adalah ringgit?

Yu: “Ya”.

Harvinderjit menerangkan satu arahan oleh Jho Low bagi memindahkan dana RM50 juta setiap satu ke dalam tiga akaun Najib dengan Jho Low merujuk kepada RM50 juta sebagai 50 satay”.

Sebelum itu, Jho Low merujuk kepada dollar US sebagai “pie” bila pengembalian US$620 juta diuruskan.

Najib, 66, menghadapi tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukannya, dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

RM1.13 bilion dipindah ke akaun Najib antara 2011 dan 2013

KUALA LUMPUR, 29 JUL: Bekas pegawai bank yang menguruskan akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa sebanyak RM1.13 bilion telah dipindahkan ke akaun Najib antara 2011 dan 2013.

Joanna Yu Ging Ping, 48, yang juga bekas Pengurus Perhubungan AmBank berkata, Najib menerima US$369.99 juta menerusi beberapa pemindahan wang antara 2011 dan 10 Januari 2013.

Saksi ke-54 itu berkata demikian semasa diperiksa balas oleh peguam Najib, Harvinderjit Singh, pada hari ke-45 perbicaraan Najib terhadap tujuh pertuduhan menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Harvinderjit : Jumlah semua mata wang asing yang dipindahkan ke akaun Najib yang bernombor akhir 694 ialah US$369.99 juta?

Yu : Ya.

Harvinderjit : Dan jumlah itu bersamaan dengan RM1.136 bilion?

Yu : Ya.

Sebelum itu, Yu juga mengesahkan bahawa US$100 juta telah dipindahkan ke akaun semasa Najib yang nombor akhirnya 694 itu pada 2011.

Harvinderjit menyoal Yu untuk mengesahkan bahawa akaun Najib menerima kira-kira US$100 juta pada 2011, menerusi dua pemindahan wang sebanyak US$10 juta masing-masing, satu pemindahan sebanyak US$50 juta dan satu lagi pemindahan wang sebanyak US$30 juta dan saksi berkenaan mengesahkan jumlah itu.

Sementara itu, Yu berkata, ahli perniagaan yang juga orang buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low memainkan peranan penting dalam membuat keputusan bagi pengurusan akaun Najib.

Yu berkata, bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil yang juga pemegang mandat bagi akaun-akaun itu seolah-olah seperti seseorang yang hanya menjadikan arahan-arahan itu rasmi.

Harvinderjit : Kamu kata “Jho menghantar kepada saya semua arahan-arahan ini, saya katakan kepadanya supaya memberitahunya kepada Nik Faisal. Kenapa kamu menyuruh Jho?

Yu : Pada fikiran saya, mereka telah membincangkan perkara itu.

Harvinderjit : Perbualannya ialah kamu menerangkan kepada seseorang yang tiada pengetahuan mengenainya?

Yu : Mungkin…ya.

Harvinderjit: Saya menganggap kamu mendapat semua maklumat ini daripada Jho dan kamu menjadikannya rasmi dengan Nik Faisal?

Yu : Ya.

Harvinderjit : Adakah kamu bersetuju bahawa arahan-arahan itu datang daripada Jho dan Nik Faisal hanya menjadikannya rasmi?

Yu : Nampaknya macam itulah.

Najib, 66, menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

FB: Pendakwaan fail permohonan minta Najib mohon maaf

KUALA LUMPUR, 26 JUL: Pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd mengemukakan permohonan rasmi bagi menuntut Datuk Seri Najib Tun Razak memohon maaf kepada mahkamah kerana menyiarkan hantaran di laman Facebooknya berhubung keterangan saksi melibatkan penggunaan kad kredit miliknya.

Melalui permohonan yang difailkan semalam, Pendakwa Raya memohon Mahkamah Tinggi mendengar secepat mungkin usul pihaknya supaya bekas Perdana Menteri itu memohon maaf sendiri terhadap penerbitan subjudis dalam Facebook miliknya pada 9.30 malam, 15 Julai lalu dan 11.23 pagi, pada 17 Julai lepas.

Pendakwa Raya juga memohon perintah supaya Najib dihalang daripada menerbitkan atau menyebabkan pernyataan itu diterbitkan berkaitan keterangan dikemukakan saksi dalam perbicaraan kes SRC yang dihadapinya.

Pendakwa Raya selaku pemohon juga memohon perintah, bahawa Najib yang dinamakan sebagai responden yang menyebabkan penerbitan yang dipersoalkan itu dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat dalam afidavit sokongan yang diikrarkannya berkata, kedua-dua penerbitan itu jika dibaca secara keseluruhan, adalah jelas menunjukkan cubaan Najib untuk membuat pembelaan melalui media sosial dan mengulas keterangan dikemukakan di mahkamah.

“Adalah amat jelas perkara ini adalah subjudis dan berniat untuk mempengaruhi keterangan di mahkamah dan mendapatkan sokongan daripada orang awam untuk memberikan tekanan dan dorongan terhadap keputusan mahkamah.

“Adalah jelas bahawa tindakan sedemikian adalah tidak sesuai dan satu campur tangan terhadap pentadbiran keadilan dan proses perundangan.

“Dua penerbitan dipersoalkan itu terjumlah kepada ulasan dan pendedahan berkaitan prosiding kehakiman yang memprejudiskan serta terlebih dahulu, sudah membuat penghakiman,” katanya.

Katanya, penerbitan yang dipersoalkan itu adalah berhubung perkara yang akan diputuskan mahkamah, dan ia menceroboh perkara bagaimana isu itu patut diputuskan atau ditangani.

Muhammad Izzat berkata, ia secara langsung memprejudiskan keputusan prosiding yang menyebabkan risiko besar terhadap campur tangan ke atas proses perundangan dan keadilan.

Pada 18 Julai lalu, Peguam Negara Tommy Thomas memohon Mahkamah Tinggi mengeluarkan arahan supaya Najib memohon maaf kepada mahkamah, bagaimanapun pada 23 Julai lalu Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan bahawa ia lebih baik difailkan melalui permohonan rasmi.

Dalam prosiding sebelum ini Thomas berkata, Najib memuat naik hantaran yang menjelaskan keterangan saksi pendakwaan ke-47, iaitu Naib Presiden Kanan Kumpulan Ambank, Yeoh Eng Leong berhubung penggunaan kad kredit milik Najib dengan menyatakan bahawa ia digunakan bagi membeli hadiah untuk kerabat diraja luar negara.

Beliau berkata pendakwaan menuntut permohonan maaf tanpa bersyarat daripada tertuduh di atas tindakannya dan satu aku janji untuk tidak mengulanginya.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pendakwaan akan fail permohonan formal tuntut Najib mohon maaf

KUALA LUMPUR, 23 JUL: Pasukan pendakwaan di perbicaraan SRC Datuk Seri Najib Tun Razak akan memfail permohanan formal meminta satu perintah mahkamah bagi mendesak bekas perdana menteri itu memohon maaf kerana postingnya di Facebook yang beliau buat minggu lepas berhubung perbelanjaan kad kreditnya.

Bagaimanapun, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar kes itu di Mahkamah Tinggi di sini, mahukan pihak pendakwaan menjelaskan apa sebenarnya yang mereka pohon daripada mahkamah.

“Apa bentuk permohonan? Anda mahu tertuduh memohon maaf daripada mahkamah?” tanya hakim kepada Peguam Negara (AG), Tommy Thomas, yang mengetuai pasukan pendakwaan pada hari ke-42 perbicaraan.

“Kami mahukan permintaan maaf atas beberapa posting yang lepas dan janji yang beliau tidak akan lakukannya lagi pada masa depan,” kata Thomas.

Mohd Nazlan: Permohanan ini amat kabur… Tidak ada penjelasan tentang apa yang ofensif atau apa yang boleh dianggap sub judice. Lebih baik (buat) satu permohonan formal oleh pihak pendakwaan.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata AG tidak memfail sebarang aduan terhadap tertuduh.

“Pendakwaan mahu anak guam saya memohon maaf tetapi anak guam saya tidak tahu apa kesalahan dilakukannya,” kata beliau.

Beliau menyatakan memohon maaf boleh nanti dianggap satu pengakuan salah laku, sedangkan tidak ada apa-apa yang telah dipastikan terhadap anak guamnya.

Thomas kemudian berdiri dan menegaskan pendakwaan akan membuat permohonan formal berhubung perkara itu.

“Minggu lepas saya buat satu permohonan oral dan pada masa itu, pembelaan tidak meminta permohonan formal… tak apa, kami akan fail permohonan formal,” katanya.

Mohd Nazlan: Ya… Itu lebih baik sebab mahkamah perlu membuat satu keputusan (mengenai perkara itu).

Najib, 66, menghadapi tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukannya dan tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan bersambung. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih RM150 juta dimasuk ke dalam akaun peribadi Najib pada 2014, 2015

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Seorang bekas pengurus bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa sejumlah besar wang melebihi RM150 juta telah didepositkan ke dalam tiga akaun AmBank “tersembunyi” milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada 2014 dan 2015.

Bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 48, memberitahu bahawa akaun perbankan peribadi Najib yang berakhir dengan 694, yang ditutup pada 2013, telah memindahkan kedua-dua jumlah itu ke akaun lain miliknya yang nombor berakhir 880 tetapi ia digunakan sepenuhnya kerana bakinya susut kepada RM736.17 pada 30 September 2014.

Merujuk kepada penyata akaun bank untuk akaun Najib dengan nombor berakhir 694, 880 dan 906, Yu mengesahkan akaun perbankan yang nombor berakhir 906 menerima sejumlah RM6,779,063 antara Jun 2014 dan Mac 2015, sementara akaun yang nombor berakhir 880 merekodkan kemasukan RM5.6 juta melalui deposit tunai pada Januari dan Februari 2015.

Menurut Yu, terdapat 20 buku cek bagi setiap akaun, berjumlah 80 buku cek untuk kesemua empat akaun, termasuk akaun peribadi lain yang berakhir dengan 898, milik Najib.

Saksi ke-54 pendakwaan memberitahu demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram pada hari ke-41 perbicaraan Najib, berhubung penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Yu berkata, pada Disember 2014, bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn. Bhd. Nik Faisal Ariff Kamil (Nik) telah menulis kepada bank untuk menjelaskan sumber wang tunai yang dimasukkan ke dalam akaun Najib.

“Nik berbuat demikian kerana institusi kewangan tersebut tidak selesa dengan jumlah deposit tunai yang tinggi dalam tiga akaun bank milik Najib dengan nombor berakhir 880, 898 dan 906.

“Dana itu adalah daripada dana peribadi Datuk Seri,” katanya.

Sithambaram: Adakah bayaran tunai sering dibuat ke dalam akaunnya (Najib)?

Yu: Ya, apabila akaun terlebih keluar dan dana tidak mencukupi.

Sithambaram: Secara amnya adakah bayaran tunai dibenarkan?

Yu: Ia hanya dibenarkan jika ia benar-benar terlepas pandang. Bagaimanapun ini jarang berlaku dan perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan.

Sithambaram: Laporkan kepada siapa?

Yu: Jika tak silap tekaan saya ialah kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bergantung pada keperluan mereka.

Sithambaram: Siapa yang biasanya mengatur pembayaran tunai ke dalam akaun Najib?

Yu: Oleh Nik atau Jho (Jho Low), tetapi ia sentiasa dideposit oleh seorang lelaki bernama Tee Kok Keong.

Yu berkata Jho Low adalah bekas penasihat kepada lembaga pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Saksi itu juga berkata Najib tidak mempunyai kemudahan overdraf dan sekiranya berlaku overdraf dalam akaunnya, pihak bank akan memaklumkan kepada pemegang amanah iaitu Nik Faisal, atau Jho Low jika Nik Faisal tidak dapat dihubungi, dan deposit tunai akan diuruskan.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib, saksi itu berkata pengarah urusan bank ketika itu, Ashok Ramamurthy telah memberi peringatan berhubung akaun Najib disebabkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang mendorongnya memberitahu Jho Low bahawa akaun bank itu harus ditutup.

Beliau menambah bahawa sejumlah besar dan kekerapan overdraf deposit tunai ke dalam akaun itu merupakan salah satu sebab akaun tersebut perlu ditutup.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jho Low mahu akaun Najib dikenali dengan kod nama

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low, mahu akaun bank Datuk Seri Najib Tun Razak dikenali dengan nama kod atas alasan kerahsiaan.

Perkara berkenaan didedahkan bekas pengurus perhubungan Ambank Berhad, Joanna Yu Ging Ping, 48, pada hari ke-41 perbicaraan kes Najib berkaitan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Semasa membaca kenyataan saksinya, Yu berkata, berdasarkan urusannya dengan portfolio pelanggan korporat, nama kod “AmPrivate Banking-MR” digunakan untuk akaun semasa, yang merupakan kali pertama akaun individu diberi nama kod.

“Nama kod digunakan berdasarkan permintaan yang dibuat Jho Low yang meminta agar akaun tersebut dikenali berdasarkan nombor akaun itu bukan dengan nama pemegang akaun untuk memastikan kerahsiaan.

“Saya kemudiannya memeriksa dengan bahagian operasi Ambank sama ada boleh dilakukan dan saya dimaklumkan bahawa nama kod itu boleh diberikan tetapi akaun itu masih mempunyai identiti pemegang akaun.

“Saya tidak pasti siapa yang memutuskan nama kod itu. Saya kemudian dimaklumkan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Ambank Group, Cheah Tek Kuang bahawa Gabenor Bank Negara Malaysia ketika itu telah dimaklumkan mengenainya,” katanya.

Mengenai akaun simpanan (nombor akaun 211-002-009048-1) dan akaun semasa (211-202-200969-4), Yu berkata, Najib mengeluarkan surat mandat bertarikh 10 Mac 2011.

Menurut surat itu, bank membenarkan Nik Faisal Ariff Kamil membuat pertanyaan bagi pihak Najib berhubung status dan maklumat akaun berkenaan, dan mengesahkan semua cek yang dikeluarkan pada jumlah melebihi RM250,000.00.

Surat itu juga menyatakan bahawa bank harus menjelaskan/mengesahkan semua cek yang dikemukakan sehingga RM250,000.00 tanpa merujuk kepada Najib dan/atau Nik Faisal.

Nik Faisal adalah bekas pengarah dan ketua pegawai eksekutif SRC.

Ketika ditunjukkan surat mandat bertarikh 10 Mac 2011 itu oleh Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed semasa pemeriksaan utama, Yu mengesahkan bahawa surat itu yang dimaksudkannya.

Saksi ke-54 itu berkata, pada 2011, Najib mempunyai satu akaun simpanan, satu akaun semasa dan dua kad kredit dengan AmBank.

“Pada Jun atau Julai 2013, saya dimaklumkan oleh Nik Faisal bahawa Najib telah mengarahkan untuk menutup akaun simpanan dan akaun semasa itu serta membuka tiga akaun semasa baru untuk Najib.

“Saya kemudiannya memberikan borang yang diperlukan kepada Nik Faisal yang kemudiannya memulangkan borang lengkap diisi kepada saya yang mempunyai tandatangan Najib. Saya mengemukakan borang dan dokumen itu ke cawangan untuk tindakan selanjutnya,” kata beliau.

Yu berkata tiga akaun semasa yang dibuka pada 2013 mempunyai nombor akaun berikut dan nama kod yang ditetapkan.

“211-202-201188-0 merujuk kepada AmPrivate Banking-1MY, 211-202-201190-6 bagi AmPrivate Banking-MY dan 211-202-201189-8 untuk AmPrivate Banking-Y1MY,” katanya.

Yu berkata berhubung dengan nama kod yang digunakan bagi tiga akaun semasa baharu, beliau dimaklumkan oleh Nik Faisal bahawa Najib telah mengarahkan AmBank untuk mengekalkan spesifikasi nama kod yang sama yang digunakan untuk akaun semasa yang dibuka pada 2011 untuk memastikan kerahsiaan.

Saksi itu berkata sejak 2010, beliau telah menguruskan akaun berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai antara kumpulan pelanggan korporat bank. Najib kemudian menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Yu berkata, beliau bertemu Jho Low pada 2008 sebelum menguruskan 1MDB.

Kepada soalan tambahan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram, Yu berkata selain Nik Faisal, beliau berkomunikasi dengan Jho Low mengenai perkara yang berkaitan dengan tiga akaun Najib.

Sithambaram: Kenapa menghubungi Jho Low yang bukan pemegang akaun atau pemegang mandat?

Yu: Beliau yang membantu semasa akaun dibuka….kerap menghantar pesanan berhubung butiran akaun Najib kepada saya.

Sithambaram: Terdahulu anda telah menghubungi Jho Low…siapa yang memberi anda mandat?

Yu: Ia diberikan pemegang mandat Nik Faisal.

Sithambaram: Siapa penandatangan tunggal untuk mengeluarkan cek daripada akaun semasa Najib?

Yu: Najib.

Kepada soalan lain, saksi itu berkata beliau tidak menerima sebarang aduan mengenai cek yang tidak dibenarkan dikeluarkan oleh mana-mana pihak ketiga bagi pihak Najib.

Sithambaram: Nik Faisal boleh mengeluarkan wang dari akaun Najib?

Yu: Tidak, dia tidak boleh.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pinjaman SRC RM3.95 bilion tidak ikut dasar KWAP – Bekas CEO

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Surat permohonan oleh SRC International Sdn Bhd untuk pinjaman RM3.95 bilion tidak memenuhi dasar keperluan prosedur oleh Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), demikian Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Bekas CEO KWAP, Datuk Azian Mohd Noh berkata, ini kerana sebarang permohonan pinjaman perlu dialamatkan kepada KWAP sedangkan permohonan pinjaman oleh SRC dalam sepucuk surat bertarikh 3 Jun 2011, ditandatangani oleh pengarah SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dialamatkan kepada perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pegawai wanita itu menyatakan demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff pada perbicaraan hari ke-19 Najib yang menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Ishak : Permohonan ini tidak ikut polisi pinjaman KWAP seperti yang Datuk nyatakan di perenggan 10, dalam pernyataan saksi, sebab datuk kata tadı kena kemukakan kepada KWAP?

Azian : Ya, surat berkenaan (permohonan pinjaman) tidak memenuhi syarat KWAP bagi prosedur ini.

Membacakan pernyataan saksinya, Azian berkata beliau menerima surat asal permohonan SRC itu daripada pegawai Khas Najib, Datuk Azlin Alias (Arwah) dalam bulan Jun 2011.

Katanya, beliau dimaklumkan oleh Arwah Azlin bahawa Perdana Menteri pada masa itu Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju dengan cadangan permohonan dari SRC dan beliau telah dirujuk kepada catitan atas surat itu yang Arwah Azlin memberitahu ianya dibuat oleh Najib sendiri.

“Surat yang saya terima itu merupakan surat permohonan pinjaman yang disediakan oleh SRC dan dialamatkan kepada Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia untuk mendapatkan pinjaman KWAP sebanyak RM3.95 bilion bagi tujuan modal pusingan dan pelaburan am tanpa had.

“Surat berkenaan ditandatangani oleh Pengarah SRC bernama Nik Faisal Ariff Kamil. SRC pada ketika itu adalah syarikat milik penuh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mana 1MDB merupakan syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD),” katanya.

Azian, 66, yang kini telah bersara berkata (pada) surat bertarikh 3 Jun 2011 terdapat catatan tulisan tangan serta tandatangan Najib yang ditujukan kepadanya selaku CEO KWAP dan menyatakan “bersetuju dengan cadangan ini” yang bertarikh 5 Jun 2011.

“Mengikut pemahaman saya, catatan “bersetuju dengan cadangan ini” bermaksud Perdana Menteri bersetuju untuk KWAP memberikan pinjaman kepada SRC. Saya menerima surat permohonan itu dan keesokan hari pada waktu pagi saya berjumpa dengan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah iaitu Pengerusi KWAP dan memaklumkan beliau berkenaan surat itu.

“Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz turut menyatakan bahawa beliau sedia maklum perkara tersebut kerana diberitahu sendiri oleh Datuk Seri Najib sebelum ini. Saya kemudian diarahkan oleh Tan Sri Dr Wan agar KWAP dapat mengkaji permohonan tersebut dan dikemukakan untuk pertimbangan dan keputusan Panel Pelaburan KWAP,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-38 itu juga berkata penilaian oleh Jabatan Pendapatan Tetap KWAP telah menentukan bahawa KWAP hanya dapat menyediakan pinjaman berjumlah RM1 bilion sahaja setelah mengambil risiko pembayaran, risiko negara, risiko industri dan risiko “over concentration” yang tinggi berkaitan jumlah pinjaman yang dimohon oleh SRC berjumlah RM3.95 bilion.

Pegawai wanita itu berkata salah seorang ahli panel pelaburan telah memberikan pendapat supaya Najib dimaklumkan yang KWAP mencadangkan pinjaman pembiayaan RM1 bilion sahaja kepada SRC.

“Oleh itu, Tan Sri Dr Wan telah memaklumkan saya untuk mengikut beliau sekali untuk berjumpa Datuk Seri Najib.

“Tidak lama selepas itu, saya dan Tan Sri Dr Wan telah pergi berjumpa dengan Datuk Seri Najib di Pejabat Perdana Menteri. Kami telah memaklumkan tentang hasil keputusan Panel Pelaburan KWAP yang hanya meluluskan pinjaman pembiayaan sejumlah RM1 bilion. Namun, saya tidak ingat tarikh sebenar perjumpaan kami,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun Kertas Panel Pelaburan Khas KWAP disediakan untuk pertimbangan bagi kelulusan pinjaman RM2 bilion kepada SRC untuk tujuan ‘working capital’ dan ‘general investments’.

Kepada satu soalan oleh Ishak, saksi itu berkata adalah mustahil baginya ‘merungkai’ (decipher) kandungan surat itu secara terperinci oleh kerana beliau berjumpa Arwah Azlin waktu malam dan pertemuan berlaku selama 45 minit.

Ishak : Datuk tak dapat ‘decipher’ surat itu walau berjumpa 45 minit?

Azian : Saya baca tapi tidak secara detail mengenai KWAP policy or anything

Ishak : Lepas balik ofis ada Datuk maklumkan Azlin bahawa surat itu tidak ikut prosedur, tidak ikut kriteria polisi KWAP dan tidak dapat dipertimbangkan oleh KWAP?

Azian : Saya tidak maklumkan.

Ishak : Walaupun Datuk sedar, surat tidak ikut prosedur kenapa tak maklumkan?

Azian : I cannot recall why (saya tidak ingat mengapa).

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

— BERNAMA