Categories
AGENDA NASIONAL

Kes 1MDB Najib sambung 29 Jun, tumpu isu SRC

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadualkan disambung di Mahkamah Tinggi hari ini, dilapangkan bagi memberi laluan kes SRC International Sdn Bhd yang turut dihadapi bekas perdana menteri itu.

Penangguhan itu susulan permohonan peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah supaya mahkamah melapangkan perbicaraan kes berkenaan setelah pasukan pembelaan masih belum selesai mengemukkan hujah lisan dalam kes SRC International.

“”Mengenai penghujahan dalam kes SRC International, hari ini kami (pembelaan) akan meneruskannya dan berharap akan berlangsung sepanjang hari. Oleh itu, kami dengan hormat meminta agar perbicaraan kes 1MDB ini dilapangkan,” katanya kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 29 Jun bagi mendengar kes 1MDB itu.

Pendakwaan diwakili Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Apabila perbicaraan kes 1MDB itu disambung semula, Muhammad Shafee dijangka meneruskan pemeriksaan balas saksi pendakwaan kesembilan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Di Mahkamah Tinggi yang lain, Najib dibicarakan atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan menyalahguna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Kes berkenaan kini di peringkat penghujahan lisan di akhir kes pembelaan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bicara SRC Najib dilapangkan, beri laluan kes 1MDB

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC) yang sepatutnya bermula hari ini dilapangkan.

Perkara itu dimaklumkan peguam Nur Syahirah Hanapiah, yang mewakili Najib kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan hari ini.

Peguam itu berkata mahkamah telah menghantar notis kepada pihak-pihak yang terlibat pada 13 Mei lepas bagi memaklumkan mengenai tarikh perbicaraan yang telah dilapangkan.

“Ini berikutan mahkamah memberi keutamaan untuk kes lain melibatkan Datuk Seri Najib yang sedang dalam perbicaraan antaranya kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan laporan audit,” katanya.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah menetapkan 27 Julai depan untuk pengurusan kes yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 13 hari bermula 2 sehingga 25 Jun untuk perbicaraan kes itu.

Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta, yang digunakan untuk aktiviti tidak mengikut undang-undang, dalam tiga akaun AmPrivate Banking milik beliau.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Najib juga menghadapi tujuh pertuduhan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC iaitu tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan membabitkan dana itu.

Kes itu di peringkat hujahan lisan di akhir kes pembelaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SRC: Najib tidak lapor polis dakwa tandatangan palsu

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau tidak membuat laporan polis berhubung apa yang didakwanya bahawa tandatangannya dipalsukan dalam minit mesyuarat pemegang saham SRC International Sdn Bhd.

Najib, 67, bagaimanapun, berkata beliau tidak membangkitkan perkara itu dengan peguam belanya.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V. Sithambaram sama ada beliau membuat laporan polis berhubung dakwaan tandatangan beliau dalam minit itu telah dipalsukan.

Sithambaram: Adakah anda memaklumkan kepada peguam bela anda bahawa dokumen (yang Najib dakwa mengandungi tandatangannya yang dipalsukan) tidak sepatutnya wujud?

Najib: Kami ada membincangkannya, ya.

Sithambaram: Oleh kerana dokumen itu tidak wujud, adakah anda buat laporan polis?

Najib: Tidak, berikutan perbicaraan sedang dijalankan.

Terdahulu, Najib mendakwa dokumen itu mungkin dipalsukan kerana beliau tidak ditunjukkan sebarang minit mesyuarat SRC International untuk ditandatangani.

Ditanya sama ada beliau melantik mana-mana pakar untuk memeriksa ketulenan tandatangan yang didakwa miliknya pada dokumen itu, Najib berkata beliau tidak ingat waktunya yang tepat.

Pada peringkat itu, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mencelah dengan bertanya Najib soalan yang sama (berhubung pelantikan pakar): “Adakah ini semasa pendakwaan kes?”

Najib menjawab: “Ya”.

Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International, membabitkan tiga pertuduhan jenayah pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya berkaitan dana SRC.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerana konjunktivitis, perbicaraan SRC Najib ditangguh Isnin

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd, Datuk Seri Najib Razak ke Isnin depan kerana bekas perdana menteri itu mengalami konjunktivitis pada kedua-dua belah matanya.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menangguhkan perbicaraan itu atas alasan kesihatan Najib dan ia tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.

Muhammad Shafee memohon penangguhan memandangkan anak guamnya mendapat cuti sakit tiga hari sehingga Jumaat.

“Yang Arif, pagi ini pada 7.45 pagi, saya terima panggilan daripada Datuk Seri Najib, yang jelas kedengaran tidak sihat dan beliau memaklumkan kepada saya, dia mengesyaki mengalami konjunktivitis di kedua-dua matanya.

“Ini mungkin berlaku semalaman kerana saya difahamkan oleh Dr Balqis, pakar mata dari Mid Valley, yang (jangkitan) itu dihadapi semalam,” katanya.

Muhammad Shafee juga berkata sijil sakit dan gambar keadaan mata Najib diterima melalui WhatsApp dan menunjukkan kepada Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram.

“Di pihak pendakwaan, saya mengesahkan ia kelihatan sangat serius di kedua-dua mata. Disebabkan keadaan kesihatan tertuduh, pihak pendakwaan menyokong permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan,” kata Sithambaram.

Mohd Nazlan bertanya sama ada Najib boleh sembuh pada Jumaat dan Muhammad Shafee menjawab doktor menasihati anak guamnya supaya tidak bersentuhan dengan sesiapa kerana keadaannya boleh berjangkit.

“Memandangkan alasan untuk permohonan penangguhan kerana masalah kesihatan dan tidak dibantah pihak pendakwaan, mahkamah tidak mempunyai pilihan selain untuk menangguhkan prosiding ini dan menetapkan kes pengurusan pada Isnin,” kata hakim.

Muhammad Shafee berkata pihak pembelaan masih memerlukan kira-kira dua hari untuk menyoal balas saksi terakhir pendakwaan, Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Rosli Husain, 54.

Pihak pendakwaan sepatutnya meneruskan pemeriksaan utama ke atas Rosli pada hari ke-53 perbicaraan kes itu hari ini.

Pada 9 pagi Isnin, pihak pembelaan dan pendakwaan akan hadir di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah, hakim yang akan mengendalikan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mengetahui sama ada hakim akan melepaskan tarikh perbicaraan 1MDB untuk memberi laluan bagi kes SRC dihabiskan terlebih dahulu memandangkan mahkamah sekarang sedang mendengar keterangan saksi terakhir pendakwaan.

Perbicaraan kes 1MDB dijadual bermula pada Isnin.

Pengurusan kes SRC akan bermula pada 10 pagi selepas pihak berkenaan hadir di hadapan Hakim Sequerah.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Beliau juga menghadapi empat pertuduhan rasuah dan 21 tuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Peguam: Najib mengaku RM42 juta daripada SRC masuk akaun peribadi

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Seorang peguam memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Datuk Seri Najib Razak mengaku dalam saman fitnah yang difailkan terhadap bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik bahawa RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Peguam Ranjit Singh, yang bertindak bagi pihak Dr Ling dalam saman itu berkata, bekas Perdana Menteri itu membuat pengakuan itu dalam satu afidavit sebagai respond kepada kenyataan pembelaan yang dikemukakan oleh anak guamnya.

Saksi pendakwaan ke-55 itu berkata demikian semasa pemeriksaan ketua oleh pendakwa ad-hoc Datuk V.Sithambaram pada perbicaraan hari ke-45 Najib berhubung penyelewengan wang RM42 juta milik dana SRC.

Semasa dibaca afidavit Najib, saksi berkata, Najib mengaku dalam afidavit sumpah bahawa wang RM42 juta itu adalah daripada SRC.

“Najib juga berkata antara 24 Disember 2014 dan 6 Februari 2015, sejumlah RM42 juta dipindahkan ke dalam akaunnya menerusi dua perantara.

“Bagaimanapun, Najib berkata beliau tidak ada pengetahuan peribadi bahawa wang itu dimasukkan ke dalam akaunnya menerusi dua pengantara iaitu Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Semasa satu majlis di Universiti Kolej Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur pada 3 Oktober 2015, Dr Ling berkata, Najib tidak layak menjadi Perdana Menteri dan menggesa peletakan jawatannya selepas laporan akhbar yang mendakwa berlaku penyelewengan dana awam.

“Dia (Najib) ambil orang punya duit dan taruk dalam personal account. Mana boleh? Ini adalah asas bagi pandangan anak guam saya (Dr Ling) bahawa Najib tidak layak menjadi Perdana Menteri Malaysia,” kata peguam itu.

Ranjit juga berkata, Najib dalam afidavitnya berhubung saman itu menjawab bahawa AS$700 juta juga dimasukkan ke dalam akaunnya dari satu sumber dari luar negara adalah derma peribadi.

Saksi itu bagaimanapun menjelaskan bahawa Najib menarik balik samannya pada 22 Mei 2018 beberapa minggu selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Pada 22 Mei 2018, Najib menarik saman fitnah yang dikemukakan terhadap Dr Ling berhubung satu penerbitan artikel dalam portal berita yang mendakwa bahawa bekas Perdana Menteri itu menyalahguna dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mahkamah menggugurkan saman Najib tanpa kebebasan untuk memfailkan semula saman itu dan memerintahkan Najib membayar RM25,000 sebagai kos.

Ranjit berkata, Dr Ling juga menarik balik tuntutan balas beliau terhadap Najib pada 14 Disember 2015 tanpa kebebasan kepada bekas Presiden MCA untuk memfailkan yang baru.

Pada 27 Oktober Najib dalam kapasiti peribadinya mengemukakan saman terhadap Dr Ling selepas Dr Ling didakwa membuat kenyataan fitnah terhadap beliau dalam satu artikel yang disiarkan dalam portal baru, pada 3 Oktober 2015.

Dalam kenyataan tuntutannya, Najib berkata, Dr Ling secara salah dan berniat jahat mengeluarkan satu kenyataan fitnah pada satu majlis di Universiti Kolej Tunku Abdul Rahman di sini dengan mendakwa dia (Najib) telah menyalahguna wang awam untuk kepentingan peribadi.

Najib, 66, berhadapan tiga pertuduhan pecah amanah, satu kes menyalahguna kedudukannya dan tiga kes membabitkan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perbicaraan Najib ditangguh kerana peguam kurang sihat

KUALA LUMPUR, 24 JUL: Perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini ditangguhkan ke esok berikutan peguam yang mewakili Najib, Harvinderjit Singh tidak sihat

Seorang lagi peguamnya Wan Aizuddin Wan Mohamad juga memberitahu mahkamah bahawa selain Harvinderjit, ketua pasukan pembelaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga tidak dapat menghadiri prosiding hari ini kerana beliau terlibat dalam satu perbicaraan lain di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi yang lain.

“Atas alasan itu kami dengan rendah hati memohon perbicaraan pada hari ini ditangguhkan dan disambung esok seperti yang telah dijadualkan,” katanya pada hari ke-43 perbicaraan Najib terhadap tujuh pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Harvinderjit sepatutnya menyambung pemeriksaan balas pihak pembelaan terhadap saksi pendakwaan ke-54 yang juga bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali juga bertanya kepada pasukan pembelaan sama ada mereka ada peguam lain yang boleh menjalankan pemeriksaan balas terhadap Yu.

Wan Aizuddin menjawab beliau tiada menerima apa-apa permintaan lanjut dan sehubungan dengan ketidakhadiran para peguam itu, beliau merayu supaya prosiding hari ini ditangguhkan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram berkata pihak pendakwaan hanya menerima panggilan daripada Harvinderjit pada 6.30 pagi untuk memaklumkan bahawa beliau tidak sihat dan tiada apa yang boleh dilakukan sekiranya peguam bela sakit.

“Kami mahu kes ini diteruskan mengikut jadual tetapi pagi ini peguam bela tidak sihat. Kami bersedia jika prosiding hari ini digantikan pada 9 Ogos, sebagai tarikh gantian,” katanya.

Sithambaram berkata, pihak pendakwa tidak memanggil saksi lain untuk hari ini kerana mereka diberi notis yang sangat pendek.

Hakim Mohd Nazlan membenarkan prosiding hari ini ditangguhkan ke 9 Ogos.

Beliau juga memerintahkan Harvinderjit supaya mengemukakan sijil sakitnya esok dan pihak pendakwa boleh memanggil saksi lain sekiranya peguam bela masih tidak sihat.

Najib, 66, menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan tiga pertuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Berita kemasukan RM42 juta dalam akaun rosak reputasi Najib-Saksi

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Razak menyatakan berita berhubung RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya merosakkan reputasi dan kariernya.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia People’s Foundation (YR1M), Ung Su Ling berkata, Najib menyatakan perkara itu kepadanya selepas laporan wang SRC International Sdn Bhd didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi bekas perdana menteri berkenaan, pada 2015.

Ung, 51, yang merupakan saksi pendakwaraya yang ke-49 berkata demikian apabila ditanya peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Najib semasa perbicaraan SRC Najib, yang memasuki hari ke-39 hari ini.

Harvinderjit: Awak tahu bahawa hal mengenai akaun ini menjadi berita pada 2015?

Ung: Ya.

Harvinderjit: Adakah awak menemui segera Najib selepas itu?

Ung: Saya tidak mengatakan begitu segera. Kemudian pada tahun itu, ya. Ya, saya bertemu Najib.

Harvinderjit: Kefahaman saya ialah Najib terperanjat apabila wang itu berada dalam akaunnya dari Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB)? Dia tidak mengetahui wang itu daripada IPSB?

Ung: Saya tidak begitu pasti apa yang dia cakapkan. Apa yang dia katakan ialah ia amat merosakkan reputasi dan kariernya. Ya, dia berkata dia tidak mengetahui bahawa wang berkenaan telah dipindah masuk. Tetapi saya tidak tahu atau ingat sama ada dia ada berkata bahawa dia tidak tahu wang itu daripada IPSB.

Ung berkata, dia juga meminta maaf kepada Najib selepas mengetahui bahawa wang RM42 juta yang dia arah dipindah masuk ke dalam akaun Najib. Ung juga menawarkan peletakan jawatannya dari YR1M.

Terdahulu, Pengarah Urusan IPSB, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman, yang juga saksi pendakwaraya yang ke-37 memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Najib “terperanjat dan kecewa” sebaik diberitahu seseorang memasukkan wang ke dalam akaun bank peribadinya.

Dr Shamsul Anwar berkata, Najib tidak meminta dia membuat laporan polis atau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dana yang dipindah masuk itu.

Terdahulu Ung berkata, dia mengenali ahli perniagaan buruan terkenal, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dan menemui ahli perniagaan itu antara 2000 atau 2001.

Beliau berkata, Jho Low, pada ketika itu, ialah pelajar Wharton School, University of Pennsylvania.

Ung berkata, Jho Low pernah sekali memberitahunya bahawa dia mahu pulang ke Malaysia untuk bekerja selepas tamat pengajiannya.

“Ini berlaku lama dahulu jadi ia mungkin tidak tepat. Dia menjalankan beberapa perniagaan yang dimulakannya dengan beberapa syarikat dotcom, yang kemudian dijualnya. Dia ingin melakukan perkara yang seumpama lagi.

“Saya diperkenalkan kepada beliau untuk melihat bagaimana dia boleh mencari peluang usahasama modal,” katanya.

Harvinderjit juga bertanya saksi berkenaan khidmatnya di Lotus Asset Management dan sama ada syarikat berkenaan menguruskan wang Jho Low yang mana dijawab Ung bahawa itu tidak benar dan syarikat berkenaan tidak pernah mengurus wang untuk Jho Low.

Ung bekerja di Lotus Asset Management sebelum menyertai Wynton Group pada 2004 dengan tiga individu lain.

Najib, 66, didakwa melakukan tiga kes pecah amanah, satu kes menyalahguna kedudukannya dan tiga kes pengubahan wang haram membabitkan SRC International dengan dana berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pemindahan SRC ke MKD tidak babit bayaran tunai

KUALA LUMPUR, 9 JUL: Seorang bekas pegawai kanan dari Kementerian Kewangan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bahawa pemindahan pemilikan SRC International Sdn Bhd kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) tidak membabitkan sebarang pembayaran tunai tetapi hanya melalui pemindahan saham.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan, Datuk Mat Noor Nawi, 64, berkata kaedah yang dinyatakan di dalam deraf memorandum pemindahan tersebut adalah bayaran interim daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada kerajaan.

Merujuk kepada deraf memorandum pengambilalihan SRC daripada 1MDB ke MKD, beliau berkata pembayaran interim bermaksud tiada sebarang pembayaran membabitkan wang tunai tetapi hanya pemindahan saham daripada 1MDB kepada MKD.

Saksi pendakwaan ke-44 itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim, pada hari ke-34 perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salahguna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Suhaimi: Rujuk deraf memorandum tersebut, ada dijelaskan pengambilan secara “dividend-in-specie” dan telah diberi tulisan tebal (bold) dan digariskan (underlined). Boleh jelaskan mengapa perlu beri perhatian kepada perkataan tersebut?

Mat Noor: Kita mahu tekankan yang pengambil alihan ini tidak melibatkan sebarang peruntukan kewangan.

Frasa “dividend-in-specie” bermaksud pemindahan aset dalam bentuk semasa (saham) dan bukannya dalam jumlah wang tunai bersamaan.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib, saksi itu bersetuju bahawa pemberian dana kepada SRC adalah berdasarkan Rancangan Malaysia ke-10 yang bidang utamanya adalah bekalan sumber asli yang berterusan.

Harvinderjit: Polisi dan dasar pembangunan yang dinyatakan dalam rancangan ini telah diluluskan oleh Kabinet. Adakah anda setuju kalau di Malaysia barisan Kabinet adalah pembuat keputusan muktamad di mana Kabinet membuat keputusan sebagai sebuah badan. Bukan hanya seorang menteri tetapi kolektif.

Mat Noor: Ya

Harvinderjit: Di bawah akta MKD, MKD bukanlah seorang menteri?

Mat Noor: Seingat saya MKD ialah Menteri Kewangan dan Menteri Kewangan Incorporated adalah Menteri Kewangan.

Saksi itu turut bersetuju dengan cadangan peguam bahawa MKD berada di bawah seliaan kedua-dua Menteri Kewangan iaitu Datuk Seri Najib dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pada 2011 dan 2012.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lembaga Pengarah SRC tidak dimaklum permohonan bagi jaminan kerajaan

KUALA LUMPUR, 12 Jun : Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd tidak pernah dimaklumkan tentang permohonan syarikat untuk meminta jaminan kerajaan bagi pinjaman RM3.95 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pada 2011, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Permohonan itu didedahkan melalui sepucuk surat yang ditandatangani Nik Faisal Ariff Kamil selaku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif SRC yang ditujukan kepada Kementerian Kewangan.

Surat itu ditunjukkan kepada Tan Sri Ismee Ismail, 54, bekas ahli lembaga pengarah SRC oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari ke-23 perbicaraan kesnya.

Harvinderjit: Anda tidak pernah diberitahu mengenai surat ini?

Ismee: Ya.

Harvinderjit: Ini adalah fakta material yang disembunyikan oleh Nik Faisal daripada lembaga?

Ismee: Seolah-olah seperti itu.

Harvinderjit: Surat ini memberikan tanggapan bahawa Nik Faisal bertindak bagi pihak 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?

Ismee: Ya.

Kepada soalan lain, saksi pendakwaan ke-39 itu bersetuju bahawa lembaga pengarah syarikat itu tidak pasti mengenai kebenaran cadangan untuk usaha sama dengan syarikat berpangkalan di Abu Dhabi, Aabar Investments PJS.

Harvinderjit merujuk kepada minit-minit yang Nik Faisal maklumkan kepada lembaga syarikat pada tahun 2011 mengenai cadangan usaha sama susulan mesyuarat peringkat tinggi antara wakil Malaysia dan Abu Dhabi, yang membawa kepada permohonan awal oleh SRC untuk pinjaman RM3.95 bilion daripada KWAP.

Harvinderjit: Ada pertemuan pada Jun 2011 yang kedua-dua pihak mengadakan perbincangan, Malaysia dan Abu Dhabi, mengenai sumber strategik. Ini merujuk kepada Najib.

Ismee: Ya.

Harvinderjit: Sejak itu, pelaksanaan dan penyaluran geran permulaan pantas (kepada SRC International). Ia kemudian menunjukkan bagaimana Nik Faisal memberitahu lembaga pengarah berkenaan perbincangan peringkat tinggi antara wakil Malaysia dan Abu Dhabi, kemudian syarikat ini (Aabar-BVI) diwujudkan. Ini melibatkan usaha sama yang dicadangkan. Geran dan proses (pinjaman daripada) KWAP bergantung kepada urus niaga dengan Aabar Investment ini.

Ismee: Ya.

Ismee juga setuju dengan kenyataan Harvinderjit bahawa lembaga pengarah tidak ditunjukkan sebarang dokumen lain oleh Nik Faisal sebagai bukti kepada usaha sama yang dicadangkan itu.

Harvinderjit: Lembaga pengarah menganggap (usaha sama) ini ialah antara kerajaan dengan kerajaan. Ia menghentikan pertanyaan lanjut berkenaan urusan itu.

Ismee: Ya.

Harvinderjit: Sama ada ia benar atau tidak, atau sama ada mana-mana jabatan (kerajaan)mengendalikan urus niaga Aabar, anda tidak tahu?

Ismee menganggukkan kepalanya.

Harvinderjit: Dia (Nik Faisal) memberi tanggapan yang dia lebih tahu.

Ismee: Ya.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan tiga pertuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali​​​​​​​ bersambung. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

RM4 bilion sumber kewangan SRC dari KWAP – Saksi

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Bekas ahli Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd, Tan Sri Ismee Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa sumber kewangan SRC adalah daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan geran permulaan daripada kerajaan.

Ismee, 54, berkata syarikat itu menerima pinjaman RM4 bilion daripada KWAP dan menerima geran RM20 juta daripada kerajaan sebagai modal permulaan.

Saksi pendakwaan ke-39 itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff pada hari ke-22 perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Ishak: Boleh jelaskan apakah sumber kewangan SRC sepanjang kamu memegang jawatan di syarikat itu?

Ismee: Sumber kewangan SRC adalah pinjaman RM4 bilion daripada KWAP, geran permulaan RM20 juta daripada kerajaan.

Ishak: Sumber kewangan SRC digunakan untuk tujuan apa?

Ismee: Ia digunakan untuk tujuan pelaburan dan modal kerja.

Ishak: Siapakah penasihat emeritus SRC?

Ismee: Datuk Seri Najib.

Ishak: Emeritus mempunyai kawalan dalam aspek pentadbiran lembaga SRC dan syarikat?

Isme: Ya, seharusnya ada kawalan.

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang berlangsung.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Najib ‘ketua paling besar’, berpengaruh lulus pinjaman KWAP

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mempunyai pengaruh berhubung keputusan meluluskan pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International Sdn Bhd.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Azian Mohd Noh berkata, Najib yang juga bekas menteri kewangan ketika itu, merupakan ‘ketua paling besar’ beliau, justeru, mempunyai kuasa berhubung keputusan KWAP untuk meluluskan pinjaman kepada SRC International Sdn Bhd.

Azian, 66, yang juga saksi ke-38 pendakwaan, berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Datuk Ishak Mohd Yusoff pada hari ke-21 perbicaraan Najib.

Azian, yang kini bersara, berkata sungguhpun tidak terdapat pemaksaan yang sah, Najib masih mempunyai pengaruh pada tahap tertentu, disebabkan beliau adalah menteri kewangan dan hakikat bahawa Kementerian Kewangan Diperbadankan memiliki SRC International Sdn Bhd.

Ishak: Jelaskan apakah maksud ‘pemaksaan’ dan ‘pengaruh’ dalam keterangan Datuk sebelum ini?

Azian: Perkataan pemaksaan dan pengaruh memberi konotasi berbeza. Tidak ada sebarang pemaksaan yang sah tetapi saya tidak boleh mengatakan perkara yang sama bagi perkataan pengaruh. Anotasi dalam surat (permohonan pinjaman SRC International) datang daripada perdana menteri dan menteri kewangan yang bertanggungjawab ke atas KWAP.

“Beliau adalah ketua paling besar saya, jadi saya tidak boleh nafikan terdapat pengaruh pada tahap tertentu,” katanya.

Ishak: Mengapa selepas KWAP mempertimbang untuk memberi RM1 bilion, anda perlu berjumpa dengan perdana menteri dan memaklumkan KWAP hanya boleh memberi RM1 bilion sahaja?

Azian: Itu adalah permintaan daripada panel pelaburan… seorang daripada anggota panel pelaburan tapi saya tidak ingat yang mana satu.”

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan tiga pertuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Saksi: RM143 juta dimasukkan ke dalam akaun Ihsan Perdana

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa RM143 juta dimasukkan ke dalam akaun syarikat Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) melalui sembilan transaksi.

Bekas Eksekutif Akaun Kanan IPSB, Aishah Ghazali berkata demikian ketika disoal balas peguam Farhan Read pada hari ke-18 perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berdepan tujuh pertuduhan berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Aishah, 37, bagaimanapun tidak pasti RM20 juta daripada jumlah wang itu dipindahkan daripada syarikat SRC International Sdn Bhd pada 15 Dis 2014.

Farhan: Saya senaraikan kemasukan wang ke dalam akaun IPSB. Pada 11 Disember 2014, sebanyak RM5 juta dan RM15 juta; 15 Disember (RM20 juta); 24 Dis (RM40 juta); 9 Januari 2015 (RM40 juta); 5 Februari (RM5 juta); 6 Februari (RM5 juta); 13 Februari (RM10 juta) dan 9 April 2015 berjumlah RM3 juta.

Aishah: Ya.

Farhan: Daripada RM143 juta itu, sebanyak RM20 juta dipindahkan daripada syarikat SRC International Sdn Bhd pada 15 Disember 2014?

Aishah: Tidak pasti.

Menjawab soalan lain, Aishah, yang kini Pengurus Akaun di Redtech Offshore Sdn Bhd, berkata mungkin RM123 juta daripada RM143 juta itu dipindahkan daripada syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd.

Saksi pendakwaan ke-36 itu, yang pernah bekerja di IPSB selama empat tahun, berkata beliau tidak tahu sama ada IPSB pernah berurusan dengan syarikat Gandingan Mentari.

Farhan: Boleh sahkan terdapat pengeluaran sebanyak RM118 juta daripada IPSB dari 2014 dan 2015?

Aishah: Ya

Farhan: Daripada RM118 juta, sebanyak RM42 juta dikeluarkan kepada Najib, RM76 juta kepada Mail Global Resources manakala RM1.5 juta masing-masing dipindahkan kepada Tazri Talib dan Mohamed Redzuan Adamshah?

Aishah: Ya.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

-BERNAMA