Categories
NASIONAL

SRC: Peguam sahkan tokoh korporat terima cek RM2.5 juta

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Seorang peguam dari Firma Guaman Tetuan Zulkarnain & Co memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa seorang tokoh korporat, Datuk Habibul Rahman Kadir Shah pernah menerima cek berjumlah RM2.5 juta pada 2015.

Ashraf Abdul Razak, 48, yang merupakan peguam peribadi Habibul Rahman sejak 1996, berkata dia diberitahu oleh tokoh korporat itu bahawa cek berkenaan yang bertarikh 2 Feb 2015 adalah bayaran berkaitan dengan rundingan bekalan kontrak pertahanan dan dia diminta menguruskan cek tersebut.

Habibul Rahman dikatakan pernah menjadi penasihat media kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saksi pendakwaan Ke-18 itu berkata setelah cek tersebut didepositkannya, Habibul Rahman telah mengarahkannya mengeluarkan cek kepada isteri, anak-anaknya dan beberapa individu lain yang ditentukan tokoh korporat itu.

“Beliau (Habibul Rahman) berjumpa dengan saya dan memaklumkan bahawa beliau akan menerima pembayaran untuk khidmat rundingan bagi satu perkhidmatan bekalan ‘defence contract’.

“Beliau memaklumkan pecahan pembayaran beliau akan telitikan kepada saya kelak. Pada masa saya dipanggil untuk mengambil cek ini ada disediakan sepucuk nota kecil sebagai pengakuan antara beliau dan saya mengenai cek ini yang ditandatangani oleh beliau,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-18 itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada perbicaraan hari kelapan kes dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Najib.

Ashraf berkata ketika itu juga Habibul Rahman sedang menjalankan urusan bagi mendapatkan sebuah tender bagi Syarikat Fuelsubs House Sdn Bhd (FSH), untuk mengurus subsidi minyak petrol dan Habibul Rahman adalah pengarah urusan syarikat tersebut.

Kepada soalan Muhammad Saifuddin adakah Habibul Rahman memberitahu daripada siapakah pembayaran itu diterima, saksi itu berkata, “tidak”.

Mengulas lanjut Ashraf berkata setelah beliau menerima cek itu yang diambil dari Habibul Rahman sendiri di kediaman tokoh korporat itu, beliau telah mendepositkannya ke dalam akaun semasa Bank CIMB atas nama firma guaman itu.

“Setelah (cek) dimasukkan, selanjutnya beliau mengeluarkan arahan kepada saya untuk mengeluarkan cek-cek kepada antara lain isteri beliau dan anak-anak beliau secara berkala. Selepas itu beliau mengarahkan saya untuk mengeluarkan cek-cek lain kepada pihak-pihak yang beliau tentukan,” katanya.

Ketika ditanya adakah Ashraf tahu kenapa Habibul Rahman memilih untuk menyerahkan cek itu kepadanya dan bukan Habibul Rahman sendiri yang mendepositkan cek tersebut ke dalam akaun, saksi itu berkata dia tidak tahu.

Menjawab soalan adakah saksi itu menguruskan kesemua wang RM2.5 juta itu sehingga ianya habis, beliau berkata, “Ya, semua pembayaran berjumlah RM2.5 juta itu sudah dilunaskan termasuk yuran guaman berjumlah RM50,000.”

Ashraf juga berulang kali menyatakan beliau tidak tahu sumber wang itu dan tidak pernah bertanyakan Habibul Rahman mengenainya kerana lelaki itu seorang tokoh korporat yang disegani.

“Saya telah lama mengenali beliau, pada pandangan saya, disebabkan kedudukan beliau sebagai toloh korporat agak disegani, beliau merupakan ahli lembaga pengarah beberapa syarikat GLC, jadi saya tidak terfikir untuk bertanyakan,” katanya.

Ketika disoal balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, bahawa adakah kemungkinan Ashraf terlupa apa yang diberitahu Habibul Rahman berkenaan cek tersebut sama ada ia untuk kontrak pertahanan atau perkara lain, saksi itu berkata, “Tidak, saya jelas beliau berkata kepada saya ia dari ‘defence contract’.

Saksi ke-19, Timbalan Pengurus Besar Jabatan Operasi Penjelasan Cek Bank Cimb, Edward anak lelaki Innasi Born, 58, mengesahkan cek berjumlah RM2.5 juta telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Firma Guaman Tetuan Zulkarnain & Co bertarikh 2 Feb 2015.

Saksi itu yang telah berkhidmat sebagai timbalan pengurus besar di jabatan itu sejak 2004 turut mengecamkan salinan cek tersebut yang ditunjukkan pihak pendakwaan.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung pull 2.30 petang.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Mahkamah larang muat naik prosiding Najib di media sosial

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melarang mana-mana pihak memuat naik atau berkongsi apa-apa video atau prosiding mahkamah dalam perbicaraan kes dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata transkripsi rakaman mahkamah (CRT) adalah untuk kegunaan mahkamah dan bukan untuk tatapan awam kerana sebarang komen atau ulasan yang diberikan, boleh prejudiskan kes itu.

“Sebarang bentuk rakaman tidak dibenarkan, bukan sahaja pautan video siaran langsung atau live streaming dan ini termasuk CRT. CRT untuk tujuan transkripsi bukan untuk dimuat naik.

“Saya harap pihak pembelaan dan pendakwaan, yang merupakan pegawai mahkamah agar mematuhi perkara ini. Saya juga mahu mengingatkan semua orang agar tidak membuat sebarang komen yang boleh prejudiskan perbicaraan kes ini dan boleh menimbulkan penghinaan terhadap mahkamah,” kata hakim.

Mohd Nazlan membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memohon perintah mahkamah untuk menghalang pihak ketiga daripada memuat naik CRT tanpa kebenaran.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ad-hoc Datuk V. Sithambaram memberitahu mahkamah video CRT itu telah dimuat naik di laman sosial Facebook minggu lepas.

Sithambaram menegaskan rakaman CRT itu hanya boleh diperoleh selepas menandatangani perjanjian iaitu tidak membekalkan rakaman itu kepada pihak lain, atau memuat naik ke mana-mana medium.

Beliau juga berkata CRT diberi kepada pihak pendakwaan dan pembelaan dengan janji ia adalah bagi kegunaan perbicaraan bagi memastikan nota keterangan adalah tepat.

“Kami memohon pihak pembelaan berjanji tidak akan menyerahkan CRT ini kepada mana-mana pihak ketiga. Orang awam dan netizen juga harus diberi amaran tidak memuat naik tanpa kebenaran mahkamah. Tindakan itu akan menjejaskan integriti mahkamah.

“Kami memohon perintah mahkamah untuk menghalang pihak ketiga daripada memuat naik CRT tanpa kebenaran,” katanya.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam hujahnya menegaskan penyebaran rakaman prosiding mahkamah adalah amalan biasa di United Kingdom dan salinan video itu boleh diakses di arkib negara dan dalam talian.

“Ia adalah keistimewaan bagi pihak pelanggan. Saya perlu mengetahui apa yang berlaku.

“Saya agak terkejut, ketika kami memohon perintah larangan, mereka (pihak pendakwaan) telah membantah. Sekiranya permohonan kami dibenarkan, masalah ini tidak akan timbul. Pihak pendakwaan yang telah membantah untuk perintah larangan itu dan sekarang mereka pula, “siapa yang makan cabai, dia terasa pedas”.

“Kami mahu perbicaraan ini disiarkan secara langsung. Ia (video yang dimuat naik ini) tidak memudaratkan sesiapa. Kita sepatutnya mengadakan prosiding secara langsung seperti perbicaraan kes OJ Simpson untuk ditonton oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Pada Sabtu, video berdurasi dua minit dan 12 saat bertajuk, Hari Kelima Perbicaraan Datuk Seri Najib memaparkan rakaman prosiding peguam Najib, Muhammad Shafee menyoal balas saksi yang viral di media sosial.

Difahamkan rakaman itu dimuat naik menerusi akaun Facebook bekas Pegawai Khas Najib, Isham Jalil, pada kelmarin, yang telah ditonton 227,000 kali dan dikongsi lebih 3,700 akaun Facebook yang mendapat lebih 1,900 komen.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu dipercayai sedutan prosiding pada hari kelima perbicaraan Najib di Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.

Semalam, polis membuka siasatan berhubung penularan satu klip video dipercayai daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa berkata siasatan kes dibuat susulan satu laporan polis, di Balai Polis Batu 9, Cheras.

“Siasatan dibuka di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pasukan pembela Najib gagal gugur saksi keenam pendakwa

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak untuk menggugurkan kelayakan saksi keenam daripada memberi keterangan pada perbicaraan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan bahawa keterangan Zulkarnain Mohamad adalah relevan kerana berkaitan dengan tujuh pertuduhan yang dihadapi oleh Najib.

Terdahulu, selepas Zulkarnain, pereka dalaman ABS Trend Master Sdn Bhd mengangkat sumpah untuk memberi keterangan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mengetuai pasukan pembelaan, membuat permohonan secara lisan untuk menggugurkan kelayakan saksi itu daripada memberi keterangan dengan alasan keterangan saksi itu tidak berkaitan dengan pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guamnya.

“Kami (pasukan pembela) perlu membangkitkan perkara ini sebelum saksi mula memberi keterangan. Keterangannya tidak berkaitan dengan pertuduhan kerana anak guam saya dituduh menerima wang dan bukannya membelanjakan wang,” kata beliau.

Pasukan pendakwaan hyang diketuai oleh Peguam Negara Tommy Thomas berhujah bahawa keterangan Zulkarnain mungkin menunjukkan jejak transaksi pengubahan wang haram dari segi menerima hasil daripada kegiatan haram.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi berhujah bahawa keterangan sasi keenam adalah perlu bagi kes pihak pendakwaan bagi tujuan mengetahui jejak pengaliran wang oleh tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Ad-hoz, Datuk V.Sithambaram pula berhujah bahawa pihak pendakwaan memanggil saksi tersebut untuk membuktikan unsur-unsur pertuduhan yang dihadapi oleh tertuduh

“Itulah sebabnya saksi tersebut dipanggil. Mahkamah tidak boleh menolak buktinya tanpa mendengar keterangan itu terlebih dahulu, kerana ia terlalu awal pada peringkat ini,” kata beliau.

Pada pembukaan prosiding tengah hari, pihak pendakwaan sekali lagi membuat permohonan lisan untuk prosiding esok ditangguhkan kerana anggota-anggota pasukan pendakwaan perlu menghadiri mesyuarat mengenai pemisahan kuasa antara pejabat peguam negara dan pendakwa raya.

Muhammad Shafee kemudian bersetuju dengan cadangan itu sambil berkata anggota pasukan pembelaan juga perlu menghadiri mesyuarat penting.

Hakim Mohd Nazlan membenarkan kedua-dua permohonan itu dan menangguhkan prosiding esok sehingga isnin, 22 April pada 9 pagi.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Peguam Najib minta laporan pengesahan transaksi cek

KUALA LUMPUR, 18 APRIL: Pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang dibicarakan berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi di sini, meminta saksi kelima pendakwaan mengemukakan laporan pengesahan berkaitan transaksi cek yang terdapat dalam sistem perbankan Ambank cawangan Jalan Raja Chulan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan Harvinderjit Singh yang mewakili Najib selepas pendakwaan tidak membantah.

Terdahulu, Pengurus Kanan Bahagian Pemprosesan Cek Ambank cawangan Jalan Raja Chulan Badrul Hisam Mohamad berkata beliau boleh mengemukakan laporan itu ketika diminta berbuat demikian oleh Harvinderjit.

Harvinderjit: Bolehkah anda memeriksa data anda untuk mengesahkan sama ada maklumat dalam akaun ini betul atau tidak?

Badrul Hisam: Boleh

Hakim: Jadi, anda mahu beliau datang dan mengemukakan laporan itu kepada mahkamah?

Harvinderjit: Ya.

Sebelum itu, Harvinderjit merujuk beberapa cek kepada saksi bagi mendapatkan pengesahan berkaitan kesahihan butirannya, termasuk nama penerima, tarikh dan nombor akaun.

Terdahulu, Badrul Hisam bersetuju dengan Havinderjit bahawa setiap cek perlu diperiksa terlebih dahulu untuk menentukan sama ada ia sudah ditunaikan atau sebaliknya.

Beliau berkata jika terdapat cek yang ditolak, pihak bank akan mengeluarkan notis kepada pengeluar cek (bank).

“Urusan itu akan dibuat oleh pengurus bank dengan bahagian pemprosesan cek untuk menyelesaikan perkara itu. Kemudian pengurus bank akan memberitahu pemegang akaun berhubung penolakan cek,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan bersambung petang ini. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

BNM siasat 12 akaun termasuk milik Najib

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa serbuan di Ambank Jalan Raja Chulan dijalankan berhubung dengan transaksi dan akaun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd, berkait dengan dakwaan pelanggaran Bahagian IV Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFUA).

Ahmad Farhan Sharifuddin, 32, pengurus Jabatan Risikan Kewangan dan Penguatkuasaan Bank Negara Malaysia (BNM) berkata beliau menerima arahan daripada pegawai atasannya Abd Rahman Abu Bakar bagi pasukannya menjalankan serbuan di Ambank pada 6 Julai 2015.

Beliau turut mengesahkan bahawa serbuan oleh BNM di Ambank Jalan Raja Chulan bertujuan membantu siasatan oleh pasukan petugas pada tahun 2015 berkaitan dengan akaun serta transaksi 1MDB dan Najib berhubung dakwaan pelanggaran Bahagian IV AMLATFUA.

Dalam pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib, saksi pihak pendakwaan itu berkata beliau menerima arahan pada malam sebelum 6 Julai 2015 dan beliau turut diarah datang ke pejabat lebih awal pada 6 Julai.

Harvinderjit : Apa arahan yang anda terima daripada Abd Rahman?

Ahmad Farhan : Menyiasat transaksi serta akaun bank milik Datuk Seri Najib yang didakwa melanggar Bahagian IV AMLATFUA.

Harvinderjit : Menyiasat akaun dan transaksi 1MDB?

Ahmad Farhan : Ya

Harvinderjit : SRC International Sdn Bhd?

Ahmad Farhan : Ya

Harvinderjit : Gandingan Mentari Sdn Bhd?

Ahmad Farhan : Ya

Harvinderjit : Ihsan Perdana Sdn Bhd?

Ahmad Farhan : Ya

Harvinderjit : Anda menjalankan serbuan, semua sekali 12 akaun, termasuk akaun simpanan Datuk Seri Najib.

Ahmad Farhan : Ya

Saksi itu berkata tiga pasukan menjalankan serbuan itu pada hari yang sama, tapi di tingkat berlainan di bangunan Ambank itu.

Ditanya oleh peguam sekiranya beliau dia sedar kewujudan pelbagai agensi dalam pasukan petugas yang diwujudkan pada tahun 2015 itu, beliau berkata mereka terdiri daripada pasukan polis, BNM, dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun beliau tidak kenal semua anggota pasukan itu, kecuali bekas ketuanya Sri Zeti Aziz.

“Pada 2015, anda berumur 28 tahun dan baru menyertai BNM kira-kira tiga setengah tahun, tapi dminta menyiasat akaun bank milik Perdana Menteri, tentu anda amat teruja, kan? Ia saat tidak boleh dilupakan?” tanya Harvindenjit yang membuatkan saksi menjawab “Ya”.

Semasa memberi penjelasan mengenai serbuan itu, katanya beliau dan pasukannya bergerak terus ke Tingkat 24 bangunan Ambank dan menemui pengurus kerjasama bank Joanna Yu dan memberitahunya bahawa pasukan itu telah menjalankan siasatan sekali lagi keatas Najib, SRC, 1MDM dan lain-lain syarikat yang didakwa melanggar Bahagian IV AMLATFUA.

Katanya beliau sebelum ini beliau pernah menemui Joanna pada bulan Mei dan Jun 2015 bagi merekodkan kenyataan berhubung siasatan yang sama.

Harvinderjit : Adakah anda merampas sebarang alat elektronik seperti komputer, telefon bimbit Blackberry daripada Joanne Yu?

Ahmad Farhan : Saya tidak ingat.

Harvinderjit : Adakah anda tahu mengenai perbualan telefon Blackberry antara Joanna Yu dan Jho Taek Low atau “Jho Low”?

Ahmad Farhan : Saya tidak tahu.

Harvinderjit : Adakah anda tahu ada komunikasi menerusi email antara Joanna dan pemilik akaun seperti Datuk Seri Najib berhubung transaksi?

Ahmad Farhan : Saya tidak ingat.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kes Najib tegang, peguam pertikai pendakwa

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Perbicaraan hari keempat kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd menjadi tegang selepas pembelaan mempertikai kaedah pemeriksaan semula oleh pendakwaan.

Semasa pemeriksaan semula saksi kedua pendakwaan, Pengurus Bank Negara Malaysia Azizul Adzani Abdul Ghafar, peguam Harvinderjit Singh berkata pendakwaan hanya perlu menyoal perkara yang dibangkitkan semasa pemeriksaan balas.

“Ini adalah pemeriksaan semula… mungkin rakan saya yang bijaksana perlu merujuk kepada soalan dan jawapan,” katanya.

Pendakwaan yang diketuai Peguam Negara Tommy Thomas bangun dan berkata setiap orang memiliki gaya tersendiri ketika menjalankan pemeriksaan utama, pemeriksaan balas atau pemeriksaan semula.

“Kami tidak perlukan pembelaan untuk mengajar kami. Kami tidak perlukan peguam bela untuk mencadangkan kaedah pemeriksaan semula.

“Kami telah mendengar pemeriksaan balas sehingga lima jam. Kami beri ruang kepada beliau (Harvinderjit)…Tak bolehkah berikan ruang yang sama (kepada pendakwaan)?

“Gaya pemeriksaan oleh setiap peguam adalah berbeza. Saya telah melakukan perbicaraan selama 42 tahun,” katanya.

Harvinderjit: Saya tidak mencadangkan sebarang gaya pemeriksaan tertentu kepada pendakwa raya.

“Cara DPP mengemukakan soalan adalah seperti meletakkan kata-kata dalam mulut saksi,” katanya

Harvinderjit juga berkata ini bukan soal pengalaman, sebaliknya menurut Seksyen 138 subseksyen 3 Akta Keterangan 1950, pemeriksaan semula hendaklah ditumpukan kepada penjelasan berhubung perkara-perkara yang disentuh dalam pemeriksaan balas.

“Ini bukan soal masa, Yang Arif. Perlu ada konteks, sama ada soalan spesifik,” katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata “sebut sahaja perkara yang anda ingin periksa semula.”

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang berlangsung.
-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sebutan semula kes pengubahan wang haram Najib pada 17 Mei

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 17 Mei untuk sebutan semula kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas tiga pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berhubung dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta, lima tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas pengurusan kes berkenaan di hadapannya yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, 66.

Ishak memaklumkan bahawa kedua-dua pihak terikat dengan perbicaraan kes lain sehingga 10 Mei.

“Pihak kami memohon tarikh lain kerana terikat dengan perbicaraan kes SRC (Najib) sehingga 10 Mei ini,” katanya.

Najib kini sedang dibicarakan atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan berkenaan, Najib didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhannya RM27 juta, iaitu hasil daripada aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Najib dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 8 Februari lalu, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan itu, bagaimanapun kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas pihak pendakwaan memohon kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Saksi: Tiada arahan khusus dapatkan transaksi akaun Najib

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Pengurus Bank Negara Malaysia (BNM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak menerima sebarang arahan khusus untuk mendapatkan dokumen berkaitan transaksi enam akaun bank milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, SRC International Sdn Bhd dan beberapa syarikat lain.

Azizul Adzani Abdul Ghafar, 41, berkata beliau memperoleh dokumen berkaitan transaksi itu daripada Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan, R.Uma Devi, ketika melakukan serbuan di premis tersebut pada 6 Julai 2015.

Ketika ditanya adakah beliau sendiri yang meminta maklumat terperinci tersebut daripada Uma Devi, saksi kedua pendakwaan itu menjawab “tidak”.

“Ketika serbuan, saya hanya meminta kesemua fail berkaitan siasatan dan diberikan lapan fail dokumen namun Uma Devi sendiri memberikan dokumen transaksi enam akaun secara terperinci pada kira-kira pukul 9.50 malam iaitu 10 jam selepas serbuan selesai.

“Saya berada di bank berkenaan sampai pukul 11 malam kerana menunggu satu lagi pasukan selesai membuat serbuan di bangunan itu,” katanya ketika menjawab soalan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib.

Saksi itu turut memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak menerima arahan untuk mendapatkan dokumen transaksi khusus lain atas nama Najib, SRC International Sdn Bhd dan beberapa syarikat lagi.

Harvinderjit : Dia berikan awak dokumen transaksi khusus yang awak tidak minta?

Azizul Adzani : Ya

Harvinderjit : Adakah kamu mendapat arahan untuk mendapatkan dokumen transaksi syarikat SRC International Sdn Bhd atau Gandingan Mentari dan Ehsan Perdana Sdn Bhd?

Azizul Adzani: Tidak

Harvinderjit : Adakah kamu menerima arahan untuk mendapatkan dokumen transaksi syarikat SRC International Sdn Bhd dengan akaun Najib?

Saksi menjawab “tidak.”

Harvinderjit : Semestinya kamu ada maklum kepada Uma Devi untuk mendapatkan dokumen transaksi spesifik?

Azizul Adzani : Tidak

Saksi itu berkata beliau hanya memberitahu Uma Devi supaya menyerahkan apa-apa dokumen berkaitan sekiranya ada, sebelum wanita tersebut menyerahkan dokumen transaksi enam akaun bank berkenaan.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Anggota Parlimen Pekan itu, yang juga Perdana Menteri keenam, dituduh melakukan kesalahan-kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan dan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Feb 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang berlangsung. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dua pasukan serbu Ambank cari dokumen kes Najib

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Pengurus Bank Negara Malaysia (BNM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dua pasukan dari BNM telah membuat serbuan di Ambank Jalan Raja Chulan, untuk mendapatkan dokumen berhubung obligasi pelaburan.

Azizul Adzani Abdul Ghafar berkata beliau bersama pasukannya membuat serbuan dari 9 pagi hingga 11 pagi pada 16 Julai 2015 dan beliau turut berada di situ sehingga 9 malam kerana menunggu satu pasukan lagi membuat serbuan di bank itu.

Beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada terdapat pasukan lain selain dua pasukan itu yang membuat serbuan di bangunan tersebut pada hari yang sama.

Saksi pendakwaan kedua berkenaan berkata demikian semasa disoal balas peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak pada perbicaraan bekas perdana menteri itu yang masuk hari ketiga hari ini.

Harvinderjit : Setuju dengan cadangan saya, ada satu lagi pasukan yang melakukan serbuan di bank itu pada hari sama?

Azizul Adzani : Setuju

Harvinderjit : Jadi daripada 9 pagi sehingga 9 malam, anda masih di Ambank?

Azizul Adzani : Benar

Harvinderjit : Hanya untuk dapatkan lapan folder (fail) dan tiga sampul surat?

Azizul Adzani : Lapan folder dan tiga sampul dapatkan waktu pagi. Selepas tu saya tunggu pasukan lain lakukan penggeledahan di tempat lain di Ambank.

Harivinderjit : Siapa dalam pasukan itu?

Azizul Adzani : Saya tidak ingat, tidak semua pegawai di jabatan terlibat. Kami memang akan tunggu sehingga pasukan lain di Ambank jalankan tugas.

Harvinderjit : Pada pagi itu, selain dari terima arahan berkenaan akaun, tuan juga dimaklumkan akan ada pasukan lain buat serbuat di bangunan Ambank tetapi di bahagian lain di bangunan sama?

Azizul Adzani : Setuju

Ditanya peguam itu mengenai kenderaan yang digunakan semasa melakukan serbuan itu Azizul Adzani berkata: “antara tiga atau empat buah kenderaan”

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Prosiding di Harapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang berlangsung. –BERNAMA

Categories
NASIONAL

SRC: Perbicaraan kes Najib masuk hari ketiga

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd memasuki hari ketiga hari ini dengan pasukan pembelaan memeriksa balas pengurus Bank Negara Malaysia (BNM) Azizul Adzani Abdul Ghafar.

Pada permulaan prosiding, Peguam Negara Tommy Thomas memberitahu mahkamah bahawa isu utama berkaitan lapan fail yang mengandungi dokumen dan fotokopi dokumen yang diminta oleh pihak pembelaan yang menyebabkan prosiding ditangguhkan semalam, diselesaikan.

“Saya ingin menyatakan kekesalan atas apa yang berlaku semalam, kami akan pastikan ia tidak akan berulang.

“Jadi kita boleh teruskan perbicaraan untuk pihak pembelaan memberiksa balas saksi,” kata Thomas di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Semalam, selepas Timbalan Pedakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim selesai menjalankan pemeriksaan utama terhadap Azizul Adzani, peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Najib, memohon prosiding ditangguhkan sebentar bagi membolehkan pembelaan meneliti dan menyusun semula lapan dokumen itu sebelum pihak pembelaan memeriksa balas saksi itu.

Ekoran itu, mahkamah menangguhkan prosiding lebih sejam dan selepas itu Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan memerlukan masa untuk membuat salinan dan menyusun dokumen-dokumen tersebut mengikut indeks dan berkata sehingga 4.15 petang pihaknya hanya dapat menyelesaikan tiga dokumen.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Anggota Parlimen Pekan itu, yang juga Perdana Menteri keenam, dituduh melakukan kesalahan-kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan dan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kes SRC: Najib salah seorang pengarah YR1M – Pegawai SSM

KUALA LUMPUR, 15 APR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah salah seorang pengarah Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M).

Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Muhamad Akmaludin Abdullah berkata, Najib dilantik menjadi pengarah Yayasan itu pada 11 Januari 2013.

Saksi pertama itu berkata demikian semasa diperiksa balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib pada perbicaraan kes bekas perdana menteri itu yang didakwa atas tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd.

Harvinderjit : Pengarah-pengarah YR1M setakat tarikh percetakan dokumen ini adalah seperti berikut, pertama Che Lodin Wok Kamarudin (Tan Sri), Mohd Najib Razak (Datuk Seri) dan Wan Ahmad Shihab Wan Ismail (Datuk) yang diilantik pada 11 Jan 2013, iaitu tarikh penubuhan syarikat tersebut.

Muhamad Akmaludin : Betul

Muhamad Akmaludin, 35, yang berkhidmat di SSM sejak 2007 juga mengesahkan ketika syarikat SRC International Sdn Bhd ditubuhkan pada 7 Januari 2011, saham syarikat itu tidak dimiliki oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Harvinderjit: Sejak tarikh SRC ditubuhkan, saham-saham itu tidak dimiliki 1MDB?

Muhamad Akmaludin: Betul, saya sahkan ia tidak dimiliki oleh 1MDB.

Harvinderjit: Daripada maklumat yang telah diberikan daripada tarikh syarikat ditubuhkan, nama syarikat masih kekal sebagai SRC International Sdn Bhd?

Muhamad Akmaludin: Betul

Harvinderjit: Maksudnya, syarikat ini daripada asal, ditubuhkan dengan nama khusus iaitu SRC International Sdn Bhd?

Muhamad Akmaludin: Betul

Harvinderjit: Daripada semua dokumen syarikat 1MDB Energy Sdn Bhd tidak pernah menggambarkan pemilik sahamnya adalah syarikat SRC?

Muhamad Akmaludin : Betul

Dalam keterangannya, saksi itu turut bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa terdapat resolusi berhubung pengeluaran 999,998 saham SRC kepada syarikat 1MDB Energy dalam mesyuarat diadakan oleh pemegang saham SRC pada 15 Ogos 2011.

Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Ahli Parlimen Pekan itu yang merupakan Perdana Menteri keenam, didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan dan pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos dan 10 Feb 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang berlangsung.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Najib dibebaskan selepas bayar ikat jamin

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 4 JUL: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dibebaskan selepas selesai melunaskan bayaran ikat jamin berjumlah RM500,000 yang dibuat oleh dua penjamin iaitu anaknya, Nooryana Najwa Mohd Najib dan Norashman Mohd Najib.

Proses pembayaran selesai dibuat sekitar jam 2.45 petang di aras bawah Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sambil diiringi peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Najib meninggalkan perkarangan mahkamah sekitar jam 3.30 petang menaiki kenderaan serbaguna Toyota Vellfire berwarna putih sambil diiringi polis dan enam kenderaan lain.

Mahkamah sebelum itu menetapkan bayaran ikat jamin berjumlah RM1 juta untuk semua pertuduhan dengan dua penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Dato’ Mohd Sofian Abdul Razak membenarkan permohonan peguam, Muhammad Shafee supaya ikat jamin RM500,000 dibayar hari ini dan bakinya pada hari Isnin, jam 3.00 petang manakala pasport Najib diserahkan hari ini.

Mahkamah menetapkan 8 Ogos 2018 sebagai tarikh pengurusan kes perbicaraan akan berlangsung pada 18 hingga 28 Februari, 4 hingga 8 Mac dan 11 hingga 15 Mac 2019 bagi prosiding perbicaraan.

Dalam prosiding awal, Najib mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan terhadap semua empat pertuduhan yang dibacakan terhadapnya berhubung kes berkaitan SRC International Sdn Bhd.

Beliau didakwa tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah keseluruhan RM42 juta.