SHAH ALAM, 30 MEI : Sebanyak 94,474 borang Kaji Selidik Daftar Pengundi diserahkan kepada tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menjalankan proses mengenalpasti pengundi baru yang berdaftar di DUN berkenaan.
Tujuh DUN itu ialah Pandamaran, Pelabuhan Klang, Selat Klang, Sri Serdang, Kota Anggerik, Batu Tiga, Sri Muda dan Sri Andalas.
Kesemua borang itu diserahkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada Adun kawasan masing-masing semasa sidang akhbar Mesyuarat Exco di SUK, hari ini.
Menurut Abdul Khalid, ADUN kemudiannya akan menyerahkan borang itu kepada Ketua Kampung untuk menjalankan tugas mengenal pasti pengundi baru yang berdaftar.
“Penyerahan borang ini adalah kesinambungan daripada Program Selangorku Bersih yang dilancarkan kerajaan negeri bagi membersihkan daftar pengundi sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13)” ujarnya.
Katanya, program Selangorku Bersih sudah memasuki Fasa Kedua selepas Fasa Satu dijalankan di DUN Batang Kali, 19 Mei lalu di mana sejumlah 13,034 borang Kaji Selidik Daftar Pengundi dikeluarkan.
Tambahnya, setakat Isnin lepas, sebanyak 1,116 borang sudah dikembalikan.
“Kerajaan negeri bertanggungjawab membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memastikan senarai daftar pengundi di Selangor dibersihkan bagi menjadikan PRU akan datang diadakan secara adil dan bersih.
“Kita juga mahu membuktikan kepada SPR bahawa peningkatan luar biasa pengundi baharu di Selangor adalah disebabkan wujudnya nama-nama yang meragukan atau pengundi hantu,” jelasnya.