Categories
AGENSI SELANGOR

Siasatan awal dapati gas bocor ada kaitan kerja pembinaan di LRT3

PUTRAJAYA, 25 APRIL: Berdasarkan laporan awal yang diterima Suruhanjaya Tenaga (ST), kejadian kebocoran gas di tapak pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) 3 di Shah Alam baru-baru ini didapati mempunyai kaitan dengan kerja pembinaan LRT3.

Bagaimanapun dalam kenyataan hari ini Suruhanjaya itu berkata punca sebenar hanya akan diketahui selepas siasatan selesai dan pihaknya juga bekerjasama dengan semua pihak berkenaan bagi memelihara keselamatan penduduk sekitar kawasan terbabit.

Menurut kenyataan itu ST dimaklumkan mengenai kejadian pada 13 April lepas, dan Gas Malaysia Distribution Sdn Bhd (GMD) selaku pemegang lesen yang bertanggungjawab telah mengambil tindakan segera bagi membaik pulih keadaan susulan kejadian.

“Kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan, dan ST dimaklumkan bahawa tiada kemalangan jiwa dilaporkan, serta tiada gangguan bekalan gas berlaku kepada pelanggan berikutan kejadian itu,” menurut kenyataan itu.

Sekiranya ada aduan mengenai perkara ini, orang ramai boleh menyalurkannya segera ke sistem aduan ST (eAduan) yang boleh dicapai melalui www.st.gov.my atau melalui talian 03-8870 8800 atau email ke [email protected].

ST merupakan badan yang bertanggungjawab mengawal selia sektor tenaga, khususnya industri pembekalan tenaga elektrik dan gas berpaip di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Waspada bahaya elektrik ketika banjir, ambil langkah awal

PUTRAJAYA, 25 NOV: Suruhanjaya Tenaga (ST) mengingatkan orang ramai terutamanya yang tinggal di kawasan rendah serta berisiko banjir supaya mengambil langkah persediaan bagi mencegah sebarang kemalangan berpunca daripada elektrik.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini berkata sebelum banjir, orang ramai perlu mematikan bekalan masuk utama ke rumah di papan agihan dengan meletakkan suis utama pada kedudukan ‘OFF’.

“Pastikan semua suis dalam keadaan ‘OFF’ dan cabut palam kuasa daripada soket kuasa semua kelengkapan elektrik serta simpan kelengkapan elektrik di tempat yang tinggi dan selamat daripada ditenggelami atau terkena air banjir,” katanya.

Semasa banjir pula, orang ramai perlu mengelak daripada melalui kawasan yang ada talian elektrik kerana paras air yang tinggi akan menyebabkan talian tersebut mudah disentuh, terutamanya pada waktu malam kerana ketika itu penglihatan tidak begitu jelas.

Selain itu, ST berkata orang ramai juga perlu menjauhkan diri dari lokasi terdapat talian elektrik yang jatuh atau putus bagi mengelak daripada renjatan elektrik akibat talian yang masih berarus elektrik.

Selepas banjir, katanya orang ramai diminta berhati-hati kerana kelengkapan elektrik dan pepasangan elektrik yang ditenggelami air berpotensi mendatangkan bahaya kerana ia boleh mengalirkan arus elektrik di kawasan persekitaran dan menyebabkan kehilangan nyawa dan harta benda.

Orang ramai perlu memastikan semua kelengkapan elektrik yang terendam di dalam air diperiksa dan berada dalam keadaan kering dan baik sebelum digunakan semula dan elak menggunakan kelengkapan yang diragui keselamatannya, katanya.

Sebelum ‘ON’ suis utama, pengguna perlu memeriksa semua pendawaian rumah dan kelengkapan elektrik dan ia hendaklah dilakukan oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan ST.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dobi layan diri tiada kelulusan ST berisiko meletup

PUTRAJAYA, 14 JULAI: Kira-kira 2,000 dobi layan diri di seluruh Semenanjung Malaysia dan Sabah mungkin terdedah kepada bahaya letupan ekoran tidak mempunyai kelulusan dan lesen pengoperasian gas daripada Suruhanjaya Tenaga (ST).

Timbalan Pengarah Pepasangan dan Peralatan Gas ST, Ir Shamsuddin Arshad berkata setakat ini hanya 427 dobi layan diri direkodkan mempunyai lesen berkenaan dan berdaftar di bawah ST.

Di bawah Akta Bekalan Paip 1993 dan Peraturan-peraturan Bekalan Gas 1997, mana-mana premis yang menggunakan sistem gas berpaip terutamanya gas petroleum cecair perlu mendapatkan kelulusan dan lesen yang sah daripada ST sebelum beroperasi.

Bercakap kepada Bernama, Shamsuddin menegaskan pengusaha seharusnya mengambil iktibar daripada insiden letupan gas di premis dobi layan diri tahun lalu, yang menyebabkan kematian dalam dua kes yang dilaporkan.

“Tahun lalu ada dua kes kemalangan gas yang dilaporkan kepada ST iaitu pada 11 April di Taman Jinjang Baru, Kuala Lumpur yang mengorbankan seorang pelanggan wanita dan pada 4 Oktober yang mengakibatkan dua beranak terbakar tubuh badan sebelum si bapa meninggal dunia.

“Kedua-dua kemalangan itu berpunca daripada kebocoran pada pepasangan sistem gas berpaip yang tidak mendapat kelulusan dan tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh ST,” katanya.

Sarawak tidak tertakluk di bawah bidang kuasa kawal selia ST dan tidak diliputi Akta Bekalan Elektrik 1990 selain mempunyai agensi sendiri bagi mengawal selia mengenai pembekalan elektrik.

Menjelas lanjut, Shamsuddin berkata tidak seperti premis dobi konvensional yang menggunakan tenaga elektrik untuk proses pengeringan, dobi layan diri menggunakan gas bagi menjimatkan kos.

“Dalam tiga, empat tahun ini dobi layan diri tumbuh seperti cendawan. Sebelum ini kami tidak tahu dobi itu menggunakan sistem gas berpaip kerana semuanya tersorok di dalam. Apabila berlakunya letupan pertama, ‘pecah rahsia’ mereka.

“Ada premis dobi yang dibuat tidak mengikut spesifikasi standard minimum yang diperakui ST dan gagal membuat servis dan penyelenggaraan…lama-lama paip berkarat dan kebarangkalian untuk kebocoran itu ada… bila gas berkumpul dan sampai ke satu tahap dalam ‘lower explosive limit’ (LEL), ia akan meletup bila suis diketik,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsuddin berkata ST kini sedang dalam proses menerbitkan garis panduan pepasangan sistem gas berpaip kepada premis dobi layan diri bagi membantu pengusaha dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan keselamatan orang awam tidak terjejas akibat aktiviti pembekalan gas berpaip.

“Dengan adanya garis panduan itu, kita bakal mewajibkan pengusaha untuk menampal kelulusan serta lesen gas, sama seperti menampal lesen perniagaan, di premis yang berdaftar di bawah ST…buat masa ini kita bagi panduan dan kesedaran, akan datang kita akan buat serbuan,” katanya.

Beliau berkata, pengusaha dobi yang ingkar untuk mendapatkan kelulusan dan lesen daripada ST boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Bekalan Gas 1993 dan Peraturan-peraturan Bekalan Gas 1997, termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara atau kedua-duanya.

Justeru katanya, pengusaha atau bakal pengusaha dobi layan diri diingatkan untuk mendapatkan Kelulusan untuk Memasang (ATI), Kelulusan Untuk Mengendali (ATO) dan Lesen Gas bagi memastikan reka bentuk sistem paip gas dipasang mengikut piawaian ditetapkan ST serta dapat dikendalikan dengan selamat.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

PBT perlu pastikan dobi ada kelulusan ST

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta memastikan pengusaha dobi khususnya francais layan diri untuk mendapat kelulusan dan lesen Suruhanjaya Tenaga (ST), sebelum diberi lesen premis peniagaan.

Pengerusi ST, Datuk Ahmad Fauzi Hasan berkata, ia bertujuan menjamin keselamatan dan mengelak kejadian letupan gas di premis berkenaan yang boleh menyebabkan kecederaan hingga meragut nyawa.

“Salah satu kelemahan yang kami dapati apabila menyiasat kejadian kemalangan di premis dobi ialah kebanyakan pengusaha tidak mengambil serius bahawa pengoperasian dobi menggunakan sistem perpaipan gas memerlukan beberapa kelulusan.

“Sebelum beroperasi, ada tiga kelulusan diperlukan iaitu Kelulusan Untuk Memasang (ATI), Kelulusan Untuk Mengendali (ATO) dan Lesen Gas yang dikeluarkan ST,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keselamatan Sistem Gas Berpaip, di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 538 ATI; 341 ATO; dan 324 lesen persendirian untuk kedai dobi dikeluarkan suruhanjaya itu dari Januari tahun lalu sehingga Mac 2019.

“Kami anggarkan lebih 2,000 lagi kedai dobi yang sedang beroperasi belum mendapat kelulusan daripada ST,” katanya.

Beliau berkata, reka bentuk pemasangan sistem perpaipan gas perlu direka dan diluluskan berdasarkan Malaysian Standard 830 dan Malaysian Standard 930, manakala pemberian dan pembaharuan lesen gas dipantau dengan meneliti laporan penyelenggaraan yang dilakukan terhadap sistem perpaipan.

Ahmad Fauzi berkata, ST turut membangunkan garis panduan khas yang baharu untuk rujukan pengusaha premis dobi merangkumi keperluan perundangan dan teknikal bagi memastikan keselamatan sistem perpaipan gas terjamin.

Katanya, antara aspek yang ditekankan dalam garis panduan itu ialah kepentingan pemasangan sistem silinder gas yang mampu menahan gas daripada memasuki premis jika berlaku kebocoran.

“Dinding bangunan itu yang mengasingkan tempat penstoran dengan dobi mestilah direka bentuk dengan spesifikasi fireproof (kalis api) selama empat jam,” katanya.

Garis panduan itu didaftarkan selaras Seksyen 37C, Akta Bekalan Gas 1993 supaya ia dapat dikuatkuasakan.

Kegagalan mematuhi garis panduan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 dan jika berterusan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari selama pelanggaran itu diteruskan selepas sabitan seperti yang termaktub di bawah seksyen 31, Akta Bekalan Gas 1993, katanya. -BERNAMA