Categories
NASIONAL SELANGOR

Kelemahan PRU 13 makin terbongkar dalam Tribunal Rakyat

tribunal

SUBANG JAYA, 21 SEPT : Kira-kira lapan saksi hari ini tampil memberi keterangan di hadapan panel pada hari ketiga Tribunal Rakyat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di Hotel Empire, di sini.

Saksi pertama, Ketua Kampung Tual Kuala Lipis, Pahang, Yok En menghangatkan suasana apabila mengakui bahawa orang asal di kawasan itu ‘dipaksa’ supaya tidak mengundi parti lain selain Umno-BN dalam pilihan raya.

Katanya, semua penduduk kampung dijanjikan pemberian wang sebanyak RM20 sekiranya mengundi calon BN.

“Tidak semua penduduk kampung yang keluar mengundi menerima insentif itu meskipun mereka (BN) telah berjanji,” katanya.

tribunal logo

Mengesahkan perkara itu, seorang lagi saksi dari kawasan sama yang dikenali sebagai Sani mengatakan sekiranya orang asal tidak mengundi BN, polis akan menangkap dan mengeluarkan saman kepada mereka.

Pakar kimia, Steven Ng pula mendedahkan dakwat kekal yang digunakan semasa PRU-13 pada Mei lalu hanya mengandungi satu peratus argentum nitrat (silver nitrate).

Sedangkan katanya, dakwat kekal yang digunakan dalam pilihan raya lazimnya mengandungi antara 10 hingga 18 peratus argentum nitrat larut yang akan meninggalkan tanda kehitaman dan bertahan selama beberapa hari.

Penganalisis, Steven Choong yang menerangkan prosedur pengundian semasa pilihan raya berpendapat kotak peti undi awal tidak seharusnya disimpan di balai polis sebaliknya perlu diletakkan di bawah jagaan pegawai penguatkuasa.

Sesi petang pula menyaksikan pendedahan oleh dua petugas media portal online dari Malaysia Kini dan Free Malaysia Today berhubung salah laku Umno-BN menggunakan jentera kerajaan semasa tempoh berkempen di Parlimen Batu dan Tebrau.

Ia kemudian disusuli oleh tayangan video berdurasi kira-kira 30 minit yang memaparkan temu bual bersama ahli akademik Universiti Malaya, Profesor Edmund Terence Gomez yang menyifatkan tempoh 10 minit kepada parti politik untuk membentangkan manifesto pilihan raya menerusi siaran radio sebagai sesuatu tindakan tidak adil.

Pegawai Eksekutif Pusat Wartawan Bebas (CIJ), Masjaliza Hamzah pula membentangkan kajian berhubung beberapa isu yang terpaksa dihadapi wartawan dan editor semasa pilihan raya.

Katanya, kebanyakan wartawan yang bekerja di media arus perdana tidak diberi kebebasan untuk menulis rencana negatif berhubung Umno-BN.

Seorang lagi saksi, Profesor Zaharom Nain berkata, liputan berita oleh media arus perdana bersifat berat sebelah berbanding portal online yang menyiarkan berita seimbang dengan menonjolkan kedua-dua parti Umno-BN dan Pakatan Rakyat (PR).

Categories
NASIONAL

Tandatangan DiPungut Bantah Tol EDL

SHAH ALAM,7 MAC : Gabungan pertubuhan sivil yang ditubuhkan di Johor Bahru, Johor, ( Gabungan Tolak EDL ) memohon dan menuntut kerajaan untuk mengkaji kadar tol lebuhraya Eastern Disperal Link ( EDL) yang membebankan rakyat khususnya warga Johor.

Menurut Pengerusi Gabungan Tolak EDL, Steven Choong , anak syarikat MRCB Bhd telah membina satu lebuhraya baru di Bandaraya Johor Bahru yang dikenali sebagai Eastern Dispersal Link ?EDL? yang dijangka akan dibuka pada bila-bila masa.

Choong berkata kadar tol yang dikenakan mestilah munasabah dan seimbang dengan kos pembinaan dan jumlah tahun konsensi yang diberi agar tidak membebankan rakyat.

“Kempen pungutan tandatangan Tolak EDL akan terus berjalan dan akan diserahkan kepada Perdana Menteri sehingga tuntutan Gabungan kami diterima oleh pihak kerajaan.

“Lebuhraya EDL ini adalah sepanjang 8.1 km dan kos pembinaan seperti dilapor dalam media semasa adalah RM977 juta. Juga dilaporkan bahawa MRCB telah diberi konsesi selama 34 tahun untuk memungut tol EDL tersebut.

“Berdasarkan kepada laporan media semasa dan sehingga hari ini tidak pernah dinafikan oleh pihak MRCB, kesemua kenderaan yang masuk keluar CIQ Johor Bahru di Bangunan Sultan Ibrahim akan dikenakan tol sebanyak RM6.20 sehala (2 hala; RM12.40), tidak kira sama ada kenderaan tersebut merupakan pengguna lebuhraya EDL atau tidak,” kata beliau dalam kenyataan media.

Choong berkata ,ini ditambah dengan tol yang sedia ada iaitu tol PLUS sebanyak RM2.90 bermakna setiap pengguna kereta yang masuk keluar CIQ Johor Bahru akan dibebankan dengan jumlah tol sebanyak RM15.30 berbanding dengan RM2.90 yang perlu dibayar sekarang.

Justeru itu, Gabungan Tolak EDL yang telah ditubuhkan oleh sekumpulan penduduk Johor Bahru khuatir dengan perlaksanaan tol baru lebuhraya EDL ini dan kesan negatif yang mungkin akan dibawa kepada ekonomi Bandaraya Johor Bahru dan Johor.

“Kami, telah melancarkan kempen punggutan tandatangan di sekitar Johor Bahru selama dua minggu lepas ini dan dilampirkan di sini untuk perhatian Perdana Menteri, borang-borang tandatangan yang sempat dipungut oleh gabungan Tolak EDL untuk perhatian dan timbang rasa Datuk Seri.

“Jumlah tandatangan yang dapat dipungut setakat hari ini adalah 15,306 tandatangan, kami amat harap Datuk Seri selaku Perdana Menteri untuk semua orang Malaysia boleh menimbang rasa hasrat rakyat Johor yang membantah cara pungutan dan kadar tol tinggi EDL ini,” katanya.