Categories
AGENDA SUKANKINI

Pasukan hoki wanita negara distruktur semula

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Pemain hoki wanita negara tidak lagi dipecahkan kepada dua sebaliknya kedua-dua skuad senior dan remaja kini digabungkan dalam satu pasukan yang dikenali sebagai Projek Khas Sukan Asia 2026.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata 80 peratus pemain pasukan projek itu terdiri daripada mereka berumur bawah 21 tahun manakala 20 peratus berusia lebih 21 tahun.

Beliau, bagaimanapun berkata ketua jurulatih yang bakal membimbing pasukan projek khas itu belum diputuskan, dan pihaknya memerlukan sedikit masa untuk meneliti perkara itu.

“Kita sudah senarai pendek dua calon tempatan dan dua calon luar negara. Siapa pun yang bakal jadi ketua jurulatih, dia akan mula lapor diri selewat-lewatnya 1 Sept ini,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini semalam.

Subahan berkata KHM tidak mahu terburu-buru membuat keputusan kerana individu yang akan dipilih mempunyai tugas besar untuk meletakkan skuad hoki wanita negara di satu tahap yang tertinggi dalam tempoh enam tahun akan datang.

“Selepas ini hanya akan ada satu pasukan wanita sahaja tetapi dengan enam tahun persediaan dan pembiayaan yang mencukupi, saya rasa memadai untuk kita cipta sesuatu pada Sukan Asia 2026,” katanya.

Selain pasukan hoki wanita, beliau berkata pasukan remaja lelaki negara turut diletakkan di bawah Projek Khas Sukan Asia 2026 yang akan diselia oleh pengarah teknikal baharu KHM yang akan dilantik pada 1 Sept.

Subahan berkata pengarah teknikal itu bukan hanya ditugaskan untuk memantau ketua jurulatih skuad remaja lelaki dan pasukan wanita, tetapi turut akan bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pembangunan KHM yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden KHM Prof Dr S Shamala bagi Program Pembangunan Hoki Kebangsaan.

Selain itu, Subahan turut mengumumkan pelantikan Ketua Jurulatih UniKL, Arul Selvaraj sebagai ketua pembantu jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan.

Arul yang akan memulakan tugas secara rasmi pada 15 Ogos ini, bakal digandingkan dengan Ketua Jurulatih, Roelant Oltmans serta Penolong Jurulatih sedia ada, Muhamad Amin Rahim dan Jurulatih Penjaga Gol, Nasihin Nubli Ibrahim.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

KRM, MSN sasar pingat sulung ragbi di Sukan Asia 2026

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mempunyai misi melakar sejarah baharu apabila menyasarkan untuk membawa pulang kilauan pingat pada temasya Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun.

Malaysia belum pernah meraih sebarang pingat di pentas Sukan Asia, namun ia tidak lagi mustahil selepas KRM bersama Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini mencapai persetujuan melaksanakan program latihan jangka panjang khusus buat pasukan ragbi tujuh sepasukan (7’s) lelaki dan wanita negara.

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata perkembangan terbaharu itu bertujuan mewujudkan satu mekanisme latihan bersepadu untuk membantu memastikan kejayaan kedua-dua skuad 7’s negara meraih kilauan pingat yang dinanti-nantikan.

“Kita nak menang pingat Sukan Asia 2026. Kita perlu ada satu program yang sangat teliti, sangat bersepadu dan sangat menyeluruh untuk cuba memenangi pingat di Jepun yang kita tahu bukan mudah. Tetapi kita ingin mencuba, sampai bila kita hanya mahu bercakap pasal Sukan SEA.

“Program ataupun projek khas ini sepatutnya bermula antara Mac hingga Mei, namun disebabkan pandemik Covid-19 ia terpaksa ditangguhkan sehingga ke satu tarikh baharu,” katanya kepada Bernama, semalam.

Shahrul Zaman berkata pelaksanaan program berkenaan akan menyaksikan tumpuan diberikan lebih kepada barisan pemain ragbi berpotensi berusia dalam lingkungan 22 tahun untuk diserapkan ke dalam program.

Namun, beliau menegaskan KRM tetap mengekalkan pemain senior sedia ada untuk mewakili negara ke kejohanan antarabangsa sementara pemain daripada program bersama MSN itu akan diserap ke dalam skuad kebangsaan secara berperingkat.

“Kita fikirkan pemain lingkungan 22 tahun sebab lagi enam tahun mereka berusia 28. Program ini tidak bermaksud mereka sahaja akan mewakili negara selepas ini, tidak. Kita masih menaruh kepercayaan terhadap barisan pemain sedia ada tetapi kita harus mempunyai perancangan,” katanya.

-BERNAMA