Categories
AGENDA SUKANKINI

KBS puas hati patuh SOP Covid-19 aksi Liga Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berpuas hati dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan penularan wabak Covid-19 dilaksanakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan pasukan bertanding sepanjang aksi Liga Malaysia (Liga-M) disambung semula, bermula hujung bulan lepas.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyatakan demikian selepas pihaknya mendapat laporan pengelolaan perlawanan Liga-M, selain beliau sendiri ‘turun padang’ memantau pematuhan SOP di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras membabitkan aksi Liga Super antara Kedah dengan Sabah, malam tadi.

“Alhamdulillah saya dapat hadir untuk tengok sendiri pematuhan SOP yang ditetapkan…mereka telah melaksanakan dengan baik dalam perlawanan antara Kedah dengan Sabah. Saya juga dapat maklumat untuk perlawanan lain dan semuanya berjalan lancar.

“Dengan pematuhan penjarakan fizikal, SOP ketika pendaftaran masuk sehingga ke dalam stadium semuanya dalam keadaan baik. Saya berharap ia akan berterusan kerana jika terus positif seperti ini, kita akan (seterusnya) dapat ke Fasa Lima dan Enam,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan MFL, hari ini.

Liga-M kembali bersambung bermula 26 Ogos lepas sejak ditangguhkan pada 16 Mac akibat penularan pandemik Covid-19, dan kini berada di Fasa Empat iaitu kerajaan membenarkan untuk mengadakan pertandingan domestik tanpa kehadiran penonton.

Reezal Merican berharap semua pihak terus bekerjasama bagi memastikan kelancaran Liga-M sekali gus memberi keyakinan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk beralih ke fasa seterusnya yang membenarkan kehadiran penyokong ke stadium.

“Tapi saya tidak mahu letak harapan lagi kerana apa yang penting agar semua dapat terus melaksanakan pematuhan SOP dengan tegas untuk elak sebarang kemungkinan jangkitan Covid-19, dan untuk sekarang saya memang cukup berpuas hati dengan apa yang dilakukan,” katanya.

Sebanyak 48 perlawanan Liga Super dan Liga Premier telah berlangsung dengan lancar menerusi pematuhan SOP yang ketat, setakat ini.

Aksi Liga Super dan Liga Premier kini berbaki tiga perlawanan bagi setiap pasukan sebelum saingan Piala Malaysia bermula pada 17 Oktober ini.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KBS fokus tingkat infrastruktur sukan luar bandar

KOTA BHARU, 12 JAN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberikan tumpuan kepada pembangunan infrastruktur sukan di kawasan luar bandar untuk dimanfatkan oleh masyarakat setempat.

Menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata ia bagi memastikan peruntukan untuk membina dan menaik taraf infrastruktur sukan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar.

“KBS memberi tumpuan kepada sukan luar bandar dan menambah baik infrastruktur di kawasan itu berikutan banyak negeri yang mempunyai kawasan luar bandar dan separuh bandar yang memerlukan infrastruktur yang baik.

“Sebagai contoh kami akan menambaik baik dewan, gelanggang futsal dan sebagainya di kawasan luar bandar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Amanat dan Sijil kepada Youth Power Club (YPC) di Kompleks Belia dan Sukan negeri Kelantan di sini, hari ini.

Syed Saddiq berkata tumpuan akan diberikan di kawasan luar bandar yang mempunyai jumlah belia yang ramai agar infrastruktur sukan dapat dimanfaat sepenuhnya.

“Pembinaan sesuatu kompleks sukan… pihak kami akan melihat kepada keperluan di kawasan itu, jika perlu, kami akan usaha yang terbaik.

“Sebagai contoh di Sabah, kawasan sangat luas dan penduduk tidak tertumpu di satu tempat, apabila kita bina satu infrastruktur besar namun tidak boleh dimanfaatkan oleh ramai masyarakat, jadi kami bina infrastruktur yang kecil akan tetapi boleh dimanfaatkan lebih ramai masyarakat,” katanya.

Katanya begitu juga dalam aspek penganjuran program, belia ketika ini tidak mahu satu program yang berskala besar namun mereka mahu program berskala kecil tetapi ia diperbanyakkan di seluruh kawasan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KBS sedia pelan kecemasan atasi masalah di Sukan SEA Filipina

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Kementerian Belia dan Sukan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara (ISN) sudah bersedia dengan pelan kecemasan bagi mengatasi sebarang kemungkinan melibatkan kontinjen negara pada Sukan SEA ke-30 yang sedang berlangsung di Filipina.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kementerian sentiasa mengutamakan kebajikan atlet berikutan beberapa masalah yang timbul di temasya berkenaan termasuk dari segi makanan halal, pengangkutan dan lokasi temasya.

“Sebagai contoh mengenai pemakanan khususnya masalah makanan halal yang kurang di sana (Filipina) kontinjen kita ‘diselamatkan’ dengan bantuan pek makanan Brahim’s. Kita sudah bawa 500 ke 100,000 bungkusan makanan Brahim khususnya jika masalah makanan halal ini berterusan.

“Pagi ini saya dapat maklum balas dari pihak kontinjen bahawa masalah makanan halal ini sedang diselesaikan dan keadaan dilaporkan jauh lebih baik berbanding tiga hari lepas.

“Masalah berkaitan pengangkutan juga sedang diselesaikan,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang ingin tahu tindakan kerajaan untuk mengatasi masalah dihadapi kontinjen negara termasuk soal kekurangan makanan halal.

Syed Saddiq berkata, wakil pasukan Malaysia juga telah menyalurkan pandangan berkenaan masalah yang dihadapi atlet negara kepada pihak penganjur temasya sukan tersebut menerusi saluran rasmi.

“Di sini juga saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada pihak Majlis Sukan Negara kerana tindakan pantas menukar Jalur Gemilang sebelum bermula majlis penyampaian pingat emas melibatkan atlet wushu negara, Loh Choon How. Ini membuktikan pemimpin negara kita sangat proaktif dan segera menyelesaikan isu sebelum ia menjadi masalah besar,” katanya.

Dilaporkan, majlis penyampaian pingat sebelum itu tertangguh hampir 20 minit, selepas kontinjen negara bersama Chef-de-mission (CDM), Datuk Megat Zulkarnain Omardin menyedari bendera yang dibawa keluar penganjur tersalah cetak dan mengarahkan penukaran dibuat.

Syed Saddiq turut memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa kontinjen negara setakat ini berjaya meraih 11 pingat emas.

Sukan SEA ke-30 di Filipina menyaksikan penyertaan lebih 8,000 atlet dari 10 negara ASEAN dan Timor Leste dalam 56 jenis sukan pada temasya itu yang akan berakhir pada 11 Disember ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Infrastruktur sukan bukan untuk golongan tertentu sahaja

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Kementerian Belia dan Sukan berharap kerajaan negeri atau majlis daerah yang mempunyai infrastruktur sukan sendiri harus turut membuka kemudahan itu kepada orang awam.

Ia susulan langkah yang diambil oleh KBS dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang membuka peluang kepada orang ramai untuk beriadah di trek Stadium Nasional secara percuma pada hari Sabtu dan Ahad dari 7 hingga 10 pagi.

Inisiatif ini bertujuan memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai pengalaman berlari di dalam Stadium Nasional yang juga venue sukan utama di Malaysia.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, masyarakat kini sudah bijak memilih gaya hidup sihat dan kemudahan yang sedia ada sepatutnya dimanfaat sebaik mungkin untuk kegunaan orang ramai.

“Kita tidak boleh simpan kemudahan kita untuk kegunaan diri dan atlet sahaja. Kita hendak memastikan rakyat juga menikmati infrastruktur sukan yang sedia ada.

“Saya faham ada tempat ada infrastruktur sukan tapi hendak guna agak susah sekali, ada yang kenakan caj yang agak mahal…mungkin ada keperluan untuk bayar maintainance tapi ia patut dibuka kepada umum. Apa guna ada tempat gah tapi diguna oleh segelintir sahaja,” katanya selepas pelancaran penggunaan trek Stadium Nasional secara percuma di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, KBS dan PSM akan meneliti cadangan sama ada untuk membuka kemudahan trek Stadium Nasional ini pada waktu malam dan juga diperluaskan kepada hari biasa dan tidak tertumpu pada waktu hujung minggu.

“Selain kemudahan digunakan pada waktu malam, kita juga bercadang untuk buka dari Isnin hingga Jumaat di mana kalau orang balik kerja agak lambat dan mereka masih mahu bersukan, ada infrastruktur disediakan. Kalau hanya dibuka pada waktu pagi dan hujung minggu saja, kadang kala ia tidak mencukupi untuk orang awam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Nik Razeen Adam Daud berkata, penggunaan percuma ini adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat bagi menggalakkan rakyat untuk bersukan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Beliau berkata, pihaknya juga mahu mengubah persepsi bahawa kemudahan sukan yang diuruskan bukan hanya dikhususkan untuk acara atau aktiviti berbayar dan berprestij tinggi saja, malah boleh digunakan oleh rakyat serta komuniti sekitar.

Katanya, bukan sahaja trek di dalam Stadium Nasional, malahan banyak lagi kemudahan yang disediakan secara percuma untuk kegunaan orang ramai di Bandar Sukan Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Sports City) itu.

“Bukan ini sahaja yang percuma kepada orang ramai tapi juga gelanggang futsal, gelanggang bola keranjang, gimnasium, skate park, trek larian dan kayuhan basikal di sekeliling stadium juga adalah percuma dan dibuka sehingga waktu malam.

“Untuk di dalam, kami sedang perhalusi operasi waktu malam kerana memerlukan lampu. Kita akan teliti dari segi kos, jika tidak begitu banyak kita akan buka juga pada waktu malam. Selain kita juga akan meneliti untuk menyediakan khidmat medik,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Pusat sehenti untuk kebajikan atlet, bekas atlet dirancang

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Kementerian Belia dan Sukan kini dalam usaha menyiapkan sebuah pusat sehenti untuk tujuan kebajikan kepada atlet dan bekas atlet negara, kata menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Kementerian membuat keputusan untuk membuka sebuah pusat sehenti khusus untuk atlet. Kita mahu siapkan secepat mungkin sama ada pada suku kedua atau ketiga tahun ini.

“Ia bukan satu tempat untuk menyelesaikan kes demi kes tetapi lebih bersifat menyeluruh bagi atlet. Walaupun ada yang sudah lama bersara, terbukti mereka telah berkhidmat untuk negara dan kita juga mempunyai tanggungjawab moral kepada mereka,” katanya, lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran sistem pengundian secara berkomputer untuk pendaftaran penyertaan Maraton KL Standard Chartered 2019 di sini, hari ini.

Syed Saddiq berkata, beliau sudah memaklumkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bahawa keutamaan perlu diberikan kepada mereka untuk mendapatkan pekerjaan.

Katanya, penubuhan sebuah pusat sehenti itu sangat diperlukan sekarang memandang banyak isu berkaitan kebajikan atlet dan bekas atlet yang menjadi tular dalam media sosial dan juga media tempatan.

Untuk tujuan kebajikan atlet juga, Syed Saddiq berkata, kolaborasi dengan pihak institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA dan IPTS) telah dilaksanakan bagi menjamin masa depan atlet.

“Sekarang sudah ada 19 IPTA dan IPTS. Kita sasar sekurang-kurangnya ada satu IPT di setiap negeri yang boleh juga dijadikan sebagai hab sukan.

“Kalau boleh kita juga mahu menyerap bekas atlet ini ke universiti ini untuk bekerja dan dapat membantu menggilap bakat baharu. Jika universiti diaktifkan sebagai hab sukan, saya yakin perkara seperti ini (kebajikan) dapat ditangani dengan lebih baik,” katanya.

Antara kolaborasi sudah diwujudkan adalah dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Terengganu, yang memberi tumpuan kepada pembangunan sukan memanah selain memberi peluang pengajian kepada atlet di universiti berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya memikirkan langkah terbaik mengatasi masalah penjualan tiket untuk mana-mana perlawanan besar membabitkan pasukan kebangsaan mahupun Liga Malaysia.

Mengambil contoh sistem pengundian secara berkomputer untuk pendaftaran penyertaan Maraton KL Standard Chartered 2019, Syed Saddiq berkata: “Mungkin mereka boleh mewujudkan sistem kesetiaan dan kena seimbangkan penjualan tiket secara dalam talian dan juga secara manual.”

Beliau juga meminta Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberi sokongan penuh kepada FAM untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Categories
NASIONAL

KBS: RM60 juta untuk infra sukan dan belia di Terengganu

KUALA NERUS, 17 FEB: Kementerian Belia dan Sukan akan menyalurkan peruntukan RM60 juta untuk pembangunan infrastruktur sukan dan belia di Terengganu tahun ini.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, peruntukan tersebut termasuk memulakan pembinaan tiga projek dicadangkan kerajaan sebelum ini iaitu velodrom di Dungun dan masing-masing sebuah Kompleks Sukan Mini di Jabi, Besut dan Telemong di Hulu Terengganu.

“Selain sukan berbasikal, KBS dengan kerjasama kerajaan negeri juga akan memberi tumpuan untuk pembangunan sukan air di sekitar Pulau Duyong dan kawasan pantai di Terengganu.

“Pembangunan infra sukan ini juga secara tidak langsung merangsang sektor pelancongan di negeri ini,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke sesi ‘town hall’ bersama 2,500 pelajar sekitar Kuala Terengganu serta wakil persatuan dan penggerak belia negeri di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), hari ini.

Syed Saddiq juga meluangkan masa hampir dua jam untuk memberi penerangan berkaitan dasar-dasar kerajaan dan sesi soal jawab berkaitan mahasiswa serta belia.

– BERNAMA