Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Muhammad V mahu lima projek di Kelantan disegerakan

KOTA BHARU, 11 NOV: Kerajaan Persekutuan hari ini diminta untuk melaksanakan lima projek utama yang dijanjikan kepada Kelantan dengan segera.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah lima projek tersebut yang diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, laluan baharu antara Pasir Puteh-Machang-Jeli, Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dan Jambatan Palekbang-Kota Bharu.

“Harapan beta agar kerajaan negeri dapat membantu dan bekerjasama dengan kerajaan pusat, untuk menyegerakan pelaksanaan projek-projek ini,” titah baginda sempena Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan Darulnaim, sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-50 di Istana Balai Besar di sini, hari ini.

Baginda turut menarik perhatian tahun depan merupakan Tahun Melawat Kelantan yang bertemakan ‘I Love Kelantan’ atau ‘Kelantan di Hati’ dengan elemen ‘Keluarga, Makanan dan Festival (3F) dengan sasaran kemasukan 5.5 juta pelancong.

“Pada hemat beta, tema ini bertepatan dengan hasrat kerajaan beta yang ingin menarik perhatian pelancong berkunjung ke negeri ini, di samping dapat menikmati makanan dan menyaksikan pelbagai acara serta festival menarik yang disusun,” titah baginda.

Sultan Muhammad bertitah baginda turut mendapat maklum kerajaan negeri memberi penekanan khusus terhadap perancangan pembangunan bandar-bandar baharu di Kelantan sekali gus membuka lebih banyak aktiviti ekonomi dan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat.

Baginda turut mengalu-alukan penglibatan para pelabur untuk bersama-sama merebut peluang dalam membangunkan bandar-bandar baharu ini.

“Proses urbanisasi yang sempurna dan dinamik haruslah menitikberatkan pertumbuhan bandar-bandar yang terancang dan mampan tanpa mengabaikan penjagaan alam semula jadi.

“Sehubungan dengan itu, beta mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana telah berjaya menyediakan Pelan Induk Pembangunan Mampan Negeri Kelantan selaras dengan penetapan ‘Matlamat Pembangunan Lestari 2030’ oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Beta menyarankan semua pihak dapat bersama-sama mengambil bahagian dalam menjayakan pelaksanaan pelan induk ini,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Muhammad V bertitah program Kelantan Bersih yang telah dilaksanakan dilihat berjaya membawa perubahan daripada sudut pembudayaan kebersihan, dalam kalangan masyarakat.

“Di samping itu juga, beta diberi maklum program kebersihan dan keceriaan ini akan terus diperkasakan dengan penambahan peruntukan kepada RM10 juta pada 2020 berbanding RM6 juta pada tahun ini.

“Beta berharap agar program pembudayaan kebersihan dan keceriaan di kalangan rakyat perlu dilaksanakan secara berterusan untuk menjadikan negeri ini antara yang terbersih di Malaysia,” titah baginda.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Kelantan berkenan menyembelih 2 ekor lembu korban

KOTA BHARU, 12 OGOS: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V hari ini berkenan menyembelih dua ekor lembu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha menerusi Majlis Ibadat Qurban Jama’ie, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Padang Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra, Panji di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda kira-kira pukul 9 pagi diiringi Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra, Tengku Temenggong Kelantan yang juga Yang Dipertua MAIK, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman.

Tengku Mohamad Rizam berkata, sebanyak 39 ekor lembu dikorbankan pada hari ini merangkumi sumbangan dua ekor lembu daripada Sultan Muhammad V, 10 ekor lembu daripada orang ramai manakala baki selebihnya daripada MAIK.

“Daging lembu itu akan diagihkan kepada golongan asnaf di sekitar Kota Bharu selain kepada Masjid Panji dan Masjid Muhammadi,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Zulkifle berkata, MAIK akan mengadakan Majlis Korban Perdana di perkampungan Orang Asli Kuala Betis pada Rabu, dengan kebanyakan lembu disumbangkan oleh Masjid Bukit Damansara, Kuala Lumpur dengan kerjasama MAIK.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

29 peserta projek tanaman cili peroleh RM1,200 sebulan

PASIR PUTEH, 3 MEI : Seramai 29 peserta yang menyertai projek tanaman cili kulai, di sini kini berjaya memperoleh pendapatan RM1,200 sebulan.

Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS), Tan Sri Syed Anwar Ibni Tuanku Syed Putra Jamalullail, berkata peserta mengusahakan tanaman itu sejak 2013 membabitkan kawasan seluas 17 hektar.

“Bagi menjayakan projek ini, (setiap) peserta mengusahakan satu ekar (0.40 hektar) dengan tanaman cili kulai,” katanya di sini hari ini.

IMG-20160503-WA0005Syed Anwar berkata Projek Pembangunan Ekonomi Asnaf itu melibatkan peruntukan RM8.3 juta daripada LZS, dibangunkan membabitkan tiga segmen iaitu penempatan berkelompok, pembinaan infrastruktur asas dan projek agroekonomi.

“Bagi pembinaan penempatan penduduk, LZS membangunkan 30 rumah setingkat yang mempunyai tiga bilik tidur, dua tandas, ruang tamu serta dapur dengan keluasan 1,000 kaki persegi (92.9 meter persegi) di samping kelengkapan perabot asas,” katanya.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan melawat Projek Pembangunan Ekonomi Asnaf Lembaga Zakat Selangor di Kampung Gong Jenerah, Bukit Awang di sini.

Projek itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh, membabitkan ladang tanaman cili kulai serta pembinaan 30 rumah Desa Alam Shah untuk peserta projek daripada golongan miskin (asnaf).

Turut hadir Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra ibni Sultan Ismail Petra, Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz, Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Sultan Kelantan berkenan merasmikan majlis perasmian dan Pengurniaan Kunci Rumah Kepada Penghuni Desa Alam Shah tersebut.

EZY

Categories
NASIONAL

Sultan Kelantan: Musibah banjir muhasabah, jadikan alam sekitar sahabat

KOTA BHARU 28 DIS: DYMM Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mahu seluruh rakyat supaya menjadikan alam sekitar sebagai sahabat baik kerana musibah banjir yang berlaku ketika ini mempunyai hubung kait daripada perbuatan manusia.
Sultan KelantanTitah baginda, rakyat perlu bermuhasabah dengan apa yang dilakukan selama ini dan perlu memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan.

“Marilah kita menghulurkan tangan persahabatan dengan alam sekitar dan marilah kita sedar bahawa segala macam musibah bencana dan malapetaka yang terjadi semua itu akibat daripada olahan tangan-tangan kita.

“Semoga ALLAH mengampuni kita semua dan menjadikan musibah ini dengan kebaikan yang banyak,” titah baginda dalam teks yang diedarkan kepada media di sini, hari ini.

Baginda juga mahu rakyat agar tidak menyebarkan berita yang boleh menambahkan kekeruhan terhadap musibah yang berlaku itu.

“Janganlah ada dalam kalangan ahli masyarakat yang tidak sensitif dan ingin menangguk di air keruh dengan menyebarkan berita-berita yang boleh menambahkan kekeruhan dan kekusutan,” titah baginda.

Titah baginda ujian yang dialami ketika ini bukan masanya untuk saling menyalahkan sesama sendiri.

Baginda turut mengucapkan takziah kepada rakyat Kelantan yang terjejas banjir dan berharap mereka menerima ketentuan ALLAH itu dengan penuh berlapang dada.

“Banjir yang berlaku ini adalah sebahagian daripada qada dan qadar ALLAH. Hal ini harus diyakini dan diimani,” titah baginda. – Bernama