Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Hari keputeraan Agong dipinda September

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 JULAI: Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bagi tahun ini dipinda daripada 29 Julai kepada Sabtu, 9 September.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan pindaan itu dan ini adalah kali kedua sambutan ia dipinda.

Pada April lalu, kerajaan mengumumkan sambutan itu dipinda dari Sabtu minggu pertama bulan Jun kepada Sabtu minggu terakhir Julai sepanjang lima tahun pemerintahan Seri Paduka sehingga 2021.

Menurut kenyataan JPM pada 26 April lalu, pindaan itu mengambil kira hari Sabtu minggu pertama Jun pada 2017, 2018 dan 2019 jatuh dalam bulan Ramadan.

Categories
NASIONAL

MB iringi pantun, rai sembah takzim pertabalan Agong

SHAH ALAM, 24 APR : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali merafak sembah takzim ke atas pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang Dipertuan Agong ke 15, pagi ini.

Menulis di Twitter, penghargaan itu dinyatakan Mohamed Azmin menerusi serangkap pantun ke atas junjungan duli Tuanku.

“Tinggi sungguh Gunung Daik,
Turun dari Mahawangsa,
Gembira betul hati patik,
Tuanku di takhta payungi bangsa,” tulisnya.

unnamedMohamed Azmin bersama isterinya, Datin Seri Shamsidar Taharin hadir di Istiadat Pertabalan ke bawah DYMM Agong di Balairong Seri, pagi ini.

Terdahulu, Sultan Muhammad V, 47, sebelum ini melafaz sumpah sebagai Agong bermula 13 Disember lalu, bagi menggantikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu”adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahannya pada tarikh itu.

Istiadat Pertabalan di Istana Negara mengikut warisan Kesultanan Melayu itu adalah bagi menguar-uarkan kepada seluruh dunia bahawa Malaysia mempunyai ketua negara baharu berlandaskan sistem Raja Berperlembagaan.

Malaysia adalah satu daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja dan sistem penggiliran pemerintahan itu adalah satu-satu yang seumpamanya di dunia.

Istiadat Pertabalan itu disaksikan kira-kira 800 tetamu termasuk Raja-Raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, wakil-wakil Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua Negeri dan pemimpin.

Turut menyaksikan acara gilang-gemilang itu ialah tetamu kehormat daripada ketua diplomat asing dan ketua jabatan kerajaan.

 

Categories
NASIONAL

Ikrar Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Berikut adalah ikrar Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, pada Istiadat Pertabalan di Balairung Seri, Istana Negara, hari ini.

“Bismillahirrahmanirrahim, Beta Sultan Muhammad kelima bersyukur ke hadrat Allah Subahanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya Beta telah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Dengan ini, Beta akan menjalankan seadil-adilnya pemerintahan bagi Malaysia mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara, serta memelihara dengan sempurna setiap masa, agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman dalam negara.”

Sumber: BERNAMA dan BH Online

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Muhammad V ditabal Yang di-Pertuan Agong ke-15

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Sultan Muhammad V hari ini ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, untuk memerintah Malaysia bagi tempoh lima tahun.

Istiadat Pertabalan di Istana Negara mengikut warisan Kesultanan Melayu itu adalah bagi menguar-uarkan kepada seluruh dunia bahawa Malaysia mempunyai ketua negara baharu berlandaskan sistem Raja Berperlembagaan.

Sultan Muhammad V, 47, sebelum ini melafaz sumpah memegang jawatan itu, pada 13 Disember lalu, bagi menggantikan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu”adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahannya pada tarikh itu.

Malaysia adalah satu daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja dan sistem penggiliran pemerintahan itu adalah satu-satu yang seumpamanya di dunia.

Istiadat Pertabalan itu disaksikan kira-kira 800 tetamu termasuk Raja-Raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, wakil-wakil Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua Negeri dan pemimpin.

Turut menyaksikan acara gilang-gemilang itu ialah tetamu kehormat daripada ketua diplomat asing dan ketua jabatan kerajaan.

agongTiupan serunai diiringi paluan gendang oleh Pasukan Gendang Besar D”Raja Kelantan yang memainkan lagu “Raja Bertabal” berkumandang di dalam Balairung Seri, Istana Negara, sebaik sahaja Sultan Muhammad V menyempurnakan lafaz ikrar Yang di-Pertuan Agong Ke-15.

Ia disusuli dengan laungan “Daulat Tuanku!” sebanyak tiga kali oleh Datuk Paduka Maharaja Lela, Istana Negara Mej Jen (B) Datuk Mamat Ariffin Abdullah dan disahuti para hadirin di dalam Balairung Seri yang diadakan dengan penuh adat istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu.

Sejurus laungan itu, lagu “Negaraku” dimainkan oleh Pancaragam Tentera Udara Diraja Malaysia dan berserentak dengan itu tembakan meriam sebanyak 21 das.

Terdahulu, Istiadat Pertabalan itu dimulakan sebaik keberangkatan masuk Sultan Muhammad V ke Balairung Seri dengan diiringi tiupan serunai dan paluan gendang oleh Pasukan Gendang Besar D”Raja Kelantan yang mengalunkan lagu “Raja Berangkat.”

Keberangkatan masuk baginda didahului Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, serta diapit panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama selain diiringi juruiring baginda dan panglima lain yang membawa alat kebesaran Diraja.

Sumber: BERNAMA