Categories
NASIONAL

Mat Sabu : Wakil Sultan Sulu Pernah Dijemput Ke Perhimpunan Agong Umno

ceramah pas pandan indah 03

KUALA LUMPUR 8 MAC : Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mendakwa wakil Sultan Sulu pernah dijemput ke Perhimpunan Agong Umno lalu sebagai pemerhati.

Tambah Mohamad, persoalan kini timbul apabila Sultan tersebut dan pengikut-pengikutnya telah diisytihar sebagai pengganas dalam insiden pencerobohan di Lahat Datu, Sabah.

Menurutnya, kerajaan persekutuan perlu memberi penjelasan berhubung perkara ini kerana wujud pelbagai persepsi di kalangan masyarakat terhadap apa yang berlaku di Lahad Datu yang meragut nyawa lapan anggota keselamatan.

Katanya, pastinya kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Kesultanan Sulu dan ada kemungkinan beberapa perkara yang dijanjikan tidak ditunaikan.

“Banyak yang perlu dijawab. Kenapa pula Lokman Adam duduk dalam Jawatankuasa Penasihat Sultan Sulu? Dia adalah aktivis di dalam Umno sekarang.

ceramah pas pandan indah 01“Kenapa menggangkut tentera gunakan perkhidmatan kapalterbang AirAsia? Adakah peristiwa ini diketahui bila akan berlaku? Kenapa tak gunakan pengangkutan tentera?.

“Sebab tentera dan polis kita telah terkorban di Sabah. Ini bukan perkara main-main. Tentera dan polis hanya mengikut arahan.

Yang mengarahkan pemimpin politik,” katanya dalam ceramah Pakatan Rakyat diadakan di Desa Pandan di sini malam tadi.

Laporan terkini menyebut seramai 52 lelaki bersenjata yang mendakwa mereka pengikut Sultan Sulu terbunuh di dalam pertempuran dengan agensi keselamatan di kawasan berhampiran Lahad Datu.

Mohamad berkata kerajaan persekutuan juga perlu mendedahkan berapa jumlah kerakyatan yang telah diberikan kepada masyarakat Sulu kerana ia melibatkan kepentingan negara yang amat serius.

“Perisitwa Lahat Datu jangan dipolitikkan. Kita minta kerajaan keluarkan kertas putih peristiwa di Lahat Datu,” tegasnya.

Katanya, insiden Lahat Datu membuktikan kegagalan kerajaan dalam mengawal keselamatan negara.

Beliau juga mengulangi gesaan Pakatan Rakyat sebelum ini supaya satu persidangan khas Parlimen diadakan bagi menjelaskan apa yang telah berlaku di perairan timur Sabah.

Categories
NASIONAL

Azmin : Kerajaan Harus Tanggungjawab Kejadian Di Lahad Datu

azmin pc DNS 01
SHAH ALAM, 2 MAC: PKR mengucapkan takziah kepada keluarga dua anggota polis yang terkorban di dalam kejadian tembak-menembak di Lahad Datu, Sabah semalam antara anggota keselamatan dan penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina.

Di samping itu, Timbalan Presidennya Azmin Ali menggesa Kerajaan Umno-BN memberi penjelasan bagaimana situasi pencerobohan tersebut boleh berlarutan selama dua minggu sehingga dua anggota polis itu terkorban dan tiga lagi tercedera.

“Saya berhasrat merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham. Moga ruh pahlawan negara tersebut dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang soleh,” katanya lagi.

Beliau turut memberikan penghargaan dan tahniah buat seluruh pasukan keselamatan diatas keberanian serta dedikasi mempertahankan negara.

Laporan media hari ini menyatakan dua anggota komando polis VAT 69 yang terkorban itu adalah Inspektor Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin Daud.

Manakala tiga yang tercedera ialah Koperal Mohd Tarmizi Hashim, Koperal Mohd Qaiyum Afzal Zulkifli dan Koperal Azman Ampong.

Dalam kejadiaan pukul 9.50 pagi itu, 12 penceroboh terbunuh. Mereka sebahagian daripada 180 pengikut ‘Sultan Sulu’ yang dikepung pasukan keselamatan di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo.

Kumpulan penceroboh itu telah berkampung di kawasan Lahad Datu selama lebih dua minggu bagi menuntut hakmilik kepada negeri Sabah yang mereka dakwa kepunyaan Kesultanan Sulu.

Azmin berkata adalah tidak masuk akal pencerobohan itu berlarutan selama hampir dua minggu.

?Kenapa YAB Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri tidak mengambil tindakan tegas mempertahankan kedaulatan negara? ” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

?Kita menggesa YAB Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan bertanggungjawab dan memberi penjelasan yang terperinci kepada rakyat Malaysia tentang bagaimana wilayah negara boleh sewenang-wenangnya dicerobohi serta kenapa hampir dua minggu penceroboh bertapak di Lahad Datu,” ujarnya lagi.