Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Span serbu tapak bina lebuh raya disyaki curi air

BANTING, 18 NOV: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyerbu sebuah tapak pembinaan projek lebuh raya di sini kerana disyaki mencuri air dengan melakukan penyambungan paip secara haram.

Eksekutif Kanan Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN Loh Pit Mui berkata siasatan awal mendapati sambungan paip haram berkenaan dilakukan sejak Januari lepas bagi membekalkan air untuk kegunaan pekerja projek pembinaan lebuh raya itu.

“Kami kesan penyambungan paip secara tidak sah dilakukan daripada meter air di sebuah kebun kecil berhampiran tapak pembinaan berkenaan. Sambungan paip itu kemudiannya disalurkan ke rumah kongsi pekerja.

“Ujian klorin yang dilakukan terhadap air dalam sebuah tangki rumah kongsi tersebut mendapati ia adalah air terawat sedangkan hasil semakan Air Selangor menunjukkan tiada sebarang meter air berdaftar di tapak projek itu,” katanya kepada pemberita selepas operasi mengejut di tapak pembinaan berkenaan di Sungai Manggis di sini hari ini.

Menurut Loh, perbuatan menyambung paip secara haram itu telah menyebabkan Air Selangor menanggung kerugian dianggarkan berjumlah RM80,000.

Katanya, Air Selangor akan mengemukakan notis tuntutan kerugian penggunaan air terhadap kontraktor projek pembinaan tersebut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

– BERNAMA

Eksekutif Kanan Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Loh Pit Mui menunjukkan sampel air yang diambil bertukar menjadi warna merah jambu selepas diuji bagi menentukan air yang dibekalkan adalah air terawat. Air berkenaan disalurkan secara tidak sah kepada rumah kongsi tapak pembinaan projek lebuh raya ketika SPAN melakukan serbuan di tapak tersebut di Sungat Manggis Kuala Langat hari ini.
Foto BERNAMA
Categories
AGENDA NASIONAL

Operator dikehendaki ikut kaedah pengiraan bil air SPAN

CYBERJAYA, 31 MEI: Operator bekalan air dikehendaki membuat penyelarasan bil pada akaun pengguna mengikut ketetapan kaedah pengiraan bil air sepanjang pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Mengulas aduan peningkatan bil air semasa PKP, SPAN memaklumkan pengguna diminta untuk menjelaskan bil air masing-masing dan jika terdapat lebihan caj setelah penyelarasan dibuat, ia akan direkodkan dalam akaun pengguna untuk bulan seterusnya.

“Bagaimanapun, sekiranya pengguna merasakan bahawa caj yang dikenakan adalah tidak munasabah dan memerlukan penjelasan lebih terperinci, pengguna dinasihatkan menghubungi operator air masing-masing atau mengemukakan aduan ke [email protected],” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

SPAN menjelaskan secara amnya, pengguna domestik menggunakan air lebih banyak daripada biasa semasa tempoh PKP berpunca daripada aktiviti rutin yang tertumpu di kediaman masing-masing.

Di samping itu, katanya bil air bagi bulan Mei 2020 adalah lebih tinggi daripada biasa memandangkan ianya merangkumi penyelarasan bil bagi bulan Mac dan April.

“Bil yang dikeluarkan pada bulan Mac dan April ini adalah mengikut bacaan secara anggaran kerana operator agihan air tidak membuat bacaan meter sepanjang tempoh pelaksanaan PKP,” menurut kenyataan itu.

Menurut SPAN, setelah pembacaan meter secara fizikal dibuat oleh operator agihan air pada akhir bulan Mei, pengiraan bil dibuat dengan mengambil kira penyelarasan bil anggaran bulan Mac dan April 2020.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pencemaran air: SPAN buat laporan polis, syak unsur sabotaj

PUTRAJAYA, 23 DIS: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah membuat laporan polis berhubung insiden pencemaran bau yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa ditutup, kata Pengerusinya Charles Santiago.

Beliau berkata laporan polis itu dibuat semalam kerana disyaki ada unsur sabotaj kerana insiden itu telah berlaku tiga kali di Selangor, dengan dua kali melibatkan di lokasi sama.

“Kami serahkan kepada pihak polis untuk siasat sama ada insiden ini ada unsur sabotaj atau berkait dengan pembuangan sisa secara haram,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Penutupan LRA itu sejak Sabtu lepas telah menyebabkan gangguan bekalan air dan menjejaskan 1.5 juta penduduk di Selangor.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Selangor Sambut Baik Pusat Setuju Penstrukturan Semula Industri Air


SHAH ALAM, 9 OGOS: Selangor menyambut baik keputusan Kerajaan Pusat yang bersetuju memberi hak untuk Kerajaan Negeri melaksanakan penstrukturan semula perkhidmatan air.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Kerajaan Negeri telah lama bersedia untuk melaksanakan penstrukturan semula industri air selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan memanggil semula empat pemegang konsesi bagi menyelesaikan pengambilalihan syarikat konsesi berdasarkan harga pasaran yang munasabah,” kata beliau dalam satu kenyataan akhbar lewat petang tadi.

Abdul Khalid turut memberitahu pemegang konsesi tersebut boleh merujuk kepada timbangtara bebas sekiranya tidak berpuas hati dengan nilai yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri akan mematuhi keputusan yang dibuat oleh badan timbang tara tersebut,” kata beliau lagi.

Bagi mempercepatkan proses tersebut, Kerajaan Negeri turut menubuhkan jawatankuasa khas yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri untuk memuktamadkan pengambilalihan tersebut selewat-lewatnya pada September 2012.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan mengemukakan cadangan kepada Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN), Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi memastikan pemajakkan aset air negeri dan pengambilalihan liabiliti industri air dapat diselesaikan serentak.

Pada masa sama juga, pemantauan ke atas Syarikat Bekalan Selangor Air Sdn Bhd (Syabas) akan diteruskan oleh Jawatankuasa Pemantauan bekalan air seperti biasa.

Semalam, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-Isu Air Selangor memutuskan untuk memberi hak kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan penstrukturan semula perkhidmatan air di negeri itu.

Jawatankuasa Khas Kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu mencapai keputusan tersebut dalam mesyuarat ke duanya pada 2 Ogos lalu.