Categories
AGENSI SELANGOR

Sukarelawan Team Selangor masak makanan, agih kepada 400 keluarga

AMPANG, 17 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa mengedarkan mangkuk tingkat berisi juadah makan tengah hari kepada penduduk memerlukan sejak minggu lalu.

Penyelarasnya Suzana Shaharudin berkata inisiatif dengan kerjasama sukarelawan Team Selangor memanfaatkan kira-kira 400 keluarga setakat ini.

“Makanan tengah hari dimasak oleh sukarelawan terbabit untuk diagihkan kepada keluarga susah. Kita sudah masuk ke kawasan Pangsapuri Seri Nila, Kampung Baru Ampang, Kampung Sungai Sering dan Kampung Kuala Ampang.

“Semalam, kita sumbangkan 25 lagi mangkuk tingkat kepada penduduk di Kampung Melayu Ampang. Kita juga akan berbincang dengan Team Selangor untuk meneruskan program ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak peringkat DUN Bukit Antarabangsa di Dataran Santai Ampang Point di sini.

Sementara itu, Suzana memaklumkan lebih 3,000 bakul makanan disalurkan kepada individu terjejas wabak sejak awal tahun sehingga kini.

Menurutnya, pek mengandungi beras, tepung, gula dan milo bernilai RM50 setiap satu diberi mengikut senarai diperoleh melalui persatuan penduduk, ketua kampung dan Ketua Komuniti India (KKI).

“Kita juga tidak melupakan keluarga yang mengibarkan bendera putih dan individu dikuarantin dengan agihan dibuat dari rumah ke rumah oleh pegawai pejabat penyelaras pusat khidmat masyarakat,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Masjid Jamilhuda sumbang 480 daging korban untuk penduduk, asnaf

AMPANG, 20 JULAI: Jawatankuasa Masjid Jamilhuda, Kampung Melayu di sini mengedarkan 480 bungkus daging korban kepada penduduk sekitar sempena perayaan Aidiladha.

Nazirnya Hassan Che Kob, 66, berkata setiap pek daging seberat dua kilogram (kg) diagihkan termasuk kepada 220 keluarga asnaf dan sebahagian untuk ahli jawatankuasa (AJK) serta kariah masjid.

Katanya, pemberian tersebut adalah hasil korban tujuh ekor lembu dengan satu daripadanya sumbangan Kerajaan Selangor.

“Aktiviti sembelihan empat ekor lembu dijalankan di masjid manakala tiga lagi di kandang dengan kekuatan 20 petugas terdiri ahli jawatankuasa (AJK) dan ahli kariah mengikut tatacara operasi piawai (SOP),” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa berkata pihaknya melaksanakan ibadah korban tahun ini melibatkan 10 ekor kambing dan 11 ekor lembu termasuk satu sumbangan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Suzana Shaharudin menjelaskan aktiviti tersebut dijalankan dua hari di Stelvio Bukit Antarabangsa yang terletak berhampiran masjid Bukit Antarabangsa dan ladang ternak berdaftar.

“Agihan dibuat secara pandu lalu di masjid untuk penduduk sekitar membabitkan asnaf fakir dan miskin serta penghuni pangsapuri kos rendah,” katanya.

Kerajaan Selangor menetapkan hanya tiga premis dibenar melaksanakan aktiviti sembelihan ibadah korban sempena Aidiladha mengikut SOP ketat.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Warga Bukit Antarabangsa terima vaksin Selangor mulai hari ini

SHAH ALAM, 4 JULAI: Seramai 3,000 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa bakal mendapat suntikan pelalian mulai hari ini.

Penyelaras DUN Suzana Shaharudin berkata suntikan bawah program Vaksin Selangor (Selvax) berlangsung di Dewan Serbaguna MPAJ AU5 sehingga esok.

“Semua penerima merupakan yang berdaftar dengan pusat khidmat masyarakat sewaktu Saringan Komuniti fasa tiga DUN Hulu Klang dan Bukit Antarabangsa, baru-baru ini.

“Selain penerima Skim Mesra Usia Emas, Kasih Ibu Smart Selangor dan Skim Peduli Sihat, kita juga memberi keutamaan kepada golongan penjaja dan berpendapatan rendah,” katanya ketika dihubungi.

Pada 30 Jun, Kerajaan Negeri memperkenal Selvax Komuniti yang menyasar warga emas dan B40 serta Selvax Industri bagi memelihara pekerja.

Sebanyak 2.5 juta dos vaksin disediakan bagi tujuan itu yang akan memanfaatkan 1.25 juta penduduk bagi mempercepat sasaran vaksinasi 80 peratus golongan dewasa pada Oktober.

Untuk maklumat lanjut, hubungi 1-800-22-6600 atau layari vax.selangkah.my.

Categories
PBT SELANGOR

MB rasmi pejabat ahli majlis zon 5 MPAJ, urusan dipermudah

SHAH ALAM, 22 JUN: Dato’ Menteri Besar merasmikan Pejabat Ahli Majlis Zon 5 dan Pejabat Jawatankuasa Penduduk Zon 5 di Dewan Komuniti Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Bukit Antarabangsa, semalam.

Pejabat berkenaan akan menjadi lokasi pertemuan di antara ahli majlis dan penduduk bagi memudahkan mereka menyelesaikan isu dikemukakan.

“Saya turut mendengar aduan serta cadangan dari mereka (pertemuan dengan penduduk) bagi penambahbaikan infrastruktur di kawasan berkenaan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Dato’ Abdul Hamid Hussain dan ahli majlis MPAJ, Suzana Shaharudin selepas merasmikan dewan di Bukit Antarabangsa.

Sementara itu, Ahli Majlis MPAJ, Suzana Shaharudin berkata pejabat berkenaan dibuka Isnin hingga Jumaat dari jam 10 pagi hingga 5 petang.

“Dewan itu juga akan menempatkan Pejabat Jawatankuasa Penduduk Zon 5 (JKP Zon 5) MPAJ selain menjalankan program, seminar dan bengkel termasuk mesyuarat bersama persatuan penduduk serta agensi kerajaan dan swasta,” katanya.