Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

KeTTHA tidak perlu ‘rahsiakan’ harga penilai bebas

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Kerajaan Selangor bertegas dengan pendirian supaya Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) mengemukakan harga yang dinyatakan penilai bebas,  Deloitte berhubung pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sehingga hari ini, Jemaah Menteri melalui KeTTHA gagal memaklumkan kepada Kerajaan Selangor nilai ditentukan  Deloitte yang dilantik sendiri Kerajaan Persekutuan.

“Dalam surat KeTTHA bertarikh 26 Mei 2017, kementerian langsung tidak menyebut nilai ditentukan oleh  Deloitte.

azmin-parlimen“Bukan soal Kerajaan Negeri tidak mengemukakan tawaran, tetapi Kerajaan Persekutuan gagal mengemukakan satu nilai yang ditetapkan  Deloitte ‘dirahsiakan’ Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata, Kerajaan Persekutuan sepatutnya berkongsi jumlah harga yang dinyatakan supaya ia diketahui umum.

Menyentuh soal tarif, Mohamed Azmin pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri menjelaskan, ia bukan ditentukan Kerajaan Negeri sebaliknya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kerajaan Negeri bersedia mengemukakan modul perniagaan.

Kerajaan Negeri sebelum ini menyatakan tidak akan bersetuju dengan cadangan Kerajaan Persekutuan yang mahu menaikkan tarif air di Lembah Klang.

Menteri KeTTHA, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dalam jawapannya berkata harga dikemukakan penilai bebas tidak didedahkan kerana ia akan dijadikan rujukan sama ada harga yang ditawarkan Kerajaan Negeri itu adil atau sebaliknya.

https://selangorkini.my/2017/08/isu-air-penangguhan-ambil-alih-splash/

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Shuhaimi: Andaian Zein berkaitan SPLASH dangkal

SHAH ALAM, 21 NOV: Andaian Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma kononnya rakyat bakal menanggung tarif air RM1,200 setahun sekiranya Kerajaan Negeri tetap dengan keputusan mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dengan tawaran RM2.7 bilion adalah jauh meleset.

Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, andaian itu juga jelas berbentuk tohmahan bertujuan memburuk-burukan Kerajaan Negeri sedangkan sehingga kini ia masih di peringkat perundingan.

“Menjadi pendirian Kerajaan Negeri memastikan pengambilalihan SPALSH menepati terma keadilan untuk semua pihak, akauntibiliti, telus dan tidak membebankan rakyat.

shuhaimi“Kerajaan Negeri sentiasa teliti dalam isu penstrukturan industri air termasuk mengambil pendapat pelbagai pihak selain menubuhkan Panel Penilai Air Selangor (PANEL) bagi meneliti perjalanan penstrukturan air dilakukan secara adil dan mampu memberikan kesan bermanfaat kepada rakyat pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Shuhaimi turut mempertikai teori dikemukakan Zein selain menyifatkannya sebagai tidak munasabah dalam mengulas isu pengambilalihan SPLASH.

“Saya harap andaian Ketua Penerangan UMNO Selangor itu bukanlah dibuat di bawah apa-apa pengaruh bahan terlarang dan mengkhayalkan,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda itu juga berkata, integriti serta transparensi Kerajaan Negeridengan jelas memberikan keutamaan kepada kepentingan rakyat dalam apa jua isu berbangkit.

“Program Air Percuma jauh lebih menguntungkan majoriti penduduk ditambah dengan program peduli rakyat seperti Skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor, Bas Percuma, Peduli Sihat dan Pendidikan Percuma Universiti peringkat asas.

“Maka kita boleh bandingkan dengan bantuan BRIM Kerajaan Persekutuan yang hanya berjumlah RM2.60 sehari berbanding bebanan teruk ditanggung rakyat akibat daripada kenaikan harga barang dapur, GST dan harga minyak,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

Petanda Awal Penstrukturan Semula Air Selesai

exco meeting daroyah 5 jun 01

SHAH ALAM 5 JUN : Penstrukturan semula industri air Selangor, yang boleh menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di seluruh negeri dan tawaran saham air oleh rakyat, bakal diselesaikan dalam masa terdekat.

Ini berikutan maklumbalas positif Kerajaan Persekutuan untuk mula semula perbincangan dengan Selangor berhubung pengambilalihan perkhidmatan air oleh Kerajaan Negeri daripada empat syarikat konsensi.

Turut menjadi agenda perbincangan adalah pembinaan loji rawatan mega Langat 2 yang diperjuangkan oleh Kerajaan Persekutuan. Manakala Kerajaan Negeri mahu projek tersebut hanya diteruskan selepas penstrukturan semula industri air.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Selangor dijangka mengadakan perbincangan dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berhubung penstrukturan semula industri air selewat-lewatnya minggu depan.

“Maklum balas yang kita dapat adalah positif. Mereka (Kementerian) juga ingin mempercepatkan perbincangan bagi menyelesaikan masalah penyusunan semula industri air dan projek Langat 2.

“Saya sudah dimaklumkan, perbincangan itu boleh jadi hujung minggu ini atau minggu depan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini.

Abdul Khalid menambah perbincangan itu akan dilakukan di antara beliau atau Pegawai Kanan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi bersama Ketua Setiausaha kementerian itu.

Beliau berharap perbincangan dapat menyelesaikan isu teknikal selain mencari mekanisme bagi melaksanakan usaha penstrukturan.

Proses penstrukturan semula industri air dimulakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun lepas sebagai usaha mengambilalih operasi bekalan, rawatan dan pengedaran daripada empat syarikat swasta.

Ia bertujuan mengambialihan operasi rawatan dan pengedaran air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya daripada empat syarikat swasta itu bagi memastikan pengguna mendapat bekalan yang cukup, berterusan dan pada harga berpatutan.

Kerajaan Negeri telah menawarkan RM 9.65 bilion untuk mengambilalih empat syarikat tersebut dan setakat ini pihak konsesi memberi respons positif terhadap tawaran itu.

Empat syarikat itu terdiri daripada Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH), Konsortium ABBAS Sdn Bhd (ABBAS) dan Puncak Niaga Sdn Bhd yang masing-masing mengendalikan loji rawatan air mentah.

Sementara Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bertanggungjawab terhadap pengedaran air terawat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.