Categories
SELANGOR

Gangguan air bukan salah negeri

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 10 MAC: Gangguan bekalan air yang berlaku di 427 kawasan sekitar Lembah Klang bukan salah Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana urusan penstrukturan industri air membabitkan Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) belum dimuktamadkan.

Katanya, rundingan itu masih berjalan dan kedua-dua pihak diberi masa sehingga Julai depan untuk memuktamadkannya.

“Pada 26 Januari lalu, Air Selangor mendapati produktiviti bekalan air yang dikeluarkan SPLASH mengalami penyusutan.

“Bagaimanapun, Air Selangor tidak boleh masuk menjalankan siasatan dan meminta pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjalankan siasatan.

“Hasilnya, kita mendapati ada pam yang perlu dinaiktaraf. Jadi, ia perlu diselenggarakan namun dalam garis panduan, loji tidak boleh ditutup seminggu sebelum atau selepas mana-mana perayaan, ketika itu Tahun Baru Cina,” katanya di Program Gotong Royong Perdana KDEBWM, di Padang AU2, di sini.

Sehubungan itu, katanya, Air Selangor mengeluarkan notis gangguan bekalan bermula 6 Mac lalu.

Bagaimanapun, katanya, selepas siap berlaku letupan di tempat kerja pembaikian dan menyebabkan kecederaan pada lima petugas loji dan Air Selangor.

“Kita tidak mahu kemalangan ini berlaku. Jadi, saya harap semua pihak sabar dan tabah.

“Suasana fitnah ini biasa berlaku apabila dekat dengan pilihanraya. Lebih lagi ada pihak yang tidak senang dan cemburu dengan kejayaan kita,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Isu air: Najib berniat jahat – MB

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 10 MAC: Fitnah dan tohmahan dilontarkan oleh orang nombor satu di negara ini dalam isu gangguan air bersifat politik dan berniat jahat menjelang Pilihan Raya Umum yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana Kerajaan Negeri melalui Air Selangor sendiri mengambil inisiatif membantu Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) menyegerakan kerja pembaikian walaupun ia diluar bidang kuasa negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri sebelum ini bersedia menanggung kos pembaikian terbabit sekali gus menghantar kontraktor yang bertauliah untuk membantu SPLASH.

“SPLASH bukan harta kita. Bagaimana untuk kita masuk ke dalam rumah Najib? Semua kerja mesti dilakukan pihak SPLASH. Tak kan perkara asas pun tak faham.

“Namun, saya mengarahkan Air Selangor berunding dengan SPLASH untuk membantu mereka dan bersedia menanggung kos pembaikan.

“Saya juga mengarahkan lebih ramai petugas bertauliah untuk mempercepatkan tempoh pembaikian dalam masa sehari sahaja, walaupun pada mulanya hanya dua kontraktor sahaja. Itu sebab kita tidak mahu membebankan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian di Program Gotong Royong Perdana KDEBWM bersama penduduk AU2, di sini.

Mohamed Azmin menegaskan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu juga membuktikan beliau seorang pemimpin yang gagal.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin mengambil tanggungjawab dan memohon maaf kepada pengguna yang terkesan daripada gangguan bekalan air terbabit.

“Secara peribadi saya rasa terkesan dalam isu ini. Saya tidak mahu menunding jari kepada mana-mana pihak. Saya memohon maaf kepada semua pengguna.Bukan saya tidak berbuat apa-apa.

“Beri saya peluang untuk mempertahankan diri sebab media mereka cukup melampau dan memberi gambaran negatif kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri gesa SPAN pantau kerja selenggara SPLASH

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 10 MAC: Kerajaan Negeri mengesa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk terus memantau kerja penyelenggaraan Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku lagi.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa ke atas syarikat konsesi terbabit.

“SPAN mempunyai garis panduan dan jadual penyelenggaraan. Ia diluar bidang kuasa Kerajaan Negeri.

“Bagaimanapun, kita akan meminta SPAN sentiasa memantau dari masa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program gotong royong perdana KDEBWM, di Padang AU2, di sini.

Mohamed Azmin turut memaklumkan kerja pembaikian dan penyelenggaraan itu siap dilaksanakan.

Katanya, sebanyak 70 peratus kawasan juga sudah mula mendapat bekalan air bermula tengah malam tadi.

Terdahulu, Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) sudah mula beroperasi dengan purata kapasiti 830 juta liter sehari (JLH), lewat petang semalam.

Bekalan air yang terputus sejak Selasa lalu, menyebabkan 427 kawasan mengalami gangguan kini pulih secara berperingkat bergantung kepada geografi dan altitud premis pelanggan.