Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Taska sementara untuk anak petugas pusat kuarantin Maeps

SEPANG, 19 JAN: Kerajaan Selangor akan menyediakan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) sementara untuk penjagaan anak petugas Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Dato’ Menteri Besar berkata kemudahan itu diberi susulan terdapat lebih 1,000 anggota pasukan keselamatan sedang bertugas dalam pusat tersebut di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang.

“Di sini ada petugas barisan hadapan termasuk dari Kementerian Kesihatan (KKM), polis, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan penjawat awam lain.

“Mereka memerlukan taska yang dekat dengan anak-anak kerana kesemuanya bekerja lebih masa,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas sesi taklimat dan lawatan kawasan PKRC Maeps 2.0 di Serdang hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman; Pengarah PKRC Maeps 2.0, Dr Shahabuddin Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Pada Oktober tahun lalu, Kerajaan Negeri turut mewujudkan Inisiatif Penjagaan Anak Frontliner (iPAF) bagi membantu petugas barisan hadapan dengan menyediakan taska sementara.

Sebanyak sembilan lokasi dipilih iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Banting, Hospital Selayang, Hospital Kajang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Turut dibuka di Hospital Shah Alam, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK Selangor) dan Bangunan Darul Ehsan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Exco: Selangor perlu lebih banyak Taska

taskaSHAH ALAM, 21 OGOS : Kerajaan Selangor sedang giat menaiktaraf pusat penjagaan kanak-kanak di rumah (home-based nurseries) menerusi program Si Kembar bersama pakar-pakar pendidikan anak-anak bagi memenuhi piawai kelayakan pendaftaran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska).

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail berkata usaha itu diambil bagi menampung keperluan rakyat.

“Kerajaan Selangor sentiasa bersedia untuk sebarang perkongsian dan pelaksanaan mekanisme terbaik bersama Kerajaan Persekutuan bagi isu ini,” ujarnya.

Serentak dengan usaha ini, Kerajaan Negeri turut meneliti dasar perancangan bandar untuk memperuntukkan tapak-tapak khusus bagi mendirikan Taska.

Buat masa ini, pusat penjagaan kanak-kanak hanya menggunakan rumah-rumah kediaman yang diubahsuai untuk tujuan Taska.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Pengarah Bahagian Perundangan dan Advokasi JKM, Dr Zaitol Salleh mendedahkan setakat Disember 2012 sahaja hampir 2,000 Taska di negara ini belum berdaftar dengan JKM.

Rodziah berkata Kerajaan Negeri memandang serius perkembangan ini kerana 846 kes yang dikesan adalah Taska di Selangor.

Data ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Negeri perlu bekerjsama meningkatkan bilangan Taska secara drastik.

Untuk rekod, pertumbuhan penduduk di Selangor mencapai 2 peratus setahun dengan kadar tenaga kerja wanita melebihi 40 peratus daripada 2762.4 juta penduduk yang bekerja.

“Jika dikira 100 ribu penduduk, sebahagian daripadanya adalah bayi-bayi yang baru lahir. Ditambah pula dengan kadar tenaga kerja wanita tinggi dan mereka ini terdiri daripada golongan wanita muda yang berkerja dan mempunyai anak kecil,” kata Rodziah.

Lantas, adalah wajar Kerajaan menguatkuasakan dasar dan pekeliling tentang kemestian membuka Taska di tempat-tempat kerja dan lokasi yang releven, selain menyediakan subsidi untuk pengusaha-pengusaha Taska.

“Kerajaan mestilah mengotakan keseriusan, kesungguhan dan komitmen politiknya untuk menyediakan kualiti penjagaan, memelihara keselamatan dan hak kanak-kanak di negara ini,”ujarnya.

– HM