Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat kuarantin Maeps dibuka semula, kapasiti lebih kecil

SHAH ALAM, 24 FEB: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) akan dibuka semula dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata ia dibuka dengan kapasiti lebih kecil dan mudah diuruskan, lapor Berita Harian.

“Kerajaan bercadang menyusun semula strategi di PKRC Maeps, lokasinya pun berubah dari blok asal yang kita gunakan sebelum ini.

“Secara ringkasnya PKRC itu masih terletak di Maeps namun saiz kawasan, bangunan, fungsi dan pasukan penugasannya berbeza. Jumlah pesakitnya pun lebih kecil dan mudah diuruskan iaitu kira-kira 850 pesakit,”katanya.

PKRC Maeps 2.0 ditutup secara rasmi pada 8 Februari lalu dan sepanjang 14 bulan beroperasi.

Sepanjang tempoh itu, seramai 166,072 pesakit Covid-19 dirawat di situ.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Lebih 10,700 perjalanan Bas Smart Selangor bawa pesakit ke PKRC

SHAH ALAM, 18 NOV: Lebih 10,700 perjalanan dicapai Bas Smart Selangor membawa pesakit Covid-19 ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Serdang.

Angka itu bagi tempoh 10 bulan sejak ia mula digerakkan pada awal tahun ini, kata EXCO Pengangkutan Ng Sze Han.

“Setakat ini kita sudah menamatkan perkhidmatan tersebut kerana kemasukan pesakit semakin berkurangan tidak seperti awal pandemik lalu,” katanya menerusi Bual Bicara Selangor TV #Selangor2022 Langkah Hadapi Endemik malam tadi.

Mengulas mengenai tambahan laluan Bas Smart Selangor, Sze Han berkata pihaknya akan mengkaji perkara tersebut dan bergantung kepada peruntukan yang diberi menerusi belanjawan akan datang.

“Kita menerima banyak permohonan untuk menambah laluan tetapi kita akan kaji terlebih dahulu…saya berharap peruntukan pengangkutan awam seperti Bas Smart Selangor dikekalkan pada belanjawan nanti,” katanya lagi.

Pada 20 Januari, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Bas Smart Selangor  digunakan untuk membawa pesakit Covid-19 dari rumah ke PKRC.

Pakej dengan implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta bagi meringankan beban rakyat melalui pelbagai inisiatif khas untuk mendepani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Categories
AGENSI SELANGOR

Jumlah pesakit Covid-19 menurun, HTAR pulang semula mesin oksigen  

SHAH ALAM, 21 OGOS: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) memulangkan semula 80 unit mesin oksigen yang dipinjam daripada Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS 2.0 susulan kemasukan pesakit Covid-19 di hospital itu semakin menurun.

HTAR memaklumkan, bahagian Logistik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menyusun semula peralatan berkenaan untuk digunakan di negeri-negeri lain yang mengalami peningkatan kemasukan pesakit secara mendadak.

Sehubungan itu, HTAR merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak PKRC MAEPS 2.0, khusus kepada Pengarahnya, Dr. Shahabuddin Ibrahim atas pinjaman berkenaan sepanjang tempoh ‘disaster’.

“Segala sumbangan dan sokongan daripada pihak luar ke HTAR amatlah dihargai dan diucapkan jutaan terima kasih,” maklum HTAR menerusi kenyataan di Facebook semalam.

Selasa lalu, Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi memaklumkan kemasukan harian pesakit Covid-19 untuk menerima rawatan di hospital itu berkurangan lebih 50 peratus sejak seminggu sebelumnya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat kuarantin Serdang sedia buka lebih banyak dewan

SERDANG, 19 MEI: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) bersedia membuka lebih banyak dewan bagi menampung peningkatan kemasukan pesakit terutama dari Lembah Klang.

Pengarah PKRC MAEPS Dr Shahabuddin Ibrahim berkata buat masa ini, lima dewan sudah dibuka iaitu Dewan A, B, C, D1 dan DG, yang menempatkan seramai 3,883 pesakit Covid-19 daripada kategori 1, 2, dan 3.

“PKRC MAEPS ini dari semasa ke semasa kita memang menyesuaikan diri dengan keperluan dan risiko yang ada di lapangan sebagai contoh, melihat kepada peningkatan kes Covid-19 untuk kategori 3, kita dah boleh jangka ia akan menimbulkan ‘backlog’ di Hospital Sungai Buloh.

“Kita sentiasa memikirkan beberapa langkah ke hadapan dan sekarang pun kita sedang membuat persediaan kalau kita terpaksa buka dewan lain iaitu Dewan E (untuk menampung pertambahan pesakit),” katanya kepada media selepas membuat tinjauan persiapan pembukaan Dewan F di sini hari ini.

Pesakit kategori 1 dan 2 Covid-19 merupakan pesakit yang tidak bergejala atau mempunyai gejala ringan, manakala kategori 3 adalah mereka yang bergejala dengan radang paru-paru dan kategori 4 adalah mereka yang bergejala dengan radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen.

Buat masa ini, Dewan A menempatkan pesakit daripada kategori 1, 2 dan 3; Dewan B pesakit kategori 3 manakala Dewan C, D1 dan DG menempatkan pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2.

Setakat ini, PKRC MAEPS mempunyai kapasiti sebanyak 5,869 katil dengan kira-kira 70 peratus sudah dipenuhi.

Dr Shahabuddin berkata PKRC MAEPS juga bersedia untuk menerima lebih ramai pesakit transit kategori 4.

“Dari sejak awal penubuhan PKRC ini, tujuan utama selain untuk kuarantin, kita adalah ‘buffer’ kepada hospital di Lembah Klang dan kita tumpukan pesakit kategori 3, 2 dan 1.

“Kita memang kena bersedia (terima lebih ramai) pesakit kategori 4…sekarang kalau terpaksa kita akan buka sebuah dewan iaitu Dewan B untuk menempatkan pesakit dengan bantuan oksigen jangka panjang namun sasaran kita dalam masa enam jam pesakit itu akan dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Buat masa ini, pesakit Covid-19 kategori 4 ditempatkan secara sementara di dalam khemah gelembung udara tekanan negatif, bertindak sebagai transit Unit Rawatan Rapi (ICU) yang dikenali MAEPS Acute Resuscitation And Isolation Area (Maria).

Pesakit kritikal yang memerlukan bantuan pernafasan akan distabilkan terlebih dahulu di MARIA sebelum dimasukkan semula ke wad atau dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Mengenai Dewan F, Dr Shahabuddin berkata dewan yang baru dibuka itu menyediakan 580 katil bagi menempatkan pesakit Covid-19 warganegara kategori 1 dan 2 yang dijangka mula beroperasi malam esok.

“Sekarang kita nak tambah sedikit lagi keselesaan untuk warganegara, jadi kita bina Dewan F ini khusus untuk menempatkan mereka…kita cuba membina kemudahan sebaik mungkin yang dilengkapi penyaman udara, ‘lounge’ untuk pesakit berehat dan ada pemisah untuk pesakit lelaki dan wanita.

“Ini untuk memastikan mereka yang mendiami Dewan F ini lebih selesa dan di sini pun ada kemudahan surau dan tandas yang mencukupi,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Taska anak petugas hadapan PKRC Serdang beroperasi 8 Februari

SERDANG, 2 FEB: Taska menempatkan anak petugas hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di sini bakal beroperasi mulai Isnin depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan kira-kira 41 kanak-kanak sudah berdaftar setakat ini dan berharap operasinya kelak berjalan lancar.

“Kita anggarkan seramai 2,000 petugas hadapan di sini dan mungkin sebahagiannya akan hantar anak mereka ke taska. Diharap operasinya lancar dan kita akan menambah baik kemudahan dari masa ke masa,” katanya selepas melawat taska berkenaan hari ini.

Amirudin turut menyerahkan 14 unit tablet bagi melancarkan urusan petugas kesihatan yang berkhidmat di pusat rawatan tersebut.

Kerajaan Selangor melaksanakan Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan secara percuma selama dua bulan untuk meringankan beban petugas hadapan yang berusaha menangani penularan Covid-19.

Program itu melibatkan pembukaan dan operasi taska serta pusat jagaan sementara di hospital
awam juga premis sementara yang bakal memanfaatkan hampir 400 keluarga.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

MB iringi PM lawat pusat kuarantin di Maeps

SEPANG, 19 JAN: Dato’ Menteri Besar mengiringi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersiko Rendah (PKRC) di Serdang hari ini.

Selain Dato’ Seri Amirudin Shari, turut sama ke pusat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Muhyiddin yang tiba di sini pada jam 5 petang, meluangkan masa hampir sejam mendengar taklimat serta melawat pesakit Covid-19.

Sebelum ini, pusat berkaitan dibuka pada Mac tahun lalu tetapi ditutup pada Julai namun beroperasi kembali pada 6 Disember dan dikenali PKRC Maeps 2.0.

Kini sebanyak 9,000 katil disediakan bagi menempatkan pesakit Covid-19 berisiko rendah.

Amirudin Shari ketika ditemui SelangorKini berasa yakin pusat berkenaan mampu menangani beban hospital bagi mengurangkan jumlah pesakit.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pusat kuarantin Maeps dijangka atasi beban hospital – MB

SEPANG, 19 JAN: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Serdang dijangka mampu menangani beban hospital bagi mengurangkan jumlah pesakit.

Dato’ Menteri Besar berkata pusat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) itu dibuka semula Disember tahun lalu dan mempunyai 9,000 katil.

“PKRC ini sedang berkembang kepada pusat rawatan bersepadu Covid-19 diusahakan antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta beberapa jabatan lain.

“Ia sekali gus menjadikan pusat rawatan dan kuarantin pertama di Malaysia yang menyediakan pelbagai kemudahan. Saya juga percaya ia mampu kurangkan bebanan hospital yang ditanggung kini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas sesi taklimat dan lawatan pusat kuarantin tersebut bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Turut serta, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dan Pengarah PKRC Maeps 2.0 Dr Shahabuddin Ibrahim.

Sebelum ini pusat berkaitan dibuka pada Mac tahun lalu tetapi ditutup pada Julai namun kembali beroperasi pada 6 Disember dikenali PKRC Maeps 2.0.

Pada 24 Januari pula, Hospital Bersepadu Maeps akan bermula bagi merawat pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima untuk distabilkan sebelum dihantar mendapatkan rawatan rapi ke hospital.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Taska sementara untuk anak petugas pusat kuarantin Maeps

SEPANG, 19 JAN: Kerajaan Selangor akan menyediakan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) sementara untuk penjagaan anak petugas Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Dato’ Menteri Besar berkata kemudahan itu diberi susulan terdapat lebih 1,000 anggota pasukan keselamatan sedang bertugas dalam pusat tersebut di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang.

“Di sini ada petugas barisan hadapan termasuk dari Kementerian Kesihatan (KKM), polis, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan penjawat awam lain.

“Mereka memerlukan taska yang dekat dengan anak-anak kerana kesemuanya bekerja lebih masa,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas sesi taklimat dan lawatan kawasan PKRC Maeps 2.0 di Serdang hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman; Pengarah PKRC Maeps 2.0, Dr Shahabuddin Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Pada Oktober tahun lalu, Kerajaan Negeri turut mewujudkan Inisiatif Penjagaan Anak Frontliner (iPAF) bagi membantu petugas barisan hadapan dengan menyediakan taska sementara.

Sebanyak sembilan lokasi dipilih iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Banting, Hospital Selayang, Hospital Kajang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Turut dibuka di Hospital Shah Alam, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK Selangor) dan Bangunan Darul Ehsan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

PBT Selangor ganding bahu pasang 2,000 katil pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 28 DIS: Seramai 125 kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor berganding bahu memasang 2,000 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) MAEPS 2.0 semalam.

Jabatan Penerangan Negeri Selangor berkata jumlah itu membabitkan 27 petugas Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam (20), Majlis Perbandaran Klang (20), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (17), Majlis Perbandaran Kajang (15), Majlis Daerah Sabak Bernam (8) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (3).

“Kerja ini turut dibantu beberapa NGO (pertubuhan bukan kerajaan) antaranya Mercy Malaysia, Team Selangor, ARiF Selangor, Unit Pengurusan Bencana Negeri serta kakitangan SUK Negeri Selangor,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Agensi berkata kerja pemasangan katil bagi menempatkan pesakit Covid-19 bermula jam 9 pagi dan selesai pada 11 malam.

“Sejumlah 2,000 katil bertingkat perlu disiapkan dalam tempoh sehari. Amat mustahil dengan kudrat yang sedikit mampu menjayakan usaha naik taraf dewan PKRC 2.0 ini,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

10,000 katil di pusat kuarantin MAEPS 2.0 dijangka siap Jumaat depan

SERDANG, 18 DIS: Keseluruhan kapasiti 10,000 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (PKRC MAEPS 2.0) dijangka dapat disiapkan Jumaat depan bagi menampung pertambahan jumlah pesakit Covid-19 bukan warganegara.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata pengaktifan semula PKRC MAEPS 2.0 yang memfokuskan kepada pesakit Covid-19 kategori 1 (tanpa gejala) dan kategori 2 (gejala ringan) dan bukan warganegara, adalah berikutan peningkatan kes yang mendadak dan hasil pelaksanaan saringan pekerja asing oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Ini merupakan salah satu usaha kerajaan dalam mengekang penularan wabak ini dengan menyediakan pusat kuarantin yang lebih kondusif untuk pesakit-pesakit ini,” katanya dalam ucapan ketika melakukan lawatan ke PKRC MAEPS 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.

Ini kerana kerajaan menyedari bahawa terdapat kekangan daripada pihak majikan untuk menyediakan prasarana untuk proses kuarantin pekerja di bawah seliaan mereka, katanya.

Beliau berkata penempatan jumlah katil di PKRC MAEPS 2.0 itu dibuat dalam tiga fasa, dengan anggaran jumlah katil sebanyak 3,000 katil bagi fasa 1, 3,300 katil bagi fasa 2 dan 3,700 katil bagi fasa 3.

Berikutan kapasiti besar di kawasan tersebut, Dr Noor Azmi berharap Jawatankuasa PKRC MAEPS 2.0 turut mengambil perhatian terhadap kebajikan dan keselamatan petugas khususnya yang berhadapan secara langsung dengan pesakit positif Covid-19.

“Ini kerana, seperti kita semua sedia maklum, waktu rehat para petugas amat minimum akibat keperluan yang berkehendakkan mereka untuk bertugas dalam jangka waktu yang lama di MAEPS ini. Mereka telah meninggalkan anak dan keluarga masing-masing demi memberikan khidmat kepada negara,” katanya.

Beliau berharap jawatankuasa tersebut dapat memberikan keselesaan dan kemudahan seperti talian internet yang pantas agar mereka dapat bersemuka dengan keluarga masing-masing dengan kaedah maya bagi mengubati kerinduan.

– BERNAMA