Categories
AGENDA NASIONAL

Tanah runtuh: Bunyi siren elak ramai jadi mangsa, lari tempat selamat

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Bunyi siren yang kuat memberi amaran kepada komuniti penduduk setempat bagi menyelamatkan diri ke tempat yang lebih selamat, berjaya mengelakkan lebih ramai mangsa dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang di sini, semalam.

Seorang pekerja swasta dalam sektor perbankan Natasha Alya Saifudin, 26, berkata beliau seakan tidak percaya kawasan perumahan yang didiami selama 20 tahun itu buat pertama kali terlibat dalam kejadian tanah runtuh pada kira-kira 5 petang semalam.

“Bunyi siren memang kuat. Tiba-tiba, terdengar dentuman dua kali runtuhan tanah yang kuat semasa hujan gerimis.

 “Panik dan kelam kabut, saya terus berlari keluar dari rumah untuk tengok apa yang berlaku rupanya tanah memang sudah makin menurun,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian hari ini.

Menceritakan kembali detik cemas itu, Natasha Alya yang ketika itu berada berseorangan di rumah kerana bekerja dari rumah (BDR) terus menelefon bapanya yang berkhidmat sebagai pemandu kereta e-hailing untuk segera pulang ke rumah.

Menurutnya, kejadian yang berlaku sekelip mata tanpa sebarang tanda, sangat mengejutkan penduduk setempat kerana sebelum ini kawasan perumahannya tidak pernah terlibat dalam bencana alam mahupun banjir.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Tong Kwan Chew, 53, berkata beliau hanya menyedari kejadian selepas mendengar bunyi siren yang kuat daripada rumah putih bernombor ’50’, bertentangan dengan rumahnya.

“Saya memang sangat terkejut sebab tidak pernah dengar bunyi (siren) macam itu sebelum ini. Bila sudah keluar, jalan raya depan rumah memang sudah diselaputi lumpur.

“Saya terus membawa isteri dan tiga orang anak ke tempat yang selamat serta mengubah kedudukan tiga kereta di (kawasan taman bersebelahan),” katanya yang terpaksa bermalam di sebuah hotel bersama ahli keluarga kerana akur dengan arahan pihak berkuasa sebagai langkah berwaspada dan faktor keselamatan.

Tong berkata beliau bersyukur kejadian tanah runtuh itu tidak mengancam keselamatan keluarganya yang merupakan kejadian pertama kali semenjak 23 tahun menghuni di situ.

Sementara itu, seorang wanita yang enggan dikenali berusia 50-an, telah menetap selama 20 tahun di kawasan tersebut turut bersyukur dirinya selamat dalam bencana itu.

“Semasa kejadian, ramai (penduduk) yang tidak berada di rumah sebab masih lagi waktu bekerja. Tetapi sebaik terdengar bunyi siren, memang saya terus keluar dari rumah untuk tengok keadaan sekeliling,” katanya.

Beliau berkata sebaik keluar dari rumah, tanah runtuh memang sudah merebak sehingga ke bawah dan jalan rumahnya sudah dipenuhi lumpur.

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini petang semalam telah meragut empat nyawa manakala seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tanah runtuh: Operasi menyelamat dua lagi mangsa diteruskan sehingga esok pagi

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Mangsa ketiga tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang di sini dikenal pasti sebagai pemilik rumah dan mayatnya dibawa keluar pada pukul 10.58 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata mayat lelaki itu yang merupakan mangsa kedua yang terkorban dalam runtuhan berkenaan ditemukan di luar kawasan rumahnya.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Ampang untuk tujuan pengesahan identiti,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini malam ini.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menenangkan waris yang membuat pengecaman mayat korban kedua mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2. Foto BERNAMA

Mohamad Farouk berkata susulan kejadian tanah runtuh pada kira-kira 6 petang itu, rumah tersebut musnah sepenuhnya dan telah beralih dari kedudukan asalnya.

“Pasukan penyelamat kini sedang mengesan dua lagi mangsa melibatkan seorang pekerja Syarikat Air Selangor Sdn Bhd dan seorang penghuni rumah yang musnah dalam runtuhan berkenaan,” katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata operasi mencari mangsa lain akan diteruskan sehingga pagi esok memandangkan cuaca baik serta tiada pergerakan tanah.

“Sekiranya berlaku hujan nanti, kita akan hentikan operasi,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tanah runtuh: Mangsa kedua warga emas disahkan meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Polis mengesahkan mangsa kedua wanita warga emas yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang, di sini, meninggal dunia malam ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata warga tempatan berusia 80-an itu berjaya dikeluarkan pasukan mencari dan menyelamat pada 9.15 malam tadi.

Beliau berkata mayat wanita itu ditemukan di dalam rumahnya dan telah dibawa ke Hospital Ampang untuk dibedah siasat.

Mohamad Farouk berkata wanita itu dipercayai isteri kepada mangsa pertama berusia 84 tahun yang terselamat dan cedera ringan dalam kejadian tersebut.

“Ketika ini, tiga lagi mangsa lelaki dikhuatiri tertimbus dengan seorang daripada mereka merupakan pekerja Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

“Selain itu, kesemua penduduk di taman berkenaan kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Taman Mega Jaya, di sini sebagai langkah keselamatan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian malam ini.

Mohamad Farouk berkata penduduk boleh memilih sama ada menginap di PPS, hotel atau rumah ahli keluarga yang lain.

Katanya, setakat ini terdapat 15 rumah yang terjejas dan hanya dua rumah yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh itu.

“Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada kawasan ini benar-benar selamat atau sebaliknya. Kerja-kerja penilaian (tanah) sedang dijalankan pihak Jabatan Kerja Raya,” katanya.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa akan diteruskan malam ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis pula berkata setakat ini pihaknya sedang meneliti pergerakan tanah.

“Bomba bersama pejabat daerah akan memantau pergerakan tanah jika terdapat runtuhan lagi namun ia bergantung kepada faktor cuaca,” katanya.

Sementara itu, mangsa ketiga insiden tanah runtuh itu berjaya dibawa keluar pada kira-kira pukul 11 malam dan disahkan telah meninggal dunia.

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Runtuhan tanah Taman Bukit Permai berlaku dua kali – saksi

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Dua kali runtuhan tanah berlaku disertai dengan hujan gerimis.

Itu perkongsian seorang saksi kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang di sini yang melibatkan 15 rumah dan 10 kereta, petang tadi.

Azril Sham Mohamed, 50, berkata ketika kejadian beliau baru sahaja pulang dari tempat kerja di Bangi, dekat sini sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat berpunca daripada tanah runtuh itu.

“Apabila saya sampai di rumah sekitar 6 petang tadi, saya mendengar bunyi dentuman kuat dan melihat tanah runtuh berhampiran kawasan rumah saya.

Saya segera memanggil isteri dan anak saya untuk diselamatkan dan bawa mereka ke tempat selamat,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian malam ini.

Azril berkata beliau telah menetap di kawasan perumahan berkenaan selama 13 tahun dan bencana itu merupakan kali pertama berlaku.

Dalam kejadian itu, tiga mangsa dikhuatiri masih tertimbus manakala dua lagi telah dijumpai dengan mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada 6.54 petang dan hanya mengalami cedera ringan.

Mangsa kedua seorang wanita telah ditemui pada 7.53 malam dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan.

Sebuah jentera dengan sembilan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Pandan bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.54 petang.

Kerja mencari kini sedang dijalankan bagi mencari tiga lagi mangsa termasuk seorang pekerja penyelenggaraan syarikat utiliti.

– BERNAMA