Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Runtuhan tanah Taman Bukit Permai berlaku dua kali – saksi

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Dua kali runtuhan tanah berlaku disertai dengan hujan gerimis.

Itu perkongsian seorang saksi kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang di sini yang melibatkan 15 rumah dan 10 kereta, petang tadi.

Azril Sham Mohamed, 50, berkata ketika kejadian beliau baru sahaja pulang dari tempat kerja di Bangi, dekat sini sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat berpunca daripada tanah runtuh itu.

“Apabila saya sampai di rumah sekitar 6 petang tadi, saya mendengar bunyi dentuman kuat dan melihat tanah runtuh berhampiran kawasan rumah saya.

Saya segera memanggil isteri dan anak saya untuk diselamatkan dan bawa mereka ke tempat selamat,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian malam ini.

Azril berkata beliau telah menetap di kawasan perumahan berkenaan selama 13 tahun dan bencana itu merupakan kali pertama berlaku.

Dalam kejadian itu, tiga mangsa dikhuatiri masih tertimbus manakala dua lagi telah dijumpai dengan mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada 6.54 petang dan hanya mengalami cedera ringan.

Mangsa kedua seorang wanita telah ditemui pada 7.53 malam dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan.

Sebuah jentera dengan sembilan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Pandan bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.54 petang.

Kerja mencari kini sedang dijalankan bagi mencari tiga lagi mangsa termasuk seorang pekerja penyelenggaraan syarikat utiliti.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Inkues Nora Anne ditangguh, saksi kontak rapat pesakit Covid-19

SEREMBAN, 19 OKT: Prosiding inkues bagi menentukan kematian remaja perempuan warga Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner Seremban terpaksa ditangguh selepas seorang saksi didapati merupakan kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Peguam kepada keluarga remaja itu, S Sakthyvell ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata pemohonan penangguhan itu dibuat oleh pasukan pengendali inkues, pagi ini.

Beliau berkata bagaimanapun, prosiding itu akan diteruskan seperti biasa esok dengan saksi akan memberi keterangan menerusi aplikasi Zoom.

“Saya hanya mendapat pemakluman mengenai perkara itu pada 5.30 pagi tadi oleh penolong pendaftar mahkamah… tetapi dimaklumkan saksi berkenaan telah dikuarantin dan telah jalankan ujian calitan serta masih menunggu keputusan. Saksi itu yang kontak rapat dengan pesakit juga telah membuat satu mesyuarat dengan pihak pengendali inkues minggu lepas.

“Sekarang, kami sedang menunggu keputusan, kalau positif mungkin pihak pengendali terpaksa buat ujian calitan. Itulah alasan pihak pengendali kerana mereka juga baru tahu saksi merupakan kontak rapat kepada pesakit Covid-19 semalam,” katanya hari ini.

Beliau berkata mahkamah juga memaklumkan sebarang perkembangan prosiding akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Esok, seramai tiga saksi daripada Polis Diraja Malaysia akan memberi keterangan menerusi Zoom.

Prosiding inkues berkenaan berlangsung di hadapan Koroner Maimoonah Aid dan setakat ini, seramai 19 saksi telah dipanggil.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos tahun lepas, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan Pantai, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Pada 13 Ogos, mayat Nora Anne ditemukan berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berwajib.

Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja berkenaan yang juga golongan istimewa tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

290 individu pemberi maklumat diberi perlindungan SPRM

PUTRAJAYA, 4 OKT: Seramai 290 individu diberi perlindungan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 sejak tahun 2016 kerana bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan rasuah dan salah guna kuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata di bawah akta itu keselamatan mereka dilindungi dan dijamin.

“Pada saya ia merupakan jumlah yang banyak dan mereka ini adalah mereka yang sanggup bekerjasama dengan SPRM.

“SPRM memerlukan lebih banyak maklumat daripada orang ramai seperti ini supaya kami dapat mengumpul maklumat dengan lebih banyak dan bergerak lebih berkesan lagi,” katanya dalam temu bual bersama Bernama.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui SPRM tidak terlepas berdepan kesukaran untuk mendapatkan maklumat kerana masih ramai yang takut untuk melaporkan kegiatan rasuah yang berlaku di sekeliling mereka.

“Antara faktor yang menyukarkan sesetengah individu berkongsi maklumat dengan agensinya berkemungkinan disebabkan takut dibuang kerja atau akan menjejaskan perniagaan mereka.

“Kami sedar bahawa untuk mendapatkan pengadu untuk datang kepada kami untuk membuat aduan itu amat susah dan peratusannya terlalu kecil,” katanya.

Beliau berkata SPRM merupakan agensi yang menggunakan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 untuk memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat agar mereka dilindungi daripada segala ancaman termasuk risiko dibuang kerja.

“Banyak kes dikendalikan ketika ini berdasarkan maklumat diberikan pemberi maklumat dan mereka ini dilindungi oleh undang-undang termasuk daripada sebarang tindakan undang-undang oleh majikan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata sasaran SPRM adalah untuk menjadikan masyarakat di negara ini bebas rasuah dan menjadi agensi penguat kuasa rasuah terunggul di dunia, dan untuk merealisasikan impian itu, pelbagai strategi perlu dirangka turut melibatkan semua pihak termasuk pelbagai jabatan dan agensi lain.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lapan saksi diambil keterangan kes samun lebih RM3 juta di lebuh raya

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Polis merekodkan lapan keterangan saksi berhubung kes samun kenderaan pacuan empat roda, barang kemas serta wang tunai bernilai lebih RM3 juta yang berlaku di Lebuhraya Besraya berhampiran Sungai Besi petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata lapan saksi yang diambil keterangan termasuk daripada seorang saksi yang merakam video kejadian itu dan menyebarkannya ke media sosial.

“Kes samun kira-kira 3.35 petang berkenaan melibatkan kerugian sejumlah RM67,000 wang tunai, barang kemas bernilai RM3 juta beserta sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux,” katanya kepada Bernama malam tadi.

Tanpa mendedahkan perincian lanjut tujuh saksi yang lain, beliau berkata saksi yang merakam kejadian berkenaan merupakan seorang pemandu e-panggilan dan hanya merakam kejadian tanpa menghubungi pihak polis bagi mendapatkan bantuan.

Sehubungan itu beliau menyeru orang awam agar terus menghubungi pihak polis jika melihat sebarang kejadian jenayah yang berlaku dan bukan hanya menyebarkannya di media sosial.

“Tindakan seperti itu hanya menyebabkan penjenayah sempat melarikan diri atau perkara lebih buruk boleh berlaku di luar jangkaan,” katanya.

Hari ini, Bernama melaporkan seorang jurujual emas dan rakannya berdepan detik cemas apabila dirompak tiga lelaki bersenjatakan parang di lebuh raya berkenaan.

Kedua-dua mangsa dalam perjalanan mengedarkan barang kemas di sekitar Kuala Lumpur itu dihalang tiga lelaki menaiki dua kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna hitam, yang kemudiannya memecahkan cermin kenderaan, menyamun dan membawa lari kenderaan terbabit.

Mangsa yang masing-masing berusia 47 dan 21 tahun yang tercedera akibat terkena serpihan cermin kenderaan itu ditarik keluar daripada kenderaan dan ditinggalkan di tepi lebuh raya berkenaan.

Zairulnizam berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan bersenjata dan berkumpulan.

Polis turut menemukan kenderaan pacuan empat roda yang dilarikan itu dalam keadaan terbakar di kawasan Damansara.

-BERNAMA