Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Balai polis baharu Taman Melawati hampir siap, operasi akhir tahun ini

HULU KELANG, 18 OKT: Pembinaan balai polis baharu di Taman Melawati dekat sini mencapai kemajuan 85 peratus dengan jangkaan beroperasi akhir tahun ini.

Projek pengubahsuaian galeri jualan Sime Darby Property kepada balai polis atas tanah seluas 0.6 ekar berjalan lancar sejak dimulakan Mei tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pembinaan menelan kos RM1 juta adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pemaju hartanah terbabit.

“Balai polis sedia ada terletak di bangunan rumah kedai dan tidak lagi sesuai untuk menampung keperluannya. Jadi dengan adanya bangunan khas yang lebih luas, ia akan memberi keselesaan kepada polis untuk menjalankan perkhidmatan.

“Pembinaannya juga sesuai dengan pembangunan yang begitu rancak di kawasan sekitar termasuk Melawati Mall dan beberapa pangsapuri ,” katanya selepas melawat tapak balai polis berkenaan sempena program Jelajah Prihatin di sini semalam.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan cek cura kepada Timbalan Ketua Polis IPD Ampang, Superintendan Mohd Azam Ismail ketika lawatan ke tapak Balai Polis Taman Melawati di Taman Melawati, Hulu Klang pada 17 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Dato’ Azmir Merican dan Timbalan Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Ampang Superintendan Mohd Azam Ismail.

Dalam lawatan tersebut, Amirudin turut menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada Mohd Azam untuk memenuhi keperluan balai polis berkenaan.

Sementara itu, Amirudin turut menggalakkan mana-mana pemaju hartanah mengambil langkah sama dilakukan Sime Darby Property berikutan banyak balai polis di negeri ini perlu dinaik taraf.

“Berdasarkan laporan pihak polis memang banyak (balai polis perlu dinaik taraf). Cuma isunya kos pembinaan selain tanah yang perlu ditampung di bawah KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan polis,” katanya.

Categories
SELANGOR

MB, ketua komuniti Taman Melawati luang masa bersama, bincang isu setempat

HULU KELANG, 17 OKT: Dato’ Menteri Besar meluangkan masa bersama ketua komuniti Taman Melawati di sini hari ini bagi membincangkan isu setempat.

Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar pandangan wakil penduduk berhubung masalah infrastruktur di kawasan sekitar sepanjang hampir sejam pertemuan terbabit.

“Ada beberapa pertanyaan (daripada ketua komuniti) berkenaan pembangunan di kawasan setempat khususnya (pembinaan) jalan, keselamatan, isu Bukit Tabur dan kawasan sekitar.

“Saya sudah jelaskan secara tuntas kepada mereka berkenaan dasar dan hala tuju Kerajaan Negeri (berkaitan isu berkaitan),” katanya.

Pertemuan bermula jam 3 petang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang Saari Sungib, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia Abdul Rahim Kasdi dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Gombak Eamy Mokhtar.

Terdahulu, Amirudin menyantuni penduduk di Kampung Orang Asli Batu 12, Gombak menerusi Program Jelajah Prihatin Dato’ Menteri Besar.