Categories
AGENDA NASIONAL

Macau Scam, judi dalam talian: Kertas siasatan babit pegawai, anggota polis dibuka

UALA LUMPUR, 19 NOV: Kertas siasatan pembabitan pegawai kanan dan anggota polis disyaki mempunyai kaitan dengan individu ditahan bagi membantu siasatan sindiket judi dalam talian dan Macau Scam akan dibuka berdasarkan maklumat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata pihaknya ketika ini sedang menunggu maklumat lanjut daripada SPRM untuk melengkapkan siasatan kes itu.

“Saya masih tunggu maklumat daripada SPRM (dan) apabila memperolehi maklumat itu maka kami akan meneruskan dengan siasatan seterusnya.

“Ketika ini pegawai kanan PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang mempunyai kaitan dengan Macau Scam dan judi dalam talian itu ditempatkan di jawatan yang tidak sensitif namun itu tidak bermakna ia berhenti di situ saja. Saya akan mempertimbangkan tindakan lanjut apabila dapat maklumat,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata setakat ini seramai 24 pegawai dan anggota polis sedang disiasat daripada pelbagai sudut tatatertib berhubung kes itu.

“Sekarang ini, kami dalam proses mengambil keterangan serta mengumpul bahan bukti berhubung dakwaan yang mengatakan mereka ini terbabit dalam kes itu.

“Setelah selesai siasatan kes berkenaan, kami membuat syor kepada pihak berkuasa tatatertib untuk mereka dikenakan hukuman sekiranya terdapat bukti jelas dan kukuh berhubung pembabitan mereka dengan sindiket berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Ramli Din berkata jawatan sensitif dalam perkhidmatan PDRM boleh digilirkan lebih kerap sehingga tiga tahun bagi setiap giliran untuk menggelakkan salah laku dalam kalangan pegawai kanan dan anggota polis.

Beliau berkata berbanding amalan ketika ini, jawatan sensitif dalam pasukan polis disandang lebih lama iaitu ada kalanya dalam tempoh sehingga lima tahun untuk seseorang penyandang.

“Penggiliran dengan cara menukarkan pegawai di jawatan sensitif ini akan dilakukan di semua peringkat melibatkan pegawai kanan polis peringkat tertinggi ataupun rendah asalkan ia adalah jawatan sensitif.

“Jawatan sensitif ini boleh saya definasikan sebagai pegawai dan anggota yang banyak melakukan operasi dan terbabit dalam serbuan,” katanya.

Beliau berkata semakan terhadap latar belakang dan rekod terdahulu seseorang pegawai dan anggota polis sentiasa dilakukan bagi menentukan kelayakan dan integriti seseorang individu untuk memegang jawatan sensitif dalam pasukan itu.

Isnin lepas, Bernama melaporkan pegawai kanan PDRM adalah antara yang diambil tindakan berikutan disyaki mempunyai kaitan dengan individu yang ditahan bagi membantu siasatan sindiket berkenaan.

Kes itu turut menyaksikan rombakan besar-besaran dalam pasukan PDRM, melibatkan lebih 20 anggota, pegawai dan pegawai kanan pasukan keselamatan itu ditukarkan.

Susulan itu, pada Selasa, Bernama melaporkan penyandang jawatan sensitif dalam perkhidmatan PDRM akan digilirkan dengan lebih kerap pada masa hadapan.

Langkah itu diambil untuk memberi peluang kepada lebih ramai pegawai dalam PDRM untuk menimba pengalaman dalam melakukan tugasan penting dalam pasukan itu dan bagi mengelak kebarangkalian kejadian salah laku dalam kalangan mereka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan tegas sebar video, gambar timbul fitnah libatkan polis

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang sengaja merakam serta menyebarkan video atau gambar anggota polis yang sedang bertugas sehingga boleh menimbulkan fitnah, sekali gus mengganggu siasatan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh menimbulkan kegusaran dan persepsi salah dalam kalangan masyarakat sehingga wujud tanggapan pasukan keselamatan itu ‘menindas’ orang ramai.

“Kita memandang serius perbuatan berniat jahat itu yang memuat naik serta menularkan video atau gambar tentang sesuatu kejadian seolah-olah pegawai penguat kuasa bertindak menyalahi undang-undang.

“Polis sentiasa menghormati kebebasan bersuara, tetapi mestilah dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh undang-undang,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut memberi amaran bahawa mereka yang melakukan kesalahan tersebut boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.

Beliau mengulas tindakan seorang lelaki berusia 24 tahun yang merakam visual dengan telefon bimbit dan menyiarkannya menerusi Facebook Live ketika sepasukan anggota polis membuat serbuan serta menahannya di sebuah rumah di Petaling Jaya pada 7 Nov lepas.

Serbuan itu dibuat berhubung siasatan kes Akta Hasutan melibatkan Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY).

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata polis menjalankan siasatan terhadap seorang pemimpin kanan UMANY mengikut Akta Hasutan berhubung kenyataan kontroversi mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPN negatif Covid-19, jalani kuarantin kendiri 14 hari

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menghadiri mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Sabtu lepas, disahkan negatif Covid-19 selepas membuat ujian swab semalam.

Perkara itu dimaklumkan oleh Abdul Hamid yang ketika ini sedang menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari sebagai langkah berjaga-jaga.

“Saya telah menjalani sebanyak lapan kali ujian swab Covid-19 dan ujian pengesanan berkenaan disahkan negatif,” katanya ringkas kepada Bernama.

Beliau juga berkata sepanjang tempoh beliau menjalani kuarantin kendiri itu, Timbalannya Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mempunyai kuasa penuh untuk menguruskan pasukan.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri yang turut hadir pada mesyuarat itu disahkan positif Covid-19 dan beliau kini dirawat di hospital di Seremban.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada kompromi dengan sebarang elemen gangsterism – KPN

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Polis tidak akan berkompromi dengan sebarang elemen gangsterism, termasuk tindakan mereka yang mengugut mana-mana pemberi maklumat berkaitan kes jenayah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata demikian semasa merujuk kejadian pemilik Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, 42, yang mendakwa beliau diugut gangster susulan pembongkarannya mengenai aktiviti perjudian di Sungai Buloh, baru-baru ini.

“Saya tidak boleh terima elemen gangsterisme yang berlaku kepada dia (Mohd Asri) atau sesiapa sahaja yang berkongsi maklumat mengenai kegiatan jenayah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman di Mes Pegawai Kanan di Bukit Aman di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan Mohd Asri bahawa beliau dihubungi oleh individu mengaku ‘ayahanda’ yang tidak berpuas hati dengan perbuatannya mendedahkan kegiatan judi di Sungai Buloh yang tular di media sosial.

Pada majlis itu, Timbalan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Shukri Abdullah dilantik memangku jawatan sebagai pengarah, selepas Datuk Seri Rosli Ab Rahman bersara wajib hari ini.

Sementara itu merujuk kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor yang dijangka bersara tidak lama lagi, Hamid berkata calon penggantinya akan diputuskan kerajaan nanti.

“Sebenarnya beliau (Mazlan), dari awal bulan ini sudah pun membuat persediaan dan bersedia dengan apa juga keputusan kerajaan, tetapi untuk persaraan memang dia sudah bersedia. Beliau adalah seorang peguam yang belajar di England, dan mempunyai pengalaman yang lama dalam Jabatan Siasatan Jenayah di Bukit Aman dan juga pernah berkhidmat di peringkat bawah daerah, negeri,” katanya.

Bernama difahamkan polis akan mengadakan Majlis Serah Terima Tugas bagi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara di Bukit Aman esok.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima kunjungan hormat Mazlan yang dijadual menamatkan perkhidmatan pada 14 Ogos ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Judi Sungai Buloh: Rombakan dalaman diputus selepas siasatan selesai

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Sebarang tindakan termasuk rombakan dalaman melibatkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh hanya akan diputuskan selepas siasatan berhubung kes perjudian di daerah itu selesai, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata pucuk pimpinan polis perlu berlaku adil dan menyiasat terlebih dahulu dakwaan salah laku pegawai dan anggota IPD Sungai Buloh berhubung isu perjudian itu.

“Siasatan telah dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sejak awal lagi iaitu sebelum perkara ini tular dan setakat ini tiada anggota polis yang ditahan.

”Setelah siasatan selesai baru pihak polis akan putuskan apa tindakan yang akan dibuat, beri sedikit masa dan saya beri jaminan tidak akan melengah-lengahkan kes berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman di Mes Pegawai Kanan di Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada akan berlaku rombakan di IPD Sungai Buloh selepas terdapat dakwaan pegawai dan anggota melindungi premis perjudian.

Sementara itu, beliau berkata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed telah diarah mendapatkan laporan kegiatan perjudian di seluruh negara.

“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan aktiviti judi, bukan sahaja di Sungai Buloh tetapi di semua tempat seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid menasihati orang ramai agar menyalurkan maklumat jenayah terus ke Bukit Aman jika terdapat halangan tertentu di peringkat bawahan.

“Saya menggalakkan apa juga kaedah yang ingin digunakan untuk menyampaikan mesej kejadian jenayah,” katanya.

Berikutan itu, Abdul Hamid turut memberi amaran kepada pegawai dan anggotanya untuk tidak mendedahkan maklumat pemberi maklumat kepada awam jika mereka (orang awam) melaporkan sebarang kegiatan jenayah.

“Jika saya dapat tahu ada pegawai atau anggota polis yang mendedahkan identiti pemberi maklumat kes jenayah, saya akan ambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan terus,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan bahawa tuduhan mengatakan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar tidak mengambil tindakan susulan terdapat kegiatan perjudian di daerah itu, adalah tidak benar.

“Ketua Polis Daerah Sungai Buloh ada ambil tindakan dan tidak benar sama sekali dakwaan media sosial kata beliau menafikan wujud aktiviti judi di Sungai Buloh,” katanya.

Baru-baru ini, tular dua klip video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah menahan empat penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan yang menjalankan kegiatan perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh, dekat sini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPN: Lebih 50,000 kes tertunggak diselesaikan sejak 2000

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Polis telah menyelesaikan 50,853 daripada 73,425 kes yang tertunggak sejak 20 tahun lepas membabitkan pelbagai jenis jenayah komersial, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata pihaknya kini dalam usaha menyelesaikan baki 22,572 kes, selain lebih 14,000 kes baharu yang dilaporkan pada tahun ini.

“Di bawah pimpinan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman (Datuk Zainuddin Yaacob) yang baharu, saya minta supaya segera meneruskan usaha menyelesaikan baki kes tertunggak sejak tahun 2000 ini.

“Pegawai penyiasat kes telah diberikan tanggungjawab untuk menyiasat kes serta perlu dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan atau berdepan dengan tindakan daripada saya jika mereka tidak mempunyai alasan ‘terbaik’ mengapa kes tidak dapat diselesaikan,” katanya kepada Bernama selepas majlis serah terima tugas jawatan Pengarah JSJK di Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid turut mendedahkan terdapat beberapa kes yang sedang diadili Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM membabitkan pegawai penyiasat yang cuai dan tidak mengambil tindakan sepatutnya dalam menyelesaikan kes tertunggak sedia ada.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Negara itu turut mengingatkan syarikat telekomunikasi (telco) dalam negara agar memainkan peranan membantu polis mengurangkan peningkatan kes jenayah komersial.

“Penjenayah ini mampu memperoleh maklumat dengan mudah dengan hanya menggunakan telefon bimbit jadi syarikat telco kena pastikan setiap pembelian dan pendaftaran nombor telefon oleh pembeli termasuk warga asing mesti mengikut peraturan seperti butiran kad pengenalan diri dan pasportnya dicatat,” katanya.

Sementara itu, Zainuddin berkata pihaknya akan menggandakan usaha bagi menyelesaikan kes-kes tertunggak.

“Kami faham akan keutamaan perlu diberikan kepada kes-kes lama, jadi ini akan dilakukan di samping kes-kes melibatkan jenayah pecah amanah yang menjadi keutamaan,” katanya.

Pada 12 Julai, Abdul Hamid berkata kesemua kes-kes ‘sejuk beku’ JSJK Bukit Aman yang tidak diselesaikan sejak beberapa tahun lepas akan disiasat semula dengan pegawai bertanggungjawab diberi tempoh sebulan untuk menyelesaikannya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPN: Penjara 20 tahun, denda maksimum memadai hukum pemandu mabuk

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan cadangan kerajaan untuk menaikkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum RM150,000 dalam kes melibatkan pemandu mabuk memadai.

Beliau berkata pihaknya pernah mencadangkan hukuman penjara mandatori dikenakan terhadap kelompok berkenaan bagi mengurangkan kes kemalangan melibatkan pemandu mabuk di negara ini.

“Sekiranya Parlimen meluluskan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu yang membabitkan peningkatan jumlah denda dan tempoh hukuman penjara, saya amat mengalu-alukan,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyerahan sumbangan kasut oleh Syarikat Bata Primavera Sdn Bhd di Bukit Aman di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kerajaan akan mengusulkan pemandu mabuk dikenakan hukuman lebih berat iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM150,000 menerusi pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Wee berkata pindaan juga mencadangkan mereka yang disabitkan kesalahan boleh digantung lesen memandu sehingga 20 tahun.

Pindaan akta itu dijadual dibentang pada persidangan Parlimen yang sedang berlangsung.

Terdahulu pada majlis berkenaan, Polis Diraja Malaysia menerima 60,000 pasang kasut dianggar bernilai RM3.6 juta daripada syarikat berkenaan.

Mengulas sumbangan itu, Abdul Hamid berkata kasut terbabit akan diagihkan kepada warga polis dan ahli keluarga mereka sebagai penghargaan kepada mereka yang bertugas memerangi penularan pandemik Covid-19.

Pihak Bata juga memaklumkan warga polis akan menikmati potongan sebanyak 20 peratus bagi sebarang pembelian kasut jenamanya di semua kedai syarikat itu di seluruh negara, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPN: Kes ‘sejuk beku’ dibuka semula, disiasat

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Kesemua kes-kes ‘sejuk beku’ Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman yang tidak diselesaikan sejak beberapa tahun lepas akan diteruskan semula siasatan dengan pegawai bertanggungjawab diberi tempoh sebulan untuk menyelesaikannya, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata antara kes berkenaan ialah penipuan dalam talian dengan banyak kes tertangguh disebabkan pegawai penyiasat tidak melaksanakan tugas dengan baik, termasuk ada yang tidak menjalankan siasatan.

“Selain itu, ada juga kes JSJK yang mempunyai waran tangkap yang dikeluarkan mahkamah dan ada laporan polis yang dibuat pada 2013 (tapi siasatan) tidak berjalan,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman di sini.

Menurut Abdul Hamid, pihaknya akan mengenal pasti pegawai penyiasat yang bertanggungjawab untuk diarah menyelesaikan kes masing-masing.

“Kes-kes sejuk beku ini perlu dibuka semula untuk memberi keadilan kepada mangsa yang teraniaya dan kami cari siapa pegawai penyiasat berkenaan, beri dia amaran satu bulan untuk siapkan siasatan kes,” katanya.

Abdul Hamid juga menegaskan pihaknya tidak akan memberi sebarang ruang kepada kegiatan perjudian dalam talian.

“Judi dalam talian memang saya lawan habis-habisan, saya tidak bagi peluang dan saya haramkan mana-mana tauke judi datang untuk berjumpa dan berbaik dengan saya,” katanya.

Beliau turut menegaskan tiada lagi aktiviti ‘mewah’ dalam kalangan pegawai polis dibenarkan, termasuk mengadakan majlis keramaian bagi merayakan hari lahir pegawai tinggi di pejabat mahupun mengadakan lawatan ke mana-mana tempat.

“Saya haramkan semua majlis berfoya-foya di pejabat.

“Ada pegawai-pegawai tinggi polis dibelanja makanan laut sehingga bil mencecah ribuan ringgit, siapa hendak bayar semua itu? Budaya sedemikian saya hendak buang dan tidak mahu ada dalam polis,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis kesan 532 individu gagal hadir saringan kedua Covid-19

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Polis telah berjaya mengesan 532 individu yang menjalani kuarantin di rumah namun gagal hadir saringan kedua Covid-19 sebelum ini dengan kesemuanya didapati telah berbuat demikian di klinik kesihatan berdekatan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata polis kini menjejaki baki 45 individu.

Mereka yang telah dikesan merangkumi 303 orang di Selangor, Kuala Lumpur (156), Johor (62), tiga di Sabah, masing-masing dua di Pahang dan Kedah, serta seorang masing-masing di Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan dan Sarawak, katanya.

Menurutnya polis menerima senarai 577 individu yang dikategorikan ‘tercicir’ terbabit, iaitu gagal hadir saringan kedua Covid-19, daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan pada Jumaat minggu lepas.

“Sehubungan itu, Jabatan Siasatan Jenayah telah melancarkan tindakan pengesanan ke atas individu-individu terbabit di seluruh negara,” katanya kepada Bernama di sini.

“Usaha pengesanan individu-individu berkenaan adalah menggunakan pendekatan berikut, iaitu seramai 392 individu berjaya dihubungi menerusi panggilan telefon manakala seramai 140 individu pula dikesan menerusi alamat rumah.

“Individu-individu yang masih belum menjalani saringan kedua Covid-19 itu dinasihati hadir membuat saringan kedua pada kadar segera di klinik-klinik kesihatan berdekatan,” katanya.

Abdul Hamid berkata sekiranya masih ingkar, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut Akta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan undang-undang lain yang berkuat kuasa.

Pada 1 Julai lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dilapor berkata seramai 1,472 individu yang menjalani kuarantin di rumah masih belum menjalani ujian Covid-19 kedua pada hari ke-13 tempoh kuarantin mereka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anggota polis jaga sempadan negara ditukar sebulan sekali

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Anggota keselamatan di sempadan negara yang bersekongkol dan mengambil rasuah daripada sindiket penyeludupan pendatang asing adalah pengkhianat kepada negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata perbuatan menerima bayaran oleh mereka yang diberi tanggungjawab mengawal keselamatan itu membolehkan ribuan pendatang tanpa izin membolosi sempadan negara.

“Saya menganggap perbuatan menerima rasuah dari sindiket tekong oleh mana-mana pihak berkuasa yang menjaga sempadan sebagai perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan ia adalah satu pengkhianatan terhadap negara,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini.

Beliau berkata walaupun terdapat penggiliran tugas sebulan sekali di kalangan pegawai dan anggota polis di sempadan, ia kurang berkesan dalam membanteras kejadian rasuah yang membolehkan kemasukan pendatang tanpa izin.

Pegawai dan anggota polis di sempadan ditukar sebulan sekali, namun setelah bertahun penggiliran itu akan berputar kepada satu pasukan yang sering ditugaskan menjaga sempadan.

“Setelah itu, berlaku kealpaan yang mengambil sikap sambil lewa (menjaga sempadan negara) dan ahli-ahli sindiket yang berjaya menjalinkan hubungan dengan beberapa pihak berkuasa, maka berlakunya perbuatan mengambil rasuah, dari segi duit bayaran tertentu, sama ada secara bulanan atau mengikut kepala atau mengikut ‘trip’,“ katanya.

Mengulas mengenai Op Benteng Covid-19, Abdul Hamid berkata sehingga kini 80 orang telah didakwa kerana terlibat dalam kegiatan penyeludupan pendatang asing dengan 22 kertas siasatan dibuka, dan 11 lagi individu yang menjadi dalang sindiket itu sedang diburu.

Sementara itu, mengenai penggunaan kapal induk untuk membawa pendatang tanpa izin, Abdul Hamid berkata taktik itu menyukarkan pihak berkuasa untuk mendekati mereka yang berlabuh di tengah laut kerana berhampiran perairan negara jiran serta perairan antarabangsa.

“Mereka ini menggunakan kapal-kapal induk yang diisikan dengan ratusan orang dan berlabuh di tengah laut, dan ada sindiket yang membekalkan mereka dengan makanan setiap hari,” katanya.

Bulan lepas, Bernama melaporkan seramai 269 pendatang tanpa izin membolosi perairan negara dengan sengaja membocorkan dan merosakkan enjin kapal, untuk mengelak daripada diusir pihak berkuasa ketika berada di dalam perairan Malaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bukit Aman siasat Al Jazeera dalam masa terdekat

PUTRAJAYA, 7 JULAI: Polis akan memanggil pengendali Al Jazeera dan wartawannya dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung dokumentari agensi berita antarabangsa itu mengenai cara Malaysia menangani pendatang tanpa izin dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata siasatan dilakukan menurut beberapa peruntukan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.

“Kita akan tengok dari sudut undang-undang selepas dia menjawab soalan-soalan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini selepas menghadiri perasmian Hari Banci Penduduk dan Perumahan 2020 oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid semalam mengesahkan polis memulakan siasatan berhubung laporan itu dengan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19.

Sementara itu, mengenai dakwaan beberapa wakil daripada inisiatif Parlimen Digital dihubungi polis selepas mereka menamatkan sidang maya pada 4 Jun lepas, Abdul Hamid berkata semakan dalaman mendapati tiada individu yang dipanggil polis setakat ini.

“Siapa yang rasa dirinya ditindas sila tampil ke depan. Saya nak tahu siapa yang dipanggil, polis mana yang panggil kerana setakat ini selepas disemak tidak ada pihak saya yang memanggil mereka.

“Saya minta kerjasama yang buat aduan untuk tampil ke depan dan jangan bimbang kita akan ambil tindakan yang seadil-adilnya,” katanya.

Abdul Hamid berkata tidak ada tindakan jenayah yang dibuat terhadap sidang maya Parlimen Digital yang digerakkan kumpulan belia tersebut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis, ATM laksana Op Benteng secara besar-besaran

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Polis akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi penguat kuasa lain untuk melaksanakan Operasi Benteng secara besar-besaran di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak bagi memburu tekong dan ahli-ahli sindiket pendatang tanpa izin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, pihak berkuasa berjaya menahan beratus-ratus tekong darat, ejen, ‘transporter’ (pengangkut) dan pemilik premis ‘penampungan’ (rumah yang menempatkan pendatang tanpa izin).

“Tangkapan ini pasti memutuskan aliran masuk pendatang tanpa izin menerusi lorong tikus,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan seramai 396 pendatang tanpa izin dan 108 tekong dilaporkan telah ditahan dalam Op Benteng sejak 1 Mei (sehingga Isnin lepas) atas cubaan memasuki sempadan negara secara haram.

Dalam pada itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dalam tempoh berkenaan, pihak berkuasa juga berjaya menahan 11 individu disyaki penyeludup serta menyita 13 kapal.

Op Benteng diaktifkan sejak Mei di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dengan kerjasama ATM, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

– BERNAMA