Categories
AGENDA NASIONAL

Bayi setahun antara empat kematian akibat Covid-19 hari ini

SHAH ALAM, 6 OKT: Empat kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun.

Ketua pengarah kesihatan berkata pertambahan itu menjadi jumlah keseluruhan meningkat 141 kes.

“Kes kematian ke-140 itu adalah kes ke-12432 yang mendapat rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 Oktober dengan keadaan kesihatan merosot dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Saringan Covid-19 didapati positif serta disahkan meninggal dunia pada 5 Oktober,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media hari ini.

Beliau memaklumkan sebanyak 691 kes baharu dilaporkan hari ini iaitu jumlah tertinggi dicatatkan sejak penularan wabak Covid-19 bermula di negara ini dengan jumlah keseluruhan meningkat 13,504.

Katanya, lebih separuh kes itu berlaku di Kedah dengan 397 kes diikuti Sabah (219).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jangkitan Covid-19 melonjak 691 kes baharu, empat kematian dicatatkan

SHAH ALAM, 6 OKT: Kes positif Covid-19 di seluruh negara hari ini terus melonjak ke 691 kes, tertinggi sejak penularan wabak berkenaan di negara ini.

Ketua pengarah kesihatan berkata lebih separuh kes itu dicatat di Kedah yang merekod 397 kes iaitu 394 dari Kluster Tembok dan tiga Kluster Bas Sintok.

Beliau berkata Sabah pula merekod 219 kes membabitkan 120 saringan bergejala, 36 saringan komuniti, 30 Kluster Bangau-Bangau, 19 Kluster Rama-Rama dan lima saringan kontak rapat.

“Empat kematian juga dilaporkan hari ini,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media secara maya hari ini.

Beliau memaklumkan seramai 87 pesakit berjaya sembuh dengan jumlah yang pulih setakat ini ialah seramai 10,427 orang atau 77.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 31 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dan lapan daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Berikut perincian kes Covid-19 dalam negara:

1. Sabah: 219 kes
– 120 kes saringan bergejala yang melibatkan 117 warganegara dan tiga bukan warganegara
– 36 kes saringan komuniti yang melibatkan warganegara
– 30 kes daripada Kluster Bangau-Bangau yang melibatkan 10 warganegara dan 20 bukan warganegara
– 19 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Ramai-Ramai yang melibatkan warganegara
– Lima kes saringan kontak rapat kes positif Covid-19 yang melibatkan warganegara
– Lima kes saringan petugas kesihatan yang melibatkan warganegara
– Empat kes saringan masuk kerja yang melibatkan warganegara

2. Kedah: 397 kes
– 394 kes daripada Kluster Tembok yang melibatkan 391 warganegara dan tiga bukan warganegara
– Tiga kes daripada Kluster Bah Sintok yang melibatkan warganegara

3. Selangor: 38 kes
– 17 kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara
– 11 kes daripada Kluster Jalan Meru yang melibatkan warganegara
oSembilan kes saringan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 yang melibatkan lapan warganegara dan satu bukan warganegara
– Satu kes daripada Kluster Embun yang melibatkan warganegara

4. Perak: Lapan kes
– Tujuh kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Batu yang melibatkan warganegara
– Satu saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara

5. Negeri Sembilan: Tujuh kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara

6. Johor: Enam kes
– Tiga kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara
– Tiga kes daripada Kluster Jalan Meru yang melibatkan warganegara

7. Kuala Lumpur: Empat kes
– Satu kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara
– Satu kes daripada Kluster Jalan Meru yang melibatkan warganegara
– Satu kes saringan pra pembedahan yang melibatkan warganegara
– Satu kes saringan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 yang melibatkan warganegara.

8. Sarawak: Tiga kes
– Satu kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara
– Satu kes saringan di Pintu Masuk Domestik pulang dari Semenanjung Malaysia yang melibatkan warganegara
– Satu kes saringan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 yang melibatkan warganegara

9. Pulau Pinang: Tiga kes
– Satu kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara
– Satu kes jangkitan pernafasan akut teruk yang melibatkan warganegara
– Satu kes saringan kematian yang melibatkan warganegara

10. Terengganu: Satu kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara

11. Putrajaya: Satu kes daripada Kluster Selasih yang melibatkan warganegara

12. Labuan: Satu kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kesan kluster baharu Covid-19 di Kedah, Terengganu

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan terdapat pertambahan tiga kluster baharu Covid-19 di dalam negara iaitu Kluster Bah Sintok dan Kluster Jeram di Kedah serta Kluster Bah Tanjung di Terengganu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kluster Bah Sintok di Kubang Pasu, Kedah melibatkan kes indeks kluster, kes ke-12072 merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 23 tahun yang baru pulang dari Sabah pada 20 September lepas.

“Kes mempunyai gejala demam, selesema dan sakit kepala sejak 22 September. Saringan Covid-19 dikesan positif pada 2 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan 11 lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti. Kesemua kes yang dikesan positif merupakan warganegara Malaysia dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan pandemik Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sehingga 12 tengah hari tadi, sejumlah 165 individu telah disaring dengan 12 dikesan positif, 61 negatif manakala 92 individu masih menunggu keputusan.

Sementara itu, Kluster Jeram juga di Kubang Pasu, Kedah melibatkan kes indeks kluster, kes ke-11211 merupakan seorang pesakit wanita warga tempatan berumur 31 tahun.

“Kes bergejala batuk dan sakit kepala sejak 25 September dan telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tunjang pada 28 September dan saringan Covid-19 dijalankan di sana. Kes dikesan positif pada 29 September dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan tiga lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti melibatkan petugas kesihatan. Mereka juga telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah untuk rawatan,” katanya.

Katanya, sehingga 12 tengah hari tadi, sejumlah 65 individu telah disaring dan daripada jumlah itu empat dikesan positif, 50 negatif dan 11 individu masih menunggu keputusan.

“Proses pembersihan dan nyah kuman di fasiliti kesihatan berkaitan telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu, Kedah,” katanya.

Selain itu, Kluster Bah Tanjung di Kuala Nerus, Terengganu melibatkan kes indeks kluster, kes ke-11477 merupakan seorang lelaki rakyat Malaysia berumur 46 tahun.

“Kes mempunyai sejarah perjalanan ke Semporna, Sabah dari 10 sehingga 27 September. Kes bergejala sakit tekak dan demam sejak 28 September. Kes dikesan positif Covid-19 pada 30 September dan telah dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan enam lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti. Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia, mereka juga telah dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang untuk rawatan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sehingga 12 tengah hari tadi, sejumlah 245 individu telah disaring dengan tujuh individu dikesan positif, 113 negatif dan 125 masih menunggu keputusan.

Bagaimanapun, punca jangkitan ketiga-tiga kluster baharu itu masih dalam siasatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia dijangka masuki gelombang ketiga Covid-19 – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 2 OKT: Malaysia dijangka memasuki gelombang ketiga Covid-19 selari dengan trend peningkatan jumlah kes di seluruh dunia kebelakangan ini, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Sekarang ini kita lihat pada peringkat permulaan untuk gelombang ketiga, jadi kes-kes telah dikesan bukan hanya negara kita tetapi juga negara-negara lain menghadapi peningkatan kes,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Ditanya mengenai unjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi kes Covid-19, Dr Noor Hisham berkata ia bergantung kepada tindakan KKM, pelbagai agensi kerajaan seperti polis, Jabatan Imigresen dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta seluruh rakyat Malaysia.

“Kalau kita bersama dapat mengamalkan tindakan masing-masing iaitu patuhi SOP manakala KKM akan melaksanakan tindakan kesihatan awam, (sebagai contoh) polis akan melaksanakan sekatan jalan raya serta ATM mempertingkat kawalan sempadan, jalan-jalan tikus dan sebagainya.

“Kementerian juga akan mengambil tindakan untuk melindungi tempat-tempat seperti pusat jagaan warga emas dan depoh tahanan Imigresen, penjara dan tempat tahanan yang lain,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata persiapan dan kesiapsiagaan KKM kali ini adalah lebih tinggi berbanding pada peringkat permulaan wabak iaitu dari segi persediaan mobilisasi petugas, jumlah Peralatan Perlindungan Diri (PPE) dan mesin ventilator.

“KKM telah menjalankan tindakan mobilisasi pasukan bantuan kesihatan, sebelum 27 September kami telah menghantar petugas-petugas kesihatan KKM ke Sabah di daerah tertentu (Tawau, Lahad Datu dan Semporna).

“Kita akan melihat keperluan, kalau ada kita akan hantar lebih ramai lagi pakar-pakar (pakar pediatrik, pakar bius, pegawai perubatan dan jururawat) kita,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kluster Tembok di Kedah, beliau berkata jangkitan Covid-19 bagi kluster ini masih terkawal kerana ia adalah dalam kawasan tertutup iaitu di penjara.

“Ia tidak berada dalam komuniti dan Kluster Tembok ini sama seperti kluster di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil,” katanya.

Kluster Tembok hari ini mencatatkan 128 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 220.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hantaran Twitter sekadar peringatan – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 1 OKT: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan hantaran Twitternya pada awal pagi tadi hanyalah bertujuan menasihati rakyat Malaysia dan bukan memberi bayangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan semula.

Menerusi akaun rasmi Twitternya @DGHisham membalas hantaran seorang pengguna @zalifahms yang mencadangkan agar dilaksanakan larangan pergerakan rentas negeri untuk sementara waktu.

Beliau membalas hantaran itu dengan: “How about all stay at Home for awhile again?” bagaimanapun telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat sekiranya kerajaan melaksanakan semula PKP.

“Perkara (twitter) itu bukan perkara yang baharu. Sekali lagi saya mengingatkan kepada semua rakyat Malaysia yang tiada urusan penting di luar, dinasihatkan duduk di rumah dan kalau nak keluar rumah kerana ada urusan penting, patuh kepada tatacara operasi piawai (SOP).

“Itulah tujuan utama saya tweet (buat hantaran). Hanya mengingatkan rakyat Malaysia untuk duduk di rumah kalau tiada urusan penting, kalau ada urusan penting, pastikan kita patuh SOP, amalkan 3W (wash, wear and warn) dan elakkan 3S (sesak, sempit, sembang),” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19, di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedar ada dalam kalangan petugas kesihatan dan rakyat Malaysia yang letih dalam mematuhi SOP kerajaan.

“Tapi perlu diingatkan virus Covid-19 tidak pernah letih dan kalau kita leka dan ambil mudah, jangkitan akan berlaku kerana virus dah ada dalam komuniti.

“Kalau kita ambil mudah atau anggap keadaan telah kembali normal, itu satu kesilapan besar dan ketidakpatuhan kita (mungkin) akan melihat jangkitan bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata KKM menjangkakan berlaku gelombang baharu jangkitan Covid-19 jika kes positif terus mencatatkan peningkatan.

“Bagaimanapun, tanggungjawabnya ialah pada kita sama ada kita boleh mendatarkan lengkung itu sekali lagi. Kita telah lakukannya sebelum ini dan kita boleh lakukan lagi, namun kita perlukan kerjasama semua orang, patuhi SOP,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata semua pihak termasuk pengurusan sekolah perlu menguruskan risiko jangkitan di institusi pendidikan masing-masing.

Beliau yang ditanya mengenai kebimbangan ibu bapa di Selangor jika anak mereka ke sekolah berikutan kadar kebolehjangkitan yang tinggi ketika ini, berkata perkara itu ada dibincangkan oleh KKM bersama Kementerian Pendidikan (KPM).

“Memang risiko tetap ada. Kalau tak nak risiko kita semua duduk di rumah. Tetapi kalau kita keluar dari rumah, kita kena menguruskan risiko itu.

“Jadi setakat ini di sekolah kalau tiada jangkitan kita akan biarkan. Contohnya di Kedah, ada sekolah yang berlaku jangkitan di antara guru dan murid dan kita tutup sekolah serta jalankan proses nyah cemar dan nyah kuman di kawasan sekolah.

“Tapi setakat ini tiada laporan ada kluster di sekolah,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kadar kebolehjangkitan di Selangor lebih tinggi banding Sabah

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Selangor mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) 1.95 lebih tinggi daripada Sabah, berikutan peningkatan dalam jumlah kes harian baru daripada dua hingga tiga kes kepada 10 ke 15 kes.

RT menunjukkan kadar secepat mana penularan Covid-19 merebak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia mengambil kira magnitud perubahan dan menunjukkan peningkatan risiko wabak yang lebih besar di negeri itu, sekiranya langkah-langkah pencegahan kesihatan awam tidak diambil.

“Nilai Rt di Sabah telah stabil walaupun masih berada pada tahap 1.29 semalam. Keadaan ini masih merisaukan kerana ia melibatkan bilang kes-kes baharu yang tinggi.

“Nilai Rt mungkin akan meningkat, jika kita tidak mengambil langkah-langkah intervensi kesihatan awam yang optima,” katanya menerusi status yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Sementara itu, nilai Rt di Kedah menurun daripada lebih besar daripada satu (> 1) kepada 0.65 dan ia sejajar dengan kadar penurunan kes di negeri itu yang merekodkan hanya dua kes dalam tempoh empat hari.

Noor Hisham berkata keadaan itu menggambarkan pematuhan terhadap prosedur operasi standad yang ditetapkan.

Sehubungan itu beliau mengingatkan adalah penting untuk semua rakyat Malaysia terus mematuhi SOP serta langkah-langkah yang telah ditetapkan kerajaan sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penularan Covid-19 masih terkawal, kadar kebolehjangkitan 1.39

PUTRAJAYA, 30 SEPT: Penularan Covid-19 di Malaysia masih lagi terkawal dengan kadar kebolehjangkitan (RO), atau disebut ‘R-Naught’ adalah kurang daripada 1.6 dengan kadar ketika ini adalah 1.39, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“RO ketika ini adalah 1.39 dan keadaan masih terkawal. Tahap kritikal adalah 1.6 dan di Sabah kira-kira 1.42. Kita masih dapat mengawal penularan dengan syarat kita terus melakukan yang terbaik dengan langkah-langkah kesihatan awam di kawasan masing-masing,” katanya pada sidang media perkembangan pandemik Covid-19 di sini semalam.

Mengambil contoh Sabah, Dr Noor Hisham berkata pelbagai langkah kesihatan awam telah diambil sejak sebelum pilihan raya negeri (PRN) itu, termasuk kawalan sempadan dan sekatan jalan raya. Bagaimanapun, tindakan tidak dibuat secara rasmi.

“Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) diumumkan secara rasmi semalam (Isnin) dan dikuatkuasakan hari ini (semalam) hingga 12 Oktober di empat daerah – Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna.

“Kami berharap dapat memperketat kawalan keselamatan dan mengawal aktiviti di kawasan berkenaan. Kami berharap dapat terus mengesan kes positif dan membendung penularan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) telah terbukti dapat membendung dan memutuskan rantaian jangkitan di beberapa kawasan, masyarakat dan daerah.

Beliau berharap orang ramai terus memberikan kerjasama dengan mematuhi syarat ditetapkan kementerian seperti menjalani ujian saringan ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Klia2.

Mengulas mengenai TEMCO, Dr Noor Hisham berkata walaupun dilaksanakan di beberapa daerah, namun fokus tetap diberikan kepada beberapa perkampungan seperti Sri Tanjung di Tawau, bandar-bandar dan kawasan yang dikenalpasti.

Mengenai tahap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam kalangan mereka yang terlibat ketika PRN Sabah yang selesai baru-baru ini, Dr Noor Hisham berkata setakat ini tiada aduan mengenai ketidakpatuhan terhadap SOP diterima.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Mutasi D614G didapati pada lima kluster dalam negara

KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Virus Covid-19 bagi lima kluster di negara ini, melibatkan Kluster Benteng LD, Kluster Sivagangga, Kluster Tawar, Kluster Sungai dan Kluster Bukit Tiram didapati jenis mutasi D614G, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham dalam satu catatan terkini di laman Facebook rasminya berkata, keputusan itu diperoleh daripada makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) hari ini.

“IMR menjalankan ujian penjujukan genom ke atas 32 virus Covid-19 yang dikesan hasil ujian pengasingan dan kultur virus Covid-19 bagi Kluster Benteng LD (23 virus), Kluster PUI Sivagangga (4 virus), Kluster Tawar (3 virus), Kluster Sungai (1 virus) dan Kluster Bukit Tiram (1 virus).

“Seperti disyaki terdapat mutasi jenis D614G yang telah dikesan kepada kesemua 32 virus Covid-19 ini,” katanya.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata terdapat kewujudan mutasi D614G virus Covid-19 yang didapati 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain dan mudah merebak sekiranya disebar oleh individu ‘super spreader’ dalam Kluster Sivagangga.

Menjelas lanjut, Dr Noor Hisham berkata kajian susulan dijalankan bagi mengkaji kaitan genetik antara virus yang diasingkan ini dan membandingkan ia dengan dengan virus yang dikesan sebelum ini pada Kluster Sivagangga dan Kluster Tawar.

Menurutnya sebagaimana yang disyaki, kesemua virus yang diasingkan bagi kluster di Kedah (Kluster Sivagangga, Kluster Tawar dan Kluster Sungai) adalah saling berkait dan besar kemungkinan berasal daripada sumber virus yang sama.

Bagaimanapun, beliau berkata kesemua 23 virus Covid-19 dari Kluster Benteng LD pula didapati saling menyerupai namun tidak berkait dengan virus wabak itu yang dijumpai di Kedah, walaupun kesemuanya mempunyai mutasi D614G.

Beliau juga berkata ujian itu adalah ujian awal dan terdapat beberapa ujian susulan sedang dijalankan bagi menguji lebih lanjut kebarangkalian dan semakan dengan kumpulan keluarga virus Covid-19 (Phylogenetic tree).

Justeru, Dr Noor Hisham mengingatkan masyarakat supaya lebih berwaspada dan berhati-hati kerana mutasi D614G itu didapati lebih mudah merebak dan menjangkiti individu lain.

“Amalkan sepenuhnya SOP yang ditetapkan iaitu penjarakan fizikal, mencuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer, serta memakai pelitup muka terutama di tempat awam, tempat sesak, tempat tertutup dan ketika sembang jarak dekat. Dapatkan bantuan kesihatan sekiranya bergejala,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes baharu Covid-19 kembali tiga angka, 111 kes hari ini

SHAH ALAM, 25 SEPT: Kes baharu Covid-19 kembali kepada tiga angka apabila 111 kes dilaporkan hari ini berbanding 71 semalam, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 107 daripada jumlah kes tersebut membabitkan penularan tempatan dan empat lagi kes import mendapat jangkitan dari luar negara.

Menurutnya, pertambahan kes menjadikan angka keseluruhan di negara kini ialah 10,687 dan kes aktif dengan kebolehjangkitan ialah 858.

“Sementara itu kes sembuh ialah 30 kes menjadikan jumlah terkumpul 9,696 serta tiada kematian hari ini dan ia kekal kepada 133.

“Sehingga kini seramai empat individu sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiga daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Semua garam halus perlu ditambah iodin sebelum dijual – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Semua garam halus atau garam yang beratnya 20 kilogram atau kurang perlu ditambah dengan iodin sebelum boleh dijual di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata pindaan peraturan itu adalah susulan hasil Tinjauan Gangguan Akibat Kekurangan Iodin (IDD) Kebangsaan yang menunjukkan 48.2 peratus kanak-kanak sekolah rendah berumur 8-10 tahun mengalami masalah kekurangan iodin.

“Selain itu, 2.1 peratus kanak-kanak mengalami masalah goiter. Bagi tinjauan melibatkan wanita hamil dan murid sekolah, pengambilan iodin juga tidak mencapai paras optimum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh itu, Dr Noor Hisham berkata pelaksanaan Pengiodinan Secara Universal di Malaysia (USI) dapat membantu meningkatkan pengambilan iodin dalam kalangan masyarakat memandangkan garam merupakan bahan asas yang digunakan di semua peringkat masyarakat tanpa mengira status pendapatan.

Beliau berkata peraturan itu adalah berdasarkan pindaan Peraturan 285 berkaitan Garam Halus Beriodin atau Garam Beriodin di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah diwartakan pada 12 November 2018 dan akan dikuat kuasa di seluruh negara pada 30 September ini.

“Dalam hal ini, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) akan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kepatuhan peraturan ini setelah dikuatkuasakan,” katanya.

Dr Noor Hisham menjelaskan kegagalan mematuhi pindaan Peraturan 285 adalah satu kesalahan dan jika disabit kesalahan, pengilang serta penjual boleh dikenakan denda hingga RM10,000 atau penjara hingga dua tahun.

“Pada masa sama, pengguna juga diingatkan bahawa pengambilan garam tidak perlu ditingkatkan kerana garam secara berlebihan dalam makanan pula boleh menjurus kepada penyakit tidak berjangkit yang lain misalnya hipertensi (darah tinggi),” katanya.

Sebarang isu keselamatan dan kualiti makanan, pengguna boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 168 pesakit pulih, 82 kes baharu hari ini

SHAH ALAM, 22 SEPT: Seramai 168 pesakit Covid-19 pulih hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih 9,563, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata negara turut merekodkan sebanyak 82 kes baharu dengan 72 daripadanya jangkitan tempatan manakala 10 kes import.

“Sebanyak 60 kes berlaku di Sabah melibatkan Kluster Benteng (41 kes), Kluster Pulau dan Selamat (masing-masing enam kes), Kluster Bangau (5 kes) dan masing-masing satu kes saringan komuniti dan rujukan di hospital.

“Sebanyak 10 kes pula dikesan di Kedah melibatkan sembilan kes Kluster Sungai dan satu kes saringan di Kota Setar manakala masing-masing satu kes di Selangor dan Sarawak,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sembilan pesakit dirawat di unit rawatan rapi dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan manakala jumlah kematian kekal 130 kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Satu lagi kluster baharu dikesan di Tongod, Sabah

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu Covid-19 iaitu Kluster Kuarters di Tongod, Sandakan, Sabah, menjadikan kluster keenam di negeri itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata setakat hari ini terdapat lima kes positif dikesan di dalam kluster itu dan ia dikenal pasti melalui hasil saringan yang dijalankan di sekitar Daerah Tongod selepas saringan Covid-19 mendapati seorang petugas kesihatan positif ujian saringan RTK Antigen pada 4 September lepas.

“Saringan di sekitar Daerah Tongod yang bermula pada 6 September telah melibatkan masyarakat setempat termasuk petugas kesihatan Klinik Kesihatan tersebut.

Kesemua kes positif (iaitu kes ke-10,253 hingga ke-10,257) dalam kluster ini merupakan warganegara. Mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi kluster itu, seramai 117 individu telah disaring setakat ini dengan 112 masih menunggu keputusan, manakala punca jangkitan masih dalam siasatan.

“Langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan proses pembersihan telah dijalankan di Klinik Kesihatan Tongod. Semua pesakit yang mempunyai temu janji di klinik tersebut telah dirujuk ke Klinik Kesihatan yang berdekatan.

“Perkhidmatan kesihatan di Klinik Kesihatan Tongod akan bermula semula setelah aktiviti nyah kuman dan proses pembersihan tamat,” katanya.

Mengenai perkembangan beberapa kluster Covid-19 di Sabah, Dr Noor Hisham berkata daripada 57 kes baharu hari ini, 14 kes melibatkan Kluster Pulau menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 29 kes (26 warganegara dan tiga rakyat Filipina).

Beliau berkata sehingga hari ini, seramai 451 individu disaring melibatkan 371 di Kunak, termasuk 14 kes baharu hari ini, dan 80 di Semporna.

Mengenai perincian Kluster Selamat, beliau berkata terdapat 12 kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kluster itu sebanyak 19 kes dengan 215 individu disaring setakat ini.

Dr Noor Hisham berkata terdapat lima kes baharu Kluster Benteng LD yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 583 kes dan 9,610 individu telah disaring.

“Bagi Kluster Sungai pula, hanya satu kes baharu di Kedah dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kluster itu sebanyak 74 kes dengan 24,699 individu disaring setakat 12 tengah hari ini,” katanya.

– BERNAMA