Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 57 kes baharu hari ini termasuk 49 di Sabah

SHAH ALAM, 21 SEPT: Sebanyak 57 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini dengan 51 daripadanya merupakan jangkitan tempatan, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan 10,276 kes dengan 751 daripadanya merupakan kes aktif.

“Penularan tempatan melibatkan 49 kes di Sabah antaranya dari Kluster Pulau, Selamat, Benteng LD, Kuarters (kluster baharu), kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Hospital Queen Elizabeth dan kes saringan bergejala di hospital sama.

“Kes berikutnya saringan tahanan lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, saringan pelatih pusat rehabilitasi, saringan pra pembedahan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, pesakit Influenza (ILI) di Klinik Kesihatan Tawau, saringan kontak rapat kepada kes ke-9,390 dan saringan petugas kesihatan di Hospital Lahad Datu serta saringan rujukan ke Hospital Tawau,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes lain melibatkan penularan tempatan dilaporkan daripada Kluster Sungai di Kedah dan saringan pembedahan Hospital Kuala Lumpur.

Katanya, terdapat 40 kes pulih dan dibenar keluar hospital hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih adalah 9,395 iaitu 91.43 peratus.

“Sembilan pesakit dirawat di unit rawatan rapi dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan manakala jumlah kematian kekal 130 kes,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: KKM kesan satu lagi kluster baharu di Pulau Pinang

SHAH ALAM, 20 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu di Pulau Pinang iaitu Kluster Ara apabila dua individu dijangkiti Covid-19.

Ketua pengarah kesihatan berkata kes indeks kluster itu adalah seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang dikesan positif melalui saringan di Pintu Masuk Antarabangsa Sandakan, Sabah pada 15 September lalu berikutan kedatangan kes dari Semenanjung.

“Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan satu kes positif dikenal pasti pada 19 September (semalam) iaitu kes ke-10,217 ialah anak saudara kepada kes indeks. Pesakit dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan sehingga 12 tengah hari tadi seramai 16 individu sudah disaring dan 14 daripadanya dikesan negatif wabak berkenaan.

“Langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyahkuman dan pembersihan dijalankan di lokasi terlibat. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 52 kes baharu hari ini, 40 penularan tempatan

SHAH ALAM, 20 SEPT: Sebanyak 52 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan 40 daripadanya penularan tempatan manakala baki 12 kes import, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes penularan tempatan tertinggi dikesan di Sabah iaitu 36 kes termasuk 27 daripada Kluster Benteng Lahad Datu (LD).

“Pertambahan kes baharu ini menjadikan jumlah keseluruhan dalam negara sebanyak 10,219 dengan kes aktif 734,” katanya menerusi Twitter.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 40 pesakit berjaya sembuh dan keseluruhan yang pulih sebanyak 9,355 kes bersamaan 91.55 peratus.

Katanya, sehingga kini 10 individu dirawat di unit rawatan rapi manakala dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada pertambahan kes kematian hari ini dan jumlahnya kekal 130 atau 1.27 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Satu lagi kluster baharu dikesan di Semporna, Sabah

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Satu lagi kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Bakau di Semporna, Sabah, dengan tiga kes dikesan positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks kluster ini merupakan seorang perempuan warga Filipina (kes ke-10145) yang juga kes kematian ke-129, dilaporkan semalam.

“Saringan Covid-19 kes indeks didapati positif pada 16 September 2020. Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan dua lagi kes positif Covid-19 bagi Kluster Bakau dikenal pasti, melibatkan satu warga tempatan dan satu warga Filipina. Mereka telah dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setakat 12 tengah hari, hari ini sejumlah 109 individu telah disaring bagi kluster itu, langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan proses pembersihan, telah dijalankan di Hospital Semporna manakala punca jangkitan masih dalam siasatan.

Mengenai perincian Kluster Sungai, Dr Noor Hisham berkata, terdapat lapan kes baharu di Kedah dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kluster itu sebanyak 73 kes dengan 23,935 individu disaring setakat 12 tengah hari ini.

Di Kedah, 23,748 individu disaring dengan 72 kes positif termasuk lapan kes baharu dikesan hari ini, di Pulau Pinang seramai 142 individu telah disaring dan Perlis seramai 45 orang disaring dengan satu kes positif.

Beliau berkata bagi perincian Kluster Benteng Lahad Datu (LD), terdapat satu kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif kluster itu sebanyak 551 kes dengan 7,985 individu telah disaring setakat 12 tengah hari ini.

Di Tawau, seramai 5,975 individu disaring dengan 399 kes positif termasuk satu kes baharu hari ini, di Lahad Datu seramai 2,009 disaring dengan 151 kes positif manakala di Sandakan, seorang individu telah disaring dan dikesan positif.

“Daripada jumlah 551 kes positif Covid-19, 272 adalah dalam kalangan warga tempatan manakala 279 merupakan bukan warganegara iaitu Filipina (185 kes); dan Indonesia (94 kes),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes akan sentiasa dikemas kini dan kategori bagi kes positif mungkin akan berubah bergantung kepada maklumat terkini hasil siasatan di lapangan, saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif bagi kluster-kluster ini masih diteruskan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 20 kes baharu hari ini, 17 kes penularan tempatan

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Sebanyak 20 kes baharu melibatkan 17 kes penularan tempatan dan satu kematian dilaporkan di Kedah hari ini, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia kini sebanyak 10,167 kes dengan 130 kematian, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan berjumlah 722.

Bagi 17 kes penularan tempatan, 14 kes melibatkan warga tempatan dan tiga kes bukan warganegara, katanya.

Sebanyak sembilan kes dicatatkan di Kedah termasuk lapan kes daripada Kluster Sungai dan satu kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Hospital Sultanah Bahiyah manakala lapan kes dicatatkan di Sabah.

“Tiga kes saringan rujukan ke Hospital Tawau dari Hospital Semporna yang melibatkan dua bukan warganegara; satu kes SARI di Hospital Tawau; satu kes saringan prapembedahan di Hospital Keningau; satu kes saringan komuniti di Tawau; satu kes daripada Kluster Benteng LD; dan satu kes daripada Kluster Bakau yang melibatkan bukan warganegara, iaitu kluster baharu di Semporna.

“Daripada 20 kes baharu yang dilaporkan, tiga adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan dua warga tempatan dan satu bukan warganegara dari New Zealand (satu kes di Selangor); Qatar (satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); dan India (satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata terdapat satu kes kematian berkaitan Covid-19 yang meninggal dunia pada 5.45 petang semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 130 kes iaitu 1.28 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-130 (kes ke-9578) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 82 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit strok serta sukar bergerak sendiri sejak Mac 2020 akibat patah tulang utama di kaki.

“Beliau mengalami gejala demam pada 4 September 2020 namun tidak mendapatkan rawatan. Pada 7 September 2020, beliau telah dikesan sebagai kontak rapat kepada anak dan cucu beliau yang merupakan kes positif dalam Kluster Sungai (iaitu kes ke-9458 dan kes ke-9547), lalu dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. Saringan Covid-19 kes didapati positif pada 9 September 2020,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 12 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), termasuk dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, sejumlah 51 kes dilaporkan pulih Covid-19 pada hari ini dan menyumbang kepada jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya sebanyak 9,315 kes (91.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19 catat 31 kes baharu, sebahagian besar di Sabah

SHAH ALAM, 14 SEPT: Sebanyak 31 kes baharu Covid-19 dicatat hari ini iaitu 28 penularan tempatan dan tiga kes import, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Sabah merekodkan jumlah kes tertinggi membabitkan Kluster Benteng Lahad Datu (17) dan masing-masing satu kes saringan warga emas di Klinik Kesihatan Merotai, jangkitan pernafasan akut teruk dan prapembedahan di Hospital Queen Kudat.

“Baki kes di Sabah direkodkan menerusi saringan rujukan ke Hospital Tawau, saringan kontak rapat kes-9,454 dan saringan tahanan Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat.

“Di Negeri Sembilan terdapat empat kes daripada Kluster Bunga dengan satu daripadanya membabitkan bukan warganegara sementara di Kedah satu kes daripada kluster Sungai,” katanya dalam kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata dua daripada tiga kes import direkodkan di Sabah membabitkan warganegara sementara satu lagi warga Indonesia yang dikesan positif pada pensampelan kedua, semalam.

Keseluruhannya, sebanyak 9,946 kes direkod dengan 615 daripadanya aktif. Seramai tujuh lagi pesakit berjaya sembuh, menjadikan jumlah yang pulih sebanyak 9,203 kes.

“Sebanyak 11 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dan lima daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. Jumlah kematian kekal 128 kes,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Noor Hisham terima anugerah Paul Harris Fellow

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah malam tadi diberi satu lagi pengiktirafan atas sumbangan besar beliau dalam memerangi Covid-19.

Dr Noor Hisham dipilih sebagai penerima anugerah Paul Harris Fellow, pengiktirafan tertinggi diberikan oleh Kelab Rotary kepada individu yang banyak menyumbang jasa untuk tujuan baik.

Anugerah itu disampaikan kepada beliau pada majlis Pemasyhuran Presiden dan Gala Kutipan Dana Tahunan Ke-93 Kelab Rotary Kuala Lumpur Diraja (RCKL) di sini, malam ini oleh presiden kelab itu yang baru dimasyhurkan Prabagaran Vythilingam.

“Anugerah ini sebagai tanda penghargaan, pengorbanan dan komitmen ditunjukkan oleh petugas barisan hadapan dalam mendepani pandemik global yang tidak pernah berlaku sebelum ini, mereka telah memenangi hati dan minda negara,” kata Dr Noor Hisham dalam ucapannya semasa menerima anugerah itu.

Antara tokoh terkemuka yang telah dipilih sebagai penerima anugerah Paul Harris Fellow ialah Presiden Amerika Syarikat Ke-39 Jimmy Carter (James Earl Carter, Jr.), angkasawan James Lovell, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Javier Perez de Cuellar dan pencipta vaksin polio Jonas Salk.

Diwujudkan pada 1957, anugerah itu bagi mengiktiraf individu yang telah memberi sumbangan besar dan menyokong usaha dermawan seperti imunisasi kanak-kanak daripada polio dan menyediakan air bersih ke kawasan miskin di seluruh dunia.

Kementerian Kesihatan turut diberi pengiktirafan dengan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Rotary manakala RCKL Diraja dipilih sebagai penerima anugerah The Brand Laureate International Premier Award 2020 bagi kepimpinan dalam perkhidmatan kemasyarakatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penyelidik dunia dapati Covid-19 masih aktif, berterusan lebih lama

SHAH ALAM, 9 SEPT: Penyelidik seluruh dunia berpendapat pandemik Covid-19 masih menular aktif dan dijangka berterusan untuk tempoh lama, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dapatan diperoleh melalui penelitian trend kes dilaporkan setiap hari.

“Semua individu tanpa mengira latar belakang dan status sosial perlu sentiasa berwaspada, sedar dan patuh kepada SOP (tatacara operasi piawai).

“Kegagalan mematuhinya berpotensi membawa kesan luar jangka, terutama melibatkan isu pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit serta menyebabkan kerja keras petugas barisan hadapan, rakyat dan kerajaan menjadi sia-sia,” katanya melalui Facebook semalam.

Sebelum itu, Dr Noor Hisham dalam sidang media di Putrajaya memaklumkan pertambahan 100 kes baharu menjadikan keseluruhan 9,559 dengan 295 kes aktif.

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia rugi RM8 bilion setahun akibat penyakit tidak berjangkit

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Penyakit tidak berjangkit (NCD) terutamanya penyakit kardiovaskular, kencing manis dan kanser menyebabkan negara menelan belanja sebanyak RM8.91 bilion atau menyamai 0.65 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Memetik laporan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), beliau berkata kos itu dikira berdasarkan kerugian produktiviti akibat ketidakhadiran, kedatangan ke tempat kerja dan kematian pramatang usia bekerja penduduk di Malaysia.

“Selain kerugian produktiviti, penyakit tidak berjangkit turut meninggalkan beban kesihatan kepada negara akibat kecacatan dan kehilangan hidup yang sihat bertahun-tahun, dipanggil kos beban penyakit.

“Ini adalah kos tidak ketara yang dianggarkan sekitar RM100.79 bilion, bersamaan dengan 7.35 peratus KDNK,” katanya dalam kenyataan bersama WHO, hari ini.

Laporan yang dikeluarkan hari ini bertajuk ‘Kesan Penyakit Tidak Berjangkit dan Faktor Risiko Terhadap KDNK Malaysia’ yang menggunakan data 2017.

Dr Noor Hisham juga berkata Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 menunjukkan kelaziman NCD di negara ini terus meningkat.

Sementara itu, wakil WHO di Malaysia Dr Lo Ying-Ru berkata NCD selalu dikaitkan dengan kos penjagaan kesihatan, namun bukti seperti laporan ini menunjukkan bagaimana NCD menghalang kemajuan sosial dan ekonomi negara.

“Setiap kecacatan dan kematian pramatang akibat penyakit tidak berjangkit adalah tragis kerana kita tahu ia boleh dicegah.

“Jika kita tidak mampu menguruskan NCD di negara ini, ia akan menyebabkan kesan yang signifikan terhadap kesihatan dan ekonomi. Kita memerlukan pendekatan kerajaan dan masyarakat secara menyeluruh dan menyelamatkan nyawa dan kehidupan,” katanya.

Menurut laporan itu, diet yang tidak sihat menyumbang kepada dua pertiga (68.9 peratus) kos kehilangan produktiviti akibat kematian pramatang penyakit kardiovaskular sementara penggunaan tembakau menyumbang kepada lebih satu pertiga (36.9 peratus) kerugian.

Penggunaan tembakau juga menyumbang kepada kerugian terbesar akibat barah (15 peratus).

Negara-negara anggota WHO menyedari pentingnya menangani NCD untuk mencapai pembangunan lestari, justeru Agenda Pembangunan Lestari 2030 menyeru pengurangan kematian pramatang daripada NCD sebanyak satu pertiga menerusi langkah pencegahan dan kawalan.

Kerajaan Malaysia telah menangani cabaran ini dengan melaksanakan Pelan Strategik Kebangsaan untuk Penyakit Tidak Berjangkit 2016-2025 serta strategi dan perancangan nasional berkaitan bertujuan mengurangkan faktor risiko NCD.

“Malaysia telah menunjukkan komitmen politik tertinggi dengan mewujudkan Jawatankuasa Kabinet untuk Persekitaran Mempromosikan Kesihatan bagi menyokong tindak balas kerajaan dalam menangani NCD. Ketika kami bekerja keras menangani NCD hingga ke akarnya, jelas sekali masih banyak yang perlu dilakukan,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh mengemukakan komen mengenai Kesan Penyakit Tidak Berjangkit dan Faktor Risikonya terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar kepada KKM dan WHO hingga 1 Oktober ini menerusi e-mel kepada [email protected].

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster baharu Covid-19 babit pegawai Imigresen

SHAH ALAM, 4 SEPT: Satu lagi kluster baharu Covid-19 dikesan membabitkan dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia di Selangor dan Negeri Sembilan.

Ketua pengarah kesihatan berkata kes indeks kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) Semenyih 2 itu merupakan tahanan warga asing yang bakal dihantar pulang ke negara asal.

“Beliau disaring pada 27 Ogos dan disahkan positif. Dua kes baharu hari ini merupakan pegawai Imigresen yang mengiringi tahanan itu membuat saringan.

“Setakat ini 269 individu termasuk tahanan, kakitangan DTI dan ahli keluarga disaring. Tiga positif, 123 negatif manakala 143 masih tunggu keputusan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Susulan kluster baharu ini beliau mengingatkan petugas barisan hadapan yang menguruskan kes Covid-19 supaya mengambil langkah pencegahan setiap masa.

“Ini termasuk pemakaian sut peralatan perlindungan diri dengan betul, penjarakan fizikal dan amalan kebersihan tangan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Noor Hisham dedah syarikat lombong guna gambarnya dalam laman sesawang

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Sebuah laman sesawang syarikat perlombongan telah menggunakan gambar Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO).

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham menegaskan perkara itu adalah palsu dan nama yang tertera di bawah gambar beliau bukan dirinya dan laman sesawang syarikat itu turut memaparkan gambar dan nama beberapa individu dalam barisan pengurusannya.

“Untuk makluman umum, Syarikat Kashi Mining ada menggunakan gambar saya dalam laman sesawang mereka sebagai COO! Jelas ini adalah palsu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Bagaimanapun, carian Bernama mendapati laman sesawang syarikat itu sudah tidak boleh diakses.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan lanjut PKPP bergantung situasi semasa global, tempatan

SHAH ALAM, 25 OGOS: Keputusan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang tamat pada 31 Ogos dilanjutkan atau tidak bergantung kepada situasi semasa global dan tempatan.

Ketua pengarah kesihatan berkata pihaknya perlu menilai situasi semasa sebelum mengusulkan cadangan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kami di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu melihat beberapa faktor antaranya situasi global, tempatan termasuk peringkat serantau.

“Kemudian KKM akan mengemukakan cadangan komprehensif untuk dibentangkan kepada Perdana Menteri dan beliau akan buat pengumuman, bukan saya,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Kelmarin Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengesyorkan PKPP dilanjutkan sehingga keadaan terkawal.