Categories
AGENDA NASIONAL

Najib terkejut diarah bela diri – Peguam

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Datuk Seri Najib Tun Razak terkejut diperintah untuk membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan menyeleweng sejumlah RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd.

Peguam belanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata bekas perdana menteri itu menjangkakan beliau dibebaskan bagi semua pertuduhan di akhir kes pendakwaan.

“Najib menjangkakan pembebasan bagi semua pertuduhan kerana kami telah mematahkan pertuduhan (semasa penghujahan) malah semasa kes pendakwaan,” katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini.

Muhammad Shafee mengulas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mengarahkan Najib, 66, membela diri atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dana itu.

Hakim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ahli Parlimen Pekan itu yang didakwa melakukan kesalahan itu antara 17 Ogos 2011 dan 2 Mac 2015.

Mahkamah menetapkan 3 dan 4 Disember, 9 hingga 12 Disember, dan 16 hingga 19 Disember untuk Najib membela diri.

Mengulas lanjut, Muhammad Shafee berkata pasukan pembelaan mengharapkan pembebasan di peringkat ini kerana mereka yakin telah mengemukakan hujahan yang baik di mahkamah berdasarkan fakta dan undang-undang.

Bagaimanapun beliau berkata perbicaraan tidak boleh dijangka memandangkan pandangan (pembelaan) dan pandangan orang lain adalah berbeza.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata perbicaraan di peringkat pembelaan dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk mendengar cerita sebenar daripada Najib kerana bekas perdana menteri itu mempunyai versi apa yang berlaku dalam SRC.

“Setakat apa yang dia (Najib) tahu dan apakah perkara yang boleh beliau pertikaikan berhubung sama ada beliau mengawal SRC, yang kami katakan dia tidak pernah mengawal SRC sebagai menteri kewangan. Najib akan memberi keterangan apakah yang sebenarnya berlaku di Kementerian Kewangan,” katanya.

Peguam itu juga berkata beberapa saksi profesional yang beliau enggan namakan, dijangka dipanggil memberi keterangan semasa peringkat pembelaan itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Najib-Shafee membisu, soalan di Parlimen turut dibisukan?

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Penolakan soalan jawab lisan oleh Dewan Rakyat mengenai perkembangan siasatan berhubung pembayaran terus RM9.5 juta kepada Tan Sri Dr Shafee Abdullah daripada akaun dipercayai milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat dikesali.

Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan berkata, penolakan dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 23(1)(C), iaitu sesuatu pertanyaan itu tidak boleh mengandungi apa-apa ‘sangkaan’.

“Amat memilukan apabila mendapati isu yang serius seperti ini wajib dijawab dan diperjelaskan kerana berkaitan isu kebebasan dan hukuman penjara seorang individu.

“Parlimen Malaysia pula menganggap isu ini sebagai sangkaan,” katanya dalam satu sidang media di Lobi Pusat Media Dewan Rakyat, hari ini.

Manivanan berkata, soalan yang dikemukakan adalah ‘Sama ada pihak PDRM telah mula menyiasat laporan polis mengenai dana RM9.5 juta daripada Perdana Menteri (YAB Pekan) kepada Tan Sri Dr Shafee Abdullah, serta perkembangan terkini dan tindakannya’.

Beliau berkata, sehingga kini, Najib dan Shafee membisu tanpa mengaku atau menolak dakwaan tersebut selain laporan polis dilakukan untuk siasatan.

Shafee didakwa menerima bayaran yang dikaitkan dengan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim sebanyak RM4.3 juta pada 11 September 2013 dan RM5.1 juta pada 17 Februari 2014.

Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Sri Nancy Shukry memaklumkan dalam Parlimen Shafee dibayar gaji RM1,000 untuk tugasnya sebagai Ketua Pendakwaraya dalam kes perbicaraan Anwar.

Dalam sidang media sama, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, sepatutnya JPM mengemukakan jawapan sama ada isu itu sudah atau belum disiasat.