Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Tanah kubur Islam masih kosong boleh diguna untuk tujuan lain

SHAH ALAM, 1 DIS: Tanah Perkuburan Islam di negeri ini yang masih kosong dan diwartakan, boleh digunakan untuk tujuan lain dengan kelulusan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

EXCO hal ehwal agama Islam berkata aktiviti yang mahu dilaksanakan di atas tapak perlu sah dan mematuhi undang-undang seperti penternakan, pertanian dan parkir kenderaan yang bersifat sementara.

“Jika terdapat sebarang aktiviti dijalankan sebelum tapak itu diwartakan, ia adalah di bawah tanggungjawab pentadbir tanah daerah.

“Apabila ia telah diwartakan, pihak yang ingin menggunakan tapak tersebut perlu mengemukakan permohonan penggunaan tanah kepada pengarah Jais,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed Supri berhubung penggunaan tapak perkuburan Islam di Selangor bagi tujuan lain.

Mohd Zawawi menjelaskan Jais mengambil beberapa langkah bagi melindungi tapak perkuburan di Selangor daripada pencerobohan dan aktiviti lain.

Menurutnya, langkah diambil dengan memantau tapak terbabit selain bekerjasama dengan pejabat daerah dan tanah serta pihak berkuasa tempatan bagi penguatkuasaan mengikut Kanun Tanah Negara.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita beliau berkata tapak tanah bawah kelolaan Jais terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menyewa kerana secara tidak langsung menyumbang pendapatan tambahan kepada jabatan.

 

Categories
PBT SELANGOR

Kampung Johan Setia kini miliki tanah kubur

OLEH NORHAYATI UMOR dan SHAFIQQUL ALIFF

KLANG, 18 APR: Waris penduduk Kampung Johan Setia kini tidak perlu lagi menghantar jenazah ahli keluarga ke tanah perkuburan Pandamaran.

Hal itu kerana, Majlis Perbandaran Klang (MPK) kini menyediakan tanah perkuburan baharu berkeluasan 10.4 hektar di Kampung Johan Setia.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, tanah perkuburan itu dijangka akan memuatkan sebanyak 4,500 jenazah pada satu masa mengikut kesesuaian di tapak.

Katanya, dengan kos sejumlah RM 2.19 juta, tanah perkuburan itu diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Jika sebelum ini tanah perkuburan bagi penduduk kampung ini terletak sejauh 12 kilometer, namun dengan adanya perkuburan baharu ini ia lebih dekat dan memudahkan waris.

“Tanah Perkuburan Johan Setia seluas 26 ekar (dikenali sebagai Plot A) ini diwartakan melalui WKNS No. 1807 bertarikh 23 September 2004 sebagai Tapak Perkuburan yang dikawal oleh Jabatan Agama Islam Selangor.

“Manakala baki 36 ekar (dikenali sebagai Plot B) masih dalam tindakan Pejabat Daerah/Tanah Klang untuk diwartakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Tanah Perkuburan Islam Kampung Johan Setia, di sini.

Mohamad Yasid berkata, pemilihan lokasi tapak ini adalah bersesuaian dengan keperluan komuniti Mukim Jalan Kebun.

Selain itu, katanya terdapat kemudahan infrastruktur antaranya Bangunan Pejabat, Stor, Surau, Tandas, Bilik Fail, Pondok Pengawal dan gazebo.

“Selain itu laluan penjalan kaki konkrit, tempat letak kenderaan, lampu jalan, sususan plot kubur dan ‘stand pipe’ turut disediakan.

Pada masa sama, beliau berharap pihak komuniti kampung dan penduduk sekitar bersama-sama dapat menjaga kebersihan dan keselamatan kawasan serta kemudahan yang telah disediakan supaya kawasan itu.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

Jadi contoh perkuburan bersih di Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 APRIL: Penduduk di Kampung Johan Setia disaran menjaga kebersihan tanah perkuburan yang baharu diserahkan, dan menjadi contoh kepada tapak perkuburan lain.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, hal itu bagi mengubah persepsi masyarakat yang ‘ketakutan’ apabila melihat tanah perkuburan.

“Jika dahulu orang beranggapan kubur adalah tempat yang seram dan menakutkan, namun sekarang ia berjiran dengan penduduk.

“Sebagai contoh, tanah perkuburan ini berada dalam taman perumahan, oleh itu kita mahu penduduk menjaganya supaya sentiasa bersih dan tersusun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Tapak Perkuburan Kampung Johan Setia daripada Majlis Perbandaran Klang kepada Jabatan Agama Islam Selangor, di tapak berkenaan, di sini hari ini.

Katanya, tanah perkuburan itu adalah yang keempat di kawasannya yang akan dilengkapi dengan angka giliran bagi setiap liang.

“Sistem nombor ini dilaksanakan seperti tanah perkuburan Bukit Naga yang menjadi projek perintis, pada 2016 dan kita akan laksanakan di tanah perkuburan ini, berbeza berbanding tanah perkuburan Jalan Kebun dan kawasan berdekatan,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Zawawi turut menasihatkan penduduk supaya menggunakan kemudahan disediakan di tanah perkuburan itu dengan sebaiknya.

“Dengan adanya kemudahan disediakan, penduduk boleh datang ke sini tanpa rasa takut, malah boleh melakukan aktiviti riadah, selain dapat mengingati kematian,” katanya.

Tanah perkuburan berkeluasan 10.4 hektar itu boleh memuatkan 4,500 jenazah, pada satu-satu masa mengikut kesesuaian di tapak, dengan kos RM2.19 juta.

FOTO OLEH REMY ARIFIN