Categories
SELANGOR SENI

Ya Nasr kutip dana biayai murid ke pertandingan kesenian di Bulgaria, Turki

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 MAC: Persatuan Warisan Kesenian Ya Nasr berjaya mengutip dana bagi membiayai kumpulan penari mereka ke pertandingan kesenian antarabangsa, di Bulgaria dan Turki.

EXCO Kebudayaan Dan Pelancongan, Peradaban Melayu Dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, kumpulan 20 penari yang terdiri daripada murid sekolah itu akan berlepas ke Bulgaria pada 25 Mac ini sebelum terus ke Turki, awal April nanti.

“Warisan Kesenian Ya Nasr ini adalah sebuah Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) yang cergas dan mereka mencari dana untuk menghantar penari mereka mewakili Malaysia ke pertandingan kesenian antarabangsa, di Bulgaria dan Turki.

“Syukur mereka berjaya memperoleh dana yang mencukupi melalui Majlis Makan Malam Amal Warisan Kesenian Ya Nasr yang saya sendiri naungi ini.

“Saya dah banyak kali lihat persembahan mereka dan yakin mereka mampu menjulang nama Malaysia dan Selangor,” katanya kepada SelangorKini pada Majlis Makan Malam Amal Warisan Kesenian Ya Nasr, di Dewan Perkim, di sini, malam tadi.

Katanya, dana yang diperolehi itu akan digunakan untuk membiayai kos perjalanan, penginapan, membeli kostum baru dan keperluan lain.

Abdul Rashid berharap persatuan kesenian dan kebudayaan lain menjadikan kegigihan Persatuan Warisan Kesenian Ya Nasr sebagai model supaya mereka lebih aktif menjalankan aktiviti kesenian.

Abdul Rashid berkata, sebelum ini Ya Nasr kerap diundang mengadakan persembahan di majlis berprestij termasuk membabitkan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan beberapa pertandingan dalam negara.

Terdahulu, Majlis Makan Malam Amal Warisan Kesenian Ya Nasr sarat diwarnai dengan persembahan kesenian warisan Melayu yang dipersembahkan murid pelbagai peringkat umur.

Antaranya, pelbagai tarian termasuk tarian Selangor, pertunjukan silat dan persembahan muzik angklung.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Teng – Pentas Selangor fokus pembangunan kesenian

teng pc stripe tie 01SHAH ALAM 1 OKT : Kerajaan Negeri akan menitikberatkan pembangunan bidang kebudayaan dan kesenian seiring dengan kemajuan bidang lain.

Sehubungan itu, satu penganjuran persembahan pelbagai kebudayaan dikenali Pentas Selangor akan diadakan di Klang pada 26 Oktober ini bertempat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (Perempuan) Klang.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian Dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata, persembahan itu adalah kali kedua selepas persembahan pertama di tempat sama pada 15 September lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai khususnya penduduk setempat.

Beliau berkata, ia adalah usahasama antara Kerajaan Negeri dan pihak korporat bagi mengembangkan lagi kebudayaan dan kesenian pelbagai bangsa di Selangor.

Ia juga akan menjadi satu tarikan bagi peminat seni dan pelancongan serta akan dimasukkan sebagai salah satu acara dalam kalendar pelancongan Selangor pada tahun depan.

“Kita mengadakan persembahan kedua ini selepas kejayaan persembahan pertama. Seterusnya kita merancang membuat 12 persembahan iaitu sebulan sekali dengan Klang sebagai permulaan kerana bandar ini dikenali sebagai bandar atau pusat kebudayaan.

“Selepas ini kita berharap untuk membuat persembahan di luar Klang khususnya di Shah Alam dan Petaling Jaya kerana bandar raya ini mempunyai lebih kemudahan seperti auditorium dan pentas teater,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Teng berkata, buat permulaan persembahan itu disertai dan dijayakan enam pasukan kesenian antaranya  terdiri daripada Orkestra Cina serta pasukan gendang, tarian dan nyanyian.

Katanya, Kerajaan Negeri berharap ia akan mendapat sambutan dan sokongan rakyat Selangor ke arah pengukuhan dan perkembangan pasukan itu untuk menjadi lebih besar.

Pihaknya mengharapkan penyertaan lebih banyak syarikat korporat dalam program itu sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi tujuan berkenaan.

“Ia adalah persembahan pelbagai kebudayaan dan ia menjadi satu cabaran bagi mengembangkannya. Buat permulaan kita ketengahkan kumpulan Cina.

“Apabila ia sukses, perancangan seterusnya membesarkannya dengan Pentas Selangor mungkin bertukar menjadi Pentas Utama atau Pentas Perdana dengan pembabitan kaum lain seperti Melayu, India, Cina, Kadazan, Iban, Dayak dan sebagainya termasuk tajaan daripada pihak korporat lebih besar,” katanya.

Berhubung peruntukan, beliau berkata, Kerajaan Negeri menganggarkan perbelanjaan kira-kira RM500,000 untuk penganjuran 12 persembahan itu nanti.

“Kita berharap mampu untuk membina satu model pembangunan kesenian di Selangor kerana selalunya kita menghadapi kekangan peruntukan untuk mengiatkan aktiviti kesenian di Malaysia.

“Kita berbangga dengan pembangunan fizikal, ada menara kembar Petronas, ada lapangan terbang terbesar, ada pelabuhan yang besar, ada salah satu rangkaian sistem pengangkutan terbaik di rantau ini tetapi apabila memperkatakan mengenai kebudyaan, kita mempunyai ruang yang besar untuk ditingkatkan,” katanya.