Categories
AGENDA NASIONAL

Petugas barisan hadapan boleh usul lokasi sesuai taska tambahan

SHAH ALAM, 16 OKT: Petugas barisan hadapan boleh mengusul lokasi pusat jagaan sesuai bagi anak-anak mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia sebagai bantuan alternatif kepada golongan itu menguruskan anak masing-masing sehingga 27 Oktober ini.

“Kita mahu mudahkan urusan mereka. Jika ada lokasi sesuai boleh maklum kepada Kerajaan Selangor dan permohonan akan diuruskan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas Program Pembekalan Kit Pembasmi Covid-19 dan Inisiatif Penjagaan Anak Frontliners (iPAF) hari ini.

Beliau berkata langkah mengaktifkan semula sembilan taska sementara bertujuan membantu dan meringankan beban petugas terbabit memandangkan ketika ini taska dan pusat asuhan ditutup.

“Taska dibuka dari jam 7 hingga 5.30 petang dan ada lokasi tertentu dibuka pada hujung minggu. Anak mereka akan dijaga sebaik mungkin oleh petugas berpengalaman,” katanya.

Hari ini, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Kerajaan Negeri mengaktifkan semula sembilan taska tambahan sebagai tempat penjagaan anak-anak petugas barisan hadapan sepanjang PKPB.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata lokasi meliputi Hospital Sungai Buloh, Hospital Banting, Hospital Selayang, Hospital Kajang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Taska tambahan anak petugas hadapan diaktif semula

SHAH ALAM, 16 OKT: Selangor mengaktifkan semula sembilan taska tambahan sebagai pusat jagaan anak-anak petugas hadapan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dato’ Menteri Besar berkata lokasi meliputi Hospital Sungai Buloh, Hospital Banting, Hospital Selayang, Hospital Kajang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata taska di Hospital Shah Alam, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Bangunan SUK Selangor dan Bangunan Darul Ehsan turut dibuka.

“Semua taska (di hospital dan JKNS) terbuka untuk kakitangan perubatan sahaja, manakala taska di Bangunan SUK dan Bangunan Darul Ehsan boleh dimanfaatkan semua petugas hadapan, termasuk anak-anak anggota polis serta tentera.

“Semoga inisiatif ini sedikit sebanyak mengurangkan bebanan petugas hadapan yang berkorban nyawa demi melandaikan keluk wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 2 Jun, Kerajaan Negeri memperkenalkan Insentif Penjagaan Anak-Anak Frontliners Covid-19 yang memperuntuk kadar bantuan bernilai RM150 untuk seorang anak bagi tempoh dua bulan iaitu Mac dan April.

PKPB dikuat kuasa di seluruh Selangor bermula kelmarin hingga 27 Oktober susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.