Categories
AGENDA GLOBAL

WHO: Dunia belum lalui tahap terburuk Covid-19

GENEVA, 30 JUN: Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memberi amaran tempoh paling buruk Covid-19 belum dilalui lagi walaupun sudah enam bulan dunia dilanda wabak itu.

Ketua WHO berkata enam bulan lalu tiada siapa dapat membayangkan dunia dan kehidupan terumbang-ambing akibat virus baharu itu, lapor AFP.

“Kita mahukan ia berakhir dan menjalani kehidupan seperti biasa, namun hakikatnya ia masih belum dapat ditamatkan, biarpun sesetengah negara dilihat bertambah baik, secara global pandemik ini masih lagi berleluasa.

“Kita semua bersama sepanjang tempoh ini dan perlu lebih banyak ketahanan, kesabaran, sifat kemanusiaan dan murah hati pada bulan mendatang,” kata Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam sidang video secara maya.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus menghadiri sidang akhbar selepas persidangan antarabangsa mengenai penyelidikan vaksin Covid-19 di Geneva pada 12 Februari 2020. Foto AFP

Beliau berkata pandemik itu secara tidak langsung menunjukkan sikap kemanusiaan sebenar, kebaikan dan solidariti tetapi ada juga maklumat yang salah serta virus politik.

“Saya terpaksa mengatakan keadaan yang paling teruk masih dilalui dan dalam keadaan sekarang kita hanya takutkan sesuatu yang paling teruk saja,” katanya.

Beliau turut memaklumkan WHO akan menghantar pasukan ke China bagi mencari punca Covid-19 yang kini sudah meragut lebih 500,000 nyawa dan menjangkiti lebih 10 juta orang di seluruh dunia.

“WHO sudah mendesak China sejak Mei lalu untuk menjemput mereka menyertai pasukan pakarnya bagi menyiasat punca utama Covid-19,” katanya.

Categories
AGENDA GLOBAL

WHO: Tarik balik kawalan pergerakan ‘terlalu awal’ boleh bawa padah

GENEVA, 11 APRIL: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Jumaat memberi amaran, menarik balik kawalan pergerakan “terlalu awal” boleh mencetuskan penularan semula Covid-19 yang jauh lebih buruk, lapor agensi berita Xinhua.

Beliau berkata ada beberapa negara sudah merancang untuk menarik balik arahan duduk di rumah.

“Langkah itu boleh menimbulkan keadaan lebih berbahaya jika tidak dikendalikan dengan cara yang betul,” katanya.

WHO kini sedang bekerjasama dengan negara terjejas Covid-19, berhubung strategi bagaimana untuk melonggarkan kawalan pergerakan secara berperingkat dan selamat.

Beberapa negara Eropah antaranya sudah mempertimbangkan untuk melonggarkan arahan itu berikutan jumlah jangkitan Covid-19 menunjukkan trend penurunan.

Antaranya, Austria dan Switzerland, masing-masing bercadang melonggarkan sekatan bermula pertengahan dan hujung April.

Ketua WHO itu menegaskan, sebarang keputusan untuk menarik balik kawalan pergerakan seharusnya dengan syarat penularan sudah dapat dikawal; perkhidmatan perubatan dan kesihatan awal yang secukupnya; risiko penularan di kemudahan khas seperti lokasi penjagaan jangka panjang diminimumkan.

Sementara itu langkah pencegahan perlu diambil di tempat kerja, sekolah dan tempat tumpuan orang ramai; risiko kes import dapat dikawal; dan komuniti sudah sedar dan faham mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan penjarakan sosial dalam tempoh peralihan ini.

Di seluruh dunia, hampir 1.5 juta kes positif Covid-19 dilaporkan kepada WHO, dengan lebih 92,000 kematian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

WHO: Vaksin Covid-19 dijangka siap dalam 18 bulan

GENEVA, 14 FEB: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Selasa berkata vaksin pertama untuk koronavirus 2019 (Covid-19) dijangka dapat dihasilkan dalam tempoh 18 bulan, lapor agensi berita Xinhua.

Menerusi Twitternya beliau berkata “ada banyak yang boleh kita lakukan bagi mencegah penularan dan bersedia untuk mengawalnya daripada terus merebak.”

Terdahulu, pada taklimat akhbar beliau berkata “sekarang kita memerlukan pelaburan untuk menghentikan wabak Covid-19,” sambil menambah menghasilkan vaksin dan terapeutik adalah agenda penting dalam penyelidikan.

“Kita bukan tidak berupaya untuk mempertahankan diri, kerana sekarang terdapat banyak dasar dan langkah pencegahan dalam kesihatan awam,” katanya.

“Jadi, kita perlu terus berusaha dengan menggunakan kelebihan yang ada bagi memerangi virus itu, sambil bersiap sedia untuk langkah jangka panjang,” tambahnya.

– BERNAMA